Najib mahu mahasiswa halusi isu, guna kewarasan intelektual saring maklumat
SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak mahu mahasiswa berpegang teguh kepada prinsip kejujuran intelektual dalam menilai serta menghalusi isu dan menggunakan kewarasan dalam menyaring maklumat agar tidak menjadi pembudaya fitnah dan omongan jahat.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berlalu, namun tidak ada sesiapa yang boleh memonopoli kebenaran atau kebijaksanaan.
"Saya ingin melihat kepemimpinan mahasiswa yang dinamik dan subur supaya pemikiran mahasiswa akan terus menjadi input besar kepada kejayaan negara," katanya ketika menutup Konvensyen Kepemimpinan Mahasiswa Islam di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, semalam.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Kelab Dewan Amal Islam Hadhari (Damai) institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dipimpin pengerusi baru, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.
Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku pengasas Damai; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah.
Najib berpesan supaya mahasiswa tidak syok sendiri dengan program dianjurkan sebaliknya memastikan ia relevan dengan zaman bagi menunjangi kepemimpinannya iaitu mementingkan keperluan belia sebagai klien.
Katanya, pemimpin mahasiswa bukan saja perlu memenuhi ilmu di dada, tetapi juga melengkapkan diri dengan pelbagai bahasa, tugas dan kemahiran kerana masyarakat kini berada pada zaman penguasaan minda adalah penentuan kecemerlangan sesebuah negara.
Berikutan itu, beliau menyifatkan usaha Damai mengadakan konvensyen itu sebagai bertepatan dalam usaha mengupas pengertian dan kepentingan kepemimpinan untuk mencari pemimpin masa depan yang berwibawa.
"Dalam hal ini, jaminan saya bagi pihak kerajaan, kita akan menyokong sepenuhnya sebarang inisiatif untuk menggilap pemimpin baru, yang dilatih mengikut asas kepemimpinan dan bersandarkan landasan yang betul.
"Kita mahu mahasiswa mengikut landasan yang tepat dan tidak terbabas dari jalan sewajarnya. Tindakan yang tidak menguntungkan hendaklah dielakkan kerana ini mungkin akan mencemarkan gerakan mahasiswa sendiri," katanya.
Perdana Menteri seterusnya yakin penubuhan Kelab Damai itu adalah satu pendekatan mulia yang mampu menyediakan wadah dalam melahirkan bakal pemimpin masa depan.
Bahkan, katanya, cara membimbing pemimpin adalah selaras dengan kaedah anjuran Rasulullah SAW yang menitikberatkan tarbiah dan disiplin dalam membentuk pengikutnya seperti ketika Baginda membimbing sahabatnya termasuk Usamah, Muaz dan Mus'ab.
Beliau berkata, kaedah itu perlu menjadi teras kepada usaha Kelab Damai kerana perjalanan hidup mahasiswa masih panjang.
"Ada beza antara berpendidikan, berpengetahuan dan memiliki kebijaksanaan. Masa dan pengalaman akan mematangkan mahasiswa dalam menempuh realiti kehidupan di luar nanti.
"Sarjana sekarang bercakap mengenai dua istilah iaitu `kegraduatan' (graduateness) dan bukan graduan.
"Graduan mungkin menitikberatkan label atau `credential' tetapi `kegraduatan' itu mementingkan intipati `attribute' atau sifat graduan itu dan meritnya. Maka kita mahu graduan bukan hanya berkebolehan dan berkemahiran memenuhi pasaran kerja, tetapi sedar dan turut serta dalam usaha memaju bangsa, agama dan negara," katanya.
Najib berkata, konsep kepemimpinan yang wujud dalam Islam bersifat bersepadu iaitu menekankan keseimbangan antara roh dan jasad.
Malah, katanya, kestabilan di antara perkembangan spiritual dan pembangunan material bagi menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat menjadi intipati kepada ajaran agama.
Sumber:Berita Harian Online
Terima kasih PM atas nasihat dan amanat itu. Tahniah kerana sudah tiba masanya untuk kita kembali kepada Islam. Dato Seri sudah beberapa kali menyelitkan 'Islam' dalam ucapan, harapannya Dato Seri akan benar-benar mendapat hidayah.
No comments:
Post a Comment