© The Mhakk Studio

  • "Menanam anggur ... " - Selepas habis kertas peperiksaan terakhir beberapa bulan lalu, seorang sahabat mendatangi aku. "AlhamduliLLAh..dah habis exam..." "Haa... dah habis pun. Se...
    1 week ago

Monday, July 13, 2009

Rentetan peristiwa Israk dan Mikraj - setakat mana kita tahu dan hayati?

27 Rejab lagi...

Umat Islam yang sedar, pasti akan teringatkan peristiwa bersejarah yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad RasuluLLAH S.A.W, yang merupakan mukjizat besar selepas al-Quran. Membaca dan memahami peristiwa ini hendaklah berserta dengan iman dan keyakinan yang teguh bahawa peristiwa ini benar-benar berlaku ke atas RasuluLLAH dengan izin ALLAH S.W.T.

Selepas mukjizat al-Quran, Israk dan Mikraj mempunyai roh tersendiri yang mampu memberi kekuatan kepada orang-orang beriman jika mereka menguasai dan menghayatinya. Israk dan Mikraj suatu ketika dahulu memberi kekuatan dan inspirasi kepada RasuluLLAH untuk terus berdakwah dan berjuang menegakkan kalimah ALLAH dikala baginda mengalami dua persitiwa sedih iaitu kewafatan Isteri tercinta dan bapa saudara yang banyak membela baginda daripada ancaman kafir Quraisy. Israk dan Mikraj memberi suatu lonjakan kekentalan jiwa yang membantu nabi menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi dalam perjuangan. Maka kita pula selaku penyambung tugas dakwah dan perjuangan baginda, wajar menghayatinya sebagai pedoman dan penyuntik semangat dalam gerakerja kita.

Sejauh manakah kita fahami dan hayati mukjizat besar ini dalam kehidupan kita? Ataupun setakat manakah pengetahuan kita tentang Israk dan Mikraj? Apakah rentetan-rentetan peristiwa yang terdapat dalam perjalanan suci RasuluLLAH itu sehingga beberapa pusat penyeledikan di Barat mengagumi peristiwa ini?

Mari kita refresh sama-sama....

Rentetan Peristiwa Israk Mikraj


1. Sebelum Israk dan Mikraj

RasuluLLAH S.A.W. mengalami pembedahan dada/perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada RasuluLLAH S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu RasuluLLAH S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), RasuluLLAH telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana RasuluLLAH akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa a. s. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A. S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda RasuluLLAH S. A. W. menghadapi gangguan jin 'Ifrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. RasuluLLAH S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "FisabiliLLAH" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

- Tempat yang berbau harum. RasuluLLAH S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyithah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu RasuluLLAH: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

-Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.


- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

- Seorang perempuan bongkok tiga menahan RasuluLLAH untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, RasuluLLAH turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

RasuluLLAH S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

. Langit Pertama: RasuluLLAH S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

i. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

ii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S. iii. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.

iv. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

v. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vi. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada RasuluLLAH S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan ALLAH pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitulah LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH". Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. RasuluLLAH dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

vii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. RasuluLLAH S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda RasuluLLAH S. A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

viii. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. RasuluLLAH S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

ix. Tangga Kesepuluh: Baginda RasuluLLAH sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan ALLAH S.W.T dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara ALLAH dan Muhammad, Rasul-Nya:

ALLAH S.W.T : Ya Muhammad. RasuluLLAH : Labbaika. ALLAH S.W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. RasuluLLAH : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat, RasuluLLAH S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh RasuluLLAH S. A. W. merayu kepada ALLAH S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya ALLAH perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

5. Selepas Mikraj

RasuluLLAH S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan ALLAH Subhanahu Wataala. ALLAH Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman ALLAH S. W. T. :

"Maha Suci ALLAH yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

(Surah Al-Israa': Ayat 1).

WaLLAu a'lam..

Rujukan:
1) Israk Mikraj: Falsafah dan latar belakangnya - Syeikh Najmuddin Al-Ghaithiy
2) Jam'ul Fawa-id
3) Ustaz Azhar Idrus - http://www.ustazazhar.com

Sunday, July 12, 2009

Jangan jadi bodoh apabila masuk USM Apex

Berehat seketika dari entry politik.

Dua minggu sudah berlalu siswa-siswi baru mendaftar masuk ke USM selaku siswa-siswi tahun pertama. Belum terlambat kiranya kita ucapkan tahniah dan selamat datang kepada mereka. Mereka adalah ambilan pertama sejak USM dinobatkan sebagai universiti Apex. Mereka inilah siswa-siswi tahun pertama USM Apex.

Selamat datang. Walaupun blog ini pasti tidak dikenali mereka, tetapi ucapan selamat datang dan tahniah ini boleh disampaikan melalui senior-senior yang terbaca entry ini.

Mungkin gelaran USM Apex ini tidak begitu difahami sepenuhnya oleh siswa-siswi baru dan menganggapnya sebagai "biasa" saja. Bagi siswa-siswi lama, gelaran Apex mungkin menjadi kebanggaan kerana pengiktirafan yang begitu tinggi kepada USM, walaupun hakikat Apex itu belum difahami.

Persoalan Apex atau tidak, itu bukan soal yang perlu kita beri fokus kerana ilmu ALLAH luas. Di mana sahaja boleh kita ambil jika kena caranya. Terpilihnya anda melangkah ke USM Apex ini adalah anugerah ALLAH kepada anda semua. Barangsiapa yang bersyukur, maka ALLAH akan tambah lagi anugerah-anugerah yang kita sendiri tidak jangka. Tapi awas, jika anda kufur kepada anugerah yang ALLAH kurniakan ini, kufur dengan erti kata membantah setiap perintah-Nya, berawaslah! Azab ALLAH sangat dahsyat sifatnya.

Sememangnya anda seorang yang pandai dan hebat, lantaran itu anda ditempatkan oleh ALLAH di USM Apex ini. Bukan mudah, hanya orang-orang pandai sahaja diterima masuk universiti, malah khabarnya hendak masuk USM Apex ini ada peperiksaan MunSYi. Anda berjaya diterima masuk, dan telah berjaya mendaftar, serta telah 2 minggu memulakan pengajian. Tahniah.

Namun sepandai-pandai anda, belum tentu anda seorang yang cerdik dan bijak. Belum tentu tahap kepandaian anda dalam bidang akademik, sukan dan pelbagai aktiviti menjadikan anda bijak. Anda tidak diiktiraf cerdik dan bijak sekiranya kepandaian anda membuatkan anda menjadi sombong dan degil terhadap ALLAH, Tuhan yang menempatkan anda di USM Apex ini. Walau sepandai mana pun anda, dengan keputusan peperiksaan SPM 21A, Matrikulasi 4.0, dapat pula masuk USM Apex, tidak cerdiklah anda sekiranya anda memilih penghujung hidup anda di azab oleh ALLAH dalam Neraka.

Tidak cerdik bererti bodoh. Maka orang-orang yang membantah perintah ALLAH, dia adalah orang yang bodoh, sekalipun dia pandai. Sekalipun dia adalah siswa-siswi Usm Apex. Sekalipun dia adalah pensyarah USM Apex. Pandai tetapi bodoh.

Bodoh dalam bahasa Arab bermaksud jahil. Apakah perkataan "jahil" itu lebih mulia daripada perkataan "bodoh"? Jahiliyyah, berasal dari perkataan jahala, yajhalu, jahil selalunya digunakan kepada masyarakat Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad S.A.W. Sebenarnya konsep jahiliyyah ini akan berterusan sehingga hari kiamat. Pengertian jahiliyyan bukan sekadar memberi maksud sesuatu bangsa itu tidak bertamadun, bahkan jahiliyyah itu bersangkutan dengan ideologi pemikiran manusia yang sesat dan lari dari panduan ALLAH.

Lihatlah Araba jahiliyyah. Mereka bukan tidak pandai. Orang-orang Saba' misalnya, mempunyai teknologi pembinaan Empangan Maarib. Kabilah-kabilah Arab, bijak berniaga dan berdagang. Mereka punya jutawan, sasterawan, pakar astronomi, panglima-panglima perang dan sebagainya. Mereka ini hebat dan pandai, tetapi ALLAH tidak mengiktiraf mereka. Mereka digelar jahil. Mereka diberi gelaran "bodoh" dek kerana ideologi, pemikiran dan fahaman mereka jauh dari panduan-Nya.

Maka apakah anda siswa-siswi Apex tidak terlepas dari dianggap bodoh oleh ALLAH sekiranya anda menjauhi setiap perintah ALLAH dan mendekati setiap larangan-Nya? Menjadi lumrah, bahawasanya orang-orang bodoh akan saling bersama-sama dengan orang-orang bodoh juga. Tidak akan selamanya bodoh bagi orang-orang yang bersama-sama dengan orang-orang cerdik. Marilah bersama-sama orang-orang cerdik, yakni orang-orang yang baik dan sering melaksanakan perintah ALLAH dan meninggalkan larangan-Nya.

Sebagai panduan kepada diriku dan anda semua sahabat-sahabat, antara ciri-ciri orang-orang yang bodoh kerana sengaja memilih neraka di akhirat kelak ialah:

1) Golongan yang tidak menunaikan solat Fardhu 5 waktu
2) Golongan yang kadang-kadang solat, kadang-kadang tidak
3) Golongan yang suka dan tidak malu-malu mendedahkan aurat kepada khalayak
4) Golongan yang suka bercouple tanpa ikatan nikah yang sah
5) Golongan yang suka pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan
6) Golongan yang ada kesedaran Islami tetapi cuba mengelak untuk menjadi baik
7) Golongan yang redha dengan semua jenis pelanggaran perintah ALLAH

Semua ciri di atas adalah gambaran tentang beberapa golongan bodoh yang terdapat di USM Apex. Mereka pandai, tetapi di sisi Islam, mereka ini bodoh. Jahil. Maka jauhilah mereka. Jika anda punya kekuatan, selamatkanlah mereka daripada terus menjadi bodoh. Kasihan mereka.

Sebagai cara menjaga diri anda daripada terjebak dalam ciri-ciri orang bodoh, berikut adalah saranan yang boleh diikuti:

1) Selalulah ke masjid/Pusat Islam untuk solat fardhu secara berjamaah
2) Selalulah bergaul dengan orang-orang yang baik dan cerdik pada pandangan Islam
3) Selalulah ikuti majlis-majlis ilmu yang dianjurkan di Pusat Islam
4) Sertailah usrah-usrah yang dianjurkan bagi mengukuhkan ukhuwwah sesama Islam
5) Hindari sifat malas dalam perkara kebaikan
6) Bangunlah dihujung-hujung malam berqiamullayl dan berdoa supaya kita semua dihindari daripada sifat-sifat kebodohan yang merugikan kita.

Akhir sekali, sekali lagi tahniah kerana berjaya mengaji di USM Apex ini. Tahniah kerana anda seorang yang pandai, dan teruslah berusaha menjadi orang-orang yang cerdik dan bijak seiring dengan kepandaian anda.

WaLLAHu a'lam.

=========================
Kata-kata pemimpin:

"Saya telah mengirim surat kepada Perdana Menteri yang mengandungi soalan, 'kenapa Umno tolak Islam? "Islam itu bukan PAS yang buat, tetapi kenapa Umno tetap mahu menolak Islam. Sebab itu saya berkempen dan berdakwah hingga ke hari ini untuk Islam,"

-TG Nik Abdul Aziz Nik Mat

Saturday, July 11, 2009

"PM join Tabligh...."

PM Najib dan TPM Muhyiddin ke perhimpunan agung Tabligh. Konsep 1 Malaysia tidak melupakan Tabligh. Tahniah Dato Najib, pelopor 1 Malaysia. Tapi dari kacamata orang politik, tindakannya melawat himpunan Tabligh itu sebagai agenda politiknya untuk meraih sokongan....

Tak,mengapa... apa-apa pun, kita sangka baik. Tak elok berprasangka buruk. Tengok Dato Najib tu berbaik-baik dengan Tabligh, tak ada ke seorang dua ajak dia keluar 3-4 hari? Ajak laa... mana tau, dapat cuci hati dia... bebas dari puaka 3-4 hari...

Sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang yang setiasa bertaubat dan memohon ampun dari ALLAH. Bertaubatlah dengan taubat yang bersungguh-sungguh. ALLAH Maha Ghafur. Tiada sesuatu kesalahan yang besar yang melebihi besarnay sifat Pengampun ALLAH. Maka tatkala orang-orang yang enggan bertaubat dan mohon ampun itulah yang seolah-olah tidak mengiktiraf betapa Maha Pengampunnya ALLAH. Lantaran itu ALLAH murka kepada orang-orang yang takabur.


Sunday, July 5, 2009

Influenza DAP di Kedah

Entry membersihkan sawang-sawang di blog ini....

Dua tiga hari ni, depa (kuncu-kuncu Umno/BN) duk khenyieh saja dalam TV, duk ulas isu Parti Islam - DAP. Sudah beberapa kali negara kita dihangatkan dengan isu babi, kali ini di Kedah, isu babi lagi timbul. Dah la kes Influenza A H1N1, atau nama merdunya, selsema babi ni semakin meningkat, DAP ni masih suka mempertahankan setiap isu melibatkan babi. Siap umum keluar dari Pakatan lagi tuh. Nampaknya Influenza DAP muncul di Kedah. Negeri-negeri lain, sila pakai topeng. :)

Ada orang kata keadaan DAP di Kedah sama dengan keadaan Parti Islam di Pulau Pinang. Masing-masing dakwa dianaktiri. Bezanya, DAP di Kedah begitu mudah melatah dan terus membuat keputusan keluar dari Pakatan. Parti Islam di Pulau Pinang masih setia dengan Pakatan Rakyat di negeri itu sekali pun banyak isu yang tidak sehaluan dengan mereka. Mereka memahami konsep berjamaah, mematuhi setiap keputusan yang dipersetujui diperingkat pusat. DAP Pusat belum membuat apa-apa keputusan. Setakat ini sekadar mengatakan DAP Kedah ada alasan kukuh untuk keluar Pakatan.

Sepatutnya DAP Kedah bersabar dulu dan berbincang cara elok dengan Kerajaan Negeri. Ingat, Kedah bukannya di bawah Umno/BN. Kerajaan negeri sekarang sama-sama Pakatan rakyat. Boleh di bawa berbincang dan berunding. Cuba fahami penjelasan yang dikemukakan daripada bersikap selfish yang berbau perkauman. DAP ni bukannya tak tahu, kemelut yang mereka cetuskan di negeri ini akan menjadi isu durian runtuh kepada media arus BN, tambahan pula sebagai penyuntik semangat jentera BN di Manek Urai.

Media dah semakin galak memaparkan kemelut di setiap negeri kerajaan pakatan rakyat. Ingat, mungkin ada ramai yang akan terpengaruh dengan propaganda ini. Walaupun di negeri BN juga wujud kemelut, media diam seolah-olah negeri-negeri yang dijajah BN itu stabil dan harmoni. Tengok saja kerajaan haram BN Perak. Nampak macam stabil, MB haram-nya merasmikan itu dan ini, bertepuk gembira dalam majlis-majlis macam tak ada apa-apa. Putar belit media macam ni akan beri impak. BN sudah lama memerintah. Lama juga mencengkam jabatan-jabatan kerajaan, media dan sebagainya.

Pegalaman mencantas kawan dan lawan sudah sebati. Merosot populariti pada PRU12 tidak akan membuatkan mereka terus lemah. Dia akan bangkit semula walau apa cara sekalipun. Mereka tentu punya strategis specialis, pakar perang saraf, dan macam-macam lagi yang diberi elaun khas bagi memikirkan langkah untuk survival politik mereka. Setiap isu, tongkat, talian hayat, keris, perkauman, ekonomi, pembangunan, media... semuanya akan dimanipulasi. Cara baik atau tidak itu bukan halangan mereka. Etika atau tidak sudah terpadm dari kamus perjuangan BN. Yang penting PRU13, semua negeri Pakatan Rakyat akan dijajah kembali.

Pakatan rakyat mesti bekerja lebih keras untuk memutuskan setiap talian hayat yang BN cuba berpaut. Raksasa BN walaupun sudah cacat, ia tetap raksasa. Isu DAP Kedah bagai memberi suntikan stimulan kepada raksasa yang sakit itu. Isu di Selangor, di Pulau Pinang... kita sendiri nampak manipulasi media mereka. Bukan isu yang direka, tetapi dicetus oleh kalangan Pakatan Rakyat sendiri. Media hanya ambil kesempatan membesar-besarkan dan memberi gambaran buruk. Itu saja sudah cukup. Sekiranya berita-berita buruk sebegini walaupun impaknya kecil, tetapi disampaikan kepada rakyat secara constant sehingga PRU13, bayangkan kemungkinan BN akan kembali berkuasa (?)

Untuk mencapai kemenangan, bukan sahaja kita perlu bekerja keras melakukan perkara-perkara memenangi hati rakyat, bahkan pada masa yang sama tugas kita juga melemaskan Umno/BN. Sebar perkara baik, pada masa yang sama lemaskan perkara mungkar.

Wednesday, June 24, 2009

Jernihkanlah antara dua saudaramu yang bertelagah...


Lega rasanya apabila menatap gambar ni...
Macam tu lah... Kemelut yang melanda diselesaikan dengan cara penuh akhlak dan adab.

Bagaikan nak pecah akibat penangan bloggers yang pelbagai persepsi, pemikiran, akhlak, adab dan tarbiyah. Yang tidak berakhlak - menghentam semberono. Yang profesional sikit, kritik berpada-padaa tetapi bias. Yang sedikit berakhlak, mengkritik dengan nada nasihat. Yang sedikit berjiwa tarbiyah, cool, tidak melatah.

Biasalah... satu pukulan ditengah-tengah laut, yang kuat berkocak dan berombak adalah di bahagian yang hampir dengan pantai. Bukan mudah untuk meredakan gelombang ini. Sekali gelombang ini teraktif, ia pasti akan menghempas pantai.

AlhamduliLLAH.
Susah payah melawan anasir luar, kemelut dalaman melanda seketika. Itulah proses tarbiyah dalam jemaah. Pemimpin kita diuji, ahli gerakan Islam ini diuji dalam dan luar. Harapannya, semoga ia menjadi petanda kemenangan yang lebih besar akan dikecapi, ataupun jua, tanggungjawab yang lebih berat bakal digalas nanti. Sebab itu ALLAH menguji jemaah gerakan Islam ini dengan pelbagai ujian yang seolah-olah sangat getir.

Pertembungan dua pendapat yang berbeza dalam jamaah, adalah suatu perkara biasa. Malah dilontarkan pula oleh tokoh-tokoh besar dalam jemaah. Perbezaan pendapat sebegini tidak sepatutnya memecah-belahkan jemaah. Punca kekecohan ini mungkin disebabkan terlalu ramai yang mahu menyatakan pendapat, pendirian dan pemikiran masing-masing... lalu dihamburkan dalam blog segala rasa tidak puas hati dengan pendapat-pendapat yang tidak selari dengan pmikirannya. Maka terlihatlah kejelekan akhlak dalam berjamaah sesetengah pihak.

Renungilah, bahawa perbezaan dan pertentangan pendapat itu datang dari dua tokoh ulama yang disegani. Maka kita perlu yakin, kedua-duanya tidak salah. Kita perlu yakin, perbezaan pendapat ini akan dapat diselsaikan setelah kedua-duanya bertemu dan berbincang. Tidak perlulah kita berbuih-buih mulut dan mengetuk kekunci keyboard menulis blog untuk mengkritik dan menghentam seseorang dengan cara biadab dan tidak berakhlak.

Sedarlah kita bahawa apabila dua ulama berijtihad dengan ijtihad yang berbeza, yang betul ijtihadnya akan mendapat dua ganjaran, manakala yang tersasar ijtihadnya, akan mendapat satu ganjaran. Sebagai ahli dan pendokong gerakan Islam, kita serahkan kepada pimpinan yang telah dipilih.

Amat malang bagi golongan yang memperlekeh pertikaian antara Khalifah Ali dan Khalifah Muawiyah yang membawa kepada Perang Siffin. Ada yang cuba melabelkan Muawiyah itu bersalah sehingga mencetuskan peperangan saudara antara orang-orang beriman. Siapa kita untuk mempertikai Muawiyah? Muawiyah adalah sahabat Nabi S.A.W, dan beliau adalah orang yang layak berijtihad. begitu juga Sayidina Ali. Perang yang tercetus adalah hasil ijtihad mereka yang berbeza. Biarlah ALLAH sahaja yang menentukan siapa benar, siapa salah. Yang benar ijtihadnya, akan mendapat dua ganjaran, yang salah ijtihadnya akan mendapat satu ganjaran. Jadi siapa kita untuk mengutuk dan memperlekeh mana-mana satu sahabat Nabi itu?

AlhamduliLLAH, mudah-mudahan perkara ini selesai dan jemaah gerakan Islam ini akan terus memacu ummah ke arah yang lebih cemerlang. Sesungguhnya, orang-orang beriman itu bersaudara. Perbaikilah.... jenihkanlah.... damaikanlah antara saudara kamu. Jika berucap, ucaplah dengan ucapan perdamaian. Jika menulis, tulislah rencana yang menjernihkan keadaan. Janganlah menjadi batu api yang memercikkan permusuhan sesama saudara. Semoga ALLAH memberkati perjuangan kita.


p/s: Maaflah kalau ayat tak sedap dibaca. Lama beruzlah dari blog, ayat pun tunggang-tungging.

Wednesday, June 10, 2009

Hanya orang-orang beriman sahaja profesional...

Mukhtamar tahun ni dah selesai. Kepimpinan baru dah pun tersenarai. Akan ada lantikan-lantikan yang menyusul selepas ini. Pada masa yang sama, isu ulama vs profesional terus dimainkan. Kononnya golongan profesional disisihkan dengan tewasnya Dato Husam dan Mohamad Sabu.
-
Dari satu sudut,digambarkan bahawa ahli-ahli Parti Islam tidak bijak memilih pemimpin - yakni memilih pemimpin yang pro-muzakarah dengan parti Melayu- walaupun penjelasan sudah dibuat. Biasalah, manusia pelbagai ragam dan pemikiran. Ada pula yang menganggap Parti Islam akan terus mantap apabila terus dipimpin ulama. Ada pula yang menyatakan kebimbangan, Parti Islam akan mengamalkan autokrasi secara halus - yakni hanya golongan tertentu sahaja layak memimpin parti - yakni golongan ulama.
-
Bukankah sesiapa sahaja boleh jadi pemimpin, asalkan dia bertaqwa, amanah dan cerdas akalnya, tak kira ulama atau profesional? Lihat sahaja Ahmadinejad, Al-Fateh, Al-Ayubi... mereka profesional. Cerdas memerintah, menyusun strategi. Mereka maju kerana tidak dipimpin oleh golongan ulama yang lembab dan tidak berwibawa. Kita mengiktiraf ketinggian ilmu mereka, tetapi dalam menghadapi ragam politik yang serba memerlukan kelicikan dan ketangasan bertindak, ulama yang ada kurang efektif mengendali Parti Islam. Cukup sekadar menjadi penasihat. Biar Profesional mengemudi parti. Mereka berhujah begitu lebih kurang.
-
Satu pihak lagi berhujah, ulama mesti memimpin. Kita mesti pertahankan kepimpinan ulama. Ulama mempunyai ilmu yang tinggi, sifat amanah, taqwa, akhlak dan sebagainya lebih daripada orang lain.
-
"Apakah kamu menyangka orang-orang yang berilmu itu sama dengan orang-orang yang tidak berilmu"
-
Tentu tidak sama. Ulama pewaris nabi.
-
"Sesungguhnya golongan yang paling takut kepada ALLAH adalah golongan Ulama"
-
Ulama yang hampir kepada ALLAH, pasti akan dibantu oleh ALLAH dalam urusannya. Mereka juga mampu berijtihad untuk kemaslahatan ummah dengan ilmu yang mereka ada. Ulama adalah golongan yang paling layak memimpin Parti dan negara.
-
Hujah kedua-dua pihak mempertahankan golongan tertentu sewajarnya tidak berlaku dalam Parti islam yang menggabungkan kekuatan ulama dan profesional. Ingatlah gagasan memprofesionalkan ulama dan mengulamakan profesional yang dibina oleh almarhum Ustaz Fadzil Noor.
-
Bagi pendapat peribadi, Ulama adalah golongan berilmu yang bertaqwa dan amanah, manakala golongan profesional pula adalah umat Islam yang bertaqwa dan beriman kepada ALLAH serta yakin dengan Islam itu sendiri. Kedua-dua golongan ini adalah bersatu dalam jemaah dan parti untuk memimpin ummah.
-
Di zaman RasuluLLAH, Nabi Muhammad S.A.W adalah ulama. Satu-satunya ulama, manakala sahabat yang lainnya adalah golongan profesional. Mereka profesional bukan kerana mereka pandai berniaga, bukan kerana mereka golongan korporat Mekah, bukan kerana mereka orang-orang kenamaan Mekah. Akan tetapi mereka menjadi profesional kerana mereka menerima Islam, beriman kepada ALLAh dan Rasul, taat kepada setiap perintah ALLAH, menjauhi setiap larangan ALLAH, menyeru manusia kepada makruf, mencegah kemungkaran dan mereka yakin bahawa Islam adalah rahmat kepada sekalian alam, penyelesai kepada segala kemelut manusia dan membawa kehidupan manusia berjaya dunia dan akhirat.
-
Jika kriteria korporat dan pembesar Mekah dikira sebagai profesional, maka Abu Lahab, Abu Jahal juga profesional. Hakkatnya tidak. Jahillah kita jika menganggap Abu Jahal itu seorang yang profesional. Abu Jahal dulu, dan Abu Jahal sekarang sama sahaja. Mereka bukan profesional. Golongan yang menolak Islam, mengabaikan hukum Islam, adalah tidak profesional. Apakah kita bersetuju bahawa orang-orang yang memilih jalan ke Neraka itu sebagai profesional? Tentu tidak.
-
Jadi tidak wajar, kita sama-sama mengaku beriman kepada ALLAH, membeza-bezakan antara kita ulama dan profesional. Semua yang mengaku beriman adalah wajib mempertahankan Islam. Tentang kemampuan pimpinan yang dilantik, kita serah kepada mereka, dan kita membantu mereka. Bukan terus-menerus mengherdik dan menghukum mereka sebagai lembab, slow, retorik dan sebagainya. Teguran itu perlu, tetapi biarlah bersesuaian dengan akhlak berjemaah.
-
Janganlah pihak kita termakan dengan jarum-jarum musuh. Media-media golongan sekular itu akan terus berusaha memecahkan perpaduan dan kesatuan dalam Parti Islam dan juga Pakatan Rakyat. Teringat kata-kata seorang ustaz ketika bersembang di rumah kenduri,:
-
"puak-puak tu ( sekular/nasionalis) bukan saja Tok Guru depa lawan. Kalau Nabi ada skarang ni pun, puak-puak tu akan lawan Nabi jugak... sama saja"
-
WaLLAHU a'lam...
-

Monday, June 8, 2009

Tulis sikit...

Datang jenguk USM kejap. Terjumpalah line internet. Bagaikan semut mendapat gula, aku mendapat internet...terus jari jemari ku menggeletar atas setiap satu kunci pada keyboard.

Sebulan di rumah, banyak pulak aktiviti. Bermusafir, tereksiden, menyulam padi, ulang alik ke Gerik tengok kereta yg eksiden, kenduri kendara... banyak lg. Duduk saja pun banyak juga. Gejala futur mula melanda. Lepas kereta yang rosak akibat eksiden tu siap dibaiki, dapatlah aku datang ke USM ni.

Berita-berita mukhtamar PAS pula aku dapat update dr SMS adikku saja yang jauh berada di Gambang.

Sentuh sikit pasal mukhtamar, ayah aku selalu sebut Ust Nasharuddin akan terus pegang Timbalan Presiden. Aku pun rasa macam tu juga, tapi kadang-kadang berbelah abgi juga dengan calon-calon yang bertanding jawatan yang sama.

Seorang kawanku menghantar mesej kepadaku selepas Ust Nasha diumumkan menang, katanya

"Habisla,,pas akan berpadu dgn umno lepas ni".

aku menjawab sinis : hang ni terpengaruh dgn media umno kut...

dia tak puas hati : "entahlaa..bukan masalah terpengaruh dgn akhbar depa. aku duk baca blog lain jugak. aku takut lepas ni pas jd lebik autokratik. jawatan tertentu ekslusif utk golngan tertentu. tu yg aku nampak...kalau mcm ni aku tawar hati la dgn pas..."

tu antara dialog SMS aku dgn kawan aku.
siapa dia, tak payah bgtau la.

Hm... memang menjadi jugak jarum ulamak vs profesional ni...

Apa-apa pun penjelasan dan kefahaman terhadap isu ini mesti di selesaikan dengan cepat sebelum ia terus menjadi kusut. Persepsi rakyat biasa tidak sama dengan persepsi ahli atau pimpinan. Orang biasa mungkin akan tersalah tafsir, dan ditambah pula mainan media lawan.

WaLLAHU A'lam.

Friday, May 1, 2009

Sembang: Merayau di Kuantan

Sudah seminggu sunyi aku dari menaip. Di rumahku tiada akses internet.

Hari ini aku berada di Kuantan, Pahang,bersama family menziarahi seorang muslimah di UMP. Sebelum itu kami sekeluarga bermalam di kota Bharu dan mengikuti kuliyah Jumaat di Medan Ilmu pada keesokan paginya sebelum meneruskan perjalanan ke Kuantan.

-

Setibanya di UMP, kami membawa muslimah tersebut tawaf beberapa kali bandar Kuantan kerana mencari tempat penginapan. muslimah itu adalah adikku. :D. Tetiba saja malam ini hotel-hotel di bandar kuantan penuh dan sesak. Selalunya time kami datang ke Kuantan ini, mudah saja mendapatkan tempay menginap.

-

Macam-macam spekulasi yang kami sekeluarga timbulkan tentang mengapa Kuantan sesak malam ini. Mungkin kerana orang mahu merayakan Najib sebagai PM. Mungkin juga ini kehebatan Adnan selaku MB mentadbir. Atau ada perwakilan Pahang cadangkan pencabar jawatan Timbalan presiden PAS membuatkan Kuantan sesak malam ni... haha.. seposen pun tak laku spekulasi sesama kami. saja nak sedapkan hati setelah jam 10 malam belum jumpa tempat menginap.

-

Akhirnya jumpa juga sato kekosongan di sebuah hotel Cina di Kuantan itu. Hentam sajalah. Susah nak dapatkan hotel Islamik macam Kota Bharu. Ataupun paling koman, hotel Melayu. kan mereka selalu laungkan Ketuanan Melayu. Patutnya ada la banyak hotel melayu di negeri mereka ini. Atauinikah Satu Malaysia.... h.u.h.u.

-

Mujurlah hotel ni ada akses internet. Adikku pula gatal-gatal tangan bawa laptop. Kira baguslah, boleh jugak aku mengetuk papan kekunci ini.

-

Aku meninggalkan kampus tanpa sempat bertegur sapa dengan sahabat-sahabatku, melainkan beberapa orang yang menziarah disaat akhir. Minta maaf sebab tak sempat bermaaf-maafan. kalau terbaca entry ini, aku ambil kesempatan mohon maaf banyak-banyak. Entah jumpa lagi atau tidak seminggu dua ini. Akan tetapi mudah-mudahan kita akan bertemu jua di masa hadapan dengan penuh keredhaan ALLAH di akhirat sana.

-

Seminggu dua ini, posting aku kurang bicara pasal politik atau apa-apa isu yang relevan. Sekadar sembang-sembang biasa saja, sebab akses aku terhadap info-info berkaitan terhad, dan slow. Sorat khabar pun slow saja. Berita hairan dan utusan pun jarang-jarang baca. selalu baca online. Harakah pun slow, sebab dua kali saja seminggu. Habis la sumber berita aku. TV? Malas nak ulas pasal TV, sah-sah berat sebelah. Bukan boleh dibuat analisis sangat, sebab Tv tu agen sebaran politik pemerintah Umno/BN. Tak seimbang. Nanti warnaku bertukar biru susah pula. haha.

-

Oklah...tak larat nak merapu malam-malam begini. lain kali ada masa aku akan terus hidupkan blog yang entah apa-apa ini.

-

Wassalam.

Thursday, April 23, 2009

Habis exam...

AlhamduliLLAH...

Lega~~

Dah habis exam.
Dah puas bersusah-senang, perang pun berakhir, dengan aku mengalami beberapa 'kecederaan'. Huhu... Selesai sudah pengajian degree. Masa untuk kembali transform ke bentuk asal.

Kepada yang belum habis exam tu, berusahalah lagi. Detik habis exam anda bakal juga tiba. Jangan tension-tension sangat, nanti iblis cucuk jarum.

Sekarang tengah pikir pula apa yang nak di buat lepas ni.
"Bunyi macam banyak, tapi tak semudah yang disangka". Tak faham tak mengapa. Biarlah diriku saja yang faham.

Mungkinkah futuristik akan melanda diriku sebagaimana ia menimpa umat-umat sebelumku? Entah laa... Moga ALLAH terus mentarbiyah aku agar terus istiqomah dalam perjuangan.

Benih anggur mula dikeluarkan dari kotak, untuk proses penanaman sementara.

Tak dak apa yang nak dikarang hari ini. Merapu saja. Nak 'celebrate' dulu naa... ZzZzZzZz....


Monday, April 20, 2009

Raja di atas politik, apa pula di atas raja?

'Raja berada di atas politik'

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah semalam menegaskan, Raja berada di atas politik dan tidak boleh berdebat secara terbuka bagi menjawab serta memberi penerangan untuk menangkis tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kumpulan politik tertentu.

Bagaimanapun, titah baginda, tindakan kumpulan politik berkenaan yang sampai ke peringkat menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain mencemar institusi Raja dengan menyemai rasa benci rakyat umpama 'menyalakan api dalam sekam'' yang amat berbahaya serta boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

Bertitah pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-81 baginda di Istana Iskandariah, semalam, Sultan Azlan Shah kesal dengan perbuatan kuasa politik mencemar dan mempamerkan wajah hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian.[Baca Lagi...]
Ada benarnya titah Sultan Azlan. Raja berada di atas politik. Raja berada atas perlembagaan, bagi mengawal keharmonian negara, bukan sekadar apa yang tersurat dalam perlembagaan. Raja boleh bertindak berlandaskan budi bicaranya sekiranya perlembagaan sesebuah negeri itu tidak dapat memberikan rasa puas hati kepada semua pihak. Raja berada di atas politik bermakna Raja tidak akan dipengaruhi oleh makhluk-makhluk yang meraih kuasa politik.

"Raja pemerintah mempunyai tanggungjawab lebih luas dalam memastikan bahawa semangat Perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang tersurat, kepentingan negara dan warga negara perlu sentiasa dilindungi."

Dalam masa-masa tertentu, Raja perlu menongkah arus perlembagaan sekiranya keadaan yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri, kerana perlembagaan bukanlah suatu piagam dan peraturan yang sempurna dan tiada kecacatan. Perlembagaan adalah hasil karya manusia. Perlembagaan adalah hasil pemikiran manusia yang serba cetek. Jadi perlembagaan tidak akan sempurna sekalipun di rombak dan dipinda, kerana yang merombak dan yang meminda perlembagaan juga adalah manusia yang hanya menguna logika akalnya.

Maka logiklah, dalam keadaan tertentu, Raja bertindak menjadi autoriti menongkah arus perlembagaan, membuat keputusan sekalipun bercanggah dengan beberapa peruntukan dalam perlembagaan. Raja adalah di atas perlembagaan.

Pada masa yang sama, Raja juga adalah manusia. Raja juga tidak sempurna. Bohonglah kalau mengatakan Raja itu sempurna dan kuasanya boleh menyelesaikan semua masalah yang tidak dapat diselesaikan perlembagaan. Raja hanya menampung kekosongan dan kecarikan perlembagaan. Sifat penampung, bila-bila pun tidak sempurna.

Raja di atas politik. Raja di atas perlembagaan. Tetapi patut kita ingatkan bahawa Islam di atas raja. Islam di atas politik. Islam adalah di atas perlembagaan. Islam itu tinggi dan, tiada yang lebih tinggi daripadanya. Islam adalah tatacara hidup yang sempurna. Islam adalah satu peraturan hidup yang sempurna. Islam bukan nukilan manusia. Ia adalah modul ALLAH untuk keharmonian hidup manusia. Itu kita perlu sedar.

Sehebat-hebat Raja, perlu tunduk kepada Islam. Islam mengandungi aspek keadilan, keamanan, cara berpolitik dan sebagainya. Raja adalah tidak sempurna, dan punya banyak kelemahan, perlu merujuk kepada Islam - prinsip keadilan. Sebagaimana perlembagaan perlu merujuk kepada Raja, Raja juga perlu merujuk kepada prinsip keadilan. Raja tidak boleh bertindak melampaui batas prinsip keadilan, sebagaimana perlembagaan tidak dapat mengatasi kuasa Raja. Prinsip keadilan yang sempurna diajar dalam Islam.

Maka keharmonian sesebuah negara bukanlah bergantung kepada keluhuran perlembagaan semata-mata kerana kesetiaan kepada raja dan negara berada di atasnya. Dan perlu ingat, Kepercayaan kepada Tuhan adalah di atas kesetiaan kepada Raja dan negara. ALLAH adalah Raja kepada segala jenis raja di langit dan bumi. Maka raja-raja di bumi usah angkuh dengan kuasa yang ada. Penggubal-penggubal perlembagaan usah mendabik dada. Semuanya adalah pinjaman dari-Nya, dan Dia Maha Berkuasa menjatuhkan kekuasaan Raja sekiranya Dia menghendaki, sebagaimana jatuhnya kerajaan Namrud, binasanya kerajaan Fir'aun, tersungkurnya kekuasaan raja Rom dan Parsi.

Perlembagaan boleh dilanda krisis. Raja juga kadang-kadang berlaku krisis. Islam tidak akan dilanda krisis, malah menjadi penyelesai kepada segala krisis yang melanda. Terpulang kepada manusia samada menggunakan akal fikiran manusia ataupun mendapat panduan dari modul ALLAH, yakni Islam, untuk menghadapi pergolakan sesuatu perlembagaan.

WaLLAHu a'lam.

Ũ