© The Mhakk Studio

You are being watched!

Tuesday, July 21, 2009

Ziarah orang sakit : Satu catatan hujung minggu...

Hujung minggu lalu, aku menziarahi seorang nenek tua yang sedang uzur. Nenek tua itu berjiran dgn pondok kecil nenek dan moyangku. Tok Chah - panggilan mesra nenek tua yang uzur tersebut. Sedang aku membasuh kereta, ayahku yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja memberitahuku tentang keadaan Tok Chah yang sedang uzur teruk. Sudah hampir nazak. Aku segera bergegas ke sana, mengambil masa hampir 30 minit menaiki seekor binatang tunggangan bernama Kancil.

Sampai di sana, aku lihat keadaan Tok Chah, nenek tua yang aku agak berumur antara 70-80 begitu uzur sekali. Dia sudah tidak dapat berkata-kata lagi. Terbayang aku kira-kira setahun-dua lalu, Tok Chah inilah yang selalu menziarahi nenek dan moyangku yang berjiran dengannya. Dialah kawan moyangku - yang usianya mungkin sudah menjangkau lebih 100 tahun - yang aku panggil Tok Nek.

Baiknya keluarga Tok Chah itu kepada nenek dan moyangku di pondok kecil itu membuatkan aku dan keluargaku seharusnya membalas jasa mereka. Bukan senang kedua-dua nenek dan moyangku yang umur warga emas itu dapat survive jika jiran-jiran sekeliling tidak baik. AlhamduliLLAH, Tok Chah antara yang menjadi jiran yang baik ketika sihatnya. Itulah yang diajar oleh RasuluLLAH S.A.W, barangsiapa yang beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat, maka muliakanlah jirannya. Berbuat baiklah kepada jirannya. Mempunyai jiran yang baik adalah nikmat dan anugerah yang besar yang dikurniakan ALLAH. Bersyukurlah jika kita punyai jiran yang baik hati dan suka membantu. Jika tidak baik dan tidak suka membantu pun, bersyukurlah mempunyai jiran yang tidak berbuat jahat dan onar terhadap kita dan keluarga kita.

Setelah pulang dari berziarah, hanset berbunyi. Oh, ayah call...

"Dah pergi tengok?"
"Dah..."
"Macam mana?"
"Depa duk mandikan..."
"Mati dah ka?"
"Dak... tolong mandikan saja. Hidup lagi..."

Merenung keadaan Tok Chah yang uzur itu, terfikir juga bahawasanya, dia juga pernah melalui zaman mudanya. Dia pernah muda dan kuat seperti anaknya yang selalu mengurusnya, dia juga pernah muda remaja seperti aku, seperti kita. Mungkin dia juga akan teringat-ingat kembali zaman mudanya yang penuh dengan segala macam keinginan, kemahuan, kecerdasan, kecergasan dan sebagainya.

Melihat warga emas seusia itu, kita dapat bermuhasabah diri bahawasanya, jika dipanjangkan umur, kita juga akan mengalami keadaan yang sama. Itulah lumrah alam dan sunnatuLLAH. Kita tidak akan muda selama-lamanya. Renungilah, dan cubalah bayangkan diri kita berkeadaan begitu kelak. Tidak berdaya untuk melakukan apa-apa, melainkan kita akan menyesali kekosongan masa muda kita sekiranya masa muda kita diabai dan dileka. Ramai antara kita lupa akan masa tua kita kelak. Ramai yang berusaha bersungguh-sungguh mencari kesenangan duniawi, kononnya untuk hidup senang ketika tua. Mencarum sana sini, melabur sana-sini, cari kekayaan semahu-mahunya, yang kaya semakin mahu kaya, yang makan gaji berusaha menaikkan kadar pencennya kelak. Tidak salah, tetapi jika sampai terabai masa depan di akhirat, maka rugilah. Perlu kita ingat, masa tua nanti, segala kekayaan tidak berguna seperti yang diimpikan semasa muda. Masa tua semua keinginan yang menggunung semasa muda mengendur. Harta kekayaan tidak akan selamanya memberi kesenangan.

Renungilah, kulit-kulit kita yang cantik dan licin kelak akan mengendur dan berkedut. Gigi yang kuat dan bersih akan bertukar menjadi sintetik. Tiada teknologi canggih yang dapat mengembalikan sifat asal gigi kita. Rambut yang hitam, lurus dan lembut akan gugur dan memutih. Tiada sebarang syampu yang boleh mengelokkannya lagi. Mata kita yang gunaka untuk melihat dunia ini akan kabur dan malap. Tiada cermin mata yang berupaya meneranginya. Pendengaran akan menjadi lemah.

Insafilah diri kita. Masa usia muda kita inilah kita sangat dituntut bekerja keras mendamba cinta Ilahi dalam setiap gerak eri dan gerak kerja kita. ALLAH sangat bangga dengan pemuda yang hatinya tertambat dengan masjid. Tertambat dengan gerak kerja Islam , amal jamaei dan amal Islami. Usia muda kitalah yang akan ditanya oleh-Nya kelak. Beberapa minggu lagi, umurku akan mencecah suku abad - sekira umurku dipanjangkan. Jika dibandingkan dengan para sahabat nabi, suku abad umurku bagaikan tiada apa-apa. Jika kuda perang itu bandingan kepada hebatnya para sabahat Nabi S.A.W dahulu, maka tiadalah selayaknya aku menyamai mereka sekalipun sekadar habuk-habuk pada kaki kuda perang itu sebagai bandingannya. Namun hidup mesti diteruskan. Perintah ALLAH mesti terus dilaksanakan. Hari-hari mendatang pasti lebih mencabar iman dan taqwa.

Begitulah juga keadaannya dengan menziarahi orang mati. Cubalah renungi jika mayat terbujur kaku itu adalah kita. Bagaimana keadaan kita? Alangkah besarnya pengajaran dari tazkirah maut itu bagi mereka yang mahu mengambil pengajaran...

WaLLAHU a'lam.

No comments:

Ũ