© The Mhakk Studio

You are being watched!

Wednesday, October 27, 2010

Hub Hiburan: Memang brilliant!

Negara kita akan menjadi hub pusat hiburan malam. Itulah plan transformasi ekonomi yang dicetuskan oleh seorang PM yang sangat cerdik lagi berpandangan jauh. Dalam banyak-banyak cara untuk memperkasakan ekonomi negara, hub pusat hiburan juga dipilihnya. Apakah cetusan ideanya ini benar-benar boleh mengubah ekonomi negara menjadi lebih baik, atau menuju ke arah negara berpendapatan tinggi?

Ya, tindakannya sangat sesuai untuk meningkatkan ekonomi negara. Orang-orang lemah akal seperti pak-pak ustaz tidak nampak potensi besar hub-hub hiburan, kerana meraka tidak pernah ke sana. Lihatlah bagaimana sejak akhir-akhir ini kita dapati banyak program-program hiburan dianjurkan. Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Raja Lawak, Mentor dan suku-sakatnya, semuanya sudah dirancang dengan rapi untuk meresapi jiwa anak-anak muda dengan hiburan. Setelah anak-anak muda dan masyarakat sudah sebati dengan hiburan, maka inilah masa sesuai untuk jadikan Malaysia sebagai hub hiburan.

Akan memacu ekonomi? Ya, kerana pelanggan-pelanggannya sudah diasuh dari kalangan anak-anak muda. Ekonomi negara pasti akan meningkat, kerana masyarakat kita lah yang akan mengunjungi hub-hub hiburan. Dengan itu hub-hub hiburan akan menjadi pusat tumpuan ekonomi disamping hiburan yang disediakan. Malah, hiburan adalah senjata yang paling mudah untuk menarik orang ramai. Tidak seperti masjid, tidak semua orang suka ke masjid. Tidakkah PM kita sudah berfikiran jauh? Sudah tentu PM sudah berfikiran melampaui batasan zamannya, dibantu pula oleh isterinya tercinta.

Keyakinan pelabur? Pelabur-pelabur akan yakin dengan kemampuan Malaysia sebagai hub hiburan, kerana di Malaysia sudah ramai generasi AF, Mentor, Malaysian Idol dan sebagainya. Mereka-mereka yang gagal dalam persaingan program-program realiti hiburan tersebut masih berpeluang menjana ekonomi di hub-hub yang akan dimajukan. Dengan itu, para pelabur tidak perlu susah hati akan kekurangan tenaga penghibur. Para pelabur akan berduyun-duyun membanjiri Malaysia.

Semua rakyat setuju? Tidak semua rakyat setuju. Biasalah, setiap usaha baik atau buruk pasti ada penyokong dan penentang. Dalam konteks idea cetusan kerajaan, pastilah pihak parti pembangkang yang akan ke hadapan menentang. Itu biasa. PM tak perlu khuatir, asalkan PM disokong kuat isteri tercinta, itu sudah memadai.

Keberkatan ekonomi cara ini bagaimana? Keberkatan? Usah bimbang akan keberkatan. Kita hidup dalam negara sekular, memang tiada dalam kamus ekonomi kita mengenai keberkatan. Lihat negara-negara maju ekonominya, tidak dibincang pun isu keberkatan.

Aduh.... apa yang aku tulis ni? Kenapa aku mengampu PM? Kenapa aku sokong idea seburuk hub hiburan ini? Tidak! Aku sekali-kali tidak menyokong. Cuma idea gila ini menjadikan sistem sarafku bercelaru untuk seketika. Macamana boleh seorang PM bagi idea plan transformasi ekonomi seburuk ini? Kenapa kemaruk dengan hiburan?

Hiburan yang melampau bukanlah cara untuk membangunkan ekonomi, malah boleh meruntuhkan ekonomi sesebuah negara. Plan asalnya adalah, apabila rakyat kemaruk dengan hiburan, maka rakyat tidak akan berminat dengan ilmu dan pengajian, lebih khusus lagi, rakyat tidak akan minat dengan pendekatan beragama. Rakyat akan mudah menjadi jahil, dan terus jahil. Apabila rakyat jahil, lalai dan malas membaca, maka rakyat mudah ditipu secara terhormat. Rakyat mudah diperbodoh. Apabila rakyat jauh dari ilmu agama, mereka akan mudah menyokong apa jua tindakan kerajaan yang membelakangi agama. Malah ini adalah cara mujarab untuk mengekalkan kekuasaan parti pemerintah. Alasan ekonomi adalah kosmetik memperbodoh rakyat.

Kemajuan ekonomi negara, jika tiada keberkatan, akan meruntuhkan sesebuah negara. Apa guna negara kaya, tetapi akhlak dan moral masyarakat hancur lebur? Gejala sosial semakin membarah, bertambah parah. Hub-hub hiburan seterusnya akan menjadi pusat merekrut pelapis-pelapis baru untuk mendaftar di sekolah Ali Rustam. Akhirnya sekolah Ali Rustam akan bertambah cawangannya, akan majulah negara?

Orang-orang berkepala otak sekular memang begitu. Setiap tindakannya membelakangkan agama ALLAH. Mereka tidak nampak bahawa tindakan durjana itu kelak akan mengundang kemurkaan ALLAH. Apabila ALLAH menghendaki sesuatu yang buruk menimpa sesuatu kaum, sesebuah negara, maka tiada siapa pun dapat menghalang. Ketika itu, apa lagi erti kemajuan?

Ahh... kamu ini usah nasihat-nasihat mereka lagi... bukannya mereka dengar pun. Blog kamu ini bukannya mereka baca pun. PM tak layan blog murahan mcm blog kamu. lagipun mungkin hati mereka sudah ditutup untuk memahami kebenaran... Ada bisikan kepadaku supaya berhenti menulis untuk kali ini. Maka aku pun berhenti menulis. Sekian kali ini, lain kali aku tulis lagi, kerana aku tidak diberi ilmu untuk mengetahui samada hati seseorang itu sudah ditutup rapat oleh ALLAH atau pun tidak...

WaLLAHU a'lam.


No comments:

Ũ