© The Mhakk Studio

You are being watched!

Tuesday, February 10, 2009

Kisah raja dengan ikan specialnya...

Suatu hari, seorang raja dalam sebuah negeri keluar bersiar-siar bersama para pembesarnya untuk melihat kehidupan rakyatnya. Mungkin kerana dia mahu dianggap raja berjiwa rakyat, maka dia dan para pembesarnya melawat kawasan pedalaman dalam negerinya itu. Raja itu dikhabarkan oleh para pembesarnya bahawa rakyat negeri itu sangat menyayangi rajanya.

Apabila sampai di sebatang sungai, didapatinya seorang lelaki miskin yang sedang mengail ikan. Dari jauh raja dan para pembesarnya itu memerhati lelaki si pengail ikan itu. Tidak lama selepas itu, kelihatan lelaki itu berjaya mendapat seekor ikan yang besar dan jarang sekali dijumpai. Alangkah gembiranya si lelaki itu, kerana dengan ikan yang besar itu, dapatlah dia berama isteri dan tiga anaknya menikmati rezeki yang lebih pada hari itu. Selalunya, setiap petang dia akan pulang dengan kehampaan kerana hasil tangkapan tiada atau kadang-kadang cukup untuk sekali makan sahaja.

Sedang si pengail itu gembira dan mengucap syukur kepada ALLAH kerana memberi rezeki kepadanya, datanglah rombongan raja negeri itu kepadanya. Sang raja itu amat berminat dengan ikan yang jarang sekali ditemui itu. Lalu raja menitahkan agar ikan itu diserahkan kepadanya. Si pengail miskin itu menolak permintaan rajanya kerana ikan itu adalah rezeki untuk ahli keluarganya makan setelah sepetang berusaha mengail. Raja itu terkejut dengan tindakan pengail itu menolak permintaannya. Sangkaannya, pengail itu akan menyerahkan ikan itu sebagai tanda sayang kepada rajanya. Pantang melihat rakyat menderhaka kepadanya lalu sang raja menitahkan pengawalnya untuk merampas ikan itu daripada pengail miskin itu sebagai balasan menderhaka raja.

Maka pulanglah si pengail itu dalam keadaan hampa. Dia menceritakan peristiwa malang itu kepada isteri dan anak-anaknya. Mereka sekeluarga terpaksa berlapar pada malam itu.

Berbalik kepada cerita sang raja yang membawa balik ikan istimewa itu ke istana. Lalu sang raja menyuruh tukang masak istana menyediakan masakan istimewa daripada ikan tersebut. Maka diperlakukanlah tukang masak itu seperti yang diperintahkan rajanya.

Setibanya waktu santapan malam, raja dan ahli keluarga dirajanya berkumpul dan makan bersama-sama. Ikan istimewa itu siap terhidang sebagai masakan yang paling disukai raja. baru sahaja raja itu mencubit ikan tersebut, jarinya tercucuk dek tulang ikan tersebut. Cepat-cepat raja itu menghisap jarinya yang sakit itu.

Kemudian dicubanya mencubit untuk kali kedua, sekali lagi dia tercucuk oleh tulang ikan tersebut. Cucukan kali keduanya sangat berbisa. Jari raja menjadi sakit seperti disengat binatang berbisa, sehingga dia hilang selera makan malam itu.

Masa terus berlalu. Malam sudah mahu menjengah pagi. Kesakitan pada jari raja itu sudah melarat hingga ke tangannya. Semalaman dia tidak dapat tidur keranan menahan sakit. Akibat tidak tahan dengan kesakitan yang sudah merebak, raja itu menitahkan tabib-tabib diraja untuk mengubatinya. Malangnya semua tabib tersebut gagal mengenalpasti puncanya, kerana ikan tersebut bukanlah ikan yang beracun. Tiada dalam ilmu tabib-tabib itu cara untuk menyembuhkan penyakit raja yang tidak diketahui puncanya.

Raja itu tidak berputus asa. Dia menitahkan sesiapa yang dapat menyembuhkan penyakit anehnya itu, maka dia akan mengganjarinya dengan sesuatu. Maka berduyunlah tabib-tabib dalam negeri mencuba nasib. Namun tiada sesiapa pun mampu menyembuhkannya, sehingga kesakitan itu sudah merebak hingga ke pergelangan tangan.

Raja semakin cemas dan tidak senang duduk. Dia terseksa kesakitan. Tabib demi tabib berusaha mengubatinya, namun semuanya gagal. Sehinggalah penyakit itu sudah hampir ke paras sikunya, seorang daripada rakyatnya membawa seorang ulama yang dikatakan mampu merawatnya. Raja itu gembira mendengar perkhabaran itu dan berjanji akan memberi ganjaran yang lumayan kepada ulama itu sekiranya berjaya menyembuhkan penyakitnya.

Malangnya, ulama itu memberitahu raja itu bahawa, penderitaan raja itu bukanlah penyakit biasa yang dapat disembuhkan. Raja harus memotong tangannya agar penyakit itu tidak merebak menjadi lebih parah.

Mendengar penjelasan ulama itu, raja bersetuju untuk tangannya dipotong. Maka terpotonglah tangan raja itu dengan selamatnya.

Kemudian raja itu bertanya tentang penyakitnya itu kepada ulama tersebut.

"Dari manaka tuanku mendapatkan ikan tersebut" tanya ulama itu kepada Raja.
"dari seorang pengail ikan yang miskin" Raja itu menceritakan cara dia mendapatkan ikan tersebut.

"Kalau begitu, panggillah pengail ikan itu ke sini sekarang juga" ulama itu memberitahu raja.

Lalu raja menitahkan wakilnya memanggil pengail itu ke istana.

Apabila pengail itu masuk mengadap raja, pengail itu sedikit terkejut melihat tangan raja sudah terpotong.

"SubhanaLLAH" spontan bibirnya bertasbih kepada ALLAH.

"wahai pengail yang mulia, apakah yang telah engkau lakukan sehingga Rajamu dipotong tangannya?" ulama itu bertanya kepada pengail.

Pengail itu terdiam seketika dan kemudian bersuara.

" Aku tidak berbuat apa-apa kepada tuanku. Setelah ikan itu dirampas oleh tuanku, aku pulang ke rumah dalam keadaan hampa. Aku berduka-cita dengan apa yang berlaku. Sekiranya pencuri mencuri ikan ku, akan ku adu kepada Rajaku. tetapi apalah daya aku jika raja yang mencuri ikanku, melainkan sepajang malam aku menangis mengadu kepada Tuhanku ALLAH yang Maha mendengar pengaduan hamba-hamba-Nya yang mengadu..."

Mendengar begitu, raja itu tunduk dan menyesali perbuatannya yang menzalimi rakyatnya sendiri. Ulama itu memberitahu raja itu bahawa penyakit itu bukanlah penyakit biasa, tetapi adalah doa orang-orang yang dizalimi, yang tiada sekatan antaranya dengan ALLAH. Berwaspadalah dengan doa orang yang dizalimi.

Hadis riwayat Muaz ra., RasuluLLAH bersabda :
"...Dan takutlah engkau dari doa orang yang dizalimi, kerana doa itu tidak
ada sekatan dengan Allah Taala." (Shahih Muslim No.27)


3 comments:

Anonymous said...

tu baru rampas ikan.. kalau rampas negeri dr rakyat camne plak?

Anonymous said...

akan lah disaman oleh Karpal terhadap tuanku Sultan. Tapi tiadalah janji yang lebih tepat melainkan janji Allah bahawasanya orang-orang zalim punya tempat untuk menerima balasannya.

Bersabarlah wahai saudaraku yang cintakan agama dan kesejahteraan.

Allah, Tuhan kita sedang mengajarkan kita erti sebenar sebuah perjuangan, menghargai nikmat yang DIA kurniakan serta nilai sebuah kesabaran. DIA sedang memberikan kefahaman kepada masyarakat Malaysia, bahawa setiap peringkat dan golongan harus bangkit menentang siapa2 sahaja yg bertinda zalim; melalui peristiwa rampasan Perak ini.

Anonymous said...

huh dlm kerabat istana mmg xda ke yg pro Islam? kalo pas kata nk islam berkuasa, kna mlalui politik, jd, kena masuk sekali dlm istana. sbb ideologi rakyat mngikut rajanya. kalo raja sekular, rakyat pun majoriti akn ikut sekular.

Ũ