© The Mhakk Studio

You are being watched!

Saturday, January 9, 2010

Dasar pendidikan sekular melahirkan pejuang-pejuang jahil...

Dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyah, Nabi SAW menyuruh Saidina Ali menulis BismiLLAHi Ar-Rahmani Ar-Rahim, maka kata Suhail bin Amru yang merupakan wakil Quraisy berkata, "Berhenti! ALLAH aku tahu, tetapi aku tidak kenal "Ar-Rahman Ar-Rahim". "Tulislah BismiKaLLAHumma". Maka baginda RasuluLLAH menyuruh Saidina Ali menulis BismiLaLLAHUmma.

Isu nama ALLAH hari ini semakin dipanaskan dengan demonstrasi-demonstrasi dan ada sampai bakar-bakar gereja. Pemimpin pula ada yang bermain tarik tali, tidak secara serius menangani gejala yang berbahaya ini. Apa bahaya nya? Ya, bahaya kerana ini isu agama. Mahukah isu ini menjadi meruncing kepada perbalahan agama, dan terus membakar menjadi seperti peristiwa menyayat hadi di Ambon suatu masa dahulu?

Umat Islam diajar supaya bersikap wasathiyyah. Bersederhana dalam tindakan. Kita juga diajar menggunakan akal fikiran yang waras berpandukan al-Quran dan Sunnah. Bukan menggunakan nafsu dan emosi. Nafsu dan emosi mudah dimanipulasi dan akan mengakibatkan kekeruhan dalam masyarakat 1Malaysia. Kita diajar supaya tidak menjadi ekstrim sehingga membakar rumah-rumah ibadat penganut agama lain. Hatta dalam perang sekalipun, sesiapa yang berada dalam rumah ibadat, tidak boleh diganggu.

Penggunaan nama "ALLAH" oleh Kristian tidak pun menjadi isu di negara-negara lain. Hanya orang Melayu sahaja yang melompat. Kenapa Melayu tergedik-gedik melompat jika orang bukan Islam menggunakan kalimah ALLAH? Orang Melayu bimbang aqidah umat Islam Melayu tergugat, menjadi keliru jika tuhan orang Kristian juga dipanggil ALLAH? Bimbang penggunaan nama ALLAH disalahgunakan?

Orang Islam tidak akan keliru jika mereka mempunyai aqidah yang matap, ilmu tauhid yang kukuh dalam jiwa mereka, hatta apa jua isu yang mengelirukan, tidak akan menyebabkan mereka keliru, kerana mereka berilmu. Mereka telah sebati dengan ilmu tauhid, ilmu aqidah yang benar. Jika Orang Melayu bimbang ia mengelirukan umat Melayu Islam, bermakna umat Melayu Islam tidak berilmu, aqidah longgar, mudah keliru, tidak kukuh pendirian. Jika demikian perihal jahilnya umat Melayu, selama 52 tahun mencapai kemerdekaan, apakah yang pemimpin Melayu lakukan untuk mengukuhkan aqidah umat Islam Melayu? Di manakah dalam sistem pendidikan negara yang membantu anak-anak Melayu Islam mengenali ALLAH, agar mereka tidak keliru siapa "ALLAH" pada masa depan?

Kebimbangan bahawa penggunaan nama 'ALLAH' oleh bukan Islam akan mengelirukan umat Islam keturunan Melayu, adalah salah pemimpin umat Melayu keturunan Islam itu sendiri. malah, menjadi jelek kepada umat dunia, umat Islam Melayu terlompat-lompat berdemostrasi mempertahankan nama "ALLAH", sedangkan di negara-negara umat Isam yang lain tiada masalah, bahkan umat Islam Melayu tidak pula sensitif dengan isu murtad, isu penyalahgunaan kuasa pemimpin, isu moral anak-anak muda Islam, dan pelbagai lagi isu umat.

Dari segi penelitian kita, isu nama "ALLAH" adalah satu percubaan saraf politik yang cuba menjadi serampang dua-tiga mata. Kalau isu perkauman bagaikan semakin tumpul untuk dijadikan senjata memporak-peranda, mereka cuba menggunakan isu agama. Para mufti pula tidak memainkan peranan sepatutnya ke arah menjaga keharmonian masyarakat. Isu ini mungkin cuba dibesar-besarkan oleh pihak tertentu, bagi menutup isu-isu lain seperti isu kenaikan harga gula, isu kerajaan Perancis mahu siasat komisen pembelian kapal selam (?), isu kehilangan enjin jet, isu-isu penyelewengan, dan macam-macam lagi.

Lihatlah, orang-orang Kristian bawahan, Kristian kampung, Kristian kecil-kecilan, tidak tahu menahu pun bahawa agama mereka telah pun dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH sebagai tuhan mereka oleh mahkamah Malaysia jika tidak dibesarkan. Isu ini sebenarnya boleh diselesaikan dengan cara muzakarah antara ilmuan Islam dan pemuka-pemuka Kristian.

Nama "ALLAH", telah pun dijelaskan oleh media-media dan kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpin Islam, bahawa tidak menjadi kesalahan umat bukan Islam, terutama umat agama Samawi seperti Kristian, kerana memang sejak dahulu kala lagi, mereka sudah menggunakan kalimah 'ALLAH' sebagai tuhan mereka. Cuma aqidah mereka terhadap ALLAH itu berbeza. Bagi mereka ALLAH ada dua, tiga atau banyak. Tetapi kita umat Islam meyakini ALLAH itu Maha Esa. Lalu bagaimanakah umat Islam akan keliru jika aqidah tauhid mereka ditanam kukuh?

Sesetengah orang bimbang, jika orang Kristian menggunakan nama ALLAH, akan menyebabkan umat Islam keliru, dan hal ini menjadikan aqidah umat Islam tergugat. Bukankah pada masa yang sama, umat Kristian juga akan terdedah kepada isi kandung al-Quran, sekiranya mereka ingin melihat apakah beza ALLAH mereka dengan ALLAH yang kita imani? Tidakkah hal ini membuka ruang terpancarnya nur Islam di dalam hati mereka?

Akan tetapi, orang akan bertanya, tak kiralah siapa yang bersalah, hakikatnya aqidah umat Islam yang longgar pada hari ini, sesuaikah kita berlapang dada membiarkan penggunaan kalimah 'ALLAH' yang pasti memberi kekeliruan? Realiti hari ini, aqidah umat sudah rapuh dan mudah keliru, patutkah kita membiarkan umat Kristian menggunakan kalimah ALLAH?

Kejahilan umat Islam Melayu terhadap agama sendiri, melahirkan umat yang emosi tak bertempat. Timbul pejuang-pejuang jahil membakar gereja, mencerca agama lain, memaki hamun penganut agama lain... tidak menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang mengamalkan toleransi dan kebijaksanaan dalam berdepan isu. Sampai bila generasi umat islam jahil ini akan terus menjadi jahil? Dasar pendidikan jahiliyyah dan sekular tidak menjadikan umat Islam cerdik dan bijak.

Jahil, tapi menyangka diri telah menjadi pejuang agama
(gambar Hiasan: Gereja yang dibakar)

ALLAH adalah Rabb dan Ilah. Tuhan yang mentadbir, mendidik dan yang menjadi pusat pengibadatan hamba-hamba-Nya. Orang bukan Islam memiliki tahuhid Rubbubiyyah. Kita diajar mentauhidkan ALLAH dengan Rubbubiyyah, Ulihiyyah, dan Asma was-Sifat. Biarlah mereka menggunakan nama ALLAH sebagai tuhan mereka, kerana sememangnya ALLAH adalah Tuhan sekalian alam. Jika mereka berniat buruk dan mempunyai agenda jahat disebalik penggunaan nama ALLAH, biarlah ALLAH menggagalkan perancangan tersembunyi mereka itu. Kita menghukum dengan isu zahir, yang kita nampak. Sedangkan niat mereka, hanya ALLAH sahaja yang tahu, maka kita serah kepada ALLAH.

Tak perlulah menjadi pejuang-pejuang jahil. Solat berjemaahnya jarang-jarang, rasuah jadi habuan, perempuan keliling pinggang, halal haram tidak diendahkan, tiba-tiba melompat dalam isu ini. Isu ini isu agama, biarlah ulama yang mendepani, bukan samseng jalanan berlagak pejuang yang ke hadapan. Keadaan ini bukannya akan menjernih keadaan, bahkan akan memburukkan lagi suasana, serta orang akan memandang serong terhadap umat Islam melayu itu sendiri.

Ingatlah, ALLAH memiliki nama-nama yang baik. Nama ALLAH ar-Rahman memberi maksud sifat pemurah ALLAH dicurahkan kepada semua makhluk-Nya, hatta juga kepada orang-orang bukan Islam. Apakah kita pula menghalang umat bukan Islam menggunakan nama ALLAH yang tidak menyekat sifat Pemurah-Nya kepada orang bukan Islam? Jika takut umat Islam keliru, maka gerakkanlah satu sistem pendidikan aqidah yang bersepadu, yang melahirkan umat Islam yang berilmu, beriman dan bertaqwa.


Sekadar coretan...

WaLLAhu a'lam.

p/s: Jika ada kesilapan, mohon dibetulkan.

No comments:

Ũ