© The Mhakk Studio

You are being watched!

Thursday, May 8, 2008

"Kerajaan perlu pandang serius ancaman Anwar" Dr M

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) memandang serius ancaman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan persekutuan dalam masa terdekat kerana ia telah menyakinkan lebih 30 anggota Parlimen BN untuk menyertai barisan pembangkang atau Pakatan Rakyat.

BN mempunyai 140 anggota Parlimen di Dewan Rakyat dan Pakatan Rakyat 82 daripada sejumlah 222 anggota Parlimen.

"Saya fikir ia serba berkemungkinan dan anda tidak boleh pandang ringan. Sekarang ini, ahli politik terbabit lebih berminat berapa banyak yang mereka dapat, mereka sebenarnya tidak berminat untuk berkhidmat kepada negara.

"Orang yang merasakan yang diri mereka tidak dapat apa yang mereka mahukan pada ketika ini dan mereka ditawarkan kedudukan, timbul keinginan untuk lompat parti lebih-lebih lagi bila tidak wujud kesetiaan kepada parti.

"Naluri saya kuat mengatakan (mengenainya), ia boleh benar-benar berlaku. Pada mulanya saya mahu menolak kemungkinan itu tetapi setelah mengkaji keadaan itu, saya rasa wujud ancaman besar. Sudah tentu, jika kerajaan sekarang hilang kuasa, ia tidak mempunyai kedudukan untuk mengagihkan pelbagai faedah kerana pada masa itu pengaruhnya sudah hilang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama mengenai "Kedaulatan Negara" pada Siri Syarahan Perdana Ke-7 di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini.

Ditanya sama ada itu merupakan perkara yang paling dibimbanginya, beliau menjawab jika lompat parti itu berlaku, dengan itu Malaysia akan mengalami `banyak konflik".

"Kita lihat sahaja respons orang Melayu, misalnya. Mereka telah menyenaraikan pelbagai desakan untuk itu dan ini sebagai respons kepada desakan yang dibuat pihak lain. Mereka fikir penyelesaiannya ialah dengan mengenepikan konsep demokrasi, bahawa mereka patut kembali kepada corak kerajaan feudal.

"Sudah wujud cakap-cakap di kalangan mereka...saya tidak tahu ia seserius mana tetapi hakikat yang ia disuarakan, amat merisaukan," kata Dr Mahathir.

Ditanya sama ada terdapat kemungkinan wujud pemerintahan anarki di negara ini, katanya: "Mungkin, tetapi bukan anarki unggul tetapi pastinya wujud ketidakstabilan kerana kerajaan yang memerintah tidak akan aktif menumpukan kepada memajukan negara."

Kepada soalan lain mengenai sama ada Pembangkang akan berjaya mendapatkan 30 anggota Parlimen berkenaan, bekas Perdana Menteri merujuk kepada Sabah dan Sarawak.

"Jika kita ambil Umno, MCA dan MIC, akar umbi mereka di sini (di semenanjung) dan bukan di Sabah dan Sarawak. Walaupun ada Umno di Sabah, ia dipindahkan dari sini ke sana. Mereka sebelum ini merupakan parti-parti kecil. Jadi dapatkah kita pastikan yang mereka akan kekal setia kepada Umno? Saya fikir tidak," katanya.

Beliau berkata malahan di Semenanjung, mungkin akan ada anggota Parlimen yang akan lompat parti kerana mereka tahu yang mereka akan berada dalam kerajaan baru pimpinan pembangkang.

Dr Mahathir berkata tindakan lompat parti itu tidak akan menimbulkan masalah jika BN telah menang dengan majoriti dua pertiga di Parlimen dan malahan jikapun ada anggota Parlimen yang lompat parti, mereka tidak akan dapat banyak faedah kerana anggota Parlimen itu masih dengan kelompok pembangkang.

"Tetapi sekarang jika mereka lompat parti, mereka akan menyertai kerajaan lain, mereka tidak akan rugi, malahan mereka boleh buat duit," kata bekas pemimpin berusia 83 tahun itu.

Beliau merasakan yang Pakatan Rakyat merupakan satu kuasa yang perlu diberikan perhatian, bukan kerana ia kuat atau rakyat sukakan Pembangkang tetapi kerana "perasaan kecewa".
Dipetik dari KLpos.Com
-

No comments:

Ũ