© The Mhakk Studio

You are being watched!

Wednesday, September 9, 2009

09-09-09

Jika rasa entry ini membazir masa anda, berhentilah sebelum habis mebacanya.

09-09-09


Susunan nombor yang nampak cantik. Ramai orang yang cuba melakukan sesuatu pada tarikh yang tersusun cantik nombornya, 09 September 2009 atau 09-09-09. USM ada Konvokesyen Komemoratifnya pada 09-09-09 (Ulangtahun ke 40 [1969-2009]). MUFORS ada aktivitinya pada 09-09-09. Apple pun ada eventnya. Anda pula?

09-09-09 hanya mainan nombor yang tiada apa-apa kelebihan. 09 September 2009 bukanlah hari kebesaran apa-apa. Tiada apa-apa ibadah khusus disunatkan pada tarikh ini, melainkan jika dibaca menggunakan kalendar Hijrah, ia bernilai dengan ketinggian nilai Ramadhan.Barangsiapa yang taksub dengan nombor 09-09-09, dia melakukan kesilapan besar dalam hidupnya. 09-09-09 bukanlah tarikh keramat untuk dipuja-puja.

"Habis, kenapa ditulis juga entry 09-09-09 ini?"

Aku tersenyum dengan pertanyaan aku sendiri. Susah juga hendak menjawab soalan diri sendiri. Bukan kerana 09 September adalah ulangtahun tarikh kelahiranku, kerana aku tidak pernah cakna pun dengan tarikh lahir aku sendiri, melainkan adik-adik dan beberapa orang sahabat sahaja pernah berSMS ucap selamat kepadaku. Ketika itu baru aku sedar yang aku semakin berumur. Jika tidak, aku terus leka dengan dunia...dunia... Biarlah Sultan negeriku, Sultan Kedah dan mantan PM Tun Abdullah mengambil manfaat pada ulangtahun hari lahirku ini.. uhukk... terbatuk pulak...

"Habis?"

Sebenarnya, 09-09-09 ini adalah tarikh Jubli Perak hidupku atas muka bumi ALLAH. Jubli Perak bererti sudah genap suku abad aku dihantar ke dunia untuk menjadi khalifah di muka bumi. Kombinasi 09-09-09 yang menjadigenapkan suku abad usiaku menggatalkan tanganku untuk menaip entry ini. Bukan senang. Orang lain pun ada menyambut hari lahir 09-09-09. Tapi mungkin sahaja ulang tahun ke 21 atau 22, 23, 24, 26, 27, dan sebagainya. Sedikit sahaja yang nombornya berkombinasi cantik. Bagi yang menyambut ulang tahun ke-50, itu jubli emas namanya. Hidup setengah abad.

"Jadi, taksub dengan kombinasi nombor jugalah ni?"

Opss... bukan. Tujuan sebenar adalah untuk mengetuk hatiku sendiri dan hati sesiapa sahaja yang mahu ambil pengajaran. 09-09-09 ini adalah tanda bahawa sudah 25 tahun aku hidup dan dilantik menjadi khalifah di muka bumi. Jawatan yang besar ini diberi kepada semua manusia, termasuk diriku.

Selama 25 tahun aku menikmati elaun-elaun jawatan khalifah ini, apa tugas yang aku telah buat, dan apa pula tugas yang aku abaikan? ALLAH beri elaun khas mata,kepala,akal,kaki,tangan dan seluruh anggota badan, segalanya percuma. ALLAH beri aku elaun seumur hidup oksigen percuma, tenaga, sistem keimunan, sistem aliran darah yang baik, sistem pencernaan yang canggih. ALLAH memberi aku elaun aku ayah dan ibu yang baik, adik beradik yang baik, sahabat-sahabat yang baik. Banyak lagi elaun-elaun yang ALLAH beri kepada aku dan kita semua, kerana kita dilantik-Nya menjadi khalifah di bumi.

Firman ALLAH:

"Jika sekiranya kamu ingin menghitung nikmat ALLAH, nescaya kamu tidak akan terhitung" surah Ibrahim:34

Dengan elaun sebegitu besar, apakah yang telah aku laksanakan akan tanggungjawabku selama 25 tahun ini? Apakah aku hanya memakan gaji buta? Oh ALLAH... ampuni dosa-dosa dan kealpaan aku, dan juga ampuni orang-orang yang turut mendoakan kemapunan untukku.

Renunglah dan muhasabahlah wahai aku dan orang-orang yang mahu bermuhasabah. Jika hari ini aku menyambut "Jubli Perak", mungkinkah kelak aku akan dapat menyambut pula "jubli emas"?

"Jubli emas, kombinasinya 09-09-34 ... dah tak cantik"

Abaikan kombinasi. Persoalannya, apakah aku akan sampai ke usia itu? Berapakah subsidi umur yang ALLAH akan beri? Atau ketika itu aku hanya tinggal dalam kenangan beberapa orang manusia?

Sesungguhnya, selama suku abad hidupku ini, mission aku sebagai khalifah masih tidak berjaya. Aku masih perlu bermuhasabah dan berusaha membaiki diri untuk meneruskan perjuangan sebagai khalifah di muka bumi. Hidup ini bukan untuk aku mencuba jaya, atau try and error. Hidup ini adalah timeline yang akan terus berjalan hingga tamat, tanpa boleh berpatah balik. Setiap kesalahan, dosa, alpa dan leka, adalah sejarah hidup yang tidak akan terpadam. Ia tetap menjadi sejarah, yang kita pernah lakukannya. Bab mohon ampun, minta maaf,diampunkan dan dimaafkan, itu cerita lain. Yang pastinya, ia tetap menjadi sejarah.

Maka, aku menyeru diriku dan kalian supaya hindari dosa dan kesalahan, samada kepada ALLAH, atau sesama manusia, kerana ia tetap menjadi sejarah. Ia tetap tercetak dalam lembaran timeline hidup, yang tidak boleh dipadam. Elakkan perintah ALLAH dilakukan secara 'try and error'. Lakukanlah dengan penuh tekun dan bersungguh-sungguh berasaskan ilmu yang sahih, dengan harapan diterima oleh ALLAH.

Seseorang yang berbuat dosa, perbuatan dosanya itu tercatat sebagai sejarah, yang dia pernah melakukan dosa. Tidak akan terpadam perbuatannya. Dosa itu insyaALLAH akan diampun ALLAH dengan bertaubatnya orang itu, tetapi, sejarah dia pernah buat perkara dosa adalah tidak terpadam. Sebab itulah, sebaik-baik orang berdosa adalah orang yang bertaubat.

"adakah dengan berlalunya suku abad kehidupan,dan memulakan suku abad ke dua, akan ada perubahan-perubahan tertentu?"

Opss... sekali lagi aku tidak menyangka aku akan bertanya begini terhadap diriku. Soalan ini tiba-tiba muncul ketika aku sedang menaip. Ehem...

25 tahun bukanlah usia yang muda. Jubli perak hidup di dunia ini bukanlah suatu terma yang baik untuk diguna-pakai. istilah Jubli perak ini digunapakai apabila dinisbahkan kepada satu abad, atau seratus tahun. Jika kita nisbahkan hidup kita dengan 100 tahun, tentulah usia 25 tahun ini adalah usia yang masih muda. Sedangkan kita sendiri tidak tahu sampai bilakah usia kita, dan tentunya umat akhir zaman ini rata-ratanya 60-70 tahun sahaja hidup. Lebih umur, adalah bonus ALLAH berikan sebagai peluang-peluang terakhir membaiki diri.

Berbalik kepada perubahan-perubahan untuk suku abad kedua. Andaikata umur aku ditakdirkan setakat usia 60 tahun, maka aku masih mempunyai 35 tahun untuk meneruskan agenda khalifah muka bumi ini. Masih berpeluang aku menyambut jubli emas walaupun kombinasi nombornya tidak secantik 09-09-09. Andaikata umurku setakat 50 tahun sahaja, masyaALLAH, jubli emasku adalah hari terakhirku menerima elaun-elaun sebagai khalifah.

Andai pula jubli perak ini adalah hari terakhirku memikul amanah khalifah di muka bumi, maka tiadalah suku abad kedua untukku membaiki pencapaian pengabdianku kepada Rabbul Jalil. 25 tahun hidupku akan hanya meninggalkan sedikit memori kepada beberapa kerat manusia. Aku hanya akan menjadi kenangan kepada kaum keluargaku dan sahabat-sahabatku selama mana mereka mengingatiku. Tiada yang aku harapkan daripada mereka ketika itu melainkan doa mereka memohon ampun untukku.

Selama 25 tahun, sedar tidak sedar, aku bagaikan tiada amal jariyah, yakni amalan yang membolehkan aku terus menerus mendapat ganjaran sekalipun setelah aku tiada. Apabila matinya anak Ada, terputus segala amalan, melainkan tiga perkara. Sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan. Sedekah jariyah? Aku pun tidak tahu samada aku pernah melakukannya atau pun tidak. Ilmu yang bermanfaat? Aku bukanlah alim ulama. Ilmu yang aku ada hanyalah sedikit. Maka sedikit pula aku sampaikan kepada orang lain akan ilmu ku dek kerana kelemahan diriku. Entah aku akan disoal mengenainya atau pun tidak. Namun aku harap, sedikit ilmu-ilmu yang ada tercatat dalam blog ini dapat dimanfaatkan. Mudah-mudahan aku mendapat sedikit ganjaran berterusan di sana. Anak soleh yang mendoakan? Sehingga aku menulis entry ini, aku belum berkahwin.

Jadi amalan apa yang aku akan bawa bersama sebagai bekalan untuk menghadap Ilahi bila-bila masa sahaja? Umur 25 tahun bukanlah jaminan yang aku mempunyai banyak lagi masa. tengok sahaja ustaz Asri Rabbani. Meninggal dia ketika usia 40 tahun. Bukan sahaja kita semua tidak sangka, malah dia sendiri tidak menyangka dia akan mati sebegitu cepat. Semoga rohnya dicucuri rahmat-Nya. Jika umur Ustaz Asri dijadikan ukuran, maka tempoh hidupku hanya tinggal 15 tahun sahaja lagi. 15 tahun tidak lama.

"Ya syeikh... 09-09-09 ni kombinasi nombor untuk ingati hari lahir ke hari mati?"

Sesungguhnya, orang-orang yang bijaksana adalah orang yang sentiasa mengingati mati, dan bersiap sedia untuknya. Aku ingin menjadi bijak. Namun aku tidak tahu caranya, melainkan apa yang aku telah lakukan ini. Manusia rata-ratanya takut untuk membiacarakan tentang mati, dan kematian. Manusia percaya yang dirinya akan mati, di mana-mana saja, pada bila-bila masa. Akan tetapi mereka seakan-akan kurang yakin dengan kematian dan menyangka mereka akan hidup lama, tidak akan mati. Percaya tetapi kurang yakin. Sehinggalah tiba waktunya, ketika itu sudah terlambat untuk bermuhasabah membaiki diri.

Dan 09-09-09 yang menggenapkan usia 25 tahun ini membuatkan aku terfikir, sejak akil baligh, hingga hari ini, berapa banyak dosa yang telah aku lakukan. Berapa banyak pula amalan sebagai bekalan untuk menghadap-Nya. Berapa banyak pula taubat dan istighfar aku. Aku mohon kalian semua sahabat-sahabat yang mulia, ingatilah aku dalam doa kalian, agar ALLAH turut mengampun dosaku disamping dosa-dosa kalian.

Oh ALLAH... ampuni dosa aku, dan ampuni dosa orang-orang yang mohon ampun untukku. Ya ALLAH, terimalah taubat dan ampunilah orang-orang yang mengatakan 'Ya ALLAH, ampunilah Muhammad Helmi (bin Abdul Kudus)'.


"oh ya... berbalik kepada maudhu'. Apa aktiviti special pada hari 09-09-09 ni?"

Aktiviti biasa sahaja. Rutin. Tiada yang special. Mungkin mahu sesuatu yang lebih baik dari hari sebelumnya. 09-09-09 itu cuma nombor sahaja. Tidak mengubah apa-apa schedule. Entry ini sengaja diletakkan banyak "09-09-09". Kalau orang search 09-09-09, mungkin akan terserempak dengan entry ini. huhu...

"Dah dah... stop kat sini sajalah. Dah mula nak merapu dah la tu..."

Hehe... betul tu. Oklah. Andaikata ada susunan ayat yang tunggang-langgang, yang menyentuh hati atau menggelikan perut, mohon maaf banyak-banyak. Jika anda tidak memahami objektif, tujuan dan isi entry ini, tidak mengapalah. Biarkan ia menjadi tazkirah dan muhasabah kepada diriku sendiri, dan jua orang-orang yang mahu mengambil pengajaran. Mungkin ia tiada nilai pada seseorang, pada masa yang sama, akan ada orang yang menilainya.

WaLLAHU a'lam...

Selamat Berpuasa, Selamat menggandakan amal ibadah dalam bulan Ramadhan ini.

2 comments:

Anonymous said...

poyo blah laa. xyah la nak umum kat org lu punya b'day. ape jadahnye soltan dgn paklah ambik manfaat lu punya bday. sengal la lu wakaka..

Anonymous said...

semoga ALLAH memberi kesejahteraan kpd sdr dan menerima segala keampunanNYA.

Ũ