Oleh: Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
"Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang menegakkan keadilan bagi Allah, bersaksi dengan keadilan, dan janganlah kerana kemarahan kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Hendaklah kamu berlaku adil kerana keadilan itu lebih hampir kepada taqwa. Bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan." (Surah al-Maidah ayat 8).
Marilah kita yakin dan percaya bahawa Islam satu-satunya agama yang benar, membawa ajaran yang baik dan keadilan serta memberi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Marilah kita mengambil contoh keadilan yang ditegakkan oleh Rasulullah s.a.w. apabila beliau mendirikan negara Islam di Madinah Al-Munawwarah, sebuah negara Islam pertama.
Walaupun Madinah pada masa itu didiami oleh masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbagai kaum dan menganut berbagai agama, Rasulullah s.a.w. berjaya membuktikan bahawa hukum Allah Taala merupakan satu hukum yang adil dan diterima bukan sahaja oleh orang Islam tetapi juga oleh orang-orang yang bukan Islam dan hukum Allah Taala menjadi undang-undang di dalam negara.
Berita kebaikan dan keadilan Islam telah didengar dan diketahui oleh masyarakat dunia yang menyebabkan seluruh pe mimpin negara bukan Islam samada kecil atau pun besar merasakan kedudukan mereka tergugat bukan kerana bala tentera Islam yang besar tetapi kerana berita keadilan dan kebaikan Islam telah masuk ke dalam hati seluruh rakyat mereka. Keadilan Islam telah membawa kepada keIslaman seluruh penduduk Madinah dan sebahagian besar kabilah Arab yang berada di sekeliling negara Islam Madinah.
Maka peristiwa ini membatalkan alasan-alasan yang mengatakan bahawa masyarakat majmuk tidak dapat menerima-pakai hukum Islam dan ajaran Islam tidak berupaya berhadapan dengan perkembangan masyarakat dan tidak sesuai lagi sekarang ini. Sebenarnya Islam telah membuktikan di alam nyata, kemampuan hukumnya untuk berlaku adil dan undang-undang yang lain daripada Islam adalah hawa nafsu semata-mata.
Sejarah keadilan Islam bukan berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. sahaja bahkan menjadi sejarah dunia selepas kewafatan baginda s.a.w. Keadilan Islam tidak berjaya dinafikan oleh musuh Islam sendiri yang sentiasa memburuk-burukkan Islam. Mereka gagal membuktikan bahawa Islam tidak sesuai diamalkan sekarang ini.
Masalahnya sekarang ialah hujah-hujah yang digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk memburuk-burukkan Islam telah masuk ke dalam pemikiran orang-orang yang mengaku menjadi orang Islam sehingga mereka ini menjadi ragu-ragu untuk melaksanakan syariat Islam di dalam tanahair umat Islam apabila mereka memegang tampuk pemerintahan.
Mereka masih malu untuk melaksanakan hukum Allah Taala walau pun dunia sekeliling mereka mengalami berbagai penyakit seperti penyakit sosial, ekonomi, akhlak, politik dan lain-lain.
Di antara contoh keadilan yang berlaku di zaman pemerintahan Saidina Ali karamallahu wajhah, beliau telah menahan seorang Yahudi yang membawa baju besi miliknya. Saidina Ali yang menjadi ketua negara pada masa itu tidak terus merampas baju besinya tetapi membawa Yahudi tersebut ke mahkamah Islam yang diadili oleh kadi Syuraih al-Kandi, seorang hakim yang alim, zuhud dan bersifat dengan seorang hakim Islam.
Syuraih telah membuktikan keadilan Islam yang bukan takut kepada Ali tetapi takut kepada Allah Taala. Sekiranya Syuraih takut kepada Ali tentulah beliau memenangkan Ali di dalam perbicaraan tersebut tetapi Syuraih menegakkan keadilan dengan mendengar hujah daripada kedua-dua pihak. Hakim Syuraih telah meminta Saidina Ali melakukan apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sabdanya:
"Saksi diperlukan kepada orang yang menuduh dan sumpah bagi orang yang menafikan tuduhan".
Lalu Syuraih berkata kepada Saidina Ali: Di manakah saksi anda wahai Amirul Mukminin?
Walau pun baju besi itu haknya, Saidina Ali tidak dapat membawa saksi. Oleh itu hukum Syuraih membuat keputusan menyerahkan baju itu kepada Yahudi tersebut. Apabila Yahudi itu keluar dari mahkamah membawa baju tersebut dan Saidina Ali juga berjalan keluar, selepas beberapa langkah Yahudi tersebut berpaling kepada Saidina Ali dan berkata:
"Wahai Amirul Mukminin! Ambil baju ini, sesungguhnya baju ini kepunyaan Amirul Mukminin. Saya mengambil baju ini ketika ianya terjatuh daripada Amirul Mukminin." Kemudian Yahudi itu berkata "Itulah hukum yang adil dan itulah hukum para nabi, oleh itu saya mengaku, tidak ada Tuhan kecuali Allah dan aku mengaku bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.
Itu hanya satu contoh dan banyak lagi contoh di dalam sejarah pelaksanaan hukum Allah Taala. Mengapa di akhir-akhir ini umat Islam gagal menunjukkan contoh yang baik? Orang Islam akhir-akhir ini lebih menunjukkan perkara buruk sehingga tidak boleh menjadi teladan kepada orang bukan Islam.
Kini orang kafir pula menuduh orang Islam tidak berlaku adil. Kita jangan mudah melenting dan marah tanpa mengemukakan hujah yang benar dan kadang-kadang orang Islam melenting di dalam mempertahankan orang yang zalim. Itulah Asobiyyah yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sabdanya:
"Bukan dari kalangan kamu orang yang mengajak kepada Asobiyyah, berperang di atas dasar Asobiyyah dan mati di atas dasar Asobiyyah".
Lalu para sahabat bertanya" Ya Rasulullah? Apakah itu Asobiyyah wahai Rasulullah? jawab Rasulullah s.a.w. "Asobiyyah itu ialah kamu menolong kaum kamu di atas dasar kezaliman".
Marilah kita menyahut seruan Allah Taala supaya kita menegakkan keadilan walau pun ke atas diri kita sendiri dan ke atas orang lain supaya kita mengajak orang lain kepada Islam dan menjadi hajat ketika berhadapan dengan Allah Taala di hari akhirat.
Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu lagi dan berjihad dengan harta benda mereka dan diri mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar.
No comments:
Post a Comment