Antara faktor kejayaan dakwah adalah kebijaksanaan seseorang daei itu berinteraksi dengan fitrah mad'u.
Abu Sufyan r.a. memeluk Islam. Beliau adalah ketua kaum Quraisy ketika itu. Selain daripadanya, beberapa pimpinan Quraisy yang lainnya juga memeluk Islam. Di antara mereka adalah Sofwan bin Umayyah, Ikrimah bin Abu Jahl dan Suhail bin Amru. Kesemua mereka adalah peribadi hebat yang tidak pandai berpura-pura. Mereka memerangi Islam kerana yakin kepalsuan nubuwah dan masuk Islam hanya setelah yakin kebenarannya. Masing-masing mempunyai kisah keislamannya yang tesendiri dan bersama-sama RasuluLLAH s.a.w. melakarkan kemenangan Islam selepas itu.
Abu Sufyan r.a. disebut oleh Abbas r.a. sebagai seorang lelaki yang sukakan kemegahan diri. Lalu RasuluLLAH s.a.w. memberikannya satu pengiktirafan untuk dia bermegah dengan pengiktirafan tersebut. “Sesiapa yang masuk ke rumah Abu Sufyan dia aman. Sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dia aman. Sesiapa yang masuk ke dalam masjid dia aman.” Apakah bezanya berlindung di rumah Abu Sufyan dan berlindung di rumah sendiri jika kedua-duanya adalah tempat yang memberikan keamanan? Tetapi kebijaksanaan RasuluLLAH s.a.w. di dalam menyusun kata-kata yang memenuhi fitrah Abu Sufyan telah menjinakkan ketua kaum Quraisy ini.
Ada pun Ikrimah anak lelaki Abu Jahal, kebijaksanaan dan keberanian isterinya telah menganugerahkan Islam kepadanya. Beliau sudah pun lari ke Yaman dan berniat untuk mengakhiri hayatnya di sana. Isterinya, Ummu Hakim memohon kemaafan RasuluLLAH s.a.w. ke atas suaminya dan mencarinya untuk mengkhabarkan kepadanya keamanan yang diberikan oleh RasuluLLAH s.a.w. Keamanan yang diberikan kepada Ikrimah sebelum keislamannya membuka pintu kepada Ikrimah untuk bertemu RasuluLLAH s.a.w. di Mekah mengisytiharkan keislamannya. Beliau boleh meneruskan kedegilannya, tetapi pengisytiharan keamanan khas buatnya itu benar-benar menyentuhnya. Apabila pulang bertemu RasuluLLAH s.a.w., sekali lagi RasuluLLAH s.a.w. memberikan sentuhan kepadanya. “Akan datang kepadamu Ikrimah sebagai seorang mukmin muhajir. Janganlah kamu semua mencela ayahnya. Sesungguhnya mencela orang yang mati akan menyakitkan orang yang masih hidup dan celaan itu tidak akan sampai kepada yang mati.” Para sahabat r.a. yang mendengar arahan tersebut menyambut Ikrimah dan isterinya dengan mesra ketika mereka sampai. Apakah pilihan lain bagi seseorang yang telah diberikan keamanan dan sambutan mesra oleh musuhnya ketika dia berada di posisi lemah? Ikrimah r.a. memilih untuk memeluk Islam dan berjuang bersama RasuluLLAH s.a.w. Beliau mengotakan janjinya apabila menjadi salah seorang panglima perang di dalam peperangan memerangi golongan murtad di zaman Abu Bakar r.a.
Sofwan bin Umayyah meminta dua bulan tempoh keamanan daripada RasuluLLAH s.a.w. RasuluLLAH s.a.w. memberikan empat bulan tempoh keamanan. Sebelum peperangan Hunain, RasuluLLAH s.a.w. bertemu dengan Sofwan dan meminjam daripadanya 5,000 dirham dan beberapa baju besi untuk digunakan di dalam peperangan. Sofwan bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Adakah kamu memaksaku wahai Muhammad?” RasuluLLAH s.a.w. berlembut kepadanya dan berkata: “Tidak. Ia adalah pinjaman yang akan dibayar kembali.” RasuluLLAH s.a.w. membayar kembali selepas perang Hunain beserta ghanimah (harta rampasan) daripada perang Hunain. Tindakan itu membuka pintu hidayah kepadanya. Beliau berkata: “Demi ALLAH, tidak ada seorang pun di atas muka bumi yang lebih aku benci dari Muhammad. Baginda s.a.w. terus menerus memberikan ghanimah Hunain sehingga tidak ada seorang pun di atas muka bumi yang lebih aku sukai dari Muhammad.”
Suhail bin Amru seorang yang cerdik. Beliau adalah wakil Quraisy di dalam perjanjian Hudaibiah. Ketika perjanjian itu ditulis ‘BismillahirRahmanirRahim’, beliau berkata: “ALLAH kami tahu. Tetapi ar-Rahman dan ar-Rahim kami tidak tahu” dan mengarahkan agar dipadam kalimah ar-Rahman dan ar-Rahim. Ketika ditulis ‘Muhammad RasuluLLAH’, beliau mengarahkan dipadamkan kalimah ‘RasuluLLAH’ sambil berkata: “Kalau kami mengakuimu sebagai RasuluLLAH, nescaya tidak berlaku peperangan di antara kami dan kamu.” Pujian RasuluLLAH s.a.w. terhadap kecerdikan Suhail membuka pintu hatinya untuk memeluk Islam. RasuluLLAH s.a.w. berkata kepada anaknya, AbduLLAH: “Sesiapa yang berjumpa dengan Suhail bin Amru pasti tidak akan mengalihkan pandangan darinya. Demi ALLAH, Suhail mempunyai kecerdikan dan kemuliaan. Orang seperti Suhail tidak sepatutnya menjahili Islam.”
Sorotan ringkas kisah-kisah di atas menunjukkan RasuluLLAH bijaksana dalam berinteraksi dengan pada mad'u nya. Maka para daei, para naqib usrah, para pemimpin dan ahli gerakan Islam perlu bijak mengkaji fitrah para daei untuk melancarkan gerak kerja mengajak manusia kepada Islam.
WaLLAHU a'lam.
No comments:
Post a Comment