© The Mhakk Studio

You are being watched!

Thursday, March 11, 2010

Berpeganglah dengan kebenaran, jangan memanjangkan pertelingkahan...


Berbeza pendapat...
Berlainan pendirian...
Berkeras dengan idea sendiri...
Bertelingkah...
Bermasam muka...
Bertikam lidah...
Bergaduh...
Boikot memboikot...
Berperang!!


Itulah lumrah manusia yang pelbagai ragam, apabila tidak disatukan ideologi dengan fikrah yang sebenar. Masing-masing keras kepala dan menganggap diri sendiri sangat betul, tanpa mempedulikan pandangan orang lain, tanpa mahu muhasabah fikrah sendiri. Aku betul, maka akulah yang betul. Peduli apa dengan orang lain! Biarlah hati puas dengan pendirian keras diri sendiri.

Dua pihak bertelagah, maka sifirnya mudah. Salah satu dari kedua-dua pihak itu pasti benar, dan pihak satu lagi semestinya salah. Atau, kedua-duanya adalah salah. Tidak mungkin kedua-duanya benar. Kebenaran hanya satu, tiada dua, tiada tiga atau empat.

Dalam ayat al-Quran, ALLAH berfirman;

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ ءامَنُوا يُخْرِجُهُمْ مِنْ الظُّلُمَتِ اِلَى النُّورِ
وَالَّذِينَ كَفَرُوا اوْلِيَاؤُهُمْ الطَّغُوتُ يُخْرِجُونَهُمْ مِنْ النُّورِ اِلَى الظُّلُمتِ
اُوْلئِكَ اصْحَبُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَلِدُونَ

"ALLAH adalah pelindung kepada orang-orang beriman, Dia mengeluarkan mereka dari zhulumat (kegelapan) kepada nuur (cahaya). Dan orang-orang kafir (engkar) penolong-penolong mereka adalah taghut, yang ianya mengeluarkan mereka dari nuur (cahaya) kepada zhulumat (kegelapan). Mereka adalah ahli neraka, sedang mereka kekal di dalamnya"

[al-Baqarah: 257]

Dalam ayat di atas, ALLAH menggunakan perkataan nuur (cahaya) dengan bermaksud mufrad (singular), manakala zhulumat (kegelapan) adalah kata jama' (plural) dari perkataan zhulmatun (gelap). Maka cahaya kebenaran hanyalah satu, tiada dua atau tiga. Kegelapan dan kesesatan adalah dari cabang yang banyak. Maka orang-orang beriman mestilah berwaspada agar tidak terjerumus ke lorong-lorong kesesatan yang banyak itu. Cukuplah ALLAH (al-quran) dan Rasul (as-sunnah) sebagai pelindung dari kesesatan.

Berbalik kepada isu pertelingkahan yang tidak berkesudahan antara individu dengan individu, kumpulan dengan kumpulan, parti A dengan parti B, negara itu dengan negara ini... maka penyelesaiannya adalah dengan cara masing-masing perlu akur dengan kebenaran, samada pihak yang benar ataupun salah, kedua-duanya mesti berpegang kepada prinsip kebenaran.

Dalam Islam, al-Quran dan as-sunnah adalah prinsip kebenaran yang ulung. Kedua-duanya mesti menjadi pegangan dan rujukan setiap orang yang mengaku beriman kepada ALLAH dan Rasul. Maka apakah yang mnjadi penghalang kepada kalian semua hai orang-orang beriman sehingga kamu terus menerus bertelingkah sesama sendiri, sedang musuh-musuhmu bersuka-ria dengan keadaanmu?

Contohnya dalam keadaan politik bernegara, Parti A dan Parti B kedua-duanya berbeza dasar perjuangan, walhal kedua-duanya mengaku memperjuangkan keadilan, memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Namun kedua-dua bertelagah. Maka ketahuilah salah satu samada Parti A itu benar, Parti B itu salah, atau Parti A itu salah , Parti B itu benar. Atau pertelingkahan berlaku kerana kedua-duanya salah. Parti A salah, Parti b juga salah, dan mereka bertelingkah kerana jahil dan tidak mengetahui bahawa mereka adalah salah. Tidak mungkin kedua-dua sekali parti itu benar serentak, kerana kebenaran tidak akan berlawan dengan kebenaran. Kebenaran akan hanya menentang kebathilan, dan kebathilan juga sunnahnya akan melawan kebenaran.

Pertelingkahan dan perbalahan akan berterusan apabila prinsip kebenaran tidak dipatuhi dan tidak mahu diikuti. Pihak yang bersalah tetap mahu mengatakan pihaknya adalah benar, enggan mengaku salah. Saya pantang dicabar! Lawan tetap lawan, adalah slogan yang tidak wajar ditanam dalam jiwa pihak yang mengetahui dirinya bersalah. Tunduk kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berbangga dengan kebathilan. Jika prinsip kebenaran tertegak dan dipatuhi, yang bersalah tidak akan segan silu mengaku salah, dan pihak yang benar tidak pula takabur dengan kebenaran. Maka terhasillah perdamaian.

Ingatlah bahawa Iblis adalah makhluk yang sangat mengetahui kebenaran, namun ia menggadaikan prinsip kebenaran kerana ego dan keangkuhan dirinya. Maka Iblis memilih untuk menentang kebenaran, dulu, kini dan selamanya. Baginya tiada istilah berdamai dengan manusia. Manusia akan terus dipecah belahkannya supaya membelakangi kebenaran. Dan orang-orang beriman hendaklah bersatu agar tidak terjerumus ke dalam perangkap iblis laknatuLLAHi 'alaih.

WaLLAHU a'lam...

Tuesday, March 9, 2010

Negara Kebajikan...


MIRI, 9 Mac: PAS Kawasan Miri sekali lagi telah bersama-sama menterjemahkan manifesto PAS di dalam pilihanraya lalu dan akan datang bagi mengetengahkan konsep Negara Berkebajikan yang turun kepada masayarakat memberikan bantuan, kelmarin.

Pada kali ini, PAS kawasan meninjau kehidupan masyarakat di Kampung Senadin yang terletak kira-kira 10 kilometer daripada pusat bandar raya ini.

Sebanyak 13 keluarga telah menerima bantuan berupa keperluan kehidupan seharian di kampung yang terletak di pesisir pantai.

Terdapat rumah penduduk yang terbabit telah runtuh akibat selalu dinaiki air, ada juga yang dibina dan dibaiki dengan menggunakan bahan binaan terbuang menyebabkan struktur rumah terbabit tidak selamat untuk didiami. Baca lagi...

Sudah lama tidak mendengar Negara Kebajikan ....

-----------------------------------------------

Pengumuman dari joe penang:

joe penang minta tolong sebarkan info ceramah maulidur Rasul, Ahad ini (14 Mac 2010 - kalau tak silap, mengikut tarikh komen beliau 9 Mac - Selasa). Keterangan lanjut hubungi 019-5176476. Terima kasih joe penang.

Tuesday, March 2, 2010

Orang-orang beriman itu saling menasihati, bukan berkelahi...


Dalam surah al'Asr, ALLAH berfirman:

"Demi masa! Sesungguhnya semua manusia dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kebenaran."

Asas makna al-’Asr ini ialah “memerah sesuatu sehingga menitis.” Inilah yang dinyatakan oleh Ibn Faris dalam Mu’jam Maqayis al-Lughah.

Atas dasar itulah, Allah menggunakan perkataan mu’siraat sepertimana tertulis dalam surah an-Naba’ ayat 14 yang bermaksud:

"Dan Kami menurunkan dari awan (mu’siraat) , air hujan yang mencurah-curah."

Awan ialah mu’siraat yang dikaitkan dengan perkataan al-’asr di mana awan akan ‘diperah‘ bagi menghasilkan hujan yang turun dan dapat kita nikmati dalam kehidupan seharian. Atas roh inilah juga kita memahami al-asr atau masa umur yang Allah kurniakan pada kita. Apa yang perlu kita buat? Kita perlu ‘memerah‘nya sekuat tenaga agar terhasil iman dan amal. Orang yang tidak memerah umurnya akan sentiasa berada dalam kerugian.

"Demi masa!" ALLAH tidak bersumpah melainkan dengan nama makhluk ciptaan-Nya yang Dia berkehendak memperlihatkan kehebatan-Nya mencipta makhluk tersebut. Masa adalah salah satu makhluk ALLAH yang sangat ajaib dan hebat. Hanya orang-orang yang mahu mngambil iktibar sahaja akan mengagumi kehebatan makhluk ciptaan ALLAH yang bernama "masa".

Ketahui oleh kamu semua, demi masa, semua manusia itu telah rugi, sedang rugi dan akan terus mengalami kerugian. Apabila sesuatu ayat atau surah itu ALLAH mulakan dengan perkataan sumpah, bermakna ayat atau surah itu sangat mengajak kita memberi perhatian bahawa ada sesuatu yang sangat penting untuk kita ketahui. Apa dia? Sesungguhnya semua manusia kerugian. Siapa manusia itu? Semua manusia termasuk kita kah?

Ya, semua manusia adalah dalam kerugian biar apa pun posisi dalam kehidupannya. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta berpesan-pesan, nasihat-menasihati dengan kebenaran dan kesabaran. Selain orang orang ini, semuanya kerugian.

Hanya dengan beriman, beramal soleh, saling menasihati dengan kebenaran dan kesabaran, manusia akan terkeluar dari mengalami kerugian.

Bagaimana keadaan orang-orang beriman dan beramal soleh itu?

Orang orang beriman itu adalah orang-orang yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat, patuh pada Rasulnya, tidak meninggalkan solat fardhu, menginfaq sebahagian harta mereka, tidak berbohong dalam percakapan, tidak memungkiri janjinya, tidak khianat pada amanah yang diberikan kepadanya, tidak mencerca sahabatnya, tidak menderhaka kedua ibu bapanya, menghormati jiran tetangganya, menghormati orang-orang yang lebih tua darinya, menyayangi orang yang lebih muda darinya, taat pada pemimpin yang bertaqwa, bersederhana dalam tindakannya, lembut percakapannya, tidak berlebih-lebihan dalam pertikaian sesama mukmin, menjauhi dosa-dosa besar, meminimumkan dosa-dosa kecil, tegur menegur sesama saudara mukminin, tolong menolong sesama manusia, yakin akan ketentuan ALLAH, dan seumpamanya.

Untuk terus keluar dari kerugian, orang-orang beriman dan beramal soleh mestilah tidak meninggalkan seruan "berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran".

Apabila berlaku perselisihan antara dua orang bersaudara, nasihatilah mereka supaya berdamai. Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara dan berlemah lembut terhadap saudaranya.

Sabda RasuluLLAH S.A.W:

"Tanda munafiq itu ada tiga. Apabila berbicara ia berdusta. Apabila berjanji ia mungkiri. Apabila diberi amanah, ia khianat"

dalam hadis lain RasuluLLAH S.A.W bersabda:

"Tanda munafiq itu ada empat. Apabila berbicara ia berdusta. Apabila berjanji ia mungkiri. Apabila diberi amanah, ia khianat. Apabila bertengkar ia berlebih-lebihan (melampau)"

RasuluLLAH mengharamkan perkelahian orang-orang mukmin melebihi tiga hari tiga malam sesama saudaranya.


Hadis Abu Ayub Al-Ansari r.a:

"Sesungguhnya RasuluLLAH S.A.W bersabda: Tidak halal bagi seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga malam, apabila keduanya bertemu saling memalingkan mukanya. Sementara itu, yang terbaik di antara keduanya adalah mereka yang mula mengucapkan salam"

Orang-orang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat adalah sangat memuliakan jirannya.

Hadis dari Abu Hurairah r.a bahawa RasuluLLAH S.A.W bersabda :

“ Barangsiapa beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata akan kebaikan ataupun diam, Dan barangsiapa beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia memuliakan jirannya, Dan barangsiapa beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya “

Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sekian untuk kali ini...

Marilah kita semua menghindari diri dari terlibat dengan gejala yang menjadikan kita rugi di sisi ALLAH.


WaLLAHU a'lam.

Saturday, February 27, 2010

Sembang : Membeli peralatan baru...

AlhamduliLLAH...
setelah lama tidak posting kerana laptop masuk icu, hari ini dapat juga Acer Timeline...
Tapi Compaq Presario tidak dilupai. Rileks compaq, apabila dikau sehat nanti, khidmatmu masih diperlukan.
ALLAH tetapkan aku memiliki Timeline, mungkin ada hikmah-Nya. Supaya pisang tidak berbuah dua kali. Ramai orang tidak mahu pisang berbuah dua kali, tetapi pekebun pisang pasti menjadi orang yang sangat suka jika pisangnya berbuah dua kali.
Ya ALLAH, jadikanlah kerja-kerja ku mudah dengan pinjaman yang Engkau kurniakan kepadaku ini. Mudah-mudahan aku dapat gunakan ia ke arah kebaikan dan manfaat kepada diri dan manusia seluruhnya. Moga-moga aku terhindar dari fitnah dunia dan segala isinya.
Ketika ini aku sedang menunggu keretapi untuk pulang ke Parit Buntar, bersama-sama Peja dan Azwadi. Perjalanan yang meletihkan sebab banyak berjalan. Kami sangat memandang rendah kepada LRT dan komuter di KL nih. Sanggup berjalan kaki. Huhu...
Ok.. masa untuk bergerak. Jumpa lagi!

Thursday, February 18, 2010

'Tipping point' Kartika menampakkan hasil

'The Tipping point: How Little Things Can Make a Big Difference' adalah sebuah buku yang ditulis oleh Malcolm Gladwell, yang diterbitkan oleh Little Brown pada tahun 2000. Beliau menghuraikan tipping point dengan maksud cetusan sesuatu momentum kecil untuk perubahan menjadi satu arus yang tidak dapat disekat.

Dengan kata lain, suatu tindakan mudah, menghasilkan satu impak yang besar. Contohnya, seorang wartawan pernah membaling kasut kepada Presiden Bush. Tindakannya mudah, tetapi telah menyebabkan seluruh dunia bagaikan menggelarnya sebagai hero, dan membaling kasut kepada pemimpin yang dibenci menjadi suatu fenomena pula. Membaling kasut bukanlah sesuatu yang besar, tetapi ia menjadi tipping point kepada fenomena membaling kasut seluruh dunia.

Peristiwa Presiden Turki meninggalkan satu forum tanda protes terhadap Presiden Israel Simon Peres juga merupakan satu tipping point. Tidak perlu Presiden Turki itu memaki, menumbuk atau mengapa-apakan Presiden Israel itu, tetapi dengan hanya meninggalkan forum yang disiar secara langsung ketika Presiden Israel itu berucap adalah meninggalkan suatu kesan yang besar.

Dalam negara kita pula, Kartika yang terkenal dengan isu sebat. Dia hanya mahu dirinya disebat disebabkan kesalahan meminum arak. Isunya tidak besar. Seorang pesalah syariah, mahu dirinya dihukum secara syariah kerana berazam tidak mahu mengulanginya. Mudah sahaja. Tetapi ia menjadi tipping point ke arah perubahan yang besar kepada sistem hukuman syariah.

Hari ini, 3 wanita akan disebat mengikut undang-undang syariah. 3 wanita itu adalah antara kumpulan pertama yang akan disebat mengikut hukum syariah. Kumpulan pertama, bermaksud, sebelum ini tiada yang pernah menjalani hukuman seperti itu. Jika ada disebat, bukanlah disebat secara syariah, logiknya. Selama lebih 50 tahun merdeka, tiada hukuman mengikut undang-undang syariah dalam sebuah negara yang dihuni majoriti umat Islam, hari ini mula menjalankan hukuman itu, disebabkan oleh tipping point yang dilakukan oleh Kartika.

Tipping point yang dicetuskan Kartika telah membuatkan orang ramai berfikir tentang cacatnya perjalanan undang-undang syariah dalam negara, membawa kepada perhatian mufti-mufti dan jabatan agama Islam dan sebagainya. Tentang 100% atau tidak hukuman syariah yang akan dilaksanakan tidaklah mahu dibincangkan di sini. Tetapi kita dapat merenung sejenak, betapa perlunya kita memikirkan bagaimana membuat perubahan besar dengan menggunakan tipping point disamping kita merancang strategi-strategi lain dalam perjuangan menegakkan agama ALLAH.

WaLLAHU a'lam

Friday, February 12, 2010

Artikel Raya Cina: Gong XI Fa Cai...

14 February 2010, masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baru Cina, dengan gelaran tahun Harimau Emas (Golden Tiger).

Ada tiga cara menamakan Tahun Baru Cina

  1. By the Chinese Lunar calendar.
    The Chinese Lunar Calendar names each of the twelve years after an animal - the rat, ox, tiger, hare, dragon, snake, horse, ram, monkey, rooster, dog , and boar. Legend has it that the Lord Buddha summoned all the animals to come to him before he departed from earth. Only twelve came to bid him farewell and as a reward he named a year after each one in the order they arrived. The Chinese believe the animal ruling the year in which a person is born has a profound influence on personality, saying: "This is the animal that hides in your heart".

    2010 adalah tahun Harimau (Golden Tiger).
  2. By its former lunisolar name.
    Each year is given a name using a system which is at least 2,000 years old. Two series, one with ten Celestial stems (shi tiangan) and one with twelve Terrestrial branches (shier dizhi). Each year is assigned a character from each list, in order. Using this system in 60 years (60 is the least common multiple of 10 and 12), the Name of the Year will be repeated and recycled back to the beginning of both lists.

    2010 adalah tahun Geng Yin (Geng and hourly branch: Yin) and is the 27th year in the current 60-year cycle.
  3. By its Chinese year.
    2010/2011 adalah tahun 4708 dalam kalendar Cina
    .

Tahun Baru Cina, dalam Bahasa Cina disebut sebagai "xin nian", selalu jatuh pada tarikh yang menandakan awal Musim Bunga dan juga disebut "Festival Musim Bunga". "xin" bermaksud "baru" dan "nian" bermaksud "tahun". Tarikh yang sebenarnya Tahun Baru China adalah bulan baru kedua selepas soltis* musim sejuk.

Tahun 2010 (4,708 pada tahun kalendar Cina - Geng Yin) Tahun Baru Cina jatuh pada 14 Februari 2010. Perayaan bermula pada malam bulan baru dan berakhir 15 hari kemudian dengan perayaan bulan purnama (moon light festival).

Setiap kali sambutan Tahun Baru Cina, kita sering mendengar dan membaca perkataan Gong Xi Fa Cai. Gong Xi Fa Cai adalah ucapan yang bermaksud "Saya harap kamu akan berjaya, hidup senang (prosperous)"**

**The literal translation of “Gong Xi” is “to wish” and “Fa Cai” means “to prosper”.
So “Gong Xi Fa Cai” means “I wish that you will be prosperous”.

Perayaan Tahun Baru Cina disambut oleh hampir semua masyarakat Cina seluruh dunia. Sebagai bangsa yang sudah lama membentuk tamadun, bangsa Cina dianggap sebuah bangsa yang hebat, terutama pada zaman pemerintahan Dinasti Ming. Ming bermaksud gilang-gemilang atau terang benderang (al-munawwarah), dinamakan sempena mencontohi Madinah al-Munawwarah yang diasakan Nabi Muhammad.

Orang-orang Cina telah lama mengenal Islam, iaitu di zaman Dinasti Tang. Islam telah wujud di China itu sejak Dinasti Tang apabila seorang sahabat Nabi Muhammad, Sa`ad ibn Abi Waqqas, telah diutuskan sebagai seorang perwakilan rasmi kepada Maharaja Gaozong pada 650 M. Maharaja itu menyamakan antara antara agama Islam dengan ajaran Confucius dan memerintah pembinaan masjid pertama di China (wikipedia).

Sejarah keIslaman Dinasti Ming ini amat jarang sekali disentuh oleh para orientalis yang mengkajinya mahupun dalam kalangan sejarawan-sejarawan China yang bukan Islam.

Misalnya dalam buku 'The Cambridge History of China' tidak ada langsung menyebut peranan orang Islam dalam menegakkan kerajaan itu, bahkan peristiwa kebangkitan kumpulan Islam seperti Kebangkitan Serban Merah hanya dikaitkan dengan pengikut agama Buddha sahaja.

Dalam bukunya 'Sejarah Islam di China, Jing Chee Tang telah memberikan beberapa alasan yang jelas menunjukkan bahawa Chu Yuan Chang, pengasas kerajaan Ming itu ialah seorang Islam. Ibrahim T.Y.Ma juga telah membuktikan perkara yang sama.

Yusuf Chang dalam sebuah artikelnya menyatakan bahawa Chu Yuan Chang (baginda menggunakan gelaran Maharaja Hung Wu) seorang Islam dari keturunan Semu (semitik) yang telah datang ke China dalam zaman Yuan. Seorang lagi sejarawan China seperti Muhammad Pai Shou Yi juga menyatakan bahawa selain Chu Yuan Chang, permaisurinya iaitu Ratu Ma Hou jelas beragama Islam kerana baginda berasal daripada keluarga Ma di An Hui.

Dikisahkan juga setelah menawan Nanking, Chu Yuan Chang telah mendirikan sebuah masjid jami'. Masjid ini dinamakan Masjid Chin Juieh yang bermaksud 'Pencerahan Murni'. Bahkan baginda sendiri telah menulis sebuah sajak untuk diabadikan pada dinding masjid yang dibinanya itu. (Ibrahim T.Y.Ma, 1979:126)

Ibrahim Tien Ying Ma, bekas mufti Peking (Beijing) dan salah seorang pegawai Republik China sebelum China jatuh ke tangan Komunis pada tahun 1949, telah menyatakan bahawa Dinasti Ming itu memang sebuah kerajaan Islam.

Beliau menjelaskan bahawa 'Ming' bermaksud 'gilang-gemilang atau terang-benderang'. Perkara ini mengingatkan kita kepada tindakan Rasulullah Saw ketika mula-mula sampai ke Yathrib pada tahun 622M. Baginda telah menukarkan nama kota itu kepada Madinah al-Munawarah atau 'Kota yang gilang-gemilang dan bercahaya'. Perkara ini bukanlah satu kebetulan. Ia memang disengajakan kerana pengasas kerajaan Ming adalah seorang Islam (1979:134).

Petikan daripada http://sejarah2u.blogspot.com/

Sumber:
1) Ma, Ibrahim T.Y., Perkembangan Islam di Tiongkok, Bulan Bintang, Jakarta, 1979
2) Chang, Yusuf, 'The Ming Empire: Patron of Islam in China and Southeast and West Asia', dlm. JMBRAS, Jilid 61, Bahagian 2, 1988.
3) Mote, F.W., Twitchett, D., (ed), The Cambridge History of China, Jilid 7, Cambridge University Press, Cambridge, 1988.


Okeh... takat tu la dulu...

GONG XI FA CAI

Tuesday, February 9, 2010

Kini Zambry bukan lagi MB haram...


Mahkamah Persekutuan dah sebulat suara. Akhirnya Zambry menang kes. Nizar 'kalah'. Kini Zambry bukan lagi MB Haram. Zambry sudah menjadi MB Mahkamah yang Halalan Thoyyiba. Halal lagi baik. Jadi, kepada Parti Islam Perak, dan Dato Nizar, bersabarlah dan terimalah keputusan mahkamah. Mereka mencatur, ALLAH juga mencatur. Sesungguhnya ALLAH sebaik-baik membuat percaturan.

-

Kalah kes mahkamah, bukan bermakna checkmate. Strategi dan gerak kerja Parti Islam mesti diperhebat sebelum PRU-13. Jangan leka dengan retorik dan spekulasi yang tak habis-habis pada masa yang sama gerak-kerja yang penting diabaikan. Bukan menafikan usaha yang ada, tetapi sama-sama beringat.

-

Sesiapa yang anggap krisis ini sudah berakhir, dia akan tenggelam. Mari berpandangan bahawa, krisis politik Perak belum berakhir. Teruskan bekerja.!

Monday, February 8, 2010

Sembang: Cerita lagi (kisah Rosmah)

Cerita 13
Fatimah berjalan melalui ruang legar terminal bas bersama temannya, Haspah. Kedua-duanya mahu menaiki bas ke Kuala Lumpur. Jam menunjukkan pukul 9.30 pagi. Bas sudah bersiap sedia untuk bergerak. Pembantu driver melaung-laung memanggil penumpang yang belum menaiki bas. Fatimah dan Haspah bergegas menuju ke arah bas.
-
Baru sahaja hendak melintasi longkang besar kerana mahu cepat, Fatimah dan Haspah ternampak seorang gadis terjatuh ke dalam longkang besar tersebut. Anehnya tiada siapa yang tahu dan nampak bagaimana gadis itu terjatuh. Gadis itu tidak pula menjerit-jerit, sekadar mengherotkan wajahnya menahan sakit.
-
"Eh, itu kan Rosmah*?" Haspah perasan akan gadis malang itu.
-
"Rosmah?" Fatimah dan Haspah bergegas mendapatkan Rosmah.
-
"Padan muka dia..." Haspah mengherdik, geram.
-
Siapa tidak kenal Rosmah. Pelajar kolej yang selalu membuli junior-juniornya, dengan cara tersendiri. Fatimah dan Haspah pernah menjadi mangsa bulinya.
-
"Biarkan dia, Fatimah. Bas kita dah nak gerak tu..."
-
Fatimah melihat keadaan Rosmah. Timbul perasaan kasihan kepadanya. Rosmah bagaikan malu untuk melihat Fatimah dan Haspah.
-
"Kau pergilah dulu... aku mahu selamatkan dia"
-
"kenapa? bukan ke dia ni selalu buli ...." Haspah tidak berpuas hati.
-
"Haspah... memang benar, selama ini kita benci kepada sikapnya, tetapi hari ini, ALLAH telah campakkan perasaan belas kasihanku kepadanya... tentu ada hikmahnya."
-
=============================================
-
Sejak peristiwa itu, Rosmah menjadi rakan karib Fatimah dan Haspah.
-
=============================================
-
*bukan Rosmah Mansur.
p/s: cerita ini dimodify dr kisah betul. pengajaran? sendiri mau pikir...

Wednesday, February 3, 2010

Sabar itu indah, konspirasi akan terdedah pada akhirnya

Nabi Yusuf a.s pernah menjadi mangsa konspirasi abang-abangnya. Pernah jua menjadi mangsa fitnah oleh seorang wanita, sehingga baginda dipenjara. Kesabaran Nabi Yusuf a.s serta kebergantungan kepada ALLAH, satu demi satu konspirasi terbongkar.
-

Wanita yang dipanggil Zulaikha, akhirnya mengakui kesilapan. Abang-abang baginda akhirnya tunduk dan memohon maaf dari baginda Yusuf a.s.

-

Selama 40 tahun konspirasi yang memangsakan Yusuf a.s dek kerana iri hati, dan hasad adik beradiknya, selama bertahun-tahun dipenjara dek kerana kejahatan seorang wanita, Nabi Yusuf bersabar.

-

Selama lebih kurang 40 tahun Nabi Yusuf bersabar, akhirnya konspirasi terbongkar. Para konspirator tunduk, dan tersipu-sipu. Sesungguhnya sabar itu indah.

-

Kes liwat DSAI siri 2,

-

Kes lalu yang menyebabkan DSAI terperuk dalam penjara, kini cuba diulang tayang. Seorang wanita bernama Sefol (bukan nama sebenar) tak semena-mena menuduh dia diliwat. Ah, teori konspirasi berkumandang lagi. Asakan pihak tertentu supaya manusia percaya DSAI adalah peliwat berlegar diruang udara dan naskhah cetak. Ada yang sudah goyang akal fikirannya, 'agaknya mungkin DSAI ni benar-benar liwat'.

-

Para konspirator seperti biasa, bertindak menipulasi undang-undang dan prosedur. Mahu juga dipusing sampai DSAI masuk tidur juga dalam lokap. Hai... cubalah encik-encik konspirator mengkaji, pakaian DSAI koyak didepan atau pakaian Sefol koyak dibelakang?

-

Malas merapu panjang, tunggu dan lihat, jika DSAI benar, maka para konspirator ini kelak akan tunduk dan tersipu-sipu di kala DSAI berada dipuncak (dengan izin ALLAH). Kita rakyat mahu juga tengok wajah konspirator ketika itu. Bersabarlah. Sesungguhnya sabar itu indah....

Ũ