© The Mhakk Studio

Saturday, March 28, 2009

Apa reaksi anda apabila Tok Guru kata perokok lebih hina daripada lembu?

Perokok lebih hina daripada lembu: Nik Aziz [ BeritaHarianOnline]

KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata umat Islam yang cuba menonjolkan keislaman mereka melalui pakaian jubah dan ketayap tetapi menghisap rokok adalah lebih hina daripada lembu.

Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am Pas, berkata amalan menghisap rokok dikeji kerana diharamkan oleh agama dan doktor kerana ia memudaratkan kesihatan. [baca lagi...]

"hehehe... ape daa ade manusia lagi teruk dari aku"

Kuang~kuang...
tiba-tiba tersentaklah para perokok yang istiqamah dalam merokok apabila Tok Guru berkata demikian.

Maka wujudlah 3 kategori perokok yang kita boleh kelaskan:

1) Perokok yang insaf - yakni perokok yang terus berhenti merokok setelah mendengar teguran pedas Tok Guru.

2) Perokok yang sanggup digelar lembu - yakni perokok yang hidup matinya sudah tidak boleh dipisahkan dari rokok. Biarlah... lembu pun lembu laaa...

3) Perokok yang melawan - yakni perokok yang membantah kata-kata Tok Guru. Golongan ini mempersenda dan memaki-hamun Tok Guru kerana menggelar mereka sebagai lembu, bahkan lebih teruk dari lembu.

Pada zaman RasuluLLAH, ketika mana RasuluLLAH menegur masyarakat Arab ketika itu supaya mereka meninggalkan arak, zina, bunuh, dan sebagainya, masyarakat Arab ketika itu juga terbahagi kepada golongan sahabat yang terus patuh kepada RasuluLLAH. Pengharaman arak membuatkan sahabat peminum tegar arak terus sahaja memecahkan tempayan simpanan arak lagenda, sehingga aliran arak membentuk seolah-olah sebatang sungai. Manakala wujud pula golongan yang berdegil dan menentang dakwah RasuluLLAH. Mereka memaki hamun RasuluLLAH kerana cuba menyekat dan menghalang mereka daripada kebiasaan amalan maksiat mereka.

Biasalah, setiap perkara yang baik, pasti ada pengikut, dan pasti juga akan ada penentang. Perkara buruk pun sama, pasti ada penyokong, dan pasti ada lawannya. Setiap zaman, perwatakan manusia adalah serupa dalam menilai kebenaran dan kebathilan. Ada yang memilih kebenaran, ada yang suka berterusan dalam kebathilan.

Jadi apabila demikian, maka kita mempunyai pilihan untuk bersama-sama kebenaran ataupun kebathilan. Manusia dari dulu, kini dan selamanya ada berdepan dengan dua pilihan ini. Kebenaran atau kebathilan. Kebaikan atau kejahatan. Pilihlah mahu ikut yang mana. ALLAH memberi akal fikiran kepada kita supaya berfikir dengan waras. Nikmat akal sangat tinggi nilainya, yang tidak diberi kepada makhluk selain manusia. Apabila manusia tidak menggunakan akal dengan baik dalam memilih kebenaran atau kebathilan, maka ALLAH sudah pun menyediakan Syurga untuk mereka yang menerima serta akur dengan kebenaran, dan Neraka kepada mereka yang berdegil untuk terus bergelumang dengan kebathilan.

Jadi, kepada perokok kategori pertama, tahniah jika anda serta merta akur dengan kebenaran. Besar pengorbanan anda yang sudah sekian lama merokok, berhenti tiba-tiba semata-mata kerana ALLAH. ALLAH jua yang memberi ganjaran kepada anda.

Bagi perokok kategori kedua dan ketiga, anda perlu fahami bahawa merokok adalah haram dan berdosa. Haram hukumnya telah banyak diperkatakan. Haram kerana memusnahkan diri, haram kerana menyumbang kepada dana Israel yang membunuh umat Islam Palestin dan haram kerana menyerupai kaum kafir. Berdosa merokok adalah dosa berantai. Merokok adalah haram, dan melakukan perkara haram adalah berdosa. Merokok akan merosakkan diri. Meroko juga merosakkan orang lain - bermaksud kita berdosa dengan orang lain kerana membahayakan kesihatan mereka. Ketahuilah dosa kepada manusia tidak akan diampun oleh ALLAH sehingga individu yang terlibat memaafkannya.

Merokok depan khalayak, terutama di hadapan anak remaja, membuatkan mereka terpengaruh dan meniru cara hidup merokok, bermakna anda telah melabur dalam multi level dosa. Dosa berangkai ini lebih sukar untuk dihapuskan, kerana sekiranya anda berhenti merokok sekalipun, rangkaian perokok yang lahir daripada meniru sikap merokok anda akan terus berkembang, dan saham dosanya terus memberi point kepada anda. Berhentilah, dan bertaubatlah daripada merokok. Hapuskan dosa anda dengan menjadi pembasmi amalan merokok dalam masyarakat, mudah-mudahan ALLAH menerima taubat anda.

Kepada pejuang Islam, golongan ustaz, muallim, golongan pembawa obor Islam, golongan yang membawa imej Islam, yang masih merokok, awaslah! Anda menjadi contoh kepada mad'u dan orang ramai. Peluang anda untuk mendapat downline sangat besar. Ingatlah, pada hari Hisab nanti bagaimanakah keadaan anda? Jangan menjadi orang yang menyesal di kemudian hari.

Mari kita baca sedikit mengenai fakta bahaya rokok serta dosa merokok.

Pengenalan

Tembakau yang menjadi bahan utama dalam rokok, telah diperkenalkan secara menyeluruh, termasuk ke dunia Islam, oleh penjajah Barat yang beragama Kristian, dan ianya belum pernah dikenali di zaman Nabi Muhammad s.a.w. Di kalangan masyarakat beratus tahun terdahulu, tembakau dihisap bukan sahaja untuk bersukaria tetapi sebagai satu acara dalam upacara kebudayaan dan keagamaan. Pada umumnya umat Islam tidak merokok melainkan kerana terpenggaruh kepada orang Barat yang menjajah mereka.

Hari ini, merokok adalah suatu kebiasaan yang diterima secara meluas dalam masyarakat kita, sehingga kadangkala ia dipandang sebagai satu norma yang membanggakan. Anggapan palsu ini terhasil apabila golongan yang mudah terpedaya dengan budaya asing, terutamanya yg dipaparkan melalui media massa, ingin pula bergaya demi mencapai status kecanggihan serta keunggulan yang kononnya dikaitkan dengan merokok. Malah tabiat suka meniru dan menyeleweng dari jalan yang benar adalah sesuatu yang kian menguasai anak-anak kaum Muslimin di zaman ini.

Hadith Rasullullah s.a.w. :

1. "Bezakan diri mu dari kaum Musyrikin" ( Al-Bukhari & Muslim)

2. "Bukan dari golongan kita, siapa yang menyerupai orang yang bukan dari kita. Jangan mengikut-ikut kaum Yahudi dan Nashrani" (At-Termidzi)

3. "Barangsiapa yang meyerupai sesuatu kaum, maka dia terkira dari golongan itu" (Abu Daud)

Kandungan Berbahaya Dalam Rokok (Fakta)

Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.


Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Bahan seperti benzopyrene iaitu sejenis policyclic aromatic hydrocarbon (PAH) telah lama disahkan sebagai agen yang memulakan proses kejadian kanser.

Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain, bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding najis dadah. Malah daripada kajian saintifiknya nikotin itu juga sejenis najis dadah, sepertimana yang telah diiktiraf oleh dunia perubatan. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok, meninggalkan tabiat itu untuk selamanya, kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Allah jua.

Nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung adalah hasil punca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan menyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat.

Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ianya menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%.

Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun haiwan, ianya akan membawa kerosakkan pada setiap organ disepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghazaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu dikeluarkan dari badan.


Kesan Asap Rokok Kepada Si Perokok Dan Orang Disekeliling

Si perokok bukan sahaja perlu bertanggungjawab pada diri sendiri tetapi turut bertanggung jawab pada orang disekeliling akibat daripada bahaya asap rokok. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya, akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli) dan menyebabkan penyakit emfisima.

Asap rokok yang dihidu juga akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas.

Racun dalam asap rokok yang larut air akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin, bukan saja memberi sifat ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Ia juga merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ berkaitan.

Kesan ini, dalam jangka panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki, serangan penyakit jantung dan sebagainya.

Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan melalui air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing.

Racun akibat merokok juga mempunyai kesan tindak balas terhadap ubat-ubatan. Secara umum diketahui merokok boleh menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim di hati dan ada kalanya ia boleh memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu.
Kesan Asap Rokok Terhadap Isteri Perokok Adalah :
- Melahirkan bayi yang kurang berat badan
- Melahirkan bayi yang tidak cukup bulan
- Lebih terdedah kepada kanser
- Mengurangkan kesuburan dan putus haid awal
Kesan Asap Rokok Terhadap Anak Perokok :
- Lebih mudah mendapat lelah
- Mendapat jangkitan paru-paru
- Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu
- Mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak


Statistik Kematian Akibat Tabiat Merokok

Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut, 50 peratus kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok dengan pecahan 25 peratus masing-masing.

Menurut Dr Sallehudin, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan lebih penting, negara mengalami kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.


Faedah Berhenti Merokok
- Hidup lebih lama
- Dapat menghindari racun
- Dapat melindungi diri, keluarga dan orang lain daripada bahaya merokok
- Menjadi teladan yang baik kepada anak-anak
- Dapat meningkatkan kecergasan serta memiliki tubuh yang sihat
- Meningkatkan deria rasa dan bau
- Gigi lebih putih dan nafas lebih segar
- Dapat mengelakkan budaya membazir dengan menggunakan wang untuk membeli rokok kepada tujuan yang lebih baik dan bermanfaat.

Gunakan Kaedah Yang Betul Untuk Berhenti Merokok
- Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok
- Yakinkan diri
- Buat nota peringatan
- Katakan pada diri anda, "Aku bukan perokok"
- Tumpukan pada hari ini
- Sentiasa berfikiran positif
- Dapatkan sokongan
- Lawan keinginan untuk merokok
- Gunakan Terapi atau rawatan yang sesuai
- Amalkan Petua 10 M untuk berhenti merokok

Rawatan Untuk Berhenti Merokok

Vibration Liquid Chlorophyll (Minuman Klorofil Alfalfa)
Membantu menyingkirkan segala racun dan toksik di dalam tubuh akibat kandungan rokok yang merbahaya. Sangat baik diamalkan seisi keluarga.

"Setiap Sedutan, Membawa Padah"


Sumber
- Pusat Racun Negara, USM Official Website
- Kementerian Kesihatan Malaysia Official Website
- Institut Kefahaman Islam Malaysia Official Website – IKIM Dalam Media – Berita Harian

WaLLAHu a'lam

Friday, March 27, 2009

Hindarilah UMNO, kembalilah kepada Islam!

Sembang pasal politik lagi...
Masih pasal Umno.

Umno baru saja dapat saf kepimpinan baru. Pelbagai reaksi lapisan masyarakat terhadap kepimpinan baru Umno ini. Bagi juak-juak pengampu, biasalah, mereka akan memuja-muji kepimpinan baru ini. Bagi yang meluat dengan Umno, pelbagai reaksi negatif pula diutarakan. Walaubagaimanapun, identiti rasuah dalam Umno tidak dapat dipadamkan. Malah juak-juak pengampu juga tidak dapat menafikan betapa parahnya penyakit Umno ini. Sehinggalah sampai kepada pemimpin pun, dilantik dari kalangan perasuah. Inilah akibatnya, apabila fahaman nasionalisme dianuti oleh mereka.

Fahaman kebangsaan, nasionalisme dan sekularisme yang menjadi ideologi Umno ini akan terus merosakkan Umno. Fahaman-fahaman yang menyimpang dari ajaran Islam ini akan bertindak seperti virus HIV yang membawa penyakit AIDS (yang berupa rasuah, salahguna kuasa, menindas, rasis, dll). Penganut-penganut fahaman sesat ini akan hilang daya tahan terhadap penyakit-penyakit aqidah, akhlak dan sosial. Sifat amanah, bijaksana, teguh pendirian dan seumpamanya akan dimamah oleh fahaman sesat yang didokongi mereka ini.

Apa ada pada Melayu? Apa untungnya membicarakan ketuanan Melayu, kerana ketuanan Melayu akan membuatkan bangsa-bangsa lain tertindas dan iri hati. Orang lain akan menyimpan perasaan dendam dan tidak puas hati. Maka akan wujudkah keharmonian dalam bermasyarakat? Kerana itulah sehingga hari ini, perpaduan kaum yang diwar-warkan hanya gimik semata-mata. Perpaduan Umno,MCA,MIC dalam BN hanya satu perhubungan rapuh yang akan berkecai bila-bila masa.

Kita lihat fahaman Zionisme. Zionisme adalah satu fahaman sekularisme, nasionalisme dan rasis. Golongan Zionisme ini boleh juga diterjemah perjuangan mereka kepada "Ketuanan Yahudi". Ya, Zionis adalah pertubuhan yang mahu melihat Ketuanan Yahudi terjaga dalam politik dunia. Lihatlah siapa yang menjadi korban kepada Ketuanan Yahudi ini? Fahaman sesat mereka telah membutakan hati mereka terhadap sifat perikemanusiaan. Barah fahaman sesat ini mematikan sifat kasih sayang kepada manusia lain yang bukan Yahudi.

Ketuanan Melayu? Ketuanan Melayu juga sedang dan akan terus menindas. Ada pihak yang akan marah apabila mengatakan Ketuanan Melayu Umno sama dengan Ketuanan Yahudi Zionis. Ya, ketuanan Melayu Umno lebih baik dari Zionisme. Lebih mulia dari zionisme. Tetapi perbezaan Umno dengan Zionis hanyalah sedikit. Disebabkan Zionis itu dari kalangan Yahudi, gerakan penindasan mereka lebih cerdik dan berkesan, manakala Umno pula dari kalangan Melayu yang lemah minda dan kurang cerdas. Sebab itu kezaliman Umno masih tidak mencapai tahap kejahatan Zionis. Tetapi, falsafahnya sama. Menindas, dan menzalimi. Yahudi membenarkan riba jika riba itu melibatkan orang bukan Yahudi, tetapi bagi mereka haram riba sesama Yahudi. Itu langkah penindasan yang bijak. Manakala Umno, semua sapu. Tidak bijak sebab dengan orang Melayu sendiri pun tertindas.

Dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) kali ini, agenda ketuanan Melayu masih tidak sunyi diperkatakan. Sudah berpuluh tahun, ketuanan Melayu menjadi rukun dalam PAU. Apabila menjadi rukun, maka PAU tidak sah jika idak menyebut agenda ketuanan Melayu. Ditambah pula sunat muakkad menjulang keris tanda membela ketuanan Melayu. Entah bagaimana mereka berfikir. Mentaliti dulu, kini selamanya masih tidak berubah walaupun arus dunia sudah jauh meninggalkan mereka.

Dalam era kebangkitan Islam diserata dunia, masih ada dalam kalangan umat Islam sendiri yang menjadi penghalang dan penentang kepada kebangkitan Islam. Kerana tidak faham dan jiwa yang dilemahkan virus sekularisme dan nasionalisme, umat Melayu Umno terbabit dalam percaturan musuh Islam untuk menghalang kebangkitan Islam. Kita umat Islam, ketuanan Islam adalah yang kita mahukan. Ketuanan Islam bebas dari fahaman rasis, bebas nasionalis, bebas sekularis, bebas dari penindasan dan segala kebaikan terhimpun dalam Islam. Semua pihak terbela.

Umat manusia seluruhnya mengakui kesempurnaan Islam dan kemuliaan Islam. Jika kita menolak Islam, jika kita ragu-ragu dengan Islam, jika kita menbenci Islam, bermakna kita membenci kemuliaan. Kita menafi hak diri kita untuk memperoleh kesempurnaan Islam. Tiada orang yang menolak kemuliaan, melainkan orang-orang yang dihina oleh ALLAH. Maka marilah kita sama-sama jauhkan diri daripada mendapat penghinaan dari ALLAH. Tidak akan sekali-kali hina sekiranya kita dimuliakan oleh ALLAH, sekalipun seluruh manusia menghina kita. Dan sekali-kali tidak akan mulia kepada sesiapa yang dihina oleh ALLAH, sekalipun seluruh manusia menjulangnya!

WaLLAHU a'lam

Thursday, March 26, 2009

Laknat ALLAH kepada perasuah dan konco-konconya

Akhbar hari ini, pasti cerita sensasinya mengenai kemenangan Khairy, Shahrizat dan Rosnah dalam pemilihan Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri UMNO. Rosnah aku tak reti nak ulas. Ntah siapa dia...

Khairy dan Shahrizat agak famous.
Khairy sebelum ini terkenal dengan suara lantangnya me'beruk'kan para demonstran BERSIH tempohari. Khairy juga beberapa hari sebelum merasai kemenangan ini pernah diberi amaran oleh Lembaga Disiplin kerana terbabit rasuah. Memang famous lah memantu Pak Lah ni. Jadi, Pemudah UMNO sudah bertukar ketua. Ketua yang terpalit tahi rasuah, ketua yang petah berhujah, ketua yang agak radikal, ganas dan samseng lagaknya. Maka Dewan Pemuda Parti Islam perlu bersedia dengan strategi baru untuk berdepan dengan Ketua Pemuda UMNO yang baru ini.

Kalau dulu Hishamuddin dikatakan lemah sebagai Ketua Pemuda walaupun berkali-kali menjulang keris, parti Islam meletakkan YB Salahuddin berdepan dengannya. Secara generalnya, YB Salahuddin telah dilihat kuat dan bertenaga dari segi semangat dan intelektualnya untuk berdepan dengan Hishamuddin. Kali ini taktikalnya perlu difikir semula kerana Khairy menjadi kepala Pemuda UMNO. Tidak lama lagi YB Salahuddin akan mengundur diri dari memegang jawatan Ketua Dewan Pemuda. Jadi dalam mukhtamar pemilihan terdekat ini, Parti Islam perlu mempertaruh satu figure yang kuat untuk menghadapi tipu helah dan kelicikan Khairy. Para perwakilan perlu bersedia ke arah mencorakkan politik negara dengan lebih berkesan dan tidak mudah dibuahcaturkan oleh Khairy dan juak-juaknya.
Shahrizat pun menang mengalahkan bekas bosnya Rafidah. Ketua Dewan Muslimat juga perlu mampu membaca strategi baru Wanita UMNO. Shahrizat sebelum ini pernah cuba mengadakan hubungan baik dengan Dewan Muslimat parti Islam, dilihat lebih terbuka pendekatannya berbanding Rafidah. Samada mengekalkan Ketua Dewan Muslimat atau melantik baru, sayap kiri parti Islam ini perlu terus mara ke hadapan dengan strategi yang lebih berkesan.

Abaikan mereka ini sebentar.
Kita renung sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi yang bermaksud :

“ Penerima dan pemberi rasuah akan ditempat dalam api neraka”

Perbuatan ini juga dikutuk dengan kerasnya oleh Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud :

ALLAH SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya”.

Berdasarkan dalil-dalil di atas jelas membuktikan Islam melarang perbuatan keji ini. Kutukan itu bukan sahaja terbatas kepada penerima malah pemberi dan sesiapa juga yang bersubahat melicinkan kegiatan rasuah ini. Rujuk sini.

Siapa yang bersubahat? Tengok gambar Khairy dijulang. Orang-orang yang menjulang Khairy itulah antara yang bersubahat. Khairy perasuah. Mungkin ada perwakilan yang mengundi Khairy menerima rasuah. Dan orang-orang yang menjulang Khairy adalah antara yang bersubahat dengan rasuah. Lembaga Disiplin UMNO, SPRM dan suku sakatnya, juga bersubahat. Ezam? Jawab sendiri. Maka semua yang terbabit dengan rasuah adalah dilaknat ALLAH. Sudah jelas, Khairy perasuah (diberi amaran oleh Lembaga Disiplin UMNO - lembaga paling telus atas muka bumi dalam menghukum orang UMNO). Jadi, Pemuda UMNO menjadi sayap yang dilaknat ALLAH. Maka janganlah kita menghampiri pemuda UMNO kerana bimbang laknat ALLAH terpalit ke atas kita tanpa kita sedari.

WaLLAHU a'lam

Monday, March 23, 2009

Harakah - Suara KeAdilan : Mahathirisme kembali?

Akhbar Pas, PKR digantung tiga bulan

PUTRAJAYA 23 Mac – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menggantung permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan berkuat kuasa serta-merta.

Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, tindakan itu diambil kerana dua akhbar pembangkang itu didapati menyiarkan artikel-artikel berbaur fitnah, mengelirukan serta boleh mengancam ketenteraman dan memecahbelahkan masyarakat.

Difahamkan, surat penggantungan Harakah dialamatkan kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaffar manakala surat untuk Suara Keadilan ditujukan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail.

“KDN mendapati Harakah dan Suara Keadilan banyak mengeluarkan artikel-artikel menyentuh perkara-perkara yang memutarbelitkan fakta, menghasut, mengandungi tuduhan liar dan tidak berasas,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia petang ini - UtusanOnline


Wah... macam tu saja kena gantung? Mudahnya!

Suka-suka hati saja gantung, tanpa ada siasatan artikel mana yang berbaur fitnah dan mengelirukan. Artikel mana pula yang memecah-belahkan masyarakat? Keganasan terhadap media lawan Umno/BN bermula kembali dengan aksi yang lebih ganas. Kalau dahulu, pengeluaran Harakah daripada dua kali seminggu, dihadkan kepada dua kali sebulan pada era Dr Mahathir, sebelum dibenarkan pengeluaran dua kali seminggu semula pada zaman Abdullah Badawi.

Tiba-tiba penggantungan mengejut daripada KDN menggantung Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan dilakukan berkuatkuasa serta merta. Apakah era Mahathirisme akan kembali mewarnai politik negara apabila Najib menjadi PM kelak, malah dalam bentuk yang lebih agresif?
YB Azmin Ali memberitahu dalam ceramah ringkasnya sempena pengumuman calon Parti Islam di Bukit Gantang, bahawa Suara KeAdilan akan tetap dicetak untuk diedarkan sekalipun sudah digantung. Dalam program tersebut, YAB Dato Seri Ir Hj Nizar diumumkan sebagai calon parti Islam sebagai calon PR untuk Parlimen Bukit Gantang.

Kalau era Mahathirisme kembali, kita akan lihat satu persatu kelicikan dan kezaliman lagenda Dr mahathir akan berulang dalam bentuk yang lebih ganas. Kebebasan media akan kembali dipenjara, Operasi Lalang Mega mungkin akan berlaku, ISA akan makan besar lagi. Paling dahsyat, mungkin Tragedi Memali akan berulang. Di mana, kita tunggu dan lihat. Siapa yang akan mengikut jejak langkah As-Syahid Ust Ibrahim Libya, kita akan saksikan. Paling tidak, kita berazam untuk turut syahid bersama-sama dengannya, seperti mana para pengikut As-Syahid gugur bersama beliau.


Tazkirah Rafidah Aziz

Politik wang akan hancurkan UMNO dan negara - Rafidah [Utusan Online]

KUANTAN 22 Mac - "Sekiranya kita undi orang berdasarkan berapa habuan yang kita dapat, akan hancurlah parti, hancurlah negara kerana UMNO itu tulang belakang BN dan BN adalah kerajaan yang mentadbir negara."

Demikian kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz berhubung politik wang dalam UMNO.


Malah katanya, amalan tidak bermoral itu yang berleluasa dalam UMNO akan hanya menjauhkan generasi muda daripada parti itu yang akhirnya akan merugikan UMNO.


"Anak-anak muda akan mengambil sikap berkecuali padahal kita boleh menggunakan kebijaksanaan dan kemahiran mereka. Tetapi kerana tidak mampu untuk membayar dalam pertandingan, mereka tidak mendapat tempat dan yang ruginya adalah kita sendiri.

.....

Beliau turut meminta ahli UMNO menghormati dan mematuhi keputusan Lembaga Disiplin parti yang bertindak mengenakan tindakan berdasarkan tatacara sedia ada.


Menurutnya, gejala politik wang termasuk dalam pergerakan Wanita UMNO akan hanya menghancurkan UMNO yang menjadi tulang belakang parti Barisan Nasional (BN) yang menerajui kerajaan.


"Jadi, lama kelamaan kalau politik wang menjadi budaya di negara ini, maka masa depan pemimpin Melayu akan pudar. Kita akan hanya dapat pemimpin yang kaya raya kerana ada duit dan ditaja oleh orang tertentu kerana hendakkan sesuatu,'' ujarnya. Baca lagi...


Rafidah memberi tazkirah kepada ahli... jangan amal rasuah. Nanti kena tangkap dengan Lembaga Disiplin. Bagi UMNO rasuah adalah kesalahan untuk orang biasa, tetapi bagi pemimpin UMNO, amalan rasuah menjadi 'mulia' sedikit apabila perkataan rasuah ditukar menjadi 'politik wang'. Sebab itulah kes rasuah mereka diambil tindakan oleh Lembaga Disiplin, satu Lembaga yang buta dosa pahala. Sedangkan rakyat Malaysia yang lain dikenakan tindakan oleh SPRM. Double standard sebegini sudah pun lama diperkatakan. Tetapi ahli-ahli RM50 UMNO tetap bersama-sama dengan UMNO.

Rasuah itu haram. Duit rasuah itu haram. Jika rasuah itu RM10 juta, RM 10 juta itu haram. Dan jika rasuah itu 10 sen, 10 sen itu juga haram. Menggunakan duit hasil rasuah, menjamu anak isteri dengan wang rasuah, adalah langkah menempah neraka menggunakan pakej keluarga.

Tindakan Lembaga Disiplin menunjukkan Ali Rustam adalah seorang perasuah. Ingatlah Ali Rustam, walaupun engkau terlepas daripada SPRM, engkau tidak akan terlepas daripada tindakan/pembalasan ALLAH kelak. Ketika itu tidak berguna lagi engkau menyesal. Menyesallah sekarang dan bertaubatlah sementara pintu taubat masih luas terbuka. Kasihanilah anak isterimu, kau keluargamu, yang sudah berpuluh tahun engkau jamu mereka makan dengan hasil rasuah mu. Mahukah engkau melihat mereka dibakar dalam api yang menjulang? Sedarlah Ali, engkau bukannya akan hidup selama-lamanya. Di akhirat nanti, bukan Lembaga Disiplin yang akan mengadili engkau. Adakah engkau faham?

Buat Rafidah, you juga perasuah, tapi you belum kena tangkap, dan mungkin takkan tertangkap di dunia ini. Tetapi di akhirat nanti, kami semua rakyat Malaysia akan tengok you akan diheret ke dalam neraka sekiranya you tidak bertaubat. Jangan berlagak seperti you tidak bersalah dalam rasuah yang dimuliakan menjadi politik wang itu. Insaflah. You sudah bertaraf nenek, bermakna you dah tak lama nak baring dalam liang lahad sorang-sorang. Masa tu you dah tak boleh nak merasuah sesiapa lagi untuk membantu you. Dua malaikat yang datang kepada you tidak akan sekali-kali akan berjaya dirasuah oleh you. Ingatlah, umur you yang disubsidi sekarang adalah peluang yang ALLAH beri untuk you bertaubat. You tak sedarkah? Orang macam you ni memang degil laa....

Confirm Ali dan Rafidah tak baca blog ni. So tak sampailah kepada mereka mesej ini. Tapi kita semua boleh ambil iktibar...

WaLLAHU a'lam.

Saturday, March 21, 2009

Webmaster Short Course 2009 : Tahniah!

Tahniah PMIUSMKKj kerana berjaya menganjurkan program Webmaster Short Course (WSC 09). Program ini memberi suatu ilmu yang berguna kepada para peserta, iaitu ilmu membuat web menggunakan perisian CMS Joomla!

Kuliyah dan tunjuk ajar disampaikan oleh Ustaz Azwadi bin Sulaiman, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Bahan) yang kini menyambung pengajiannya ke peringkat Sarjana di Pusat pengajian yang sama, Bahan dan Sumber Mineral.

Letih buat ayat formal... Program ini dihadiri oleh hampir 40 peserta dari pelbagai negeri dan pusat pengajian. Ustaz Azwadi menyampaikan kuliyah dan tunjuk ajarnya bermula dari mendapatkan web hosting, web setting, CMS installation (Joomla!) dan sedikit cara mengendalikan perisian CMS Joomla! tersebut.

Kursus setengah hari itu diadakan di perpustakaan USM KKj yang serba canggih. Kursus ini sangat berguna kepada para peserta yang rata-ratanya adalah pelajar kejuruteraan di USM. Jadi memang bagus lah. Malah kepakaran Ustaz Azwadi dalam bidang ini tidak pupus tanpa diwariskan setelah beliau tamat pengajian master di sini.

Gaya seorang sifu

Peserta ini tekun sekali mendalami ilmu web

Program berjalan lancar walaupun beberapa orang yang tidak diundang turut masuk mengkucar-kacirkan beberapa peserta dengan ajaran-ajaran songsang, kurang selari dengan apa yang ustaz Azwadi ajarkan. Minta maaf...

Salah seorang mangsanya adalah Malik...

Untuk koleksi gambar, sila ke © The Mhakk Studio

Friday, March 20, 2009

USM Apex, ada sesuatu yang kita kena fikir...

Suatu malam, lepas solat Isyak, aku dan sahabatku Azwadi, berbual-bual dengan Ustaz Yusof. Dalam banyak-banyak topik perbualan, aku suka kepada fokus universiti Apex yang diutarakan oleh ustaz. Menurutnya, title universiti Apex ini terlalu tergesa-gesa untuk diperoleh, dan akan mengakibatkan banyak perkara akan terlepas pandang. Sebelum ini aku pernah terfikir, tidakkah perlaksanaan program Apex untuk seluruh USM terlalu drastik dan bagaimana kemampuan semua warga dan fasilitinya. Tentu sekali memerlukan satu mujahadah dan kerja yang amat keras untuk memperolehinya.

Sembang-sembang dengan ustaz malam itu agak selari dengan apa yang aku fikirkan. Aku banyak mendengar input dari ustaz yang juga merupakan staff USM yang terlibat secara langsung dalam program Apex ini. Idea-idea aku diperkuat oleh hujah-hujah yang ustaz kemukakan dalam sembang-sembang kami. Walaupun ia hanya sembang-sembang, tetapi ada inputnya. Program Apex adalah sangat tergesa-gesa, walaupun kita nampak banyak kebaikan yang kita akan peroleh. Kita bukan sahaja akan gah pada nama semata-mata tetapi dalam pelbagai sudut dari kacamata ketamadunan. Akan tetapi, kecemerlangan yang akan kita peroleh yang harapannya sangat gemilang ini, mungkin kita akan kehilangan sesuatu yang lebih besar. Kebimbangan ini dicetuskan oleh ustaz Yusof.

Beliau memberi contoh kemajuan tamadun Islam di Cordova, yang pernah menjadi ibu segala pusat keilmuan dunia, akhirnya sekarang hilang dari peta dunia. Zaman kegemilangan Cordova itu telah melahirkan pelbagai tokoh Islam yang kita ketahui, seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, dan sebagainya. Kegemilangan ilmu dan keilmuan sangat tinggi ketika itu. Tetapi bagaimanakah kegemilangan Cordova itu tidak dapat dipertahankan sedangkan zaman itu adalah zaman keemasan kepada ketamadunan ilmu. Apakah keghairahan mengejar ilmu sehingga mereka sampai ke tahap taksub kepada kehebatan ilmu sehingga lupa kepada perkara basic yang sepatutnya diperkukuh? Itu aku tidak mahu komen. Ustaz juga meninggalkan tanda soal di situ untuk kita sama-sama berfikir.

Lihat pula dalam isu universiti Apex ini. Kita seperti terkejar-kejar dengan status Apex, yang seolah-olah mahukan perubahan mendadak dalam kemajuan USM ke arah 100 universiti terbaik dunia. Ya, kita mungkin akan dapat status antara 100 universiti terbaik dunia, tetapi pernahkah kita terfikir kesan sampingan yang boleh membuatkan kita hilang sesuatu yang lebih besar? Walaupun ada orang kata, tak perlulah terlalu memikirkan kesan negatif, sebaliknya bekerjasama dengan sistem yang sedang bergerak ke arah matlamat itu dengan fikiran yang positif, tetapi tidak salah untuk kita letakkan kebimbangan-kebimbangan tertentu sebagai muhasabah.

Apa yang kita mungkin akan hilang? Tamadun Cordova suatu ketika dahulu tidak pernah terfikir mereka akan lenyap dari peta dunia - hanya tinggal sejarah. Mereka mungkin tidak pernah meletakkan kebimbangan-kebimbangan tertentu yang memberi kesan buruk kepada tamadun tersebut kerana beranggapan ketamadunan yang sangat tinggi yang mereka capai ini adalah sukar diruntuhkan. Akhirnya mereka kehilangan permata yang mereka bina. Ketamadunan ilmu mereka diambil oleh pihak Barat yang akhirnya berjaya membangunkan tamadun Barat.

Kita lihat USM Apex, beberapa tanda yang kita perlu lihat sebagai kebimbangan yang boleh menjadikan kita berputih mata kelak walaupun USM sudah bergelar universiti antara 100 terbaik dunia. Lihatlah hari ini, siapakah yang mendominasi kecemerlangan akademik dalam USM? Kita tahu jawapannya. Ada pihak yang berbangga bahawa para pensyarah, penyelidik, dan sebagainya, semuanya 'orang kita', tetapi dalam jangka panjang, siapa boleh jangka? Perhatikanlah para penyelidik yang hebat-hebat, siapakah yang menjadi pelajar PhD-nya, pelajar Master-nya dan orang-orang sekelilingnya. Jadi bagaimana masa depan umat Islam dalam USM? Apakah ini petanda awal kita akan berputih mata kelak sedangkan pihak kerajaan dan pentadbiran kita hanya mengejar nama Apex semata-mata? (Maaf jika tidak berkaitan)

Kita bersyukur, USM terpilih sebagai Universiti Apex. Kita punya persediaaan ekonomi untuk ke arah itu. Apabila punya peruntukan ekonomi yang baik, fasiliti yang baik akan dapat direalisasi. Tetapi bagaimana dengan persediaan insani? Adakah semua warga USM ini akan berubah mentalitinya secara mendadak daripada bergerak secara constant speed kepada accelerated speed? Ustaz Yusof memberi anologi seperti pokok asam yang buahnya dikehendaki manis. Maka pokok itu akan dipaksa dengan pelbagai baja dan ramuan, akhirnya pokok asam itu akan berbuah manis. Berjaya dari sudut itu. Tetapi apabila benihnya ditanam semula, hasilnya akan kembali menjadi buah asam yang masam jua sifatnya. Begitu jua USM. Pasti akan ada sesuatu yang tidak kena kelak jika kegemilangan dicapai sebelum masa matangnya.

Aku berkesimpulan bahawa kita tidak menghalang program Apex dan merendah-rendah status Apex kepada USM. Tetapi setiap pandangan ada nilainya tersendiri. Dalam mengejar Apex, perlu wujud satu force yang besar untuk memperkukuh basic, supaya kita terselamat daripada kesan negatif disebalik kejayaan USM Apex nanti. Team untuk menjaga basic perlu sehebat team yang bergerak ke arah Apex. Barulah peristiwa jatuhnya kegemilangan Cordova dapat dielakkan daripada terjadi kepada USM yang kita cintai. Belajar daripada sejarah bukanlah hanya dengan mengetahui bila, di mana dan siapa, tetapi ambillah iktibar , 'ibrah dan renungi corak pemikiran pelaku-pelaku sejarah ketika itu. Kita sudah digazet sebagai universiti Apex, maka tiada alasan untuk kita mundur kebelakang semula. Perjuangan mesti diteruskan.

Apa perkara basic yang kita perlu perkuatkan? Aku serah kepada kalian untuk terjemahkan apa itu basic..

Mungkin orang lain ada komen berbeza, silakan....

Wednesday, March 18, 2009

Sesal dahulu sangat berguna, sesal kemudian padanlah muka!

ويقولون متى هذا الوعد إن كنتم صادقين

Maksudnya: "Dan mereka (orang-orang kafir) bertanya (memerli) : bilakah hari (kiamat) yang dijanjikan (akan tiba), jika kamu orang-orang yang benar?"

Dalam ayat di atas, orang-orang Musyrik mempermainkan dakwah RasuluLLAH. Mereka bersikap degil dan enggan mempercayai ketibaan Hari Kiamat seperti yang dijanjikan ALLAH.

Tidak perlu untuk dihuraikan seterusnya ayat tersebut, kerana aku bukanlah ahlinya. Tetapi sedikit pengajaran yang kita boleh ambil adalah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna.

Apa maksud dan kaitannya dengan ayat di atas?

Dalam ayat di atas, orang-orang kafir mempersenda dakwah Nabi S.A.W dan menganggap berita akan tibanya hari kiamat adalah cerita yang direka-reka. Padahal, mereka sendiri yakin bahawa RasuluLLAH tidak pernah sekali-kali berbohong, dan tidak akan berbohong sampai bila-bila. Walaupun begitu, mereka tetap enggan mempercayai sesuatu yang mereka tidak nampak dengan mata kepala mereka. Mereka seolah-olah mencabar RasuluLLAH untuk meminta ALLAH menyegerakan hari kiamat tersebut. Mereka mempersendakan tentang azab-azab yang dijanjikan kepada mereka jika mereka tidak beriman.

Orang-orang beriman, para sahabat RasuluLLAH juga tidak pernah sedetik pun untuk tidak mempercayai RasuluLLAH. Keadaannya kelihatan sama dengan orang-orang kafir tersebut, yakni tidak nampak kejadian hari kiamat itu dengan mata kepala mereka. Tetapi mereka yakin bahawa janji ALLAH itu benar. Lalu mereka beriman bahawa hari kiamat pasti akan tiba. Jauh di sudut hati mereka, ingin juga mereka tahu kebenaran hari kiamat itu dengan mata kepala mereka, kerana itu naluri biasa manusia - ingin tahu. Namun berita kedahsyatan hari kiamat yang diketahui dari lidah Rasul membuatkan mereka gerun. Berbekalkan keimanan kepada ALLAH dan Rasul-Nya, orang-orang beriman tetap percaya bahawa hari kiamat pasti tiba.

Dua kategori di atas, antara orang-orang beriman dan orang-orang kafir, kedua-duanya pasti akan dipertontonkan kedahsyatan hari kiamat atau hari akhirat yang penuh dengan segala macam kesukaran yang tidak pernah diduga akal fikiran. Ketika itu pastilah kedua-dua golongan tersebut akan terdetik dalam hati mereka bahawa janji ALLAH itu benar! Kali ini keyakinan mereka melebihi 1000% bahawa hari itulah yang dijanjikan kepada mereka, dan hari itulah yang mereka bertanya ketika di dunia dahulu.

Bezanya, orang-orang kafir yakin dalam keadaan mereka sudah tidak boleh berpatah balik. Merekalah watak-watak yang menerima azab pada hari itu. Suatu ketika dahulu mereka menafikan ketibaan hari itu, nah sekarang merekalah yang diazab, tanpa dapat mereka berpatah balik. Keyakinan yang melebihi 1000% itu tidak langsung dapat membantu mereka keluar dari azab.

Lain pula halnya orang-orang yang beriman, mereka juga yakin melebihi 1000% pada hari itu. Terdetik dalam hati mereka bahawa janji ALLAH dan Rasul-Nya adalah benar. Beruntunglah mereka kerana meyakininya sejak di dunia lagi. Mereka tidak menjadi watak-watak yang diazab seperti yang pernah didengar daripada ayat-ayat ALLAH semasa di dunia. Walaupun keyakinan mereka sama, hakikatnya adalah berbeza sekali.

Lihat pula contoh dua beradik perempuan yang dinasihati oleh ibu bapanya supaya jangan keluar rumah pada waktu malam kerana bimbang diculik atau dicabul oleh penjenayah. Si kakak berasa sudah dewasa dan tidak perlu takut dengan perinagatn ibu bapanya, manakala si adiknya pula begitu taat kepada ibu bapanya. Si kakak tentu berpendirian bahawa tiada apa yang perlu ditakutkan kerana dia sudah besar panjang. Maka cakap-cakap ibu bapanya dipandang remeh. Keyakinan kepada nasihat ibu bapanya dipudarkan oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan.

Si adik pula yakin, jika dia keluar waktu malam, pasti dia akan kena. Dia ingin tahu kebenaran nasihat ibunya, kerana sifat ingin tahu itu normal. Tetapi dia tidak mahu dirinya yang menjadi mangsa kepada kebenaran disebalik nasihat ibunya. Lalu apabila si kakak yang degil ini keluar juga pada waktu malam, takdirnya terjadilah seperti yang ditakutkan oleh ibu bapanya.

Ketika itu kedua-dua beradik itu yakin bahawa nasihat ibu bapa mereka benar. Bezanya, si adik dapat melihat kebenaran nasihat ibu bapanya dengan jelas, manakala si kakak juga jelas melihat kebenaran itu tetapi dialah yang menjadi watak mangsa kepada kejadian itu. Pada waktu itu, walaupun kebenaran sudah diyakini, tetapi apakan daya, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna.

Kita pandang pula kepada kehidupan seharian kita. Sebagai seorang Muslim, kita pernah mendengar tazkirah, kuliyah, ceramah dan sebagainya mengenai perlunya kita membuat kebaikan dan meninggalkan kemaksiatan. Jika baik kita berbuat, balasannya baik. Sekiranya buruk amalan kita, nescaya buruk kelak kita akan tanggung. Baik buruk pembalasan yang akan kita terima nanti, kita tidak nampak hari ini. Hanya iman dan hati nurani yang bersih akan merasainya. Nampak, tidak sekali-kali kerana itu adalah perkara ghaib.

Terpulang kepada kita untuk berbuat baik atau bersikap buruk. Suatu hari nanti kita akan benar-benar yakin dengan janji ALLAH ini. Hari ini kita memandang enteng kepada orang yang menasihati kita, memandang rendah orang yang memberi peringatan kita, atau mencemuh orang yang menegur kesalahan kita, tidak mengapa. Tunggulah suatu hari nanti, kita dan orang yang menegur kita itu akan sama-sama melihat kebenaran janji ALLAH itu. Bezanya dia akan melihat bahawa apa yang dinasihatinya itu benar, manakala kita juga yakin apa yang ditegurinya itu benar. Tetapi waktu itu kita sudah tidak boleh berpatah balik untuk memohon maaf kepadanya dan tidak pula boleh berpatah balik ke dunia untuk menurut tegurannya. Na'uzubiLLAH.

Maka bagaimana kita? adakah kita yakin dengan janji ALLAH dalam setiap amalan kita? Jika orang menegur tentang aurat kita yang sengaja kita dedahkan, apa reaksi kita? Jika orang menegur kita bahawa konsert kugiran yang kita anjurkan itu menempah murka ALLAH, apa pendirian kita? Orang melaung-laungkan bahawa rasuah itu haram dan akibatnya neraka, bagaimana keyakinan kita? Orang menyeru kepada gerakan Islam, kita pula menyertai angkatan penentangnya, bagaimanakah nasib kita kelak?

Segalanya kita jawab sendiri berdasarkan iman kita. Janganlah kita menyesali sesuatu yang tidak kita akan dapat kembali. Sesal dahulu sangat berguna, sesal kemudian baru padan muka. Wal'iyazubiLLAH.

AstaghfiruLLAH, mudah-mudahan kita berada di bawah naungan rahmat dan hidayah dari ALLAH.


Monday, March 16, 2009

Antara impian Melayu dan impian orang-orang beriman...

Gabungan UMNO-Pas impian orang Melayu - Utusan Online

KUALA LUMPUR 15 Mac - Cadangan untuk mewujudkan satu kerajaan perpaduan yang menggabungkan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dan Pas merupakan impian seluruh masyarakat Melayu di negara ini.

Ia adalah kerana kedua-dua parti tersebut merupakan dua parti terbesar orang Melayu yang selama ini sering bertentangan dalam apa jua isu disebabkan perbezaan ideologi dan prinsip dalam politik.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, segala usaha yang boleh menggerakkan ke arah merealisasikan impian tersebut antaranya mengadakan pertemuan di peringkat kepimpinan parti perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh.

"Saya pernah berjumpa dengan beberapa pemimpin Pas dan saya bercakap mengenai perkara ini. Mereka memberi reaksi yang amat positif dan mereka sendiri mengakui kerjasama UMNO-Pas adalah impian bagi seluruh masyarakat Islam terutama orang Melayu.

"Siapa tidak mahu melihat UMNO dan Pas bersatu? Apa yang penting sekarang, pihak UMNO dan Pas harus mengetepikan perbezaan fahaman politik supaya kita dapat memulakan segera usaha ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Baca Lagi...


1) Impian orang Melayu atau impian UMNO?
Orang-orang beriman mengimpikan UMNO bubar dan beramai-ramai menyertai Parti Islam.

2) Parti Islam dan Parti Melayu memang takkan sama ideologi politiknya. Tidak mungkin sama pendirian politik Islam dengan politik nasionalis.

3) Bagaimana pula Parti Islam mahu mengenepikan Islam yang menjadi fahaman politiknya semata-mata untuk bersatu dengan Parti Melayu yang fahaman politiknya adalah berasaskan perkauman?

Orang-orang beriman tidak akan mencampakkan diri ke dalam lembah kebinasaan dan tidak pula akan bersubahan dalam perkara-perkara maksiat dan penderhakaan kepada ALLAH. Bergabung dengan Umno/BN bererti bergabung dengan kemungkaran, kerana umum sudah mengetahui segala penyelewengan Umno/BN. Dosa rasuah, dosa fitnah memfitnah, dosa penyalahgunaan harta rakyat dan negara, dosa membunuh penduduk kampung (Memali), dosa membelasah tahanan tanpa bicara, dan pelbagai lagi dosa mereka, maka tidak layak untuk mereka bergabung dengan Parti Islam. Melaikankan mereka membubarkan Parti Perkauman mereka dan beramai-ramai menyertai Parti Islam.

Orang-orang beriman tidak akan terjerumus ke dalam lubang yang sama untuk kali kedua. Jika impian Melayu mahu lihat Parti Islam dan UMNO bersatu, maka Parti Islam tidak memilih untuk jatuh ke dalam lubang gabungannya dengan UMNO untuk kali kedua. Sebaliknya jika Parti perkauman Melayu itu mahu lihat Melayu bersatu, maka marilah bersama-sama bergabung atas nama Islam. Kikislah semangat asobiyyah dalam jiwa Melayu. Melayu tidak akan cemerlang dan akan terus hancur jika Islam tidak menjadi pegangan.

Melayu masih wujud hari ini kerana perjuangan para ulamak dahulu kala mengembangkan Islam dalam masyarakat Melayu dari segi aqidah, syariah dan akhlak. Bermaksud, Islamlah yang mengangkat martabat Melayu. Hari ini, akhlak Islamiyyah dalam masyarakat Melayu sudah nazak. Syariah sebahagian besarnya sudah ditinggalkan. Dan aqidah Islam umat Melayu semakin dikikis secara rakus oleh persekitaran yang tidak dibela. Lihatlah akibatnya, Melayu semakin mundur dalam pelbagai segi. Itu pun pemimpin-pemimpin Melayu masih keras kepala untuk mengakui hakikat ini.

Sebab itulah orang-orang beriman, tidak memandang penyatuan umat dari sudut kebangsaan dan perkauman. Penyatuan umat hanyalah dapat direalisasikan dengan kesatuah aqidah, yakni Islam. Perkauman akan mencetuskan perpecahan dan permusuhan sekalipun pada awalnya nampak keserasian. Kesatuan aqidah tauhid akan membawa kepada penyatuan umat manusia sekalipun pada awlnya nampak seperti ketidak-selesaan.

Oleh itu impian orang-orang beriman tidak sama dengan impian Melayu (UMNO). Zaman asobiyyah mesti ditamatkan!

Link berkaitan:
Nik Aziz anggap cadangan kerajaan campuran tidak perlu - Harakahdaily
Gabungan UMNO-Pas impian orang Melayu - Utusan Online

Thursday, March 12, 2009

Wasiat Al-Banna : Elakkan bercakap nyaring

Jangan bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kita. Demikianlah antara wasiat Imam Hasan al-Banna.

Percakapan yang nyaring dan kuat banyak mengundang masalah seperti mengundang kemarahan orang dan menyuburkan takbur di hati para penceramah dan pendakwah itu sendiri.

Dalam hal ini, seorang bapa yang bijaksana, Luqman al-Hakim menasihatkan anak-anaknya sebagai berikut:-

"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai." [Luqman: 19]

Justeru, menjadi tanggungjawab ibu bapa menasihatkan anak-anak mereka agar tidak meninggikan suara ketika berbual bersama teman-temannya. Ini kerana, hal meninggikan suara itu boleh menimbulkan pergaduhan.

Hal kesantunan bicara ini turut disentuh dalam buku bertajuk Cinta Di Rumah Hasan Al-Banna yang memperihalkan kehidupan rumahtangga Al-Banna sendiri.

Di dalam satu bab, pernah dikupas perihal tiadanya suara-suara yang keras dan nyaring dalam keluarga beliau.

Semua ini menunjukkan bahawa Hasan al-Banna telah merintis jalan teori dan melaksanakan amalinya dalam keluarganya sendiri. Maka di sini, al-Banna benar-benar telah menjadikan wasiat Luqman al-Hakim itu sebagai panduannya.

Sikap nabi-nabi yang bersikap lemah-lembut kepada pihak yang didakwah juga patut diberikan perhatian..

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari ALLAH (kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat), dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentu mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya." [Ali Imran:159]

Demikian juga ketika diperintahkan kepada Musa a.s dan Harun a.s untuk berdepan dengan kezaliman Fir'aun.

"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut." [Taha: 44]


Jangan nyaring berwirid

Malah dalam hal yang berkaitan dengan wirid, ratib dan zikir sekali pun, ALLAH s.w.t menyeru kita supaya meratibkannya dengan rendah dan tidak nyaring.
"Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai. " [Al-'Araaf: 205]

Mungkin, dengan berzikir dalam senyap, hal ini tidak diketahui orang lain dan dengan itu, kita terselamat daripada bahaya riyak, penyakit 'ujub dan sum'ah.

Lantas, timbul persoalan baru mengenai amalan tarekat yang berzikir, meratib beramai-ramai sehingga tinggi dan nyaring pula suara mereka. Maka, bagaimanakah kedudukan ratib, zikir mereka ini?

Dalam hal latihan kerohanian, hal-hal seumpama itu dibenarkan, diharuskan dengan sebab melatih murid-murid untuk berzikir. Ini kerana, bagi sesetengah orang, penumpuan untuk berzikir itu sangat sukar kerana mereka terlalu banyak berkhayal mengenai kenikmatan dan kelazatan duniawi sebelum ini.

Maka, hal-hal yang seumpama itu tiada salahnya atas tujuan latihan. Mungkin, apabila tiba waktunya, mereka akan diminta meneruskan wirid dengan perlahan-lahan di tempat suluk mereka sendiri. Wallahu'alam..


Jangan keraskan suara di depan guru

Perihal keburukan suara yang nyaring ini telah dibangkitkan oleh ALLAH s.w.t dalam al-Quran, di mana hal itu termasuk dalam perkara-perkara yang bercanggah dengan adab bersama Rasulullah s.a.w.

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya."

Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi RasuluLLAH, - merekalah orang-orang yang telah dibersihkan ALLAH hati mereka untuk bertaqwa; mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.
"Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, wahai Muhammad), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tatatertib).

Dan kalaulah mereka bersabar menunggu sehingga engkau keluar menemui mereka, tentulah cara yang demikian lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "[Al-Hujurat: 2-5]

Timbul persoalan lain, baginda RasuluLLAH s.a.w tidak lagi berada di sisi kita. Betapalah kita akan mengangkat suara dan menyaringkan suara kepada baginda? Maka, dalam hal ini, ingatlah pengertian hadis yang bermaksud, "Golongan ulamak itu adalah pewaris kepada para nabi."

Adapun guru-guru itu, orang-orang tua yang bijaksana dan mereka yang selalu dilihat sebagai orang yang berpengetahuan dalam memberikan tunjuk ajar dan bimbingan kepada kita, kepada bangsa kita dalam hal-hal agama, mereka itu penggalas amanah RasuluLLAH s.a.w. Kepada mereka, janganlah kita mengeraskan suara kita.



Rendahkan suara di depan ibu bapa

Maka, termasuk dalam kalangan manusia yang mesti kita rendahkan suara terhadap mereka, ialah ibu bapa kita sendiri.

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha / Uh", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." [Al-Isra': 23-24]

Melakukan amal kebaktian kepada ibu bapa adalah jalan termudah mendapatkan keredhaan ALLAH s.w.t. Dalam hubungan ini, baginda RasuluLLAH s.a.w bersabda:-

"Syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu." dan sabda baginda lagi; "Keredhaan ALLAH itu terletak di atas keredhaan ALLAH s.w.t."

Sesetengah pihak melihat keredhaan ALLAH itu didapati lewat zikir-zikir, wirid-wirid sebagai yang disebut mereka dalam munajat, "Ilahi anta maqshudi, wa ridhaka mathluubi - Tuhanku Engkaulah matlamatku dan aku menuntut keredhaanMu."

Tetapi, ada yang bersikap kasar, bengis dan mengeraskan suaranya kepada ibu bapa. Adakah kita termasuk dalam golongan yang berhak mendapat keredhaan Tuhan? Sekali-kali tidak! Kita perlu hormat ASAL-USUL (ibu bapa) bagi mendapatkan redha YANG PALING ASAL, YANG PALING AWAL (ALLAH s.w.t).

Demikian juga hubungan antara Rakyat dan Pemerintah. Pemerintah berasal daripada rakyat. Maka pemerintah yang diredhai pemerintahannya adalah pemerintah yang menghormati rakyat dengan memansuhkan ISA, PPSMI, AUKU dan segala undang-undang yang meresah-gelisahkan hati rakyat.

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari ALLAH (kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat), dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentu mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya." [Ali Imran:159]

Apabila rakyat tidak meredhai pemerintahan pemerintah, maka ALLAH S.W.T tidak meredhai pemerintahan mereka itu. Sebab itulah timbul banyak kekacauan dan semua itu adalah petanda, sindrom kepada pemerintahan yang tidak diredhai Tuhan. Oleh itu, banyakkan meminta ampun bagi pihak rakyat dan jangan bersikap kasar dengan rakyat.

Seperti mana anak mesti hormatkan ASAL-USUL (ibu bapa) untuk mendapat redha Tuhan, maka demikianlah pemerintah mesti hormatkan ASAL-USUL (rakyat) untuk mendapat restu ALLAH dalam pemerintahan mereka.

Jika seorang anak itu berbicara dengan baik kepada ibu bapanya sebagai tanda hormat dan mendapat redha Tuhan, demikian pemerintah jangan berbicara dengan keras dan nyaring kepada rakyat dengan mengugut dan mengancam mereka dengan jentera kerajaan seperti polis, tentera dan sebagainya.

Diriwayatkan, pernah suatu ketika, seorang anak muda mendaftar diri untuk pergi berperang ke medan jihad. Rasulullah s.a.w merenung wajah anak muda itu dengan pandangan kasyafnya.

"Anak muda, jelaskan kepadaku bagaimana keadaan orang tuamu tatkala kamu keluar daripada rumahmu tadi," kata baginda.

"Ya RasuluLLAH, hamba mesti beritahu kepadamu bahawa dengan sesungguhnya aku ingin syahid di jalan Allah. Tetapi kedua orang tuaku menangis, meminta aku tidak pergi berperang kerana aku satu-satunya anak tunggal mereka."

"Engkau mendapat pahala. Sekarang.. dengan perintah RasuluLLAH, kembalilah ke rumah. Gembirakanlah hati kedua-dua ibu bapamu," demikian baginda memutuskan.

Maka, pulanglah si anak muda itu dan gembiralah kedua-dua ibu bapanya. Anak muda tadi telah beroleh pahala sekali gus mendapat keredhaan ALLAH di rumahnya dan bukan di medan jihad.

Sementara itu, Nabi Ibrahim a.s adalah antara contoh anak yang menyeru bapanya, Aazar (pembuat patung berhala) ke arah jalan Tauhid dengan baik dan tabah hati.

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: "Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata." [Al-An'aam:74]

Malah, baginda telah mendoakan kebaikan kepada ayahnya sendiri, walhal tindakan itu dilarang agama..

Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik sekali pun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.

"Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi ALLAH, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar." [Surah at-Taubah: 113 - 114]

Disebutkan di situ, ada dua nilai yang menyebabkan baginda bersikap baik kepada orang tuanya. Pertama, baginda lembut hati dan bersikap penyabar. Hal inilah yang mesti hadir dalam jiwa seorang anak yang mahu keredhaan Tuhan dengan cara melakukan kebaikan kepada orang tuanya.

Maka, hal bercakap nyaring kepada orang-ramai, menjerkah dengan marah-marah, bersuara dengan keras tidak melambangkan kelembutan hati seseorang pendakwah itu. Demikianlah jika kita mahu laksanakan pesan dan wasiat Imam Hasan al-Banna.

Tuesday, March 10, 2009

Apa beza Melayu kampung dan bangsawan UMNO

UMNO hari ini sudah lari dari tujuan asalnya membela nasib umat Melayu. UMNO hari ini menjadi libiliti kepada bangsa Melayu. Pengkhianatan UMNO semakin menjadi-jadi dan dapat dilihat oleh rakyat yang sudah membuka mata. Kalau dahulu, pengkhianatan UMNO terhadap Melayu dan Islam hanya berlegar dalam kalangan orang-orang politik, pada hari ini, di zaman yang serba canggih ini, UMNO tidak dapat menyembunyikan lagi pengkhianatannya terhadap Agama, Bangsa dan negara. Dalam artikel ini, kita akan dedahkan salah satu pengkhianatan UMNO yang sekarang sudah dibuat terang-terangan.

Antara isu yang hangat hari ini adalah isu PPSMI, perlaksanaan pembelajaran matapelajaran sians dan matematik dalam bahasa Inggeris. Gerakan Memansukan PPSMI (GMP) sejak awal-awal lagi menentang perlaksanaan PPSMI ini. Sejak enam tahun dahulu lagi GMP sudah bergerak memberi penerangan kepada rakyat tentang bahaya PPSMI. Dalam masa enam tahun perlaksanaan PPSMI ini GMP sudah berkali-kali membuat resolusi, persidangan para ahli akademik, seminar, ceramah, forum, dan terbaru demontrasi menyerahkan memorandum membantah PPSMI kepada KDYMM Yang Di-Pertuan Agong. Namun apa kata menteri UMNO? Menteri berkenaan menyalahkan GMP dan para demonstran kenapa baru sekarang mereka membantah setelah enam tahun perlaksanaan!

Isu survival Bahasa Melayu itu satu segi, kerana apabila sesuatu bahasa itu tidak menjadi bahasa ilmu, secara automatik bahasa itu akan mengalami kepupusan. Lihatlah bahasa Arab masih utuh sehingga hari ini kerana ALLAH jadikan Bahasa Arab sebagai bahasa ilmu dengan menurunkan al-Quran dalam Bahasa Arab. Bahasa Inggeris muncul pula sebagai bahasa global pada hari ini dek kerana mereka jadikan Bahasa Inggeris itu sebagai bahasa ilmu sains dan teknologi. Maka apabila Bahasa Melayu tidak mendapat tempat sebagai bahasa ilmu, tunggulah kepupusannya.

Isu PPSMI yang sebenar adalah survival para pelajar Melayu sendiri dalam arus pendidikan negara. Apabila matapelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa asing, anak-anak sekolah yang belum mengerti bahasa asing itu pasti tidak akan dapat mengikuti pembelajaran subjek Sains dan Matematik itu dengan sempurna, padahal mereka berhak pandai dan pintar dalam kedua-dua subjek tersebut. Kefahaman dalam kedua-dua subjek tersebut adalah bergantung kepada sejauh mana kebolehan guru yang menyampaikan ilmu dan juga keupayaan pelajar memahami ilmu yang disampaikan. Bagaimanakah pelajar itu akan dapat memahami ilmu Sains dan Matematik sekiranya pelajar itu tidak faham apa yang disampaikan dan tidak pula tahu untuk bertanya guru dek kerana penggunaan Bahasa Inggeris.

Menteri UMNO itu hidup sebagai anak bangsawan. Samalah dengan beberapa lagi menteri kelas bangsawan. Mereka tidak pernah tahu hakikat sebenar orang Melayu, anak-anak Melayu dan Bahasa Melayu. Mereka hakikatnya tiada roh Melayu. Mereka bangsawan ini hanya mendapat maklumat mengenai Melayu melalui pembacaan buku-buku sejarah dan sebagainya, tetapi mereka tidak dapat memahami hakikat Melayu yang sebenar. Mereka hidup dan bergelumang dengan kemewahan, wang ringgit, projek-projek besar, kuli-kuli yang ramai dan sebagainya. Lantas mereka lupa daratan dan menggubal dasar-dasar yang merosakkan bangsa Melayu.

Golongan bangsawan UMNO ini bukan lagi Melayu yang sebenar. Kehidupan mereka jauh daripada kemelayuan, apatah lagi untuk mengikut cara hidup Islam. Pendidikan mereka diperoleh di negara-negara Barat. Pakaian mereka semuanya kebaratan. Cuma sekali sekala mereka bercakap mengenai pendidikan Melayu dan memakai pakaian Melayu yang mereka peroleh daripada bahan-bahan bacaan sahaja. Jadi bagaimanakah spesies bangsawan seperti Menteri UMNO ini faham akan masalah sebenar orang Melayu? Setakat mana pula mereka faham bahawa PPSMI ini akan memusnahkan masa depan anak-anak Melayu?

Lihatlah pula akibat terlalu taksub dengan kehendak mahu laksanakan PPSMI, mereka sanggup 'menipulasi' gred-gred peperiksaan anak-anak Melayu. Semuanya untuk menghalalkan PPSMI yang sudah menguntungkan kroni-kroni percetakan buku dalam bahasa Inggeris. Ingat, tender percetakan buku-buku Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sudah diterima oleh kroni-kroni untuk jangka masa lima hingga sepuluh tahun atau lebih. Akibat daripada menipulasi gred ini, anak-anak Melayu 'cemerlang' pada gred semata-mata, tetapi hakikatnya mereka tidak memahami asas ilmu tersebut. Hasilnya, anak-anak Melayu ini akan lingkup pada tahap pembelajaran yang lebih tinggi kerana asasnya goyah. Di peringkat pengajian yang lebih tinggi, bahasa bukan faktor utama kecemerlangan, tetapi basic atau fundamental ilmu tersebut sangat membantu. Bahasa ibundalah yang akan memasak kefahaman asas dalam minda anak-anak.

Lihatlah professor-professor hari ini, para ahli akademik hari ini, para pensyarah, pasa saintis, sarjana-sarjana, guru-guru, dan sekalian orang yang berjaya hari ini, mereka semua berjaya disebabkan sewaktu alam persekolahan dahulunya mereka diajar menggunakan perantaraan bahasa Melayu dan bahasa ibunda. Sebab itulah mereka pada hari ini sebahagian besarnya turut dalam usaha membantah PPSMI, kerana mereka memahami jiwa dan hakikat sebanar bangsa Melayu. Berbeza sekali dengan golongan bangsawan yang berpendidikan Inggeris, mereka hanya tahu menggubal dasar yang merosakkan tanpa mendapat nasihat daripada pihak yang sepatutnya.

Wahai umat Melayu, sedarilah bahawa UMNO sebenarnya tidak berjuang untuk kemajuan Melayu. Mereka hanya berjuang untuk kepentingan golongan bangsawan UMNO ini sahaja. Anda semua hanyalah bagi mereka haiwan-haiwan gembala yang memberi keuntungan kuasa politik kepada mereka untuk terus memerintah Negara kita yang tercinta. Bagi mereka, apabila anda mengamuk, tentu anda tidak cukup makan. Maka mereka akan laburkan syiling-syiling mereka supaya anda diam, sedangkan mereka meratah harta dan khazanah Negara bersama-sama kroni mereka. Ayuh selamatkan diri dan ahli keluarga kita daripada UMNO!
Ũ