© The Mhakk Studio

You are being watched!

Wednesday, August 4, 2010

Hukuman mati tidak digeruni

Perogol tidak gerun hukuman mati

JOHOR BAHRU 3 Ogos - Cadangan supaya kerajaan meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan agar perogol kanak-kanak dikenakan hukuman mati tidak dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah-langkah pencegahan yang lebih berkesan perlu diambil berbanding menggubal undang-undang sedia ada.

Beliau berkata, penglibatan pelbagai pihak dengan tidak hanya mereka yang dekat dengan institusi pendidikan sahaja, amat diperlukan bagi memastikan kejadian itu tidak berulang.

"Kita ambil contoh kes pengedaran dadah. Walaupun sudah dinyatakan bahawa edar dadah boleh dihukum gantung, masih ramai yang melakukan kesalahan itu.

"Begitu juga dengan kes ini. Kalau sudah penjenayah, mereka tiada perasaan takut malah merasakan diri mereka kebal dengan pelbagai hukuman yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Selangkah Ke Universiti di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang meminta kerajaan meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan agar perogol kanak-kanak dikenakan hukuman mati.

Cadangan itu dibuat berikutan semakin banyak kanak-kanak menjadi mangsa penjenayah sejak kebelakangan ini.

Mohd. Puad menambah, penjenayah yang melakukan kesalahan tersebut hanya memikirkan kepentingan sendiri tanpa menghiraukan kesan buruk kepada mereka dan mangsa.

"Mereka ini fikir tentang keuntungan untuk diri sendiri sahaja. Kalau mereka rasa nak buat jenayah, di mana-mana pun mereka akan lakukan," katanya.

Mengenai program Selangkah ke Universiti itu, Mohd. Puad berkata, program sebegini harus diteruskan dengan melibatkan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat.


Kebanyakan manusia itu degil dan keras kepala. Tidak mahu tunduk kepada perintah Tuhannya. Setelah pelbagai undang-undang diperkenal, hukuman diperkeras, masih juga gagal menyekat nafsu buas dan kebinatangan manusia, apakah ada lagi sistem pencegahan yang lebih berkesan? Macam-macam cara manusia fikir dengan akal-kepala (kepala otak) untuk mencegah jenayah ini, ia tetap gagal. Walhal ALLAH sudah beri solusi yang tegas dan berkesan, seperti yang terkandung dalam al-Quran, mengapa manusia tidak mahu mencuba?

Pelbagai alasan dan dalih diucapkan kerana menolak bentuk penyelesaian yang ALLAH tetapkan. ALLAH yang mencipta manusia, maka ALLAH Maha mengetahui segala kekurangan manusia. ALLAH Maha mengetahui apakah penyelesaian setiap masalah manusia. Lalu manusia yang mempunyai otak hanya sebesar 'tupperware' sahaja berlagak seolah-olah lebih bijak daripada ALLAH? Hei manusia yang berlagak, musnahkanlah lagakmu dan ego mu. Tunduklah kepada hukum ALLAH.

Hukuman mati yang dicadangkan oleh Karpal, disambut dingin oleh menteri. Menteri itu dengan selamba sahaja menidakkan potensi hukuman mati itu dalam mengurangkan kes jenayah rogol kanak-kanak ini. Beliau kaitkan dengan hukuman mati pengedar dadah, yang tidak juga dapat menghentikan pengedaran dadah. Samada menteri ini benar-benar mempunyai kaedah yang lebih baik, ataupun beliau hanya memiliki sifat menolak apa sahaja cadangan dari pihak pembangkang tidaklah dapat dipastikan.

Hukuman-hukuman yang ada dalam sistem perundangan negara kita tidak berbentuk pencegahan umum. Hanya berasaskan hukuman kepada pesalah semata-mata, sekalipun seberat hukuman mati. Sebab itulah tiada pengedar-pengedar dadah yang berasa gerun dengan hukuman mati. Yang gerun hanyalah mereka yang sudah disabitkan bersalah serta dijatuhi hukuman mati. Berbeza dengan hukuman dalam Islam, seringan-ringan hukuman hukuman dalam Islam, pasti ada elemen pencegahan umum. Hukuman potong tangan jika disabitkan bersalah mencuri, hendaklah dibuat secara terbuka untuk tontonan umum. Hukuman sebat, depan khalayak. Begitu juga hukuman mati, juga depan khalayak. Barulah orang ramai, atau bakal-bakal penjenayah berasa gerun untuk melakukannya.

Manusia perlu yakin dengan hukuman yang ALLAH sudah gazetkan. Laksanakan, maka ALLAH-lah yang akan mencegahnya. Manusia tidak akan mampu buat apa-apa, sekalipun berjela-jela senarai hukuman, jenayah-jenayah sosial dalam negara tidak akan berkurang sekiranya ALLAH tidak mengizinkan-Nya. ALLAH pasti membiarkan , manusia yang berotak kecil tetapi berlagak pandai terkial-kial mencari penyelesaian sendiri, sedangkan ketetapan ALLAH yang Maha Bijaksana dan Maha Adil tidak diendahkan.


No comments:

Ũ