© The Mhakk Studio

You are being watched!

Thursday, January 22, 2009

Bicara roh...

Awal-awal subuh, jasadku terjaga dari tidur. Aku yang sepanjang malam berehat menunggu jasadku berasa sedikit lega. Sudah menunggu adalah sesuatu yang meletihkan. Jasadku mengintai jam di handsetnya. Baru pukul 5.30 pagi. Jasadku tidur semula.
Justify Full
Aku berasa sedih. Bukankah 5.30 pagi itu sudah hampir dengan waktu subuh? Sekurang-kurangnya bangunlah wahai jasad, dirikan solat dua rakaat. Selama hidup ini, jarang sekali aku diberi makanan yang berkhasiat. Hanya jasad sahaja menikmati makanan-makanan yang pelbagai.

Aku semakin resah. Azan subuh sudah lama berkumandang.Jasadku seperti tidak mendengarnya. Wahai jasad, bangunlah. Jangan kita terlepas waktu subuh. Aku meronta-ronta mahu jasadku bangun.

Jasadku bangun juga. Setiap kali waktu subuh, jasadku sentiasa membuatkan aku cemas dan risau. Cemas terlepas waktu subuh. Risau terlepas solat subuh berjemaah. Hari ini jasadku terlepas solat berjemaah. Aku sedikit lega kerana jasadku tidak terlepas solat Subuh. Aku masih mengharapkan jasadku bangun lebih awal untuk solat subuh berjemaah dengan jasad-jasad yang lain.

Pagi semakin bersinar. Matahari semakin tinggi. Aku masih menunggu sarapan pagiku sedangkan jasadku sedang menikmati sarapan pagi yang enak. Setiap pagi aku dilayan sebegini rupa. Aku seperti ditindas, sedangkan jasad dijaga dengan baik. Sekali lagi aku berduka. Jarang sekali sarapan pagi untukku disediakan. Sekali sekala sahaja jasadku membaca al-quran. Jarang-jarang sekali jasadku menunaikan solat sunat dhuha. Itulah makanan aku dipagi hari yang jarang-jarang aku dapat.

Jasadku bersiap-siap untuk ke dewan kuliyah, menimba ilmu dunia. Bersungguh-sungguh jasadku mengejar masa, bimbang kalau-kalau terlambat masuk dewan kuliyah. Sedang aku dibiar bodoh sendirian. Jarang sekali aku dapat menimba ilmu-ilmu fardhu 'ain. Jasadku seperti tidak menyedari bahawa aku dan dia adalah satu, yang diberi nama manusia. Jasadku tidak menyedari yang aku sering menderita, resah, cedera dan sebagainya dengan setiap perbuatannya.

Hari ini aku dilukai lagi oleh jasadku. Jasadku tidak menjaga penglihatannya. Tidak menundukkan pandangannya. Setiap dosa yang diperolehnya adalah seperti pisau tajam yang melukai aku. Aku bagai didera oleh jasadku sendiri. Jasadku! tidakkah engkau mendengar rintihanku? Tidakkah engkau mempunyai belas-kasihan kepdaku?

Jasadku bergelak ketawa dengan rakan-rakannya. Aku juga dapat melihat roh-roh dalam jasad-jasad lain di sekelilingku, juga kelihatan bersedih, menderita, tidak sihat, sepertiku jua. Sedangkan jasad-jasad mereka masih boleh bergelak ketawa. Jasad-jasad kami semua tidak peduli kepada kami. Apalah malang nasib kami semua.

Aku sedar, tugas aku dan jasadku yang diberi nama manusia, dihantar ke dunia ini mempunyai matlamat iaitu mengabdikan diri kepada ALLAH, menjadi khalifah ALLAh di muka bumi. Apakah jasadku lupa dek kerana sejak kecil tidak pernah diperingat oleh sesiapa? Aku pernah berkata di depan ALLAH, yang aku sanggup untuk memikul amanah menjadi khalifah di muka bumi. Aku sanggup. Kita sanggup wahai jasad. Tetapi apakah yang telah berlaku jasadku? Adakah kau lupa jika kita gagal menunaikan amanah ini, azab neraka pasti akan membakar kita?

Apa guna kau sihatkan tubuh badanmu, sedangkan aku kau biarkan kurus tidak bermaya? Wahai jasaku! bukalah mata mu. Bukalah telinga mu. Bukalah pintu hati mu. Aku sedang berbicara dengan mu!

Kata-kata aku bagaikan angin berlalu. Jasadku tidak mendengar apa-apa. Dia masih leka dengan rakan-rakannya. Apabila masuk waktu zohor, jasadku menuju ke masjid. AlhamduliLLAH. Aku akan mendapat sedikit kekuatan. Aku akan dapat sedikit penyembuhan. Terasa begitu nyaman dan selesa ketika jasadku mula berwudhuk. Luka-luka kecilku sembuh perlahan-lahan. Ya.. wudhuk itu menggugurkan dosa-dosa kecil. Suasana bertambah nyaman apabila jasadku bersama-sama ahli jemaah yang lain menunaikan solat fardhu zohor.

Aku mendapat sedikit kekuatan. Walaupun solat jasadku tidak begitu khusyuk, aku rasa ada sedikit kelegaan. Tetapi aku tidak terus rasa selesa. Aku tidak tahu apa yang jasadku akan lakukan lagi. Setiap hari aturannya lebih kurang sama. Aku dicederakan dengan banyaknya, kemudian sekali sekala aku dirawat dan diberi makan. Selepas itu aku dianiaya semula. Aduhai jasadku... bagaimana jika engkau sendiri diperlaku begini?

Lepas solat Asar, jasadku keluar untuk bersama-sama rakan-rakannya bermain di padang. Ah... jasadku! kau lebih pentingkan kesihatan dirimu daripada kesihatan aku. Padahal setelah engkau mati nanti, tinggallah aku yang akan mewakili engkau untuk berdepan dengan ALLAH. Sedangkan engkau akan hancur dimamah tanah. Bagaimana aku mahu bertemu ALLAH dalam keadaan aku yang kurus kering, mengalami luka-luka akibat perbuatanmu, menghidapi pelbagai penyakit yang engkau bawa?

Dalam keadaan sedih begitu, aku terpandang ada lagi roh-roh yang lebih menderita . Jasad mereka tidak menutup aurat. Jasad mereka berdua-duaan lelaki dan perempuan. Betapa besarnya luka mereka, berdarah. tetapi jasad-jasad mereka tetap ceria, bergurau senda dan bergelak ketawa.

Waktu maghrib sudah masuk. Syukurlah jasadku masih ingat untuk menunaikan solat maghrib berjemaah. namun aku simpati dengan beberapa roh yang aku nampak merayu-rayu kepada jasad masing-masing yang tidak mendengarnya. Aku tidak dapat berbuat apa-apa. Jasadku tidak menegur dan menasihati jasad-jasad mereka. Wahai jasadku, bukankah tugas kita itu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran? Kenapa kau tidak menjalankan tugas kita? Tahukah kau, kita akan disiksa dengan sebab kemalasan engkau?

Lepas solat maghrib berjemaah, aku rasa senang hati sedikit apabila jasadku menunggu untuk mendengar kuliyah maghrib. Aku rasa luka-luka aku dirawat lagi. Aku rasa selesa sedikit. Malah aku dapat makanan yang agak banyak ketika itu. Malangnya, jasad aku tertidur di akhir-akhir kuliyah. Makanan aku disekat sebelum habis aku makan. Oh jasadku... beginikah cara engkau melayan aku.

Selepas solat Isyak, aku menunggu apa bentuk amalan jasadku selepas ini. Aku lihat roh-roh yang ada dalam jasad ahli-ahli jemaah solat isyak tadi sedikit lega, sama sepertiku. Alangkah baiknya jika roh-roh yang banyak di padang permainan tadi dapat merasai sedikit kelegaan seperti kami di sini. Apakan daya... jasad mereka lebih kejam daripada jasad-jasad kami.

Jasadku melepak dalam bilik sambil melayari internet, dan bermain game. Aku rasa seperti diberi minum air yang payau. Suakr untuk ditelan, tetapi aku dipaksa. Jasadku melakukan aktiviti yang sia-sia. Aku kembali lega apabila jasadku mula mengantuk. Aku dapat berehat lagi daripada penderaan oleh jasadku sendiri apabila dia tidur.

Aku melihat jasadku yang nyenyak tidur. Aku berbicara seorang diri. Alangkah baiknya jika jasadku mendengar rintihanku! Alangkah baiknya jika jasadku mendengar tangisanku! Wahai jasadku!

5 comments:

Anonymous said...

penulis mededahkn kburukan diri-sendiri! ini antara kburukan yg dia sendiri cakap:
1) Lewat subuh
2) malas baca quran, malas solat duha
3) suka lihat benda haram
4) suka buat benda sia-sia

bukan ke kita x bleh dedahkn kburukan diri sdiri?

Anonymous said...

bkn nk tnjuk kelemahan diri. cuma dia nk kasi org lain pikir. lgpun mane ko tahu dia ckp psal diri dia? mcm ko mase skolah rendah dulu buat karangan 'aku sekor kucing'. ko nk cite pasal kucing, bkn maksud ko tu kucing. kehkehkeh... be simple. ambik pengajaran. klemahn org kita ni asyik kritik sj.

Anonymous said...

kelemahan2 yg ditonjol di sini sbg muhasabah kita bersama, kita pun ada wat mende2 camni. terima kasih kpd tuan punya blog atas artikel yg menginsafkan

Anonymous said...

bkn tuan blog ni yg tulis....... tapi...









roh dia yg tulis.....







haHahaHa....

patut ayat last ko buat bgini...
"Aku boring tunggu jasad aku tido, so aku pn buka pc dan tulis blog ni."

kan saspen, amacam?

Anonymous said...

** GAMIS GAGASAN NADI JASADIL UMMAH
** HAI MUJAHID BARU BURU CITA MAHASISWA.

KAMI BELIAWAN MENCARI KEBENARAN,
MENCARI MAKNA SERTA HAKIKAT MAHASISWA,
KAMI BERJUANG MENEGAKKAN KEHORMATAN,
HIDUP MULIA KITA ELAK MENJADI BONEKA.

KAMI BERBEKAL AL-QURAN HAKIKI,
MENERUSKAN CITA DAN RISALAH PARA NABI,
KAMI SANDANG JOLOKAN GENERASI PEROBAH,
BIAR SAATNYA DATANG KAMI PIMPIN MALAYSIA.

GAMIS SEMANGAT BARU,
SIAP MAJU REMPUH SEMUA MUSUH,
KAMI TENTERA ALLAH,
SIAP KORBANKAN HARTA BAHKAN JIWA.

KAMI SERAHKAN SEMUA HIDUP PADA ALLAH
KAMI TEKAD TUK IKUTI RASULULLAH
USUNG PANJI GERAKAN GAMIS TERUS BERSUARA
HADAPI TIRANI BEBAS HIDUP MAHASISWA

Ũ