Sejak kebelakangan ini, timbul suara-suara untuk melihat perpaduan Parti Melayu dengan Parti Islam. Kenapa hanya Parti Melayu mahu dilihat berpadu dengan Parti Islam? Kenapa tidak timbul suara-suara yang mahukan perpaduan juga antara Parti Cina dengan Parti Islam? Parti India dengan Parti Islam? Parti Iban dengan Parti Islam? Adakah masih terdoktrin dalam minda masyarakat, bahawa Islam hanya untuk Melayu?
Parti Islam sebenarnya tidak terhad dengan keahlian Melayu semata-mata. Semua kaum dalam negara kita sangat boleh menyertai Parti Islam itu, dengan syarat beragama Islam. Maka batas perkauman tidak wujud sebenarnya dalam Parti Islam. Cuma setakat ini majoriti umat Islam dalam negara adalah berbangsa Melayu, maka ahli Parti Islam kebanyakannya Melayu. Namun Parti Islam telah membuka langkah kehadapan dengan penubuhan Dewan Himpunan Penyokongnya, yang membolehkan golongan bukan Islam mendekati perjuangan Parti Islam.
Bercakap mengenai perpaduan Parti Islam dengan Parti Melayu, ada pro dan kontranya, kerana Parti Islam dalam negara kita mempunyai ahli majoriti Melayu. Tidak perlu dibincangkan lagi bahawa jika Parti Islam dan Parti Melayu bersatu, masyarakat Melayu Islam akan mendapat manfaat yang besar. Semua orang tahu manfaatnya. Tetapi perpaduan ini sukar dicapai kerana kedua-duanya berbeza fikrah. Satunya berfikrah Islam, yang Satu lagi berfikrah Melayu.
Penyatuan dan perpaduan sesuatu kaum, organisasi atau individu, adalah hasil dari penyatuan fikrahnya. Maka perpaduan Parti Islam dengan Parti Melayu hanya dapat dicapai jika fikrah mereka disatukan. Jika diteliti dengan jiwa dan bersih serta berserta ilmu, mustahil bagi orang yang berfikrah Islam akan tunduk kepada gaya fikir Melayu. Melayulah yang kena akur dengan Islam. Malah Islam itu sendiri diturunkan bagi menyatupadukan seluruh manusia dengan fikrah yang satu, mengEsakan ALLAH. Taqwa adalah asas penyatuan seluruh manusia yang pelbagai ragam, pelbagai kefahaman, pelbagai budaya. Dari aspek ini, perpaduan Parti Islam dan Parti Melayu nampaknya begitu sukar, kerana pemain-pemain politik Melayu tetap berkeras tidak mahu tunduk kepada fikrah Islam.
Setelah 'gagal' untuk bersatu dengan Parti Melayu atas dasar Taqwa, mengapa Parti Islam berpusing dan bekerjasama pula dengan Parti Demokratik yang didominasi oleh kaum Cina bukan Islam, yang sudah tentu lebih tidak mengerti apa itu Taqwa berbanding Parti Melayu? Ya mereka memang tidak mengerti apa itu Taqwa, kerana mereka majoritinya bukan Islam. Fikrah mereka lebih sukar untuk tunduk kepada fikrah Islam. Namun fikrah kedua-dua parti yang berbeza ideologi ini cuba disatukan dengan fikrah 'keadilan'.
Sama seperti Parti Islam, keahlian Parti Demokratik ini terbuka kepada semua bangsa dalam negara. Akan tetapi, ia didominasi kaum Cina, sama seperti Parti islam, didominasi kaum Melayu. Mereka cuba bersatu atas prinsip 'keadilan'. Parti Islam menerima perpaduan ini atas dasar memperjuangkan 'keadilan'. Bukankah keadilan itu menghampiri taqwa?
Apabila cubaan bersatu dengan Parti Melayu atas dasar Taqwa dan Adil gagal, apakah salah berpakat dengan parti lain yang tidak atas dasar taqwa, tetapi atas dasar Adil?
Firman ALLAH: "... Maka berlaku adillah, ia paling hampir kepada Taqwa"
Politik dalam Islam bukan hanya untuk menang pilihanraya, tetapi juga sebagai strategi untuk menyebarkan Islam kepada umat manusia. Jika Parti Melayu berkeras untuk tidak mahu tunduk kepada prinsip Taqwa dan Adil, maka tidak salah jika Parti Islam mengajar parti lain untuk tunduk kepada Islam, atau paling tidak, patuh kepada prinsip Adil. Ingatlah, dakwah melalui jalan perdamaian lebih berkesan daripada melalui pertelagahan. Itulah yang Parti islam cuba lakukan. Jika Melayu mengabaikan Islam, tidak mustahil, ALLAH akan memberikan Islam kepada Cina, India, Iban dan sebagainya. Ketika itu, Melayu akan jadi bangsa yang rendah martabatnya.
No comments:
Post a Comment