© The Mhakk Studio

You are being watched!

Thursday, November 25, 2010

Sembang: ALLAH memberi tazkirah kepadaku

Baru tiga hari menziarahi datuk saudara yang meninggal dunia di rumahnya, tengah hari semalam aku dikhabarkan pula dengan kematian adik sepupuku, akibat lemas dalam lopak air, di kampung yang sama, Kampung Pantai Prai, Sg Petani. Adik sepupuku yang dipanggil mesra sebagai 'Cik' baru berusia 8 tahun. Dia adalah anak kembar kepada Maksu, ibu saudaraku. Baru dua hari sebelumnya aku lihat gelagat-gelagatnya ketika menziarahi datuk saudara aku (yang juga datuk saudaranya)yang meninggal dunia.

Kematian dua orang yang dekat pertaliannya dengan aku membuatkan aku rasa seperti diberi peringatan oleh ALLAH. Ketika datuk saudaraku meninggal dunia, tergetus dalam hatiku nahawa mati itu pasti. Tok Tam (panggilan mesranya) pergi dulu mengadap-Nya.

Seperti biasa apabila melihat orang tua meninggal dunia, ada satu kata-kata di suatu sudut di lobus hati bahawa 'biasalah, dia sudah tua'. Aku cuba memadam kata-kata itu dengan beristighfar. Mati itu tidak kira tua atau muda. Aku yakin dengan perkara itu, tetapi iblis sentiasa berbisik hal-hal untuk mengaburi manusia. Tidak hairan berapa ramai manusia yang melihat orang mati, tetapi masih tidak bersedia untuk mati, seolah-olah mereka tidak akan mati seperti si mati.

Tiga hari sahaja berlalu, berita kematian adik sepupuku benar-benar membidas suara sumbang di sudut hatiku itu. Anak kecil juga bisa mati. Mati itu tidak mengira umur, tua atau muda! ALLAH memberi tazkirah yang cukup tegas kepadaku melalui peristiwa ini.

InnaliLLAHi wa inna ilaiHi roj'ouun...

'Cik' sudah pergi. Tinggallah adik kembarnya bersama seorang abang dan seorang kakaknya sedang dia bersemadi di sebelah kubur Tok Tam.

Semoga ALLAH mengampuni dan mencurahi rahmat-Nya kepada Tok Tam.

Semoga adik Cik aman bersemadi di sana dan moga-moga menjadi rahmat kepada ayah dan ibunya. Pak Su dan Mak Su, bersabarlah, insyaALLAH anakmu itu akan menarik tangan kalian ke pintu syurga.

Tok Tam [14 Zulhijjah 1431]
Cik [17 Zulhijjah 1431]

No comments:

Ũ