© The Mhakk Studio

You are being watched!

Sunday, July 12, 2009

Jangan jadi bodoh apabila masuk USM Apex

Berehat seketika dari entry politik.

Dua minggu sudah berlalu siswa-siswi baru mendaftar masuk ke USM selaku siswa-siswi tahun pertama. Belum terlambat kiranya kita ucapkan tahniah dan selamat datang kepada mereka. Mereka adalah ambilan pertama sejak USM dinobatkan sebagai universiti Apex. Mereka inilah siswa-siswi tahun pertama USM Apex.

Selamat datang. Walaupun blog ini pasti tidak dikenali mereka, tetapi ucapan selamat datang dan tahniah ini boleh disampaikan melalui senior-senior yang terbaca entry ini.

Mungkin gelaran USM Apex ini tidak begitu difahami sepenuhnya oleh siswa-siswi baru dan menganggapnya sebagai "biasa" saja. Bagi siswa-siswi lama, gelaran Apex mungkin menjadi kebanggaan kerana pengiktirafan yang begitu tinggi kepada USM, walaupun hakikat Apex itu belum difahami.

Persoalan Apex atau tidak, itu bukan soal yang perlu kita beri fokus kerana ilmu ALLAH luas. Di mana sahaja boleh kita ambil jika kena caranya. Terpilihnya anda melangkah ke USM Apex ini adalah anugerah ALLAH kepada anda semua. Barangsiapa yang bersyukur, maka ALLAH akan tambah lagi anugerah-anugerah yang kita sendiri tidak jangka. Tapi awas, jika anda kufur kepada anugerah yang ALLAH kurniakan ini, kufur dengan erti kata membantah setiap perintah-Nya, berawaslah! Azab ALLAH sangat dahsyat sifatnya.

Sememangnya anda seorang yang pandai dan hebat, lantaran itu anda ditempatkan oleh ALLAH di USM Apex ini. Bukan mudah, hanya orang-orang pandai sahaja diterima masuk universiti, malah khabarnya hendak masuk USM Apex ini ada peperiksaan MunSYi. Anda berjaya diterima masuk, dan telah berjaya mendaftar, serta telah 2 minggu memulakan pengajian. Tahniah.

Namun sepandai-pandai anda, belum tentu anda seorang yang cerdik dan bijak. Belum tentu tahap kepandaian anda dalam bidang akademik, sukan dan pelbagai aktiviti menjadikan anda bijak. Anda tidak diiktiraf cerdik dan bijak sekiranya kepandaian anda membuatkan anda menjadi sombong dan degil terhadap ALLAH, Tuhan yang menempatkan anda di USM Apex ini. Walau sepandai mana pun anda, dengan keputusan peperiksaan SPM 21A, Matrikulasi 4.0, dapat pula masuk USM Apex, tidak cerdiklah anda sekiranya anda memilih penghujung hidup anda di azab oleh ALLAH dalam Neraka.

Tidak cerdik bererti bodoh. Maka orang-orang yang membantah perintah ALLAH, dia adalah orang yang bodoh, sekalipun dia pandai. Sekalipun dia adalah siswa-siswi Usm Apex. Sekalipun dia adalah pensyarah USM Apex. Pandai tetapi bodoh.

Bodoh dalam bahasa Arab bermaksud jahil. Apakah perkataan "jahil" itu lebih mulia daripada perkataan "bodoh"? Jahiliyyah, berasal dari perkataan jahala, yajhalu, jahil selalunya digunakan kepada masyarakat Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad S.A.W. Sebenarnya konsep jahiliyyah ini akan berterusan sehingga hari kiamat. Pengertian jahiliyyan bukan sekadar memberi maksud sesuatu bangsa itu tidak bertamadun, bahkan jahiliyyah itu bersangkutan dengan ideologi pemikiran manusia yang sesat dan lari dari panduan ALLAH.

Lihatlah Araba jahiliyyah. Mereka bukan tidak pandai. Orang-orang Saba' misalnya, mempunyai teknologi pembinaan Empangan Maarib. Kabilah-kabilah Arab, bijak berniaga dan berdagang. Mereka punya jutawan, sasterawan, pakar astronomi, panglima-panglima perang dan sebagainya. Mereka ini hebat dan pandai, tetapi ALLAH tidak mengiktiraf mereka. Mereka digelar jahil. Mereka diberi gelaran "bodoh" dek kerana ideologi, pemikiran dan fahaman mereka jauh dari panduan-Nya.

Maka apakah anda siswa-siswi Apex tidak terlepas dari dianggap bodoh oleh ALLAH sekiranya anda menjauhi setiap perintah ALLAH dan mendekati setiap larangan-Nya? Menjadi lumrah, bahawasanya orang-orang bodoh akan saling bersama-sama dengan orang-orang bodoh juga. Tidak akan selamanya bodoh bagi orang-orang yang bersama-sama dengan orang-orang cerdik. Marilah bersama-sama orang-orang cerdik, yakni orang-orang yang baik dan sering melaksanakan perintah ALLAH dan meninggalkan larangan-Nya.

Sebagai panduan kepada diriku dan anda semua sahabat-sahabat, antara ciri-ciri orang-orang yang bodoh kerana sengaja memilih neraka di akhirat kelak ialah:

1) Golongan yang tidak menunaikan solat Fardhu 5 waktu
2) Golongan yang kadang-kadang solat, kadang-kadang tidak
3) Golongan yang suka dan tidak malu-malu mendedahkan aurat kepada khalayak
4) Golongan yang suka bercouple tanpa ikatan nikah yang sah
5) Golongan yang suka pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan
6) Golongan yang ada kesedaran Islami tetapi cuba mengelak untuk menjadi baik
7) Golongan yang redha dengan semua jenis pelanggaran perintah ALLAH

Semua ciri di atas adalah gambaran tentang beberapa golongan bodoh yang terdapat di USM Apex. Mereka pandai, tetapi di sisi Islam, mereka ini bodoh. Jahil. Maka jauhilah mereka. Jika anda punya kekuatan, selamatkanlah mereka daripada terus menjadi bodoh. Kasihan mereka.

Sebagai cara menjaga diri anda daripada terjebak dalam ciri-ciri orang bodoh, berikut adalah saranan yang boleh diikuti:

1) Selalulah ke masjid/Pusat Islam untuk solat fardhu secara berjamaah
2) Selalulah bergaul dengan orang-orang yang baik dan cerdik pada pandangan Islam
3) Selalulah ikuti majlis-majlis ilmu yang dianjurkan di Pusat Islam
4) Sertailah usrah-usrah yang dianjurkan bagi mengukuhkan ukhuwwah sesama Islam
5) Hindari sifat malas dalam perkara kebaikan
6) Bangunlah dihujung-hujung malam berqiamullayl dan berdoa supaya kita semua dihindari daripada sifat-sifat kebodohan yang merugikan kita.

Akhir sekali, sekali lagi tahniah kerana berjaya mengaji di USM Apex ini. Tahniah kerana anda seorang yang pandai, dan teruslah berusaha menjadi orang-orang yang cerdik dan bijak seiring dengan kepandaian anda.

WaLLAHu a'lam.

=========================
Kata-kata pemimpin:

"Saya telah mengirim surat kepada Perdana Menteri yang mengandungi soalan, 'kenapa Umno tolak Islam? "Islam itu bukan PAS yang buat, tetapi kenapa Umno tetap mahu menolak Islam. Sebab itu saya berkempen dan berdakwah hingga ke hari ini untuk Islam,"

-TG Nik Abdul Aziz Nik Mat

No comments:

Ũ