© The Mhakk Studio

You are being watched!

Thursday, March 11, 2010

Berpeganglah dengan kebenaran, jangan memanjangkan pertelingkahan...


Berbeza pendapat...
Berlainan pendirian...
Berkeras dengan idea sendiri...
Bertelingkah...
Bermasam muka...
Bertikam lidah...
Bergaduh...
Boikot memboikot...
Berperang!!


Itulah lumrah manusia yang pelbagai ragam, apabila tidak disatukan ideologi dengan fikrah yang sebenar. Masing-masing keras kepala dan menganggap diri sendiri sangat betul, tanpa mempedulikan pandangan orang lain, tanpa mahu muhasabah fikrah sendiri. Aku betul, maka akulah yang betul. Peduli apa dengan orang lain! Biarlah hati puas dengan pendirian keras diri sendiri.

Dua pihak bertelagah, maka sifirnya mudah. Salah satu dari kedua-dua pihak itu pasti benar, dan pihak satu lagi semestinya salah. Atau, kedua-duanya adalah salah. Tidak mungkin kedua-duanya benar. Kebenaran hanya satu, tiada dua, tiada tiga atau empat.

Dalam ayat al-Quran, ALLAH berfirman;

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ ءامَنُوا يُخْرِجُهُمْ مِنْ الظُّلُمَتِ اِلَى النُّورِ
وَالَّذِينَ كَفَرُوا اوْلِيَاؤُهُمْ الطَّغُوتُ يُخْرِجُونَهُمْ مِنْ النُّورِ اِلَى الظُّلُمتِ
اُوْلئِكَ اصْحَبُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَلِدُونَ

"ALLAH adalah pelindung kepada orang-orang beriman, Dia mengeluarkan mereka dari zhulumat (kegelapan) kepada nuur (cahaya). Dan orang-orang kafir (engkar) penolong-penolong mereka adalah taghut, yang ianya mengeluarkan mereka dari nuur (cahaya) kepada zhulumat (kegelapan). Mereka adalah ahli neraka, sedang mereka kekal di dalamnya"

[al-Baqarah: 257]

Dalam ayat di atas, ALLAH menggunakan perkataan nuur (cahaya) dengan bermaksud mufrad (singular), manakala zhulumat (kegelapan) adalah kata jama' (plural) dari perkataan zhulmatun (gelap). Maka cahaya kebenaran hanyalah satu, tiada dua atau tiga. Kegelapan dan kesesatan adalah dari cabang yang banyak. Maka orang-orang beriman mestilah berwaspada agar tidak terjerumus ke lorong-lorong kesesatan yang banyak itu. Cukuplah ALLAH (al-quran) dan Rasul (as-sunnah) sebagai pelindung dari kesesatan.

Berbalik kepada isu pertelingkahan yang tidak berkesudahan antara individu dengan individu, kumpulan dengan kumpulan, parti A dengan parti B, negara itu dengan negara ini... maka penyelesaiannya adalah dengan cara masing-masing perlu akur dengan kebenaran, samada pihak yang benar ataupun salah, kedua-duanya mesti berpegang kepada prinsip kebenaran.

Dalam Islam, al-Quran dan as-sunnah adalah prinsip kebenaran yang ulung. Kedua-duanya mesti menjadi pegangan dan rujukan setiap orang yang mengaku beriman kepada ALLAH dan Rasul. Maka apakah yang mnjadi penghalang kepada kalian semua hai orang-orang beriman sehingga kamu terus menerus bertelingkah sesama sendiri, sedang musuh-musuhmu bersuka-ria dengan keadaanmu?

Contohnya dalam keadaan politik bernegara, Parti A dan Parti B kedua-duanya berbeza dasar perjuangan, walhal kedua-duanya mengaku memperjuangkan keadilan, memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Namun kedua-dua bertelagah. Maka ketahuilah salah satu samada Parti A itu benar, Parti B itu salah, atau Parti A itu salah , Parti B itu benar. Atau pertelingkahan berlaku kerana kedua-duanya salah. Parti A salah, Parti b juga salah, dan mereka bertelingkah kerana jahil dan tidak mengetahui bahawa mereka adalah salah. Tidak mungkin kedua-dua sekali parti itu benar serentak, kerana kebenaran tidak akan berlawan dengan kebenaran. Kebenaran akan hanya menentang kebathilan, dan kebathilan juga sunnahnya akan melawan kebenaran.

Pertelingkahan dan perbalahan akan berterusan apabila prinsip kebenaran tidak dipatuhi dan tidak mahu diikuti. Pihak yang bersalah tetap mahu mengatakan pihaknya adalah benar, enggan mengaku salah. Saya pantang dicabar! Lawan tetap lawan, adalah slogan yang tidak wajar ditanam dalam jiwa pihak yang mengetahui dirinya bersalah. Tunduk kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berbangga dengan kebathilan. Jika prinsip kebenaran tertegak dan dipatuhi, yang bersalah tidak akan segan silu mengaku salah, dan pihak yang benar tidak pula takabur dengan kebenaran. Maka terhasillah perdamaian.

Ingatlah bahawa Iblis adalah makhluk yang sangat mengetahui kebenaran, namun ia menggadaikan prinsip kebenaran kerana ego dan keangkuhan dirinya. Maka Iblis memilih untuk menentang kebenaran, dulu, kini dan selamanya. Baginya tiada istilah berdamai dengan manusia. Manusia akan terus dipecah belahkannya supaya membelakangi kebenaran. Dan orang-orang beriman hendaklah bersatu agar tidak terjerumus ke dalam perangkap iblis laknatuLLAHi 'alaih.

WaLLAHU a'lam...

No comments:

Ũ