© The Mhakk Studio

You are being watched!

Tuesday, September 29, 2009

TG Nik Aziz perlu bertanggungjawab, sebab dia MB...

Dr Mahathir buat-buat tak reti pulak.....




Dr Mahathir bekas PM ku...

Tun tak reti nak nilai ke antara kemajuan dan kemunduran? TG Nik Aziz fokus kepada pembangunan dan kemajuan rohani rakyat. Spiritual penting. Apabila aspek rohani maju, insyaALLAH, pembangunan fizikal juga akan ikut maju. Contoh sudah banyak. Orang cerdik macam Tun tak patut buat-buat tak reti.

Mungkin Tun tebal fahaman sekular, so tidak hairan kemajuan yang Tun nampak hanyalah aspek fizikal sahaja. Lumrah orang sekular memang begitu, tak kira betapa cerdik dan pintar cara mereka berfikir, setakat itu sahaja mereka mampu untuk menilai kemajuan.

Kalau dirujuk aspek fizikal sekalipun, Kelantan tidaklah semundur yang Tun pandang. Tun tentu memandang Kelantan dengan pengamatan prejudis berbanding negeri-negeri lain yang diperintah BN. Tidak hairan kalau umur Tun panjang 20 tahun lagi, Tun akan kritik YAB Ust Azizan MB Kedah pula. YAB Khalid MB Selangor pula. Kedah tak maju, Selangor mundur.

Kenapa Tun tidak pandang negeri Perlis? Majukah Perlis, negeri yang di perintah Umno/BN dari dulu sampai sekarang? APa yang ada di Perlis? Minta maaf orang Perlis. tak Perlu bersikap terlalu kenegerian. Lihat negeri jiran Perlis. Negeri Kedah. Bukan nak promosi Ust Azizan. Rujuk kerajaan BN Kedah sebelum ni pun tak apa. Dalam Kedah, ada sebuah daerah paling besar, mungkin lebih besar dari negeri Perlis. Daerah Kubang Pasu namanya. Ditadbir molek saja oleh seorang pegawai daerah. Berbanding Perlis yang ditadbir oleh lebih kurang 10 exco kerajaan negeri, Kubang Pasu nampak lebih maju dari segi fizikalnya.

Seorang pegawai daerah mentadbir Kubang Pasu yang besarnya lebih kurang saiz Perlis, bole mentadbir dengan baik. Apa hal pula Perlis yang banyak exco, negeri tak maju-maju? Pandaikah pemimpin Umno/BN mentadbir? Tun yang cerdik dan berwawasan takkan tak nampak negeri jiran Tun itu? Semasa Tun masih PM dahulu, apa yang Tun buat untuk kemajuan Perlis? Itu baru Perlis. Cuba toleh Sabah dan Sarawak juga, hatta di KL ibu negara juga masih padat dengan orang miskin dan setingan. Majukah kita jika banyak bangunan tinggi-tinggi, tapi banyak pula orang merempat. Tun hanya mahu kritik Kelantan sebab Tun prejudis dan sekular, maka kecerdikan Tun tidak membantu Tun menilai kebenaran.

Tun pergilah ke Kelantan. Lawat sendiri Kelantan sebelum Tun di panggil mengadap Ilahi. Mudah-mudahan Tun dapat lihat sendiri perbezaannya. Pergi lawat rumah TG Nik Aziz sekali kalau ada kesempatan.

WaLLAHU a'lam..

Apabila duit banyak dan gila kedudukan...

Dalam negara kita khususnya, ada banyak spesies macam ni. Apabila duit banyak, gila pada kedudukan, nafsu mendesak, iman kulit bawang... maka peduli apa dengan etika... peduli apa dengan dosa-pahala... peduli apa dengan syurga neraka.

Duit banyak, macam-macam boleh beli.





Hah.. rakyat Malaysia yang kaya, PhD pun beli... apa nak dihairankan dengan etika? Pemimpin boleh membeli-belah wakil-wakil rakyat untuk lompat parti, apa peduli etika? Mahu rampas kerajaan pilihan rakyat secara "mee segera". Pemimpin kencing berdiri, rakyat kencing berlari.

p/s: PhD tu sekilo berapa ringgit?

Friday, September 25, 2009

Rumah Terbuka Eidul Fitri 1430 MB Kedah


"You datang dari mana?"

"Kuala Nerang" jawab seorang lelaki berbangsa Cina.

"Jauh pun you sanggup mari ka?"

"MB sekarang ni baik. Tengok orang-orang yang datang pun baik-baik...takrak serupa dulu maa"

"Ya ka?"

"Ya la... kalau MB dulu-dulu punya rumah terbuka, orang yang datang tu semua cari makan ooo..."

"Kita pun datang sini mau makan"

"Kita mau makan... tapi yang dulu punya cari makan..."


Eh, macam kenai...?



Sami-sami pun datang makan...






kami balik awal... takut makan tak ingat orang... kesian kat orang datang lewat.



Sunday, September 20, 2009

Perutusan Eidul Fitri 1430


Perutusan Hari Raya Eidul Fitri 1430

Oleh: Penulis Blog Ini

بسم الله الرحمن الرحيم


الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر

الله أكبر كبيرا , والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا

Segala puji bagi ALLAH, Tuhan yang mentadbir sekalian 'alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad RasulaLLAH ShollaLLAHU 'alaihi wasallam.

Hai sekalian pembaca blog ini,

Aku menyeru diriku dan kalian semua agar bertaqwa kepada ALLAH dengan sebenar-benar taqwa. Hanya orang-orang bertaqwa sahajalah yang sebenar-benarnya berjaya di sisi ALLAH. Pada hari ini, kita bertakbir dan bertahmid kepada ALLAH, Tuhan Rabbul Jalil, selepas kejayaan menyempurnakan sebulan berpuasa dalam bulan Ramadhan. Mudah-mudahan dengan lengkapnya Ramadhan lalu, kita berjaya mencapai tahap taqwa yang tinggi, lebih tinggi daripada Ramadhan tahun-tahun lalu.



الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر

Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita. Ramadhan 1430 tidak akan kembali menemui kita sampai bila-bila. Beruntunglah orang-orang yang memenuhinya dengan amal soleh dan ikhlas kerana ALLAH. Rugilah bagi sesiapa yang mensia-siakan Ramadhan lalu dengan amalan-amalan yang buruk dan dimurkai ALLAH. Hari ini, Eidul Fitri, adalah hari anugerah ALLAH kepada hamba-hamba-Nya yang soleh, yang begitu tekun mendambakan ketaqwaan kepada ALLAH. Orang-orang berimanlah yang selayaknya menyambut hari penuh barakah ini, manakala pelaku-pelaku maksiat dan kederhakaan kepada ALLAH dalam bulan Ramadhan, sepatutnya berasa malu untuk bersama-sama menyambut Eidul Fitri.

Sidang pembaca sekalian,

Namun apa yang kita dapat lihat hari ini, golongan yang munafiqlah yang kelihatan sungguh seronok menyambut hari mulia ini, dengan sambutan yang mewah, rancak serta penuh kegembiraan. Walhal sebenarnya mereka tidak langsung dipelawa oleh ALLAH untuk meraikannya. Sebulan berpuasa adalah ibadah. Demikian pula Eidul Fitri juga adalah hari ibadah. Sambutan yang melampau dan penuh aktiviti yang melalaikan sebenarnya mencemarkan Eidul Fitri, menghina hari mulia yang ALLAH hadiahkan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa.

الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر

Suasana pada hari ini memperlihatkan kepada kita, betapa runtuhnya akhlak masyarakat, terutamanya muda-mudi dalam negara kita. Paling menyedihkan, muda-mudai itu adalah anak-anak muda Islam. Akhlak mereka bagaikan mereka tidak beragama Islam. Lihat sahaja bagaimana mudah sekali mereka dilalaikan dengan hiburan-hiburan yang melampau. Tambahan pula pada hari raya ini, semakin galaklah mereka berhibur tanpa batasan dan terjebak dalam gejala mungkar. Imam mereka adalah artis-artis. Dorongan mereka adalah syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia. Mereka jauh daripada cahaya ALLAH.

Jesteru itu, siapakah yang boleh menyelamatkan mereka daripada terus hanyut ditelan arus mungkar? Hanya ALLAH sahaja yang memberi hidayah petunjuk-Nya. Namun, apakah pula sumbangan kita untuk menjernihkan semula kekotoran yang membusuk dalam sasyarakat kita? Cukupkah peranan mendidik anak muda ini diserahkan kepada ibu bapa semata-mata? Apakah pula guru-guru sahaja yang perlu dipertanggung-jawabkan? Mampukah masyarakat sekeliling bersama-sama membaiki keadaan ini? Tidak lain tidak bukan, semuanya perlu terlibat. Pembaikan dari peringkat keluarga, hinggalah ke peringkat nasional perlu dititik beratkan.

الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر

Pihak kerajaan sepatutnya memainkan peranan yang besar dalam mendidik akhlak muda-mudi. Kuasa kerajaan adalah lebih meluas dan mampu melakukannya. Kerajaan mempunyai infrastruktur dan isntrumen-instrumen yang besar dan pelbagai untuk memacu rakyat ke arah berakhlak mulia. Akan tetapi, kerajaan kita pada hari ini bagaikan tidak berbuat apa-apa. Usaha kerajaan untuk kebaikan umat Islam hanyalah sebagai topeng dan kosmetik sahaja. Tidak bersungguh-sungguh melaksanakannya. Lihatlah, berapa banyakkan program mendidik jiwa muda-mudai berbanding program-program yang mengkhayalkan? Ketahuilah, program-program khayal yang tidak dihalang oleh kerajaan adalah virus dan pandemik yang akan memusnahkan masa depan umat Islam.

Sidang pembaca yang dihormati,

Sebagai rakyat jelata, kita akan dipertanggungjawabkan oleh ALLAH kelak tentang kuasa yang diberikan kepada kita untuk memilih pemimpin untuk mentadbir kerajaan. Apakah kita menyangka kita akan terlepas daripada kemurkaan ALLAH, sekiranya kita memilih pmimpin yang meluluskan program-program maksiat dan melalaikan? Apakah kita tidak akan ditanya kenapa kita memenangkan pemimpin yang hanya tahu menerima rasuah, menyalahguna kuasa dan pecah amanah? Ketahuilah, jika hari ini kita tidakberubah, kita akan menyesal suatu hari nanti. Jika kita berdegil, ALLAH akan tunjukkan akibat kejahilan kita memilih pemimpin. Kita mungkin akan menyaksikan sendiri betapa runtuhnya negara kita, rosaknya anak-anak kita sendiri, cucu-cicit kita dan sebagainya.

Sebelum terlambat, ambillah peluang pada hari raya Edul fitri ini untuk bermuhasabah dan melakukan perubahan. Hari ini jiwa kita insyaALLAH kembali kepada fitrah setelah sebulan kita mengasuhnya. Maka ambillah peluang ini. Jangan biarkan syaitan-syaitan yang terlepas dari belengu itu kembali menguasai kita.

Sekian sahaja perutusan Eidul Fitri pada kali ini. Segala yang baik, ambillah pengajaran darinya. Kelemahan-kelemahan pula jadikanlah iktibar. Tegurlah sekiranya ada kesilapan. Mohon ampun dan maaf , zahir dan batin. SALAM EIDUL FITRI.

WaLLAHU a'lam.

Wednesday, September 16, 2009

Sembang raya di hujung Ramadhan

AlhamduliLLAH... ALLAH masih bagi lagi kesempatan untuk hidup lagi dalam hari yang ke-26 Ramadhan ni. Hujung-hujung Ramadhan macam ni, orang-orang kita sibuk dengan persiapan raya. Yang ada di kampus, asyik teringat kampung, teringat rumah, teringat mak ayah, datuk nenek... (Hari-hari lain nampaknya kurang ingat kut... :D). Macam-macam status YM dapat di baca. Semuanya menghala ke RAYA...

Lupakah kita kepada Ramadhan? Saki baki Ramadhan yang tinggal, tenggelam dek ghairah sambut raya? Mudah-mudahan tidak. Mudah-mudahan niat kita balik awal ke kampung halaman dengan niat untuk berpuasa bersama-sama dengan keluarga, solat tarawih bersama-sama, dan berqiamullayl bersama-sama dengan keluarga di akhir-akhir Ramadhan ini. Jika demikian yang kita lakukan, alangkah bermaknanya hari EidulFitri kita bersama keluarga tahun ini.

Bukanlah namanya raya, kita terjebak dalam aktiviti terpekik terlolong menyanyikan lagu-lagu yang entah apa-apa. Kononnya sambut raya. Padahal menghina hari mulia itu. Hari Eidul Fitri adalah hari ibadah, hari anugerah ALLAH kepada hamba-Nya yang mukmin, yang bertaqwa, yang berjaya dalam Ramadhannya.

Sapa-sapa yang dah nak balik tu, baliklah dengan elok. Yang naik bas, jangan membiarkan bas meninggalkan anda. Kalau anda tertinggal bas, tak mengapa...mungkin anda akan sampai dulu. Yang memandu kereta, hati-hati di jalan raya. Yang naik flight, nasihatkan pilot suruh bawak elok-elok. Yang tak balik, jangan bersedih. Hari raya adalah hari bergembira kerana kejayaan sebulan berpuasa.

Kepada semua pembaca, pengkritik, pengcopy, pen-tidak-suka blog ini dan sebagainya, minta ampun mintak maaf banyak-banyak. Sekiranya ada luahan dan coretan yang memungkinkan anda tidak bersetuju, atau tidak berpuas hati, itu hanyalah secebis perbezaan pendapat antara kita. Salah dan silap sama-sama maafkan.

SELAMAT MENYAMBUT EIDUL FITRI 1430.

Adakah pemimpin UMNO juga berfikiran begini?

UMNO takut untuk laksanakan undang-undang Islam. Beginikah alasannya?



Apakah aktivis-aktivis ini merasakan orang yang berzina itu lebih tinggi martabatnya?
ALLAH gazetkan bahawa zina adalah keji, dan seburuk-buruk jalan. Firman ALLAH:

“Dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan (yang ditempuh oleh seseorang)”
(Surah Al Israa : 32)

ALLAH gazetkan juga hukuman kepada pesalah zina. Firman ALLAH :

“Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah (pukullah) tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.”
(Surah An Nuur : 2)

RasuluLLAH pernah bersabda tentang nasib pesalah zina di akhirat kelak. Berdasarkan hadis Nabi SAW, dari Abu Hurairah:

“Ada tiga golongan (manusia) yang ALLAH tidak akan berbicara kepada mereka pada hari kiamat dan tidak mensucikan mereka dan tidak melihat kepada mereka, dan bagi mereka siksa yang sangat pedih, iaitu ; Orang tua yang berzina, raja yang pendusta (pembohong) dan orang miskin yang sombong”
[Hadis sahih riwayat Muslim]

Seseorang yang melakukan zina Muhsan (telah berkahwin), sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan ke atas mereka hukuman had (rejam) iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya hingga mati. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab I’anah Al- Thalibin juzuk 2 muka surat 146 yang bermaksud :

”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina muhsan wajib dikenakan keatas mereka had (rejam), iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya sehingga mati”.

Seseorang yang melakukan zina bukan muhsan sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan ke atas mereka hukuman sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun sebagaimana terdapat di dalam kitab Kifayatul Ahyar juzuk 2 muka surat 178 yang bermaksud :

”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina bukan muhsin wajib dikenakan ke atas mereka sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun”.

WaLLAHU a'lam

Tuesday, September 15, 2009

Taat, Wala' dan Disiplin dalam gerakan Islam


Taat

Ketaatan lahir daripada sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut, apabila pemimpin mempunyai keikhlasan dan menyatakan perngorbanan yang sebenar dan memberi perhatian kepada perjuangan dan pengilut-pengikutnya. Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa lapang dan susah, di masa lapang dan sempit dalam perkara yang tidak maksiat. Firman ALLAH, maksudnya:

“Hai orang-orang yang beriman, taatlah kamu akan ALLAH, taatlah kamu akan Rasul dan Ulil Amri (pemimpin di kalangan kamu)”. (an-Nisa : 59)

RasuluLLAH telah meneguhkan sifat ketaatan kepada para sahabatnya dengan melakukan bai’ah di antara Baitul ‘Aqabah yang terkenal sebelum melakukan hijrah.

Di dalam Bai’ah itu RasuluLLAH bersabda:

“Berbai’ahlah kepadaku di atas kewajipan taat di masa cergas dan di masa malas, sanggup berbelanja di masa susah dan senang, menjalankan kewajipan menyuruh yang baik dan mencegah dari kemungkaran, bangun menyatakan agama ALLAH tanpa terjejas walaupun dicela, sanggup menolong aku apabila aku tiba kepada kamu dan sanggup mempertahankan aku.”

Ketaatan Yang Dituntut

a) Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan sehingga menjadi kelam-kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam jamaah (atau jemaah dalam jemaah) yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau jamaah dalam jemaah.

b) Ketaatan itu membawa kepada penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap parti atau jamaah dan melaksanakan amal jamaie yang tidak boleh dijelaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga jentera parti bercelaru dan tidak selaras antara satu sama lain.

c) Ketaatan juga dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di dalam jemaah, kerana ada orang yang terlalu ke depan (advance), ada orang yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.

Wala’

Kita melihat betapa kumpulan yang tidak Islam mengalami kelemahan dan kepupusan termasuk yang pernah memerintah negara besar, begitu juga dengan pertubuhan yang meletakkan nama Islam tetapi tidak mengambil Islam secara menyeluruh.

Oleh itu maka penekanan yang perlu diberi perhatian ialah peningkatan wala’ dan disiplin dalam jamaah yang dapat memelihara ketaatan dan perjalanan secara istiqamah. Firman ALLAH, maksudnya:

“Sesungguhnya wali kamu ialah ALLAH, rasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka itu sentiasa ruku’”

(al Maidah : 55)

Wala’ dan hubungannya dengan Harakah Islamiah

Dalam aspek ini perlu dibahagikan wala’ itu kepada beberapa aspek yang perlu diberikan penekanan.

a) Wala’ terhadap aqidah perjuangan

Sesungguhnya wali kamu ialah ALLAH dan Rasul-Nya. Wala’ dalam aspek ini berkait erat dengan ketaatan secara mutlak kepada ALLAH dan RasulNya, wajiblah beriman bahawa tiada tuhan yang sebenar melainkan ALLAH dengan segala sifat ketuhanan yang Maha Suci dan juga beriman kepada rasul yang wajib dengan sifat-sifat kerasulannya.

Terkandung di dalam mafhum ketaatan dan wala’ kepada ALLAH dan rasul secara mutlak kepada Al Quran dan Al Hadith yang menjadi rukun dan hukum tertinggi bagi Harakah Islamiah, samada dalam konteks kampus (jemaah Islam kampus), atau di luar kampus (Parti Islam).

b) Wala’ kepada Jamaah

Menurut rukun dan hukum haram berjamaah haram kepada ahli yang telah memberi bai’ah kepada jamaah tiba-tiba memberi wala’ kepada kumpulan lain samada yang jelas menentang Islam atau kumpulan yang bernama Islam. Ini bercanggah dengan akhlak berjamaah dan merosakkan perpaduan jamaah, strategi dan jenteranya.

Adapun wala’ kepada jamaah itu bergantung kepada wala’ jamaah terhadap aqidah perjuangan yang sebenar dan menjadi kewajipan kepada ahli mempertahankannya daripada menyeleweng.

c) Wala’ kepada pemimpin

Kepimpinan di semua peringkat merupakan salah satu daripada tonggak yang penting kepada jentera dan perjalanan jamaah. Oleh yang demikian wala’ kepada pemimpin dalan pengertian kasih dan taat mestilah diberi dengan penuh tanggungjawab. Wala’ ini mesti diberi di semua peringkat pimpinan. Ia juga bergantung kepada perinsip perjuangan parti atau jamaah.

Disiplin

Firman ALLAH, maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaran kamu dan tetap bersedia dan bertaqwalah kepada ALLAH supaya kamu berjaya.”

(ali Imran : 200)

Perkara yang ditakrifkan dengan disiplin ialah sebagaiman berikut:

1. Tatatertib dan kelakuan diri

2. Peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik

3. Kepatuhan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan

4. Hukuman atau denda kerana melanggar peraturan

Harakah Islamiah (geralan Islam) telah menetapkan perkara-perkara ini secara menetapkannya di dalam perlembagaan parti secara tegas. Di antaranya ialah menetapkan perkara yang dinamakan tatatertib:

1. Taat kepada hukum-hukum dan ajaran Islam yang menjadi dasar jamaah

2. Patuh kepada perlembagaan Jemaah serta aturan dan peraturannya

3. Taat kepada arahan dan perintah jamaah

4. Melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh jamaah sedaya upaya

yang boleh

5. Menjaga dengan cermat segala rahsia jamaah

6. Beramal dengan akhlak Islam

7. Mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan jamaah



Rujukan:
1) Arkanul-bai'ah
2) TG Haji Abdul Hadi Awang

Saturday, September 12, 2009

Konvoi bantuan fakir miskin DPP Parit Buntar


Bermula kurang lebih pukul 3 petang tadi, sampailah ke pukul 6.45 petang.










Lagi gambar, klik di sini.




Thursday, September 10, 2009

"Umno adalah parti Najib"



Dulu Dr Mahathir kata, Malaysia ni negara Islam...
Mai Pak Lah, meng-Islam-Hadhari-kan Islam yang ada...
Hari ni, Najib kata Umno adalah parti Islam.

Dalam kalut-kalut politik hari ni, berani betul dia isytihar parti nasionalis melayu tu sebagai parti Islam. Tak malu ke?

Imej Islam Umno bagaimana dengan isu Isu arak? isu sebat? perarakan kepala lembu? rasuah? salah guna kuasa? Perarakan kepala lembu yang dicetus oleh Umno boleh mencetuskan huru-hara perkauman. Islam Umno mahu begitukah?


Bagus buat baik tu. Islam memang suruh buat mcam tu. Tapi, dasar dan aqidah Umno tu tak betul. Melencong. Sama macam orang solat sampai dahi hitam, puasa sampai kurus kering. Tapi takda niat, atau niat bukan kerana ALLAH. Orang nampak amalan tu baik, tapi ALLAH tak terima.

Sama juga lah Umno. Dasar Umno sendiri tidak mahu kepada Islam. Tidak mahu bersumberkan al-Quran dan Sunnah dalam setiap tindakan. Jadi, apa guna amalan baik Umno itu, tanpa dasar yang betul? Kosmetik sahajalah!

p/s: adakah UMNO akan berubah menjadi "United Muslimin Nation Organization" ... oh... nation lagi... perkauman jugak laa...


Akademi Qurankah ini?

Datin Rosmah bertadarus. Ekslusif betoi...

Salah satu adab membaca al-quran ialah menutup aurat. Datin lupa kut.

Syeikh ni ambik berkat Datin Rosmah.... feninnn.... apa nak jadi...

Wednesday, September 9, 2009

09-09-09

Jika rasa entry ini membazir masa anda, berhentilah sebelum habis mebacanya.

09-09-09


Susunan nombor yang nampak cantik. Ramai orang yang cuba melakukan sesuatu pada tarikh yang tersusun cantik nombornya, 09 September 2009 atau 09-09-09. USM ada Konvokesyen Komemoratifnya pada 09-09-09 (Ulangtahun ke 40 [1969-2009]). MUFORS ada aktivitinya pada 09-09-09. Apple pun ada eventnya. Anda pula?

09-09-09 hanya mainan nombor yang tiada apa-apa kelebihan. 09 September 2009 bukanlah hari kebesaran apa-apa. Tiada apa-apa ibadah khusus disunatkan pada tarikh ini, melainkan jika dibaca menggunakan kalendar Hijrah, ia bernilai dengan ketinggian nilai Ramadhan.Barangsiapa yang taksub dengan nombor 09-09-09, dia melakukan kesilapan besar dalam hidupnya. 09-09-09 bukanlah tarikh keramat untuk dipuja-puja.

"Habis, kenapa ditulis juga entry 09-09-09 ini?"

Aku tersenyum dengan pertanyaan aku sendiri. Susah juga hendak menjawab soalan diri sendiri. Bukan kerana 09 September adalah ulangtahun tarikh kelahiranku, kerana aku tidak pernah cakna pun dengan tarikh lahir aku sendiri, melainkan adik-adik dan beberapa orang sahabat sahaja pernah berSMS ucap selamat kepadaku. Ketika itu baru aku sedar yang aku semakin berumur. Jika tidak, aku terus leka dengan dunia...dunia... Biarlah Sultan negeriku, Sultan Kedah dan mantan PM Tun Abdullah mengambil manfaat pada ulangtahun hari lahirku ini.. uhukk... terbatuk pulak...

"Habis?"

Sebenarnya, 09-09-09 ini adalah tarikh Jubli Perak hidupku atas muka bumi ALLAH. Jubli Perak bererti sudah genap suku abad aku dihantar ke dunia untuk menjadi khalifah di muka bumi. Kombinasi 09-09-09 yang menjadigenapkan suku abad usiaku menggatalkan tanganku untuk menaip entry ini. Bukan senang. Orang lain pun ada menyambut hari lahir 09-09-09. Tapi mungkin sahaja ulang tahun ke 21 atau 22, 23, 24, 26, 27, dan sebagainya. Sedikit sahaja yang nombornya berkombinasi cantik. Bagi yang menyambut ulang tahun ke-50, itu jubli emas namanya. Hidup setengah abad.

"Jadi, taksub dengan kombinasi nombor jugalah ni?"

Opss... bukan. Tujuan sebenar adalah untuk mengetuk hatiku sendiri dan hati sesiapa sahaja yang mahu ambil pengajaran. 09-09-09 ini adalah tanda bahawa sudah 25 tahun aku hidup dan dilantik menjadi khalifah di muka bumi. Jawatan yang besar ini diberi kepada semua manusia, termasuk diriku.

Selama 25 tahun aku menikmati elaun-elaun jawatan khalifah ini, apa tugas yang aku telah buat, dan apa pula tugas yang aku abaikan? ALLAH beri elaun khas mata,kepala,akal,kaki,tangan dan seluruh anggota badan, segalanya percuma. ALLAH beri aku elaun seumur hidup oksigen percuma, tenaga, sistem keimunan, sistem aliran darah yang baik, sistem pencernaan yang canggih. ALLAH memberi aku elaun aku ayah dan ibu yang baik, adik beradik yang baik, sahabat-sahabat yang baik. Banyak lagi elaun-elaun yang ALLAH beri kepada aku dan kita semua, kerana kita dilantik-Nya menjadi khalifah di bumi.

Firman ALLAH:

"Jika sekiranya kamu ingin menghitung nikmat ALLAH, nescaya kamu tidak akan terhitung" surah Ibrahim:34

Dengan elaun sebegitu besar, apakah yang telah aku laksanakan akan tanggungjawabku selama 25 tahun ini? Apakah aku hanya memakan gaji buta? Oh ALLAH... ampuni dosa-dosa dan kealpaan aku, dan juga ampuni orang-orang yang turut mendoakan kemapunan untukku.

Renunglah dan muhasabahlah wahai aku dan orang-orang yang mahu bermuhasabah. Jika hari ini aku menyambut "Jubli Perak", mungkinkah kelak aku akan dapat menyambut pula "jubli emas"?

"Jubli emas, kombinasinya 09-09-34 ... dah tak cantik"

Abaikan kombinasi. Persoalannya, apakah aku akan sampai ke usia itu? Berapakah subsidi umur yang ALLAH akan beri? Atau ketika itu aku hanya tinggal dalam kenangan beberapa orang manusia?

Sesungguhnya, selama suku abad hidupku ini, mission aku sebagai khalifah masih tidak berjaya. Aku masih perlu bermuhasabah dan berusaha membaiki diri untuk meneruskan perjuangan sebagai khalifah di muka bumi. Hidup ini bukan untuk aku mencuba jaya, atau try and error. Hidup ini adalah timeline yang akan terus berjalan hingga tamat, tanpa boleh berpatah balik. Setiap kesalahan, dosa, alpa dan leka, adalah sejarah hidup yang tidak akan terpadam. Ia tetap menjadi sejarah, yang kita pernah lakukannya. Bab mohon ampun, minta maaf,diampunkan dan dimaafkan, itu cerita lain. Yang pastinya, ia tetap menjadi sejarah.

Maka, aku menyeru diriku dan kalian supaya hindari dosa dan kesalahan, samada kepada ALLAH, atau sesama manusia, kerana ia tetap menjadi sejarah. Ia tetap tercetak dalam lembaran timeline hidup, yang tidak boleh dipadam. Elakkan perintah ALLAH dilakukan secara 'try and error'. Lakukanlah dengan penuh tekun dan bersungguh-sungguh berasaskan ilmu yang sahih, dengan harapan diterima oleh ALLAH.

Seseorang yang berbuat dosa, perbuatan dosanya itu tercatat sebagai sejarah, yang dia pernah melakukan dosa. Tidak akan terpadam perbuatannya. Dosa itu insyaALLAH akan diampun ALLAH dengan bertaubatnya orang itu, tetapi, sejarah dia pernah buat perkara dosa adalah tidak terpadam. Sebab itulah, sebaik-baik orang berdosa adalah orang yang bertaubat.

"adakah dengan berlalunya suku abad kehidupan,dan memulakan suku abad ke dua, akan ada perubahan-perubahan tertentu?"

Opss... sekali lagi aku tidak menyangka aku akan bertanya begini terhadap diriku. Soalan ini tiba-tiba muncul ketika aku sedang menaip. Ehem...

25 tahun bukanlah usia yang muda. Jubli perak hidup di dunia ini bukanlah suatu terma yang baik untuk diguna-pakai. istilah Jubli perak ini digunapakai apabila dinisbahkan kepada satu abad, atau seratus tahun. Jika kita nisbahkan hidup kita dengan 100 tahun, tentulah usia 25 tahun ini adalah usia yang masih muda. Sedangkan kita sendiri tidak tahu sampai bilakah usia kita, dan tentunya umat akhir zaman ini rata-ratanya 60-70 tahun sahaja hidup. Lebih umur, adalah bonus ALLAH berikan sebagai peluang-peluang terakhir membaiki diri.

Berbalik kepada perubahan-perubahan untuk suku abad kedua. Andaikata umur aku ditakdirkan setakat usia 60 tahun, maka aku masih mempunyai 35 tahun untuk meneruskan agenda khalifah muka bumi ini. Masih berpeluang aku menyambut jubli emas walaupun kombinasi nombornya tidak secantik 09-09-09. Andaikata umurku setakat 50 tahun sahaja, masyaALLAH, jubli emasku adalah hari terakhirku menerima elaun-elaun sebagai khalifah.

Andai pula jubli perak ini adalah hari terakhirku memikul amanah khalifah di muka bumi, maka tiadalah suku abad kedua untukku membaiki pencapaian pengabdianku kepada Rabbul Jalil. 25 tahun hidupku akan hanya meninggalkan sedikit memori kepada beberapa kerat manusia. Aku hanya akan menjadi kenangan kepada kaum keluargaku dan sahabat-sahabatku selama mana mereka mengingatiku. Tiada yang aku harapkan daripada mereka ketika itu melainkan doa mereka memohon ampun untukku.

Selama 25 tahun, sedar tidak sedar, aku bagaikan tiada amal jariyah, yakni amalan yang membolehkan aku terus menerus mendapat ganjaran sekalipun setelah aku tiada. Apabila matinya anak Ada, terputus segala amalan, melainkan tiga perkara. Sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan. Sedekah jariyah? Aku pun tidak tahu samada aku pernah melakukannya atau pun tidak. Ilmu yang bermanfaat? Aku bukanlah alim ulama. Ilmu yang aku ada hanyalah sedikit. Maka sedikit pula aku sampaikan kepada orang lain akan ilmu ku dek kerana kelemahan diriku. Entah aku akan disoal mengenainya atau pun tidak. Namun aku harap, sedikit ilmu-ilmu yang ada tercatat dalam blog ini dapat dimanfaatkan. Mudah-mudahan aku mendapat sedikit ganjaran berterusan di sana. Anak soleh yang mendoakan? Sehingga aku menulis entry ini, aku belum berkahwin.

Jadi amalan apa yang aku akan bawa bersama sebagai bekalan untuk menghadap Ilahi bila-bila masa sahaja? Umur 25 tahun bukanlah jaminan yang aku mempunyai banyak lagi masa. tengok sahaja ustaz Asri Rabbani. Meninggal dia ketika usia 40 tahun. Bukan sahaja kita semua tidak sangka, malah dia sendiri tidak menyangka dia akan mati sebegitu cepat. Semoga rohnya dicucuri rahmat-Nya. Jika umur Ustaz Asri dijadikan ukuran, maka tempoh hidupku hanya tinggal 15 tahun sahaja lagi. 15 tahun tidak lama.

"Ya syeikh... 09-09-09 ni kombinasi nombor untuk ingati hari lahir ke hari mati?"

Sesungguhnya, orang-orang yang bijaksana adalah orang yang sentiasa mengingati mati, dan bersiap sedia untuknya. Aku ingin menjadi bijak. Namun aku tidak tahu caranya, melainkan apa yang aku telah lakukan ini. Manusia rata-ratanya takut untuk membiacarakan tentang mati, dan kematian. Manusia percaya yang dirinya akan mati, di mana-mana saja, pada bila-bila masa. Akan tetapi mereka seakan-akan kurang yakin dengan kematian dan menyangka mereka akan hidup lama, tidak akan mati. Percaya tetapi kurang yakin. Sehinggalah tiba waktunya, ketika itu sudah terlambat untuk bermuhasabah membaiki diri.

Dan 09-09-09 yang menggenapkan usia 25 tahun ini membuatkan aku terfikir, sejak akil baligh, hingga hari ini, berapa banyak dosa yang telah aku lakukan. Berapa banyak pula amalan sebagai bekalan untuk menghadap-Nya. Berapa banyak pula taubat dan istighfar aku. Aku mohon kalian semua sahabat-sahabat yang mulia, ingatilah aku dalam doa kalian, agar ALLAH turut mengampun dosaku disamping dosa-dosa kalian.

Oh ALLAH... ampuni dosa aku, dan ampuni dosa orang-orang yang mohon ampun untukku. Ya ALLAH, terimalah taubat dan ampunilah orang-orang yang mengatakan 'Ya ALLAH, ampunilah Muhammad Helmi (bin Abdul Kudus)'.


"oh ya... berbalik kepada maudhu'. Apa aktiviti special pada hari 09-09-09 ni?"

Aktiviti biasa sahaja. Rutin. Tiada yang special. Mungkin mahu sesuatu yang lebih baik dari hari sebelumnya. 09-09-09 itu cuma nombor sahaja. Tidak mengubah apa-apa schedule. Entry ini sengaja diletakkan banyak "09-09-09". Kalau orang search 09-09-09, mungkin akan terserempak dengan entry ini. huhu...

"Dah dah... stop kat sini sajalah. Dah mula nak merapu dah la tu..."

Hehe... betul tu. Oklah. Andaikata ada susunan ayat yang tunggang-langgang, yang menyentuh hati atau menggelikan perut, mohon maaf banyak-banyak. Jika anda tidak memahami objektif, tujuan dan isi entry ini, tidak mengapalah. Biarkan ia menjadi tazkirah dan muhasabah kepada diriku sendiri, dan jua orang-orang yang mahu mengambil pengajaran. Mungkin ia tiada nilai pada seseorang, pada masa yang sama, akan ada orang yang menilainya.

WaLLAHU a'lam...

Selamat Berpuasa, Selamat menggandakan amal ibadah dalam bulan Ramadhan ini.

Tuesday, September 8, 2009

Malas solat witir? Mai renung sat...

Menjadi trend, selesai saja lapan rakaat solat tarawih, berduyun-duyun orang bangun meninggalkan jemaah. Mereka tidak mahu meneruskan solat tarawih ke dua puluh rakaat, ataupun memandang remeh solat witir. Mungkin pada fikirannya, witir hanyalah solat penutup. Budaya ini kurang sihat sebenarnya. Solat witir bukan penutup seperti tudung botol yang menutup mulut botol. Dan golongan yang bangun meninggalkan jamaah itu boleh dibahagikan kepada beberapa kategori:

1) Mahu meneruskan solat tarawih di rumah kerana di masjid/surau hanya dilaksanakan lapan rakaat sahaja.

2) Mahu menunaikan solat witir diakhir malam, atau waktu sahur. Mungkin mahu mengerjakan qiamullail dahulu.

3) Sudah letih dan malas untuk meneruskan solat. Lapan pun dah cukup. Witir buat bulan lain pun boleh.

4) Ikut-ikut orang. Sejak awal lagi sudah malas bertarawih. Orang berduyun-duyun bangun keluar dari saf memberi peluang kepadanya untuk beredar.

5) ----

6) ----


Golongan (1) dan (2) tiada masalah. Golongan (3) dan (4) dan seterusnya, adalah bermasalah. Mungkin mereka tidak faham dan tidak menghayati besarnya ganjaran ibadah dalam bulan Ramadhan. Melaksanakan ibadah hanya kerana ikut-ikutan, atau malu kalau tak buat, isi masa lapang, dan sebagainya adalah sia-sia. Beribadahlah kerana ALLAH.

Ingatlah, bahawasanya solat tarawih hanya dibulan Ramadhan sahaja. Tiada disunatkan dibulan-bulan lain. Mengerjakannya adalah menyahut tawaran hebat dari ALLAH. Meninggalkannya seumpama tidak tertarik dengan tawaran ALLAH yang sangat hebat itu.

Dan fahamilah, bahawasanya solat witir itu adalah solat sunat yang paling afdhal, lebih besar fadhilatnya berbanding solat tarawih. Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan. Fadhilatnya lebih besar dari mana-mana solat sunat, kerana fadhilatnya menghampiri fadhilat solat wajib.

Solat witir dilakukan dalam kiraan ganjil bilangan rakaat, sekurang-kurangnya satu rakaat. Biasanya dilakukan tiga rakaat dengan dua takbiratul ihram dan dua salam. Lebih baik lagi, dilakukan lima rakaat. Lebih lagi baik dilakukan tujuh rakaat. Lagi lagi lagi baik dilakukan sembilan rakaat. Terbaik dilakukan sebelas rakaat solat sunat witir.

Bagi solat witir tiga rakaat, mazhab Maliki melakukan tiga rakaat satu takbiratul ihram dan satu salam ( tiga rakaat terus sama seperti halnya solat maghrib). Bagi mazhab Syafiie, solat sunat witir dilakukan dua kali takbiratul ihram dan dua salam (yakni dilakukan dua rakaat dahulu, kemudian satu rakaat). Mazhab Syafiie juga membolehkan solat witir dilakukan tiga rakaat sekaligus, seperti Mazhab Maliki. Namun bagi mazhab Syafiie, solat witir dua rakaat diikuti satu rakaat adalah lebih afdhal daripada melakukan tiga rakaat sekaligus, kerana dengan melakukan dua rakaat witir dan diikuti satu rakaat witir itu mempunyai lebih takbiratul ihram dan lebih bilangan salam. Takbiratul ihram dan salam kedua-duanya rukun solat.

Jadi bagi sesiapa yang cuba lari dari solat sunat witir, fikirlah kembali. Aku menyeru diriku dan kalian semua, agar tidak ketinggalan dalam menggandakan ibadah yang ikhlas dalam bulan barokah ini. Selamat meneruskan amal ibadah.

WaLLAHU a'lam.

Friday, September 4, 2009

"Ramadhan, bulan melawat Kelantan..."

Sekadar sebuah catatan...

"tahun depan, kalau ada peluang, kita ambik cuti seminggu" ujar ayah ketika berbual bersama aku dan emak sambil melihat video yang dirakam menggunakan hanset.

"Ramadhan tahun depan kalau berpeluang, kita bercuti seminggu di Kota Bharu" tambah ayah.

Aku menekan butang-butang hanset ayah melihat video-video seterusnya. Emak pula mendengar sambil membelek-belek akhbar Harakah.

Ayah, ibu dan dua adikku baru sahaja pulang dari bermusafir ke Kota Bharu dua-tiga hari lalu. Sejak ayahku bertukar tempat kerja dari Pengkalan Hulu ke Alor Setar, kerap juga ayah ke negeri pantai timur itu. Kata ayah, staff pejabat lain tidak berminat ke Kota Bharu untuk tugas-tugas tertentu, jadi ayah mengoffer diri untuk ke sana. Kerja sikit saja. Suasana di sana yang ayahku gemar sekali. Ketika aku dan adikku bersekolah di MML dan MMP dulu, ayah kerap juga ke sana. Kali ini suasananya sangat berbeza dari dahulu.


Pengalaman Ihya' Ramadhan tahun ini dirakam oleh ayah sebagai kenangan. Kalau dahulu, ihya' Ramadhannya di Dataran MPKB, kini di Stadium pula. Khemahnya lebih ekslusif untuk para tetamu Ramadhan.

"Susah nak jumpa suasana macam ni kat negeri lain, kan ayah?" aku bersuara selepas tidak ada butang lain lagi untuk ditekan pada hanset ayah itu.

"Bukan susah, tapi memang tak ada" ayah jawab spontan.

Aku tersengih. Memang pun. Sudah gaharu cendana pula, sudah garu-garu gatal pula, dah tau buat-buat tanya pula. Huhu...

Dari video yang aku lihat, aku berkesimpulan, apabila pemimpinnya beriman, maka rakyatnya akan turut mengikut jejak langkah pemimpin mereka. Apabila pemimpinnya bertaqwa, seluruh rakyatnya akan diusahakan untuk sama-sama bertaqwa kepada ALLAH. Jika anak, bapalah yang mendidiknya, murid pula, guru yang mengajarnya, dan jika rakyat, pemimpinnyalah yang mentarbiyahnya. Rosaknya akhlak pemimpin, maka rakyatnya akan mengalami keruntuhan akhlak jua.

Para jemaah yang hadir bukan sahaja dapat menunaikan solat tarawih bersama imam jemputan, malah dapat juga mendengar tazkirah yang disampaikan oleh pentazkirah berbeza setiap malam di antara solat-solat tarawih. Para jemaah diberikan sebuah buku catatan khas untuk mencatat isi-isi penting tazkirah bagi yang mahu mencatatnya.

Cubalah, bagi sesiapa yang belum pernah mengalami perbezaan ihya' Ramadhan di tempat masing-masing, cubalah satu dua malan di Kota Bharu. Uniknya Ramadhan di serambi Mekah itu patut dicontohi oleh negeri-negeri lain, terutamanya negeri aku. Ku tahu sukar, kerana MB Kelantan bersusah payah selama 20 tahun untuk mencapai suasana Islamik begitu.

Suasana Ihya' Ramadhan di Kota Bharu itu menggamit hati orang-orang soleh, manakala orang-orang munafiq pula cemburu dan gelisah dengan perkembangan sebegitu rupa. Suasananya sesuai dengan gelarannya Serambi Mekah.

Antara screenshot dari video yang dirakam:


para jemaah mendengar ayat-ayat quran yang
dialunkan oleh syeikh imam selepas selesai solat tarawih



WaLLAHU a'lam...

p/s: patut menteri Jamil Khir, Jakim, ikim, lkim, polis, atm, sprm, spr .... pikir laa buat aktiviti macam ni di peringkat kebangsaan. Kalau program perayaan kaum2 bulih buat sbg acara sambutan peringkat nasional, masakan Ihya Ramadhan ni tak boleh? Kan Malaysia ni "negara Islam"... Kan 1Malaysia ni macam 'Piagam Madinah'...

Tuesday, September 1, 2009

Burung itu sakitkah...?

Seekor burung terbang keriangan. Burung itu meluncur laju di ruang udara. Burung itu bebas ke sini dan sana mengikut kemahuannya. Burung itu bebas melakukan aktiviti rutinnya.... kerana burung itu sihat segala anggotanya.


Malang sekali apabila penyakit-penyakit mula menular. Selsema kiri dan kanan memburunya. Anggota-anggota badannya sakit-sakit. Organ-organnya tidak keruan. Tubuhnya menjadi lemah dan tidak bermaya. Terseliuh pula kepak kanannya. Ia tidak lagi mampu terbang bebas. Ia tidak mampu melakukan aktiviti rutinnya sekalipun ligat dalam kepalanya merancang untuk itu dan ini.

Burung itu lemah dek kerana organ-organ dalamannya tidak keruan. Masing-masing tidak sehaluan. Masing-masing mahu buat kerja sendiri tanpa mahu synchronize dengan rakan-rakan organ lain. Ukhuwwah organ-organ lemah sekali. Sekali pandang, susunan organ nampak cantik. Bila diteropong, baru nampak kecelaruan. Padanlah tubuh si burung itu lemah tidak bermaya. Tidak ke mana ia.

Sudahlah lemah tubuh badannya, sayap kanannya pula terseliuh. Sudahlah terseliuh, tulang-tulang pada sayap kanannya juga tidak sehaluan. Masing-masing tidak mahu bekerjasama. Ada tulang yang mahu sayap kanan itu berfungsi dengan baik, pada masa yang sama ada pula tulang yang enggan dan mudah menunjuk rasa. Alahai tulang-tulang...

Manakala sayap kiri pula nampak gaya macam sihat. Tidak terseliuh. Huh... apalah tulang-tulang sayap kanan buat. Tengoklah sayap kiri. Bila-bila masa saja mahu membawa burung itu kembali terbang girang. Sayap kiri nampak didepakan. Tapi sayap kanan masih terkial-kial. Masih ada masalah dalaman. Masakan si burung dapat terbang dengan hanya sebelah kepaknya? Hebat macamana pun sebelah kepak, burung tak dapat terbang, kerana sunnah burung terbang, menggunakan dua kepak. Tidak dapat juga burung itu terbang jika sebelah kepaknya laju mengibas, sedangkan sebelah lagi perlahan. Dan tidak pula dapat terbang burung itu jika kedua-dua kepaknya mengibas tidak serentak rimanya. Burung itu termenung sendirian.

Si burung merenung dirinya. Merenung anggota tubuhnya. Bermuhasabah organ-organnya. Memandang sayap kiri dan kanannya. Apalah nasib dirinya. Kenapa semua ini terjadi. Ketangkasannya menangkap ikan, menyambar serangga, membelah awan... kini tinggal angan-angan yang tidak kesampaian.

Ah, mungkin si burung itu terfikir, ia berada dalam zon selesa. Makannya jenuh, dunianya ceria. Ia lupa untuk melatih dirinya menjadi lasak. Ia lupa pada latihan untuk dirinya, sehingga organ-organnya berkonflik, tiada wehdatul fikr. Ia enggan dilatih secara keras dan tegas kerana mudah merajuk. Sayap terseliuh itu lambat dirawat sehingga tulang-tulang masing-masing memprotes. Oh burung, sekalipun burung berdiam diri, orang masih dapat melihat yang burung itu sedang sakit...

Akhirnya hingga kini, burung itu masih bertenggek di dahan pokok manggis. Termenung mengenangkan dirinya yang tidak cerdas. Ia terus memikirkan masalah-masalah dalaman organ-organnya, sedangkan burung-burung lain terus riang membentuk kumpulan yang lebih besar membelah awan.

WaLLAHU a'lam...

Ũ