© The Mhakk Studio

You are being watched!

Monday, May 26, 2008

Gelang Bermagnet...apa dah jadi?

Gelang Bermagnet menjadi popular sehingga 'terpaksa' pula Jabatan Mufti menggeluarkan fatwa mengenainya. Empat syarat yang digariskan oleh jabatan Mufti Perak untuk memakai gelang bermagnet itu. Syarat-syarat tersebut:
-
1) pemakainya tidak beriktikad (yakin di dalam hati) bahawa gelang itu memberi kesan kesembuhan kerana yang memberi kesan itu hanyalah Allah,
-
2)pemakainya tidak berniat memakainya kerana menyerupai wanita dan bukan untuk bermegah-megah.
-
3)gelang mesti terbukti mempunyai kesan saintifik dan secara klinikal mempunyai pengaruh terhadap pengaliran darah di dalam tubuh seperti didakwa oleh pakar yang berwibawa.
-
4)jika pemakaian gelang itu menimbulkan fitnah terhadap maruah si pemakai, lebih baik lelaki itu memakai baju berlengan panjang yang dapat menyembunyikan gelang berkenaan.
Sungguhpun begitu, saya mempunyai pendapat sendiri mengenai pemakaian gelang tersebut terutamanya bagi lelaki.
-
Pada masa lalu, apabila kita lihat sahaja orang lelaki berpakaian gelang logam, atau apa saja gelang, walaupun tidak berunsur emas, kita sudah pun menganggap si pemakai tersebut seolah-olah 'samseng', berakhlak kurang baik, dan macam-macam tanggapan negatif terhadapnya. Sekalipun tidak terkeluar melalui perkataan, sekurang-kurangnya cetusan hati mengatakan begitu, jika kita terdidik dengan akhlak Islamiyyah dan moral yang baik.
-
Saya tidak menyangkal fatwa mufti dari sudut hukumnya, namun saya rasa kurang selesa dengan fatwa tersebut. Perlu saya beritahu, ini adalah cetusan peribadi saya, bukan untuk pertikai fatwa. Bagi saya, saya bimbang fatwa hari ini mungkin hanya sesuai untuk masa ini, tetapi kemungkinan akan menyukarkan keadaan di masa depan. Seperti juga fatwa rokok, setahu saya, dahulunya merokok dikatakan makruh. Apabila fatwa hari ini mengatakan merokok adalah haram, maka ramai yang tidak berpuas hati dan terus merokok dengan alasan ulama dulu kata merokok adalah makruh sahaja (?).
-
Bagaimana pula dengan gelang bermagnet? Hari ini jabatan mufti 'membenarkan' mereka penggemar gelang (lelaki) memakai gelang dengan cara memenuhi setiap syarat yang digariskan. Namun berapa ramaikah yang akan memakai 'mengikut' semua syarat tersebut? Bahkah golongan lelaki yang sebelum ini suka memakai gelang ( yang kita pandang sebagai samseng) akan dapat meluaskan pengaruh budaya bergelang ini dengan alasan ianya adalah untuk kesihatan.
-
Akan lebih teruk lagi, apabila keadaan sudah menjadi kebiasaan, kita tidak akan lagi terkejut jika para imam, ustaz, bilal dan seumpamanya juga bergelang - alasannya untuk kesihatan. Tiada lagi isu 'menimbulkan fitnah' seperti yang tersebut dalam syarat ke-empat.
-
Moral kepada budaya bergelang tangan ini akan segar. Para penggemarnya agak puas senang hati kerana mereka 'tidak lagi dipandang serong', kerana majoriti orang sudah ramai bergelang (suatu hari nanti). Akan wujud juga golongan lelaki bergelang biasa secara terbuka, kerana dia pasti orang akan menganggapnya memakai gelang magnet untuk kesihatan. Maka akan wujudlah satu fenomena baru, kaum Muslimin bergelang.
-
Dengan 'kejayaan' golongan kuffar yang saya anggap pencetus kepada budaya ini menempel unsur rawatan kesihatan pada gelang tersebut, tidak mustahil sedikit masa lagi akan wujud pula rantai magnet atau rantai untuk kesihatan. Ketika itu akan keluar pula fatwa yang hampir sama, dan seterusnya akan tumbuh lah budaya lelaki berantai.... untuk kesihatan. Kemudian akan timbul pula subang dan anting-anting untuk kesihatan. Sekali lagi umat Islam ditipu dan terperdaya dengan budaya halus yang dimomokkan oleh kuffar.
-
Carilah kaedah penjagaan kesihatan yang lain. masih banyak lagi kaedah dan mekanisme yang lebih baik dan tidak merosakkan identiti umat Islam. Perubatan dan penjagaan kesihatan cara Islam pun masih belum habis diterokai. Kita seboleh-bolehnya cubalah hindarkan diri daripada meniru dan mengguna-pakai budaya Yahudi dan Nasara dan Kuffar dalam setiap sudut kehidpan kita.
-
Wallahua'lam
-
P/S: tulisan ini bukan untuk mempertikai hukum dan fatwa mufti, tetapi dibincang dari sudut moral sahaja. Jika ada kesilapan, bantulah saya.
-
-

Wednesday, May 21, 2008

Keluar Umno: 'Double edge sword' Dr M?

Dr M telah keluar parti buatannya. Apakah ini tanda beliau sememangnya tidak berpuas hati dengan Pak Lah, ataupun mempunyai agenda lain untuk menghalang kemaraan DS Anwar menjadi PM ke-6.
-
Sesungguhnya, Dr M sudah diketahui licik dan ligat dalam merancang sesuatu. Orang yang dapat membaca fikiran dan strateginya antaranya adalah Almarhum Ust Fadzil Noor dan DS Anwar. Ust Fadzil Noor dapat membaca strategi politik dan segala kelicikannya semasa pemerintahan bekas PM itu serta dapat juga membaca kesan dan akibat tindak-tanduknya. Namun Ust Fadzil tidak lama bersama kita untuk menafsir tindakan Dr M itu.
-
DS Anwar juga berupaya membaca kelicikan Dr M. Namun, pada pusingan pertama, strategi DS Anwar terlebih dahulu dibaca Dr M, lantas si bekas PM itu menggunakan kuasanya untuk menyingkir DS Anwar dan seboleh-bolehnya mahu membenamkan DS Anwar dari pesada politik negara.
-
Kini, DS Anwar kembali semula beraksi ketika Dr M telah ketiadaan kuasa. Sememangnya Dr M dapat meramalkan penguasaan semula DS Anwar dalam pemerintahan negara dan beliau yang sudah tiada kuasa itu mesti menghalang DS Anwar seberapa boleh. Tetapi bagaimana? Kita dapat meramal Dr M berdasarkan tindakannya. Namun apa yang ada dalam fikiran tuanya itu, hanya Allah sahaja yang tahu. Keluarnya beliau dari Umno dicurigai mempunyai agenda menghalang kemaraan DS Anwar.
-
Kita tunggu dan lihat pergolakan mereka disamping kerja Pakatan Rakyat melaksanakan manifesto pilihanraya serta menjaga kebajikan rakyat diteruskan.

Friday, May 9, 2008

Melayu Umno marah - PM. UMNO, lima ahli Parlimen, NGO buat laporan polis terhadap Karpal

Berita di bawah ini dipetik dari Utusan Online dan sengaja diubahsuai ( ubahsuai hanya pada perkataan yang dibold sahaja. Kandungan lain adalah sama)
-
-

KUALA LUMPUR 8 Mei –Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengarahkan UMNO membuat laporan polis terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh ekoran kenyataannya yang mempersoal bidang kuasa Sultan Perak.

Laporan itu telah dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini.

Presiden UMNO ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia Kelima (MIHAS) di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) di sini menegaskan, laporan polis dibuat kerana tindakan Karpal mempunyai kecenderungan menghasut dan menimbulkan kemarahan orang Umno.

Menurut beliau kenyataan Pengerusi DAP itu dalam isu berkenaan antara lain boleh dilihat sebagai menggambarkan bahawa sultan tidak tahu tentang tugas dan bidang kuasa mereka.
Katanya, justeru kenyataan itu jelas adalah satu bentuk hasutan dan dengan adanya laporan polis maka perkara itu akan dibawa kepada Jabatan Peguam Negara dan mahkamah untuk tindakan seterusnya.


“Setiausaha Agung UMNO diminta membuat laporan polis supaya kes ini dapat dibawa kepada Jabatan Peguam Negara dan mahkamah,” katanya.

Karpal sebelum ini mempertikaikan tindakan Sultan Azlan Shah menitahkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menarik balik arahan penukaran Pengarah JAIP, Datuk Jamry Sury yang disifatkan sebagai campur tangan istana dalam pentadbiran negeri.

Karpal sehingga hari ini terus mempertahankan kenyataannya itu walaupun dikritik pelbagai pihak termasuk desakan supaya beliau meminta maaf.

Tidak cukup mengenai isu tersebut, Karpal juga dilaporkan sebagai turut mempersoalkan siapa yang menjadi penulis titah ucapan Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan Sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ini mendorong beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) membidas tindakan pemimpin DAP itu yang disifatkan menghina institusi raja.

Tambah Perdana Menteri, kenyataan Karpal yang berunsur hasutan itu secara nyata telah menimbulkan kemarahan orang Umno.

“Malah saya telah diberitahu, bukan sahaja orang Umno tetapi juga rakyat BN lain, yang menghormati Perlembagaan berasa kesal dan amat marah dengan apa yang berlaku,” jelasnya.
Tengku Adnan ketika ditemui selepas membuat laporan itu berkata, kenyataan yang dibuat oleh Karpal itu wajar disiasat dan diambil tindakan mengikut Seksyen 3(1)(a) atau (f) Akta Hasutan 1948 kerana dibuat di kawasan lobi Parlimen.


“Beliau turut mempersoalkan secara terbuka tentang budi bicara raja-raja Melayu di Terengganu, Perlis dan Perak sambil membuat ulasan keras bahawa raja tertakluk kepada undang-undang seperti rakyat biasa ekoran pindaan Perlembagaan tahun 1993.

“Ulasan tersebut seolah-olah memberi amaran kepada Sultan Perak dan raja-raja Melayu yang lain supaya tidak campur tangan dalam pentadbiran negeri dan ini adalah satu penghinaan kepada raja-raja Melayu,” katanya.

Tambah beliau, Karpal masih perlu dikenakan tindakan walaupun Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury yang sebelum ini ditukar serta-merta telah dikembalikan ke jawatan asalnya.

“Soalnya sekarang, kenapa beliau membuat kenyataan seperti itu dari mula, adakah untuk menyakitkan hati orang Umno,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan Karpal itu dibimbangi mampu mencetuskan sentimen perkauman di kalangan rakyat negara ini.

Turut membuat laporan polis terhadap Karpal hari ini ialah Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) dan Badan Bertindak Perpaduan Melayu (UMNO).

Laporan BNBBC dibuat oleh Penasihat Undang-Undangnya, Razali Ibrahim di Balai Polis Brickfields dengan diiringi empat lagi ahli Parlimen iaitu Dr. Mohd. Puad Zarkashi (Batu Pahat), Datuk Mohamad Aziz (Sri Gading), Datuk Ismail Kassim (Arau) dan Ahmad Maslan (Pontian).

Laporan oleh BBPM pula dibuat oleh Pengerusinya, Osman Bakar di balai polis yang sama.
Sementara itu Perdana Menteri ketika diminta mengulas mengenai pendakwaan terhadap editor laman web, Raja Petra Raja Kamarudin di bawah Akta Hasutan, berkata, sesiapa pun tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.


‘‘Kalau dah melanggar undang-undang, tentu akan ada tindakan terhadapnya .

‘‘Kalau bersalah dia kena hadapilah, negara kita ada undang-undang dan kenalah hormati,’’ tegasnya.
-
-
p/s: Saat inilah kita akan melihat betapa cekapnya pasukan polis negara kita bertindak, apabila Umno yang membuat laporan....
-
-

Thursday, May 8, 2008

"Kerajaan perlu pandang serius ancaman Anwar" Dr M

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) memandang serius ancaman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan persekutuan dalam masa terdekat kerana ia telah menyakinkan lebih 30 anggota Parlimen BN untuk menyertai barisan pembangkang atau Pakatan Rakyat.

BN mempunyai 140 anggota Parlimen di Dewan Rakyat dan Pakatan Rakyat 82 daripada sejumlah 222 anggota Parlimen.

"Saya fikir ia serba berkemungkinan dan anda tidak boleh pandang ringan. Sekarang ini, ahli politik terbabit lebih berminat berapa banyak yang mereka dapat, mereka sebenarnya tidak berminat untuk berkhidmat kepada negara.

"Orang yang merasakan yang diri mereka tidak dapat apa yang mereka mahukan pada ketika ini dan mereka ditawarkan kedudukan, timbul keinginan untuk lompat parti lebih-lebih lagi bila tidak wujud kesetiaan kepada parti.

"Naluri saya kuat mengatakan (mengenainya), ia boleh benar-benar berlaku. Pada mulanya saya mahu menolak kemungkinan itu tetapi setelah mengkaji keadaan itu, saya rasa wujud ancaman besar. Sudah tentu, jika kerajaan sekarang hilang kuasa, ia tidak mempunyai kedudukan untuk mengagihkan pelbagai faedah kerana pada masa itu pengaruhnya sudah hilang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama mengenai "Kedaulatan Negara" pada Siri Syarahan Perdana Ke-7 di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini.

Ditanya sama ada itu merupakan perkara yang paling dibimbanginya, beliau menjawab jika lompat parti itu berlaku, dengan itu Malaysia akan mengalami `banyak konflik".

"Kita lihat sahaja respons orang Melayu, misalnya. Mereka telah menyenaraikan pelbagai desakan untuk itu dan ini sebagai respons kepada desakan yang dibuat pihak lain. Mereka fikir penyelesaiannya ialah dengan mengenepikan konsep demokrasi, bahawa mereka patut kembali kepada corak kerajaan feudal.

"Sudah wujud cakap-cakap di kalangan mereka...saya tidak tahu ia seserius mana tetapi hakikat yang ia disuarakan, amat merisaukan," kata Dr Mahathir.

Ditanya sama ada terdapat kemungkinan wujud pemerintahan anarki di negara ini, katanya: "Mungkin, tetapi bukan anarki unggul tetapi pastinya wujud ketidakstabilan kerana kerajaan yang memerintah tidak akan aktif menumpukan kepada memajukan negara."

Kepada soalan lain mengenai sama ada Pembangkang akan berjaya mendapatkan 30 anggota Parlimen berkenaan, bekas Perdana Menteri merujuk kepada Sabah dan Sarawak.

"Jika kita ambil Umno, MCA dan MIC, akar umbi mereka di sini (di semenanjung) dan bukan di Sabah dan Sarawak. Walaupun ada Umno di Sabah, ia dipindahkan dari sini ke sana. Mereka sebelum ini merupakan parti-parti kecil. Jadi dapatkah kita pastikan yang mereka akan kekal setia kepada Umno? Saya fikir tidak," katanya.

Beliau berkata malahan di Semenanjung, mungkin akan ada anggota Parlimen yang akan lompat parti kerana mereka tahu yang mereka akan berada dalam kerajaan baru pimpinan pembangkang.

Dr Mahathir berkata tindakan lompat parti itu tidak akan menimbulkan masalah jika BN telah menang dengan majoriti dua pertiga di Parlimen dan malahan jikapun ada anggota Parlimen yang lompat parti, mereka tidak akan dapat banyak faedah kerana anggota Parlimen itu masih dengan kelompok pembangkang.

"Tetapi sekarang jika mereka lompat parti, mereka akan menyertai kerajaan lain, mereka tidak akan rugi, malahan mereka boleh buat duit," kata bekas pemimpin berusia 83 tahun itu.

Beliau merasakan yang Pakatan Rakyat merupakan satu kuasa yang perlu diberikan perhatian, bukan kerana ia kuat atau rakyat sukakan Pembangkang tetapi kerana "perasaan kecewa".
Dipetik dari KLpos.Com
-

Friday, May 2, 2008

Siaran Langsung Parlimen, perlukah diteruskan?

'Kekecohan' dalam sesi pertama Parlimen menjadi alasan untuk Datuk Shabery menghentikan siaran langsung persidangan itu. Beliau kononnya malu, kecewa dan sedih dengan 'penyalahgunaan' siaran langsung perbahasan tersebut. Katanya ahli-ahli parlimen memberi contoh yang tidak baik kepada rakyat dengan menunjukkan perlakuan yang boleh merendahkan martabat parlimen.
-
Namun beliau tidak pernah malu, sedih dan kecewa ketika siaran-siaran langsung rancangan hiburan melampau batas yang impaknya sangat buruk kepada akhlak dan moral masyarakat terutama remaja. Kenapa beliau tidak mahu mengkaji atau menghentikan terus siaran-siaran langsung tersebut seperti konsert-konsert rock, anugerah muzik yang entah apa-apa (bukan anugerah yang ditonjolkan, tapi artis-artis wanita yang seksi lebih tertonjol) dan sebagainya. Budaya-budaya begini lebih teruk kesannya kepada remaja, berbanding 'kekecohan' di parlimen.
-
Atau apakah Datuk Shabery takut MP Pakatan Rakyat mendedahkan satu persatu kebobrokan MP BN, lalu isu kekecohan yang sedikit itu cuba diisukan agar menjadi alasan pemberhentian siaran langsung. Ayuh Datuk Shabery, jangan kebudak-budakan. Rakyat tidak mudah diperbodoh saat ini. Tindakanmu akan dilihat sebagai tidak matang! Teruskan siaran langsung. Lebih banyak kebaikan daripada keburukannya.

Dr M kini blogger...

TUN Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim kerana ia memerlukan sokongan pembangkang.Mantan perdana menteri itu berkata, penubuhan suruhanjaya itu memerlukan pindaan perlembagaan sedangkan kerajaan BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga dalam parlimen.

Dalam tulisan sulung di blognya "Dr Mahathir Mohamad" (http://www.chedet.com), beliau berkata pindaan ini hanya boleh dilakukan dengan sokongan sekurang-kurangnya sembilan undi ahli parlimen pembangkang.

"Apakah kerajaan bercadang bekerjasama dengan pembangkang berkenaan isu ini, dan menunjukkan kelemahan mereka (kerajaan) sendiri?

"Adakah ia akan memulakan quid pro quo (sesuatu untuk sesuatu), tawar-menawar dengan pembangkang? Tentu menarik melihat bagaimana PM bercadang mengendalikan hal ini."
Beliau juga bertanya kedudukan dan peranan perdana menteri dalam suruhanjaya.
"Tentu menarik jika kita dapat mengetahui perincian lengkap prosedur (suruhanjaya), terutamanya peranan perdana menteri," katanya.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Abdullah pada majlis jamuan makan malam anjuran Majlis Peguam 17 April lalu.

Ia ditubuhkan untuk memulihkan kewibawaan sistem kehakiman yang dianggap tercemar sejak krisis 1998. Di majlis yang sama, perdana menteri juga mengumumkan bayaran ex-gratia kepada lima bekas hakim kanan yang terbabit dalam krisis itu, termasuk bekas ketua hakim negara Tun Mohd Salleh Abbas.

Dr Mahathir membangkitkan persoalan-persoalan itu berikutan tiada keterangan lanjut dibuat selepas pengumuman dua minggu lalu.

"Adakah suruhanjaya ini akan melantik sendiri hakim-hakim atau adakah ia hanya mencadangkan nama-nama untuk persetujuan PM, atau adakah suruhanjaya itu mencadangkan (nama-nama) terus kepada (Yang di-Pertuan) Agong supaya baginda dapat menggunakan kuasa istimewanya (melantik hakim)?" katanya.

"Atau perlukah Agong menunggu perkenan Majlis Raja-raja Melayu? Atau Majlis Raja-raja hanya memberi nasihat seperti amalan sekarang?

"Atau Raja-raja berhak menolak calon (hakim), dan meminta calon-calon baru atau menamakan calon baru yang menjadi pilihan mereka?"

Tambahnya, pelantikan hakim telah termaktub dalam perlembagaan dan sebarang perubahan harus melibatkan pindaan dokumen penting tersebut.
sumber: KLpos.Com
Ũ