© The Mhakk Studio

You are being watched!

Friday, November 14, 2008

Sembang kosong: hari ni last paper...

Post kali ni saja-saja nak buat omongan sedikit.

Hari ini 14 November 2008. Kertas peperiksaan terakhir untuk semester ini akan aku hadapi sebentar lagi. Sempat lagi berblog. Sudah beberapa hari aku membiarkan blog aku tidak tercatat omongan aku.

Semalam seorang ahli usrah aku datang. Dan pagi ini dia masih bersama aku. Adikku ini baru selesai peperiksaan STAM. Agaknya dia tiada kerja yang mahu dibuatnya, lalu datanglah dia melawat aku. Mungkin juga niatnya nak tolong mengemas barang-barang untuk di bawa balik, kerana petang ini lepas exam atau lepas solat Jumaat, aku sudah nak balik. Bagus betul ada adik yang baik hati.

Keapada sahabat-sahabat yang masih berjuang untuk peperiksaan tu, teruskanlah mengulang kaji. ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubahnya sendiri. Dan ALLAH tidak memberati seseorang melainkan apa yang mampu dilakukannya. ALLAH Maha Mengetahui kemampuan kita.

Mohon ampun dan maaf sekiranya perbuatan, penulisan dan perkataanku menyakiti atau mencalari perasaan , hati, jantung dan limpa kalian. Kepada Zulfirdaus, minta maaf juga sebab tak bagi demo menang main ping pong malam tadi. Kehkeh... Kira semester berakhir dengan kemenangan kawe lah nampaknya.

Oklah. Nak tidur sebentar, kumpul tenaga untuk exam.Heheh. Wassalam...

Monday, November 10, 2008

Politik baling kerusi, Melayu semakin menuju kelas ketiga!

Baca saja berita-berita di akhbar atau tonton berita di televisyen, asyik-asyik cerita UMNO. Kemudian bermacam-macam persoalan timbul dalam fikiran dan ulasan tentang UMNO ini. UMNO sekarang kelihatan cuba mengembalikan kekuatannya, dan dengan Dato Najib sebagai bakal Presidennya dengan menang tanpa bertanding, UMNO rasa bagaikan kembali menjadi kuat (?).

Posting kali ini berkisar tentang politik UMNO. Apakah aku tidak boleh berpolitik? Jawabnya boleh. Mahasiswa sangat dialu-alukan berpolitik. Kawan-kawanku di kampong boleh berpolitik dengan bebas, kenapa aku di university Apex tidak bebas menyatakan pendapat politikku? Bagaimana mungkin mahasiswa tidak boleh berpolitik sedangkan hakikatnya kita dilingkungi oleh anasir-anasir politik yang mempolitikkan kita dan memperalat kita bagi memenuhi kehendak politik mereka samada kita sedar atau tanpa kita sedari. Jadi kita juga perlu memahami politik untuk mengelak diri kita daripada tertipu dengan politik politikus di sekeliling kita.

Baik, kembali semula kepada isu UMNO. UMNO adalah parti nasionalis Melayu. Parti kaum Melayu. Maka tidak salah kita sebut UMNO adalah parti perkauman. Sebagai orang Melayu, tidak salah kita mengkritik UMNO, kerana terdapat golongan yang berfikiran bahawa UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO.

Oleh kerana terdapat persepsi demikian, maka apa yang berlaku dalam UMNO sedikit sebanyak menggugat imej kita sebagai orang Melayu di mata dunia, sekalipun kita tidak menyokong atau bersetuju dengan UMNO. Lihatlah sekarang di mana berlakunya adengan merebut jawatan yang dikira sudah semakin parah. Politik duit menjadi darah daging UMNO sedikit sebanyak menggambarkan Melayu memang mata duitan dan perasuah (?). Adengan membaling kerusi dalam pemilihan di peringkat bahagian juga tidak sedikit membuatkan kita malu. Melayu gila jawatan! Mungkin itu yang dunia Nampak, kerana setiap hari berita berebut jawatan, malah jawatan itu hanyalah peringkat bahagian saja pun, sudah sampai baling-baling kerusi.

"Siapa lawan aku, aku baling kotak kayu ni atas kepala dia" - gambar hiasan

Dunia melihat bahawa Melayu berpolitik seperti budak-budak agaknya. Gelagat tidak waras yang ditunjukkan oleh pemimpin UMNO atas dan bawah mencemarkan imej Melayu. Kalau Amerika, lihatlah bagaimana profesionalnya Hillary dan Obama melobi. Bagaimana jauh lebih baik kempen Obama dan McCain dalam merebut kerusi Presiden Amerika berbanding UMNO. Melayu sudah sampai ke tahap baling kerusi sekalipun hanya kerusi UMNO bahagian yang direbutnya.

Malu kita sebagai orang Melayu apabila UMNO yang berwarna Melayu menjadi begitu teruk. Ah… Tiada apa yang perlu dimalukan akibat perbuatan UMNO. Kalau kita bersikap perkauman Melayu, memang patut malu. Jika tak mahu malu, usah terlalu keMelayuan. Berjuanglah atas nama Islam. Kita sebagai seorang Muslim. Melayu hanya label murahan saja. Sama saja murahnya dengan label-label Cina, India, Arab, Jawa dan sebagainya. Tak berkesudahan jika hanya berjuang atas nama label. Tiada kemuliaan di sisi Raja Segala Raja melainkan bezanya adalah level ketaqwaan.

Kita pula sebagai mahasiswa, sepatutnya mampu menilai siapa UMNO dan kepimpinannya. Apa matlamat UMNO, dan bagaimana cara UMNO merealisasikan matlamatnya. Jangan kerana sokongan kita generasi muda kepada UMNO, membuatkan kita menjadi susah suatu hari nanti. Mahasiswa wajar berfikiran jauh, sesuai dengan levelnya sebagai pemimpin masa depan. Jangan terpengaruh dengan politikus-politikus UMNO yang sudah tua. Kita perlu mencorak masa depan generasi kita dan generasi seterusnya.

Kalaupun ada antara kita mahasiswa, yang sudah bertekad untuk hidup dan mati dalam UMNO, maka tidak bermakna anda tidak boleh mengkritik UMNO. Tidak bermakna anda harus ikut telunjuk orang-orang tua UMNO yang sudah rosak akhlaknya. Apakah anda juga mahu sama dengan level mereka yang baling-membaling kerusi? Berjuang dalam UMNO adalah perjuangan duit. Berjuang membolot harta dunia yang tidak ke mana-mana. Slogan berjuang untuk Melayu hanya gula-gula meraih sokongan. Hakikatnya tiada apa pun pembelaan kepada Melayu dengan ikhlas. Jika bantu, hanyalah bantuan itu tersembunyi agenda dibelakangnya.

Lihatlah level Melayu hari ini. Sepatutnya setelah 50 tahun merdeka, Melayu sudah maju. Melayu sudah tidak perlu bertongkat lagi. Tetapi sana sini Melayu terpinggir di bumi sendiri. Melayu semakin menghampiri bangsa kelas ketiga dalam Negara sendiri. Pandanglah dan lihatlah penduduk Bandar. Berapa kerat sahaja Melayu yang hidup di Bandar-bandar besar? Sesungguhnya hanya golongan elit Melayu UMNO sahaja yang dibuai kesenangan. Melayu lain hanyalah menjadi batu loncatan golongan elit ini untuk terus berkuasa. Elit Melayu sanggup menjadibodohkan Melayu lain kerana apabila Melayu sudah berjaya menjadi bodoh, mudahlah elit-elit ini memperbodohkan Melayu untuk terus berkuasa.

Banyakkanlah berjalan dan merantau melihat kedudukan orang Melayu di bawah. Jangan fikir dengan kesenangan kita dan keluarga di sekeliling kita, ia sudah menggambarkan keadaan Melayu itu sudah senang lenang. Silap. Melayu sebenarnya sudah menghampiri bangsa kelas ketiga. Cina dan India pula semakin membina kelasnya tersendiri dalam Negara kita. Bukan salah Cina dan India, tetapi salah pemimpin-pemimpin Melayu sendiri yang hanya berpolitik untuk kepentingan diri dan kroni, bukan untuk bangsa sendiri.

Marilah kita mengubah persepsi dunia bahawa Melayu bukanlah UMNO. Kesilapan UMNO bukan kesilapan Melayu. Buruknya UMNO adalah akibat perjuangan mereka sendiri yang salah dan bersifat asobiyah perkauman. Jangan kita terjebak dalam politik kebudak-budakan UMNO. Sebagai golongan muda dan terpelajar, kita tidak akan melayan karenah perkauman yang diperalatkan UMNO untuk terus berkuasa.

Berjuanglah bersama-sama gerakan Islam. Islam akan relevan sampai bila-bila. Melayu tidak akan relevan selama-lamanya. ‘Dulu, kini selamanya’ hanyalah slogan khurafat UMNO. Tiada sesuatu yang kekal melainkan ALLAH.Hidup kita tidak lama. Melayu takkan dapat tolong kita di akhirat. UMNO lebih-lebih lagi tiada nilai di akhirat. Kembalilah kepada Islam dengan sebenar-benarnya.

Sunday, November 9, 2008

Sembang: Perjalanan seharian mencari sesuatu

Jauh berjalan, luas pemandangan. Itulah ungkapan yang boleh diletakkan di sini walaupun sebenarnya tak luas sangat pun pemandangan. Perjalanan 12 jam pergi dan balik bersama-sama 5 sahabat melalui high-way yang sudah biasa aku lalui, memang tak meluaskan pemandangan.

Seharian kami semua bergerak ke utara tanah air mencari sinar harapan. Bermula lepas sarapan pagi, kami bergerak menuju ke Lembah Bujang, tempat kononnya bermula tamadun Kedah Tua di sana. Namun sebelum tiba di sana, terlebih dahulu kami diuji di Tol Sungai Dua. Sebuah kereta yang dinaiki dua orang daripada pencari sinar harapan, pecah tayarnya.

Kami yang berempat yang berada di kereta hadapan berpatah balik untuk melihat keadaan. Ingatkan bocor biasa saja, rupanya pecah berkoyak-koyak tayar kereta itu. Wah., sampai nampak dawai-dawai dalam tayar. Ganas betul tayar kereta ni meletup. Teringat contoh yang diberi oleh Prof Hanafi mengenai tayar yang tak diservis, ada yang terkeluar dawai. Semua orang tergelak. Aku fikir itu hanya contoh untuk menghiburkan kelas. Tetapi rupanya contoh itu betul-betul ada. Sudahlah tayar pecah, tayar simpanan pun injured juga. Itulah ujian. Setiap ujian akan mematangkan diri.

Pendekkan cerita, dua sahabatku membawa tayar yang sudah tidak boleh diguna itu ke kedai. Tinggallah kami empat orang menunggu di tepi high-way berhampiran KMPP. Aku dan seorang sahabat menghabiskan masa di celah hutan di tepi high-way sementara menunggu tayar sampai.

Bukan senang nak 'lepak' di tepi jalan macam tu. Sempat juga aku bergambar menggunakan kamera handsetku. Handset ku ini asalnya hanset ibuku. Setelah mengetahui hansetku hancur akibat terjatuh dari motor, ibuku memberi hansetnya kepadaku. Oh... betapa besarnya kasih ibu kepada anaknya. Ya ALLAH, kurniakanlah kekuatan dalam diriku untuk berbakti kepada ibubapaku.

Aku postkan beberapa gambar yang di ambil di tepi high-way tu. Bukanlah lawa sangat, tapi biar jadi kenangan dalam blog aku ini betapa aku tak pernah terfikir pun untuk 'lepak' di kawasan itu.
















Gambar-gambar di atas menunjukkan aku memang tak ada kerja... Harapnya boleh diguna untuk buat 'Wallpaper', tapi semuanya macam tak menarik...

Setelah semuanya selesai, kami meneruskan perjalanan ke Lembah Bujang. Aku belum pernah ke Lembah Bujang sekalipun aku orang Kedah. Tahu nama saja. Jalan-jalannya langsung aku tak pernah lalui.

Setelah puas berpusing-pusing di Lembah Bujang, kami semua terasa lapar. Kami menuju ke restoran RFC - Radix Fried Chicken - untuk 'mentekedarah' ayam. Meratah ayam di kala lapar. Kali pertama juga aku ke RFC. Restoran HPA ini kelihatan sangat ramai pengunjung-pengunjungnya yang sangat suka meratah ayam.

Setelah puas meratah ayam, kami terus pula ke Alor Setar. Memang tak meluaskan pemandangan pun, sebab jalannya memang selalu aku guna untuk ulang-alik ke rumahku.

Sampai di suatu traffic-light, kelihatan segerombolan polis trafik melalui kawasan itu. Tergendala 30 saat perjalanan kami. Ingatkan ada rombongan Sulten ke atau Menteri Besar. Rupa-rupanya hanya gerombolan Polis Trafik saja nak show-off skill bermotor mereka (bukan kut).

Akhirnya, dipendekkan cerita, sampailah kami di beberapa destinasi. Tak ada apa pun yang nak diceritakan pada posting kali ni. Cuma mengisi blog agar tidak bersawang. Perjalanan seharian yang kami lalui mengajar kami bermacam-macam pelajaran yang hanya difahami oleh orang-orang yang mahu mengambil pengjaran.

Apakah sinar harapan yang kami cari dalam perjalan kami? Inilah dia sinar harapan...
Heheh... bukan Ustaz Azizan yang kami cari. Kami, dan kita semua harapnya terus mencari ketaqwaan. "Semoga Beroleh Ketaqwaan"...

Saturday, November 8, 2008

KONSEP 'AMAL JAMA'I DALAM GERAKAN ISLAM

‘Amal jama’i adalah merupakan satu tuntutan harakah yang panduannya disebut di dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (Al-Saff: 4)

Di dalam hadith, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

Diriwayatkan daripada Huzaifah bin al-Yamani r.a. katanya: “Manusia sering bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut ia akan menimpa diriku,

lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan?

Rasulullah menjawab: Ya.

Aku bertanya lagi: Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu?

Rasulullah menjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan.

Aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu?

Rasulullah menjawab dengan bersabda: Iaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mengikut selain dari jalanku, di antara mereka itu ada yang kamu kenali dan ada yang kamu tidak mengenalinya.

Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu?

Rasulullah menjawab: Ya, ketika itu ada orang-orang yang menyeru atau mengajak manusia ke Neraka Jahannam, sesiapa yang menyahut ajakan mereka, maka orang itu akan dicampakkan ke dalam Neraka itu.

Aku berkata lagi: Wahai Rasulullah! Sifatkan mereka kepada kami.

Rasulullah menjawab: Baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita.

Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu?

Rasullullah menjawab denga bersabda: Kamu hendaklah bersama dengan jamaah Islam dan pemimpin mereka.

Aku bertanya lagi: Bagaimana sekiranya ketika itu umat Islam tidak mempunyai jamaah (kesatuan) juga tidak ada pemimpin?

Rasulullah menjawab lagi dengan bersabda: Kamu hendaklah memencilkan diri kamu dari kumpulan mereka walaupun kamu terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggallah kamu di sana sehingga kamu mati dalam keadaan yang demikian.

Saidina Umar al-Khattab juga ada menyebut yang bermaksud:

“Tidak wujud Islam tanpa jamaah dan jamaah pula tidak akan wujud tanpa kepimpinan dan tidak wujud pula kepimpinan tanpa ketaatan.”

Bersandarkan kepada nas-nas di atas, kita hendaklah menyedari hakikat bahawa penglibatan diri di dalam jamaah Islam yang berbentuk haraki adalah merupakan satu tuntutan syara’.

Di dalam merealisasikan tuntutan ini ke dalam waqi’ kita di Malaysia, ikhwah yang sedang melalui proses tajnid ini hendaklah peka terhadap beberapa zaadun ‘ala tariq (bekalan sepanjang perjalanan) yang perlu difahami, diamalkan dan diistiqamahkan sepanjang perjalanan ini.

Sehubungan dengan itu, dua perkara yang perlu kita programkan sepanjang kewujudan kita di sini adalah al-ghayah (matlamat) dan al-wasilah (kaedah atau cara) untuk sampai dan memenuhi al-ghayah tersebut.

Al-Ghayah (Matlamat)

Satu persoalan yang sewajibnya diulangi oleh setiap ikhwah dan akhawat sepanjang komitmen kita terhadap Islam dan jamaah ini ialah apakah dia matlamat kita?

Hanyalah dengan matlamat yang jelas akan dapat mengurus arah perjalanan dan keberkesanan perjuangan kita. Sasaran utama dalam konteks matlamat kita ini adalah:

.Fard al-Muslim (individu muslim) yang terangkum di dalamnya rumahtangga dan keluarga Islam

.Masyarakat dan negara Islam yang terlaksana di dalamnya keseluruhan hukum dan tuntutan Allah Azza

Dalam mengisi tuntutan ini Al-Syeikh Sa’id Hawwa menyebut bahawa maratib (peringkat) amal yang dituntut adalah:

1.Individu muslim hendaklah memperbaiki dirinya sehingga memiliki anggota tubuh badan yang kuat, akhlak yang suci, daya intelektual yang tinggi (muthaqqaf), keupayaan untuk menguasai suasana aqidah yang bersih, ibadah yang benar, berjihad dengan dirinya,menjaga waktunya, teratur hidupnya, mampu memberi manfaat kepada orang lain dan setiap ikhwah hendaklah berusaha untuk mencernakan tuntutan ini dengan kesungguhan.

2.Membentuk rumahtangga muslim sehingga keluarganya dapat menampung fikrah yang dibawanya, memelihara adab-adab Islam dalam setiap urusan rumahtangganya, memilih isteri yang solehah dengan memberikan panduan kepada hak dan tanggungjawabnya, mendidik anak-anak dengan sebaik-baiknya.

Begitu juga dengan pembantu rumah, membesarkan mereka dalam suasana Islam dan setiap ikhwah hendak berusaha dengan satu kesungguhan untuk memenuhi tuntutan ini.

3.Memberi panduan kepada masyarakat dengan menyebarkan dakwah dengan baik dan menghapuskan segala kemungkaran, mengajak kepada yang ma’ruf, berlumba-lumba ke arah kebaikan, menjadi unsur yang dominan dalam masyarakat sehingga dapat menguasai pendapat am (public opinion) yang disandarkan dengan pandangan Islam dan menghidupkannya dalam kehidupan am.

Tuntutan ini adalah ke atas setiap individu dengan didukung oleh jamaah sebagai tenaga yang menggerakkan.

4.Membebaskan negara dari belenggu pemerintahan yang bukan Islam dalam bidang siyasah (politik), iqtisad (ekonomi) dan ruh (kerohanian).

5.Membaiki kerajaan sehingga menuruti Islam yang sebenarnya serta berkhidmat sebagai khadam ummah yang bekerja untuk kepentingan ummah.

Antara sifatnya adalah sifat belas terhadap rakyat, keadilan sesama manusia dan berjimat dalam urusan perbendaharaan dan ekonomi negara.

Menjadi kewajipan negara inipula untuk menjamin keamanan, perlaksanaan system perundangan pendidikan sehingga melahirkan kekuatan, menjaga kesihatan am dan sebagainya.

6.Mengembalikan penyatuan umat Islam secara keseluruhan dengan membebaskan negara yang dijajah, mendekatkan budaya antara kaum dan berusaha untuk mengembalikan system khilafah yang telah dimusnahkan.

7.Berusaha untuk mewujudkan cirri “ustaziyat al-‘alam” (penguasaan alam) dengan penyebaran dakwah di segenap pelusuk dunia ini sehingga tidak ada lagi fitnah dan meletakkan al-Din keseluruhannya adalah milik Allah.

Keempat-empat peringkat di atas merupakan kewajipan yang perlu dipikul dengan jamaah dan setiap individu yang bersama dengannya sebagai pendukung yang utama.

Lihatlah betapa beratnya tugas ini dan betapa besarnya tanggungjawab yang perlu dipikul yang mungkin dirasakan sabagai satu khayalan dan impian yang tidak akan tercapai oleh manusia tetapi Allah s.w.t. telah mengingatkan kita di dalam firmanNya yang bermaksud:

“Dan (setelah Yusuf dujualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: “Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak”. Dan demikianlah caranya kita menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf: 21)

Kita hendaklah menganggap kehadiran kita di sini adalah kehadiran dalam marhalah al-bina’ (peringkat pembinaan) dan pengemasan barisan kader perjuangan.

Maka dengan itu, antara matlamat yang perlu kita hadirkan adalah:

Pertama

Memperkemaskan diri kita dengan kefahaman Islam yang sebenarnya dengan memahami konsep tarbiyah yang syumul merangkumi tarbiyah ruhiyah; tarbiyah ‘aqliyah, tarbiyah jihadiyah, tarbiyah siyasiyah (politik), tarbiyah ijtima’iyah (kemasyarakatan) dan tarbiyah jasadiyah (fizikal).

Perkara yang perlu ditekan dalam pembentukan individu adalah:

1.Melahirkan insane yang bertaqwa pada Allah dengan pembentukan Iman dan aqidah yang benar.

2.Pembentukan fikrah Islam yang syumul (menyeluruh)

3.Pembentukan syakhsiyah Islamiyah (personality Islam) yang sempurna melalui akhlak yang benar, hati yang bersih lagi suci, ubudiyah hanya pada Allah dan memastikan hudud (sempadan) Allah dalam setiap urusan.

Perlu ditegaskan di sini bahawa musuh dan mereka yang tidak bersama dengan kita akan sentiasa mencari unsur yang negatif pada kita sebagai bahan untuk dijadikan hujah.

Pastikan sahsiah ini berjalan pada setiap ketika samada ketika bersendirian, berdua mahupun ketika ramai.

Cara berpakaian, cara mengatur rumah, perkembangan akademik dan budaya berfikir, cara bermuamalah dengan masyarakat semuanya mengajak kepada menzahirkan syakhsiyah Islamiyah.

4.Mewujudkan intima; dan iltizam kepada Islam, dakwah dan jamaah pada setiap masa dan di dalam suasana mana sekalipun.

5.Membentuk cirri-ciri kepimpinan dengan berpandangan jauh dan tajam terhadap isu sensitive terhadap perkembangan ummah dan bertanggungjawab dalam memikul tugas dan boleh memimpin.

6.Membentuk matlamat perjuangan yang jelas terhadap tanggungjawab individu kepada PAS dengan memahami dengan jelas akan perjuangnya iaitu:

a)Perjuangan yang bercita-cita untuk membentuk Daulah Islamiyah

b)Tanzim yang bersifat terbuka

c)Muwajahah silmiyah

d)Kepimpinan ulama dan penggabungan bersama oleh tenaga professional

e)Penglibatan dalam politik sebagai wasilah selain aktiviti-aktiviti lain yang mencerminkan gerakan Islam yang syumul

Kedua

Dalam hubungan ‘amal jama’I setiap nuqaba’ hendaklah jelas akan konsep tanzim kita di sini dan keperluan kepada konsep wala’ dan thiqah pada pimpinan.

Kerja kita di sini adalah kerja yang dihasilkan dari konsep syura dan bukannya pandangan individu.

Setiap keputusan yang melibatkan jamaah samada dari segi perencanaan, perjalanan dan hal ehwal ahli yang ada kaitan dengan jamaah hendaklah merupakan keputusan syura.

AL-WASILAH DAN KEPENTINGAN USRAH DALAM TARBIYAH

Bila kita menyebut tentang wasilah atau kaedah kita bekerja, terdapat unsur-unsur yang perlu difahami antaranya ialah wa’I (sedar) dan waqi’I (realistic).

Kita hendaklah sedar bahawa kita adalah pendakwah dan bukannya penghukum atau qadhi. Tugas kita adalah untuk berusaha semaksima mungkin untuk memanggil dan mengajak dan bukan untuk berebut mahupun memaksa.

Maka dengan demikian dua wasilah yang kita gunakan adalah wasilah umum dan wasilah khusus.

Dalam wasilah umum, tugas kita adalah untuk mnyampaikan Islam kepada umum dengan dakwah samada dengan lisan, tulisan ataupun dengan qudwah hasanah (contoh tauladan yang baik).

Kita hendaklah menerangkan apa itu Islam yang syamil (menyeluruh), apa itu aqidah yang benar yang kesemuanya ini perlu kembali kepada pentafsiran al-Quran dan al-Sunnah oleh ahlinya dan bukan yang diabstrakkan oleh ahli fikir semata-mata.

Kita mengadakan majlis-majlis ilmu, majlis masyarakat dengan unsur-unsur Islam dan lain-lain majlis yang boleh mesej Islam disampaikan.

Marhalah ini dikenali sebagai marhalah al-ta’rif (pengenalan) yang kandugnan utamanya adalah Islam dan Iman dan bukannya perkumpulan.

Hanya apabila telah diyakini bahawa mad’u (sasaran dakwah) telah boleh menerima konsep Islam sebagai al-Din yang syamil barulah dipindahkan kepada wasilah khusus.

Dalam wasilah khusus pula, konsep ‘amal jama’i adalah unsur yang ditekankan dan di sinilah bermulanya kepentingan usrah sebagai satu unit terpenting dalam gerakan Islam.

Dalam wasilah ini ada dua marhalah yang perlu di lalui iaitu takwin (pembentukan) dan tanfiz (perlaksanaan).

Di dalam marhalah al-takwin, unsur-unsur yang telah dikenalpasti boleh menerima konsep yang telah dijelaskan tadi hendaklah dipupuk dengan satu canaian seperti yang disebut oleh Sheikh Sa’id Hawwa sebagai nizam al-da’wah yang berbentuk sufi pada ruhnya dan ketenteraan dalam amalannya yang syiarnya adalah perintah dan taat.

Ikhwah hendaklah melatih diri untuk sentiasa berasa dalam keadaan peka dan bersedia menerima arahan dan tanggungjawab kerja.

Marhalah inilah yang dikenali sebagai tajnid untuk membentuk satu barisan keder yang telah mempunyai satu tasawur yang jelas terhadap Islam dan matlamat perjuangan kita.

Di sini beberapa pengorbanan adalah diperlukan dan ianya akan merupakan sebab kepada peningkatan Iman dan Islam kita kerana proses pencernaan akan berlaku dan beberapa ujian akan mula dirasakan.

Marhalah al-tanfiz sebagai marhalah ketiga pula adalah marhalah sebenar yang akan menguji komitmen kita terhadap segala teori yang telah kita jalani bila mana di dalam marhalah ini kita akan benar-benar berada di tengah-tengah medan juang dan di sinilah batas yang akan menguji keihlasan kita kepada Allah Aza Wa Jalla.

Ramai yang boleh berteori dan ramai yang boleh menyatakan Islam itu syamil dan kamil tetapi belum tentu yang ramai tadi akan sanggup menanggung berbagai mehnah dan ibtila’ (tribulasi dan ujian) yang akan berada di hadapannya.

Konsep Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dari Islam akan terbukti kalau kita berani membenarkan dan membawa Islam itu ke tengah-tengah medan tanpa mengira sebarang halangna yang didatangkan oleh manusia samada harta, kedudukan, pangkat, nama dan sebagainya.


Wednesday, November 5, 2008

Windows 7 selepas Windows Vista?

Tukar tema blog sikit. Masuk sikit bab teknologi....

Tak sampai beberapa tahun Vista dipasaran, dah muncul yang baru…Nama asal bagi Windows 7 ni diambil dari nama kod iaitu “Blackcomb” kemudian pada awal 2006 dinamakan semula dengan “Windows Vienna” dan kemudian ditukar kepada “Windows Seven” atau “Windows 7” dimana Windows ini dijangkakan akan menggantikan Windows Vista.

SAN FRANCISCO: Pengeluar terbesar perisian Amerika Syarikat, Microsoft hari ini secara rasmi mengumumkan Windows 7 akan menggantikan sistem operasi Vista yang tidak memuaskan pada Januari 2010.

“Kami sedang membuat penyeledikan yang mendalam terhadap produk Windows dan kami berbangga kerana maklum balas dan prestasi yang baik daripada produk yang dihasilkan,” kata Ketua Jurutera Windows Ray Ozzie.

Antara keistimewaan Windows 7 adalah memudahkan penyambungan jaringan komputer dengan alat telekomunikasi seperti telefon bimbit, mesin pencetak, kamera digital dan lain-lain.

Menurut penganalsis Microsoft Matt Rosoff, syarikat berkenaan dijangka melancarkan Windows 7 menjelang tahun 2010.

“Secara relatifnya kami perlu membuat sedikit perubahan terhadap produk terbaru ini kerana Vista tidak mendapat sambutan yang menggalakkan,” kata Rosoff kepada AFP.

“Kami tahu ada perkara yang tidak digemari dalam Vista jadi kami berpendapat untuk merekacipta system tersebut kembali. Saya rasa Microsoft sedang memberi keutamaan kepada meningkatkan kualiti program berkenaan dan mengurangkan adua daripada pengguna,” katanya.

Windows 7 juga direka dengan ciri terkini yang dapat mempercepatkan tugas-tugas komputer serta memberi tumpuan kepada keserasian diantara aplikasi komputer dan alat penghubung yang lain.

“Kami membawa jaringan Web to Windows dan Windows to the Web yang terbaik untuk dalam produk terbaru kami ini,” kata Ozzie.

Microsoft juga turut mengumumkan mereka akan melancarkan versi online bagi software ‘Microsoft Office’.

Antara program yang boleh dimuat turun secara online adalah Word, Excel, Power Point dan One Note. Program-program berkenaan boleh dimuat turun di Office Live dengan memohon lesen yang sah daripada Microsoft. Sumber


New Taskbar design

Intrenet Explorer


Theme manager


Start up button

'Lightweight' Media Player


Paparan imej pada folder


Contoh calculator dan paparan pada taskbar


Contoh Desktop


Start up button



Power management
Media Player Compact view


Belum puas guna vista, dah nak keluar windows baru pulak. Tu lah teknologi orang putih. Nampaknya kita masih lagi tetap berada di level pengguna...

Tuesday, November 4, 2008

Tenang sebelum ditembak

TENGGULUN - Tiga pengebom Bali, Amrozi, Mukhlas dan Imam Samudera kelihatan tenang ketika mereka berada dalam bilik sebuah penjara semasa menanti hukuman tembak dilaksanakan, kata satu sumber semalam.
Sumber itu menyatakan ketiga-tiga mereka membaca al-Quran dalam sebuah penjara di Nusakambangan yang terletak di selatan Pulau Jawa dan dikenali sebagai 'Alcatraz Indonesia.'
Menurut sumber itu, Mukhlas memberitahunya: "Saya mahu ia berlaku dengan segera (hukuman tembak).


"Saya mahu menemui bidadari."

Seorang lagi pengebom yang juga saudara Mukhlas, Amrozi yang digelar sebagai pembunuh yang suka melemparkan senyuman berkata sambil ketawa: "Saya bersedia pada bila-bila masa."
Ketiga-tiga pengebom Bali itu sudah menerima surat pemberitahun berhubung hukuman mati ke atas mereka pada pukul 9 malam waktu tempatan kelmarin.

Ketiga-tiga mereka akan ditembak mati dalam tempoh 72 jam selepas menerima notis pelaksanaan hukuman itu.

Mereka dihukum mati ditembak selepas didapati bersalah terlibat dalam serangan bom di dua buah kelab malam di Kuta, Bali pada Oktober 2002 dengan mengakibatkan 202 orang terbunuh, kebanyakannya pelancong Australia.

Kelmarin, ketiga-tiga mereka dibenarkan untuk bersolat Jumaat di sebuah masjid dalam penjara itu bersama banduan lain.

Imam masjid itu, Hasan Makarim berkata, beliau melihat ketiga-tiga pengebom itu kelihatan tenang tetapi tidak berbual dengannya.

Persediaan untuk menghadapi hukuman mati itu juga sudah dilakukan oleh pihak berkuasa manakala lokasi pengebumian jenazah Mukhlas dan Amrozi turut disediakan di sebelah kubur bapa mereka, Nur Hasyhim di Tenggulun. - Agensi

Surat Wasiat Amrozi

Ũ