© The Mhakk Studio

You are being watched!

Wednesday, March 18, 2009

Sesal dahulu sangat berguna, sesal kemudian padanlah muka!

ويقولون متى هذا الوعد إن كنتم صادقين

Maksudnya: "Dan mereka (orang-orang kafir) bertanya (memerli) : bilakah hari (kiamat) yang dijanjikan (akan tiba), jika kamu orang-orang yang benar?"

Dalam ayat di atas, orang-orang Musyrik mempermainkan dakwah RasuluLLAH. Mereka bersikap degil dan enggan mempercayai ketibaan Hari Kiamat seperti yang dijanjikan ALLAH.

Tidak perlu untuk dihuraikan seterusnya ayat tersebut, kerana aku bukanlah ahlinya. Tetapi sedikit pengajaran yang kita boleh ambil adalah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna.

Apa maksud dan kaitannya dengan ayat di atas?

Dalam ayat di atas, orang-orang kafir mempersenda dakwah Nabi S.A.W dan menganggap berita akan tibanya hari kiamat adalah cerita yang direka-reka. Padahal, mereka sendiri yakin bahawa RasuluLLAH tidak pernah sekali-kali berbohong, dan tidak akan berbohong sampai bila-bila. Walaupun begitu, mereka tetap enggan mempercayai sesuatu yang mereka tidak nampak dengan mata kepala mereka. Mereka seolah-olah mencabar RasuluLLAH untuk meminta ALLAH menyegerakan hari kiamat tersebut. Mereka mempersendakan tentang azab-azab yang dijanjikan kepada mereka jika mereka tidak beriman.

Orang-orang beriman, para sahabat RasuluLLAH juga tidak pernah sedetik pun untuk tidak mempercayai RasuluLLAH. Keadaannya kelihatan sama dengan orang-orang kafir tersebut, yakni tidak nampak kejadian hari kiamat itu dengan mata kepala mereka. Tetapi mereka yakin bahawa janji ALLAH itu benar. Lalu mereka beriman bahawa hari kiamat pasti akan tiba. Jauh di sudut hati mereka, ingin juga mereka tahu kebenaran hari kiamat itu dengan mata kepala mereka, kerana itu naluri biasa manusia - ingin tahu. Namun berita kedahsyatan hari kiamat yang diketahui dari lidah Rasul membuatkan mereka gerun. Berbekalkan keimanan kepada ALLAH dan Rasul-Nya, orang-orang beriman tetap percaya bahawa hari kiamat pasti tiba.

Dua kategori di atas, antara orang-orang beriman dan orang-orang kafir, kedua-duanya pasti akan dipertontonkan kedahsyatan hari kiamat atau hari akhirat yang penuh dengan segala macam kesukaran yang tidak pernah diduga akal fikiran. Ketika itu pastilah kedua-dua golongan tersebut akan terdetik dalam hati mereka bahawa janji ALLAH itu benar! Kali ini keyakinan mereka melebihi 1000% bahawa hari itulah yang dijanjikan kepada mereka, dan hari itulah yang mereka bertanya ketika di dunia dahulu.

Bezanya, orang-orang kafir yakin dalam keadaan mereka sudah tidak boleh berpatah balik. Merekalah watak-watak yang menerima azab pada hari itu. Suatu ketika dahulu mereka menafikan ketibaan hari itu, nah sekarang merekalah yang diazab, tanpa dapat mereka berpatah balik. Keyakinan yang melebihi 1000% itu tidak langsung dapat membantu mereka keluar dari azab.

Lain pula halnya orang-orang yang beriman, mereka juga yakin melebihi 1000% pada hari itu. Terdetik dalam hati mereka bahawa janji ALLAH dan Rasul-Nya adalah benar. Beruntunglah mereka kerana meyakininya sejak di dunia lagi. Mereka tidak menjadi watak-watak yang diazab seperti yang pernah didengar daripada ayat-ayat ALLAH semasa di dunia. Walaupun keyakinan mereka sama, hakikatnya adalah berbeza sekali.

Lihat pula contoh dua beradik perempuan yang dinasihati oleh ibu bapanya supaya jangan keluar rumah pada waktu malam kerana bimbang diculik atau dicabul oleh penjenayah. Si kakak berasa sudah dewasa dan tidak perlu takut dengan perinagatn ibu bapanya, manakala si adiknya pula begitu taat kepada ibu bapanya. Si kakak tentu berpendirian bahawa tiada apa yang perlu ditakutkan kerana dia sudah besar panjang. Maka cakap-cakap ibu bapanya dipandang remeh. Keyakinan kepada nasihat ibu bapanya dipudarkan oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan.

Si adik pula yakin, jika dia keluar waktu malam, pasti dia akan kena. Dia ingin tahu kebenaran nasihat ibunya, kerana sifat ingin tahu itu normal. Tetapi dia tidak mahu dirinya yang menjadi mangsa kepada kebenaran disebalik nasihat ibunya. Lalu apabila si kakak yang degil ini keluar juga pada waktu malam, takdirnya terjadilah seperti yang ditakutkan oleh ibu bapanya.

Ketika itu kedua-dua beradik itu yakin bahawa nasihat ibu bapa mereka benar. Bezanya, si adik dapat melihat kebenaran nasihat ibu bapanya dengan jelas, manakala si kakak juga jelas melihat kebenaran itu tetapi dialah yang menjadi watak mangsa kepada kejadian itu. Pada waktu itu, walaupun kebenaran sudah diyakini, tetapi apakan daya, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna.

Kita pandang pula kepada kehidupan seharian kita. Sebagai seorang Muslim, kita pernah mendengar tazkirah, kuliyah, ceramah dan sebagainya mengenai perlunya kita membuat kebaikan dan meninggalkan kemaksiatan. Jika baik kita berbuat, balasannya baik. Sekiranya buruk amalan kita, nescaya buruk kelak kita akan tanggung. Baik buruk pembalasan yang akan kita terima nanti, kita tidak nampak hari ini. Hanya iman dan hati nurani yang bersih akan merasainya. Nampak, tidak sekali-kali kerana itu adalah perkara ghaib.

Terpulang kepada kita untuk berbuat baik atau bersikap buruk. Suatu hari nanti kita akan benar-benar yakin dengan janji ALLAH ini. Hari ini kita memandang enteng kepada orang yang menasihati kita, memandang rendah orang yang memberi peringatan kita, atau mencemuh orang yang menegur kesalahan kita, tidak mengapa. Tunggulah suatu hari nanti, kita dan orang yang menegur kita itu akan sama-sama melihat kebenaran janji ALLAH itu. Bezanya dia akan melihat bahawa apa yang dinasihatinya itu benar, manakala kita juga yakin apa yang ditegurinya itu benar. Tetapi waktu itu kita sudah tidak boleh berpatah balik untuk memohon maaf kepadanya dan tidak pula boleh berpatah balik ke dunia untuk menurut tegurannya. Na'uzubiLLAH.

Maka bagaimana kita? adakah kita yakin dengan janji ALLAH dalam setiap amalan kita? Jika orang menegur tentang aurat kita yang sengaja kita dedahkan, apa reaksi kita? Jika orang menegur kita bahawa konsert kugiran yang kita anjurkan itu menempah murka ALLAH, apa pendirian kita? Orang melaung-laungkan bahawa rasuah itu haram dan akibatnya neraka, bagaimana keyakinan kita? Orang menyeru kepada gerakan Islam, kita pula menyertai angkatan penentangnya, bagaimanakah nasib kita kelak?

Segalanya kita jawab sendiri berdasarkan iman kita. Janganlah kita menyesali sesuatu yang tidak kita akan dapat kembali. Sesal dahulu sangat berguna, sesal kemudian baru padan muka. Wal'iyazubiLLAH.

AstaghfiruLLAH, mudah-mudahan kita berada di bawah naungan rahmat dan hidayah dari ALLAH.


5 comments:

Qalam'Aini said...

Kalau beginilah keadaannya, patutlah dari dulu susah bangat mau terjun ke medan dakwah ni. Pengislahan saja belum setel lg. Sy trtarik dgn satu hujah dr seorang hamba Allah yg bukan muslim (ketika itu,skrg xtau), "Saya mempercayai kewujudan Allah dan Muhammad itu saya yakini, tapi saya rasa tdk perlu lah saya mengamalkan cara hidup Islam kerana semua ini kehendak Allah, DIA yang tentukan, sudah ditakdirkan saya tidak Islam" ...Macam mana? Jika sebegini mad'u kita...lagi hebat dari Abu Jahal yang langsung xpercaya keesaan Allah... Terima kasih utk post kali ni

Anonymous said...

posting yg agak menarik. ramai yg tahu, dan percaya hanya di bibir saje. tapi hati mrk sbenarnya x percaya pun. bibir takut utk mengatakan x percaya krn bimbang dicop kufur. kalau yakin dgn keperitan siksaan Allah kelak, pasti xde org yg nk bcouple, buka aurat, rasuah, zina, dll. umat Islam hr ni dilanda krisis keyakinan - krisis aqidah.

Anonymous said...

dia pcaya kewujudan Allah, pastu salahkan Allah sbb takdirkn dia tidak islam... byk cantik dia punya muka. tu bukan pcaya Allah namanya. tu saje nak pmain org.Allah bagi kepala otak suruh pikir. x cukup dgn tu, Allah turunkn quran sbg panduan. tak cukup lg, Allah kirim Nabi untuk ajar manusia kpd Islam. suke2 hati je dia cakap Allah takdir dia utk tidak islam. klu mcm tu suruh dia bersabar laa... mungkin Allah dah takdir dia masuk neraka. nak wat camne, kan...

Sepi Seorang Muezzin said...

assalamualaikum.. Alhamdulillah.. Ginie la naqib Sejati.. Memang demo ibarat Tok Guru kat tempat nie.. Sebelum demo menjejak kaki meninggalkan tempat nie.. Kawe harap demo dapat meninggalkan segala apa yang perlu ditinggalkan dan diwariskan.. Syukran jazilan.. wassalam

Aneroid said...

terima kasih kpd Qalam 'Aini, kersani dan Capiloton krn sudi komen. Boleh teruskan komen yg membina.

Kpd pembantu imam pmiusmkkj pulak, jgn ulang pujian mcm tu. kawe bimbang setan akan guna bola tanggung demo tu utk rosakkan hati kawe. siapalah kawe sampai demo bg taraf tok guru. terima kasih juga sbb sudi komen.

p/s: maaf jika ayat tak mesra alam...tgh sakit perut.. hehehe

Ũ