© The Mhakk Studio

You are being watched!

Thursday, March 12, 2009

Wasiat Al-Banna : Elakkan bercakap nyaring

Jangan bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kita. Demikianlah antara wasiat Imam Hasan al-Banna.

Percakapan yang nyaring dan kuat banyak mengundang masalah seperti mengundang kemarahan orang dan menyuburkan takbur di hati para penceramah dan pendakwah itu sendiri.

Dalam hal ini, seorang bapa yang bijaksana, Luqman al-Hakim menasihatkan anak-anaknya sebagai berikut:-

"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai." [Luqman: 19]

Justeru, menjadi tanggungjawab ibu bapa menasihatkan anak-anak mereka agar tidak meninggikan suara ketika berbual bersama teman-temannya. Ini kerana, hal meninggikan suara itu boleh menimbulkan pergaduhan.

Hal kesantunan bicara ini turut disentuh dalam buku bertajuk Cinta Di Rumah Hasan Al-Banna yang memperihalkan kehidupan rumahtangga Al-Banna sendiri.

Di dalam satu bab, pernah dikupas perihal tiadanya suara-suara yang keras dan nyaring dalam keluarga beliau.

Semua ini menunjukkan bahawa Hasan al-Banna telah merintis jalan teori dan melaksanakan amalinya dalam keluarganya sendiri. Maka di sini, al-Banna benar-benar telah menjadikan wasiat Luqman al-Hakim itu sebagai panduannya.

Sikap nabi-nabi yang bersikap lemah-lembut kepada pihak yang didakwah juga patut diberikan perhatian..

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari ALLAH (kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat), dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentu mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya." [Ali Imran:159]

Demikian juga ketika diperintahkan kepada Musa a.s dan Harun a.s untuk berdepan dengan kezaliman Fir'aun.

"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut." [Taha: 44]


Jangan nyaring berwirid

Malah dalam hal yang berkaitan dengan wirid, ratib dan zikir sekali pun, ALLAH s.w.t menyeru kita supaya meratibkannya dengan rendah dan tidak nyaring.
"Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai. " [Al-'Araaf: 205]

Mungkin, dengan berzikir dalam senyap, hal ini tidak diketahui orang lain dan dengan itu, kita terselamat daripada bahaya riyak, penyakit 'ujub dan sum'ah.

Lantas, timbul persoalan baru mengenai amalan tarekat yang berzikir, meratib beramai-ramai sehingga tinggi dan nyaring pula suara mereka. Maka, bagaimanakah kedudukan ratib, zikir mereka ini?

Dalam hal latihan kerohanian, hal-hal seumpama itu dibenarkan, diharuskan dengan sebab melatih murid-murid untuk berzikir. Ini kerana, bagi sesetengah orang, penumpuan untuk berzikir itu sangat sukar kerana mereka terlalu banyak berkhayal mengenai kenikmatan dan kelazatan duniawi sebelum ini.

Maka, hal-hal yang seumpama itu tiada salahnya atas tujuan latihan. Mungkin, apabila tiba waktunya, mereka akan diminta meneruskan wirid dengan perlahan-lahan di tempat suluk mereka sendiri. Wallahu'alam..


Jangan keraskan suara di depan guru

Perihal keburukan suara yang nyaring ini telah dibangkitkan oleh ALLAH s.w.t dalam al-Quran, di mana hal itu termasuk dalam perkara-perkara yang bercanggah dengan adab bersama Rasulullah s.a.w.

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya."

Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi RasuluLLAH, - merekalah orang-orang yang telah dibersihkan ALLAH hati mereka untuk bertaqwa; mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.
"Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, wahai Muhammad), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tatatertib).

Dan kalaulah mereka bersabar menunggu sehingga engkau keluar menemui mereka, tentulah cara yang demikian lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "[Al-Hujurat: 2-5]

Timbul persoalan lain, baginda RasuluLLAH s.a.w tidak lagi berada di sisi kita. Betapalah kita akan mengangkat suara dan menyaringkan suara kepada baginda? Maka, dalam hal ini, ingatlah pengertian hadis yang bermaksud, "Golongan ulamak itu adalah pewaris kepada para nabi."

Adapun guru-guru itu, orang-orang tua yang bijaksana dan mereka yang selalu dilihat sebagai orang yang berpengetahuan dalam memberikan tunjuk ajar dan bimbingan kepada kita, kepada bangsa kita dalam hal-hal agama, mereka itu penggalas amanah RasuluLLAH s.a.w. Kepada mereka, janganlah kita mengeraskan suara kita.



Rendahkan suara di depan ibu bapa

Maka, termasuk dalam kalangan manusia yang mesti kita rendahkan suara terhadap mereka, ialah ibu bapa kita sendiri.

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha / Uh", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." [Al-Isra': 23-24]

Melakukan amal kebaktian kepada ibu bapa adalah jalan termudah mendapatkan keredhaan ALLAH s.w.t. Dalam hubungan ini, baginda RasuluLLAH s.a.w bersabda:-

"Syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu." dan sabda baginda lagi; "Keredhaan ALLAH itu terletak di atas keredhaan ALLAH s.w.t."

Sesetengah pihak melihat keredhaan ALLAH itu didapati lewat zikir-zikir, wirid-wirid sebagai yang disebut mereka dalam munajat, "Ilahi anta maqshudi, wa ridhaka mathluubi - Tuhanku Engkaulah matlamatku dan aku menuntut keredhaanMu."

Tetapi, ada yang bersikap kasar, bengis dan mengeraskan suaranya kepada ibu bapa. Adakah kita termasuk dalam golongan yang berhak mendapat keredhaan Tuhan? Sekali-kali tidak! Kita perlu hormat ASAL-USUL (ibu bapa) bagi mendapatkan redha YANG PALING ASAL, YANG PALING AWAL (ALLAH s.w.t).

Demikian juga hubungan antara Rakyat dan Pemerintah. Pemerintah berasal daripada rakyat. Maka pemerintah yang diredhai pemerintahannya adalah pemerintah yang menghormati rakyat dengan memansuhkan ISA, PPSMI, AUKU dan segala undang-undang yang meresah-gelisahkan hati rakyat.

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari ALLAH (kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat), dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentu mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya." [Ali Imran:159]

Apabila rakyat tidak meredhai pemerintahan pemerintah, maka ALLAH S.W.T tidak meredhai pemerintahan mereka itu. Sebab itulah timbul banyak kekacauan dan semua itu adalah petanda, sindrom kepada pemerintahan yang tidak diredhai Tuhan. Oleh itu, banyakkan meminta ampun bagi pihak rakyat dan jangan bersikap kasar dengan rakyat.

Seperti mana anak mesti hormatkan ASAL-USUL (ibu bapa) untuk mendapat redha Tuhan, maka demikianlah pemerintah mesti hormatkan ASAL-USUL (rakyat) untuk mendapat restu ALLAH dalam pemerintahan mereka.

Jika seorang anak itu berbicara dengan baik kepada ibu bapanya sebagai tanda hormat dan mendapat redha Tuhan, demikian pemerintah jangan berbicara dengan keras dan nyaring kepada rakyat dengan mengugut dan mengancam mereka dengan jentera kerajaan seperti polis, tentera dan sebagainya.

Diriwayatkan, pernah suatu ketika, seorang anak muda mendaftar diri untuk pergi berperang ke medan jihad. Rasulullah s.a.w merenung wajah anak muda itu dengan pandangan kasyafnya.

"Anak muda, jelaskan kepadaku bagaimana keadaan orang tuamu tatkala kamu keluar daripada rumahmu tadi," kata baginda.

"Ya RasuluLLAH, hamba mesti beritahu kepadamu bahawa dengan sesungguhnya aku ingin syahid di jalan Allah. Tetapi kedua orang tuaku menangis, meminta aku tidak pergi berperang kerana aku satu-satunya anak tunggal mereka."

"Engkau mendapat pahala. Sekarang.. dengan perintah RasuluLLAH, kembalilah ke rumah. Gembirakanlah hati kedua-dua ibu bapamu," demikian baginda memutuskan.

Maka, pulanglah si anak muda itu dan gembiralah kedua-dua ibu bapanya. Anak muda tadi telah beroleh pahala sekali gus mendapat keredhaan ALLAH di rumahnya dan bukan di medan jihad.

Sementara itu, Nabi Ibrahim a.s adalah antara contoh anak yang menyeru bapanya, Aazar (pembuat patung berhala) ke arah jalan Tauhid dengan baik dan tabah hati.

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: "Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata." [Al-An'aam:74]

Malah, baginda telah mendoakan kebaikan kepada ayahnya sendiri, walhal tindakan itu dilarang agama..

Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik sekali pun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.

"Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi ALLAH, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar." [Surah at-Taubah: 113 - 114]

Disebutkan di situ, ada dua nilai yang menyebabkan baginda bersikap baik kepada orang tuanya. Pertama, baginda lembut hati dan bersikap penyabar. Hal inilah yang mesti hadir dalam jiwa seorang anak yang mahu keredhaan Tuhan dengan cara melakukan kebaikan kepada orang tuanya.

Maka, hal bercakap nyaring kepada orang-ramai, menjerkah dengan marah-marah, bersuara dengan keras tidak melambangkan kelembutan hati seseorang pendakwah itu. Demikianlah jika kita mahu laksanakan pesan dan wasiat Imam Hasan al-Banna.

2 comments:

bungaraya said...

Tulisan ini sangat elok. Ia mengajar bukan sahaja pemimpin BN, malah juga PR spt DSAI yang kerap bercakap nyaring. Mahfuz Omar yang bila bercakap seolah orang lain berakhlak binatang lagaknya.
Bercontohlah kepada pemimpin spt Najib, Pak Lah, Nik Aziz, Razali Ibrahim, Zahid Hamidi, Shafie Afdal, Rais Yatim, Shabeery Chek dan lain-lain pemimpin, yang apabila bercakap tidak nyaring tetapi penuh dengan isi dan nasihat serta langkah yang bijaksana sesuai dengan sifat pemimpin islam negara.

Anonymous said...

Aku setuju dgn penulis.

cik bungaraya, aku x brapa stuju sikit dgn ko.

mmg, DSAI, mahfuz and spisis yang sama dgn diorg tu bercakap nada keras. tu aku setuju.

tapi bila ko suruh contohi paklah dan najib.... eiiiyyy geli geleman aku. Tak layak jd contoh.

Rais yatim? haa cakap dia mmg teratur, gaya bahasa lembut dan menarik. tapi sayang, setiap percakapannya berteraskan ideologi kemelayuan. Xda ruh islamik dalam pertuturannya. satu contoh yg failed!

Shaberycheek?
ko tgk sendiri la dalam debat dia dgn DSAI. sape yg bantai sape? huhahahua

Ũ