Sebut sahaja tahun baru, ramai akan menyatakan azam mereka untuk tahun tersebut. Ada azam yang baik, ada azam yang kurang baik. Ada yang tidak mahu 'membuat' azam baru kerana azam lama masih belum terlaksana. Ada pula azam barunya itu adalah 'menyempurnakan azam lama'. Macam-macam jenis azam berkumandang. Dan ada pula yang tidak tahu menahu pasal azam. Biarlah mereka dengan azam mereka katanya.
Dalam menyambut tahun baru Hijriah, kita diajar dengan berdoa - doa akhir tahun, dan doa akhir tahun - memohon 'campurtangan' ALLAH dalam setiap gerak kerja kita seharian. Kebersamaan ALLAH dalam setiap inci kehidupan kita sangat kita perlukan. Jika ALLAH membiar kita, bersendirian maka rugilah hidup kita.
Azam dan cita-cita kita hendaklah selari dengan kehendak ALLAH, barulah ALLAH akan membantu merealisasikan impian kita. Azam baru kita biarlah bertujuan taqwa kepada ALLAH. Bercita-cita untuk mendapat keredhaan ALLAH adalah impian yang besar, dan perlu kepada mujahadah, dan perjuangan yang istiqomah.
Seringkali kita ditimpa pelbagai masalah sepanjang hidup kita dalam merealisasikan setiap impian dan cita kita kita. Ujian, masalah dan cobaan yang datang, adakalanya kita rasa sangat sukar dan susah untuk dihadapi. Kadang-kadang masalah yang kecil dan mudah pun boleh dianggap besar, sehinggakan kita marah kepada orang yang anggap kecil masalah kita yang remeh, yang kita sendiri anggap besar.
ALLAH menguji kita dengan perlbagai ujian mengikut tahap kekuatan iman kita. ALLAH tidak sekali-kali akan memberati kita dengan sesuatu yang tidak kita mampu, dan kita juga harus berdoa memohon supaya ALLAH tidak menguji dengan sesuatu yang boleh memalingkan kita dari-Nya. Berusaha, bertawakkal dan bersabarlah dalam menempuhi ujian yang diterima. Fahamilah bahawa ada sesuatu yang ALLAH mahu ajarkan kepada kita melalui ujian tersebut. ALLAH mahu ajarkan kita erti kesabaran, mungkin. Kadang-kadang ALLAH juga boleh mengajar kita erti ukhuwwah, erti perjuangan, dan sebagainya. Ujian yang menimpa adalah tarbiyah terus dari ALLAH.
Maka hadapilah ujian dan kesulitan dengan memiliki cita-cita yang besar. Bercita-cita besar akan mengecilkan masalah yang dihadapi. Sebagaimana RasuluLLAH memotivasi para sahabatnya ketika semuanya sedang keletihan dan diselubungi ketakutan ketika menggali parit dalam perang Khandak. Mana tidaknya, pakatan bersekutu Musyrikin dan Yahudi sedang bergerak untuk menggempur Madinah. Ketika menggali parit, Nabi memberi peransang bahawa para sahabatnya akan berjaya menakluki Rom dan Parsi.
Lihat betapa besar cita-cita yang nabi tanamkan dalam diri para sabahatnya. Kejayaan menakluki Rom dan Parsi adalah sesuatu yang besar, berkali-kali ganda besarnya daripada memenangi peperangan dengan barisan bersekutu ini. Secara tidak langsung, para sahabat kembali bersemangat menggali parit seperti yang dirancang. Lihat pula kisah bagaimana para sahabat yang disiksa sewaktu awal dakwah Islamiyyah. Selain iman yang teguh, mereka juga ditanam dengan cita-cita yang besar - syurga, maka siksaan-siksaan yang bagi kita dangat perit dan dahsyat, dapat mereka hadapi dengan penuh konsisten.
Laksana segelas air diletak sesudu garam. Setelah dikacau, maka air tersebut masin. Jika sesudu garam itu dikacau pula dalam seteko air, maka kemasinan itu berkurangan. Bagaimana jika sesudu garam dikacau dalam sebaldi? Sekolam? Setasik...? Maka rasa masin itu bagaikan hilang, tidak terasa, walaupun kuantiti sesudu garam itu tetap ada tersebati dalam air.
Begitulah perumpamaan antara masalah dan cita-cita. Garam itu umpana masalah yang menimpa. Air pula berupa cita-cita. Semakin besar cita-cita, masalah yang datang tidak akan membebankan kita. Dan mati syahid adalah cita-cita tertinggi yang perlu kita azamkan dalam kehidupan kita di dunia. Pasti segala masalah menjadi kecil tidak berbekas. Bercita-citalah mahu kembali tertegaknya khilafah Islamiyyah. Bercita-citalah dengan Islam.
Andaikata azam kita hanya setakat mahu berjaya dalam peperiksaan, maka ujian 'banyaknya program persatuan' akan menjadi masalah besar kepada kita. Andainya azam kita setakat mahu menjadi Jurutera, pasti keputusan peperiksaan yang tidak konsistsen mungkin akan menjadi masalah besar bagi kita. Padahal bagi orang yang bercita-cita besar, semua itu bukan masalah, tetapi hanya rempah ratus untuknya berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat. Seandainya kita ditimpa musibah, atau ujian, atau masalah, usahlah meminta dikecilkan ujian tersebut . Tetapi mintalah diperbesarkan iman bagi menghadapi ujian.
Selamat Menyambut Tahun Baru Hijriah 1430.
No comments:
Post a Comment