© The Mhakk Studio

You are being watched!

Tuesday, December 30, 2008

Tinggalkan sikap tidak hormati ulama - Timbalan Yang di-Pertuan Agong

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru umat Islam di negara ini supaya melakukan perubahan demi memartabatkan dan memperkasakan kedudukan Islam ke tahap lebih gemilang.

Baginda bertitah sehubungan itu umat Islam perlu memahami dan menzahirkan wawasan yang diamanahkan oleh Allah s.w.t melalui kitab suci Al-Quran dan Al-Hadis di mana Islam dan umatnya perlu memberi sinar "rahmatan lil a'lamin" (pembawa rahmat bagi seluruh alam).

Wawasan itu juga perlu dijadikan tunggak ke arah memupuk semangat perpaduan sesama Islam dan bukan Islam agar rangkaian kehidupan sosial yang mantap dapat diwujudkan, titah baginda pada majlis sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1430H/2OO8M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini, lapor Bernama.

"Sikap tidak menghormati para ulama, suka mengambil jalan mudah dengan mengenepikan ajaran agama, malas berfikir dan berusaha, bermusuhan sesama umat Islam dan mengutamakan kepentingan peribadi tanpa mempedulikan hukum halal dan haram perlu ditinggalkan oleh semua umat Islam kerana unsur-unsur inilah yang telah menjadi kekangan bagi membangunkan ummah yang gemilang," titah baginda.

Turut hadir pada majlis sambutan Ma'al Hijrah yang bertema "Menjana Ummah Gemilang" ialah Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Baginda bertitah sempena kedatangan tahun 1430H amat wajar bagi umat Islam di negara ini bermuhasabah, melihat perkembangan dan perubahan hidup yang telah dilalui sepanjang tempoh tersebut.

"Beta percaya, melalui muhasabah diri, kekuatan dan kelemahan yang ada boleh dinilai dengan sebaiknya dan akhirnya umat Islam mampu bergerak ke tahap yang lebih gemilang seperti yang diharapkan," titah baginda.

Baginda menyeru seluruh umat Islam supaya menyorot kembali kelemahan dan kesilapan diri yang telah dilakukan selama ini sebagai ikhtibar dalam mencorak masa depan yang bakal dihadapi dan juga menilai kembali segala kekuatan yang telah dikurniakan tuhan.

"Beta yakin tema yang sama dipilih bagi sambutan Ma'al Hijrah pada tahun ini mampu mendorong umat Islam untuk berfikir dan menyusun perjalanan masa depan yang lebih teratur sehinga berupaya meletakkan diri dalam persaingan global yang begitu mencabar pada hari ini," titah baginda.

Baginda menggesa seluruh umat Islam agar sama-sama berusaha dan mempertingkatkan lagi keupayaan serta melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dan penuh keikhlasan kerana untuk mencapai sebuah kegemilangan, ia memerlukan pengorbanan dan kegigihan.

No comments:

Ũ