© The Mhakk Studio

You are being watched!

Friday, February 20, 2009

Rasa terbeban dengan bebanan kecil?

Dua-tiga hari ni, tiba-tiba saja banyak kerja yang perlu disiapkan muncul secara pukal. Perlu disiap segera. Sebab tu blog ni pun jadi slow. Dah 3 hari tak update (alasan!). Tak mengapa, sebab ini blog, aku yang punya... hehe .

Bercakap mengenai kerja/tugas yang perlu disiapkan ada kalanya membuatkan diri kita rasa terbeban. Kononnya lah. Selalunya sebagai mahasiswa, tugas akademiknya seolah-olah suatu beban yang mengehadkan aktivitinya yang lain - mungkin sesetengah orang sahaja.

Kepada mahasiswa ahli organisasi yang berjenama Islam, aneh sekali, beban akademik, tugasan, ujian, dan ulangkaji ini muncul ketika tugas organisasi/jemaah itu diberi kepadanya, ataupun ketika diajaknya ke program jemaah. Tidak pula kedengaran itu ini jika diajak ke program lain selain jemaah. Jika di ajak bermain bolak sepak, tidak pula disebut ada kerja yang perlu disiapkan. Aneh sekali apabila diajak ke majlis-majlis ilmu, majlis harakiah dan seumpamanya, maka silih bergantilah alasannya. Jika diajak mengikuti usrah, kelas-kelas nuqaba, kuliyah-kuliyah agama , akan ada saja alasan mahu mengelak.

Disangkanya alasan akademik itu sangat kukuh untuk dirinya mengelak. Kebijaksanaan yang dikurniakan kepadanya digunakan untuk mencipta alasan-alasan yang padanya dirasakan sangat kukuh untuk mengelak. Bukan dituju kepada sesiapa, tetapi diriku sendiri pun ada rasa macam tu. Dalam keadaan biasa, masa terluang tidak diguna sepenuhnya untuk tujuan akademik. Tetapi kerajinan untuk study itu tiba-tiba datang apabila ada kerja jemaah yang perlu dibuat.

Beban kerja, masalah dan sebagainya yang kita rasa menjadi beban dalam perjalanan hidup dalam kampus ini adalah perkara biasa. Memang tak boleh lari. Lepas selesai masalah ini, akan timbul masalah lain. Kalau kita lari sekalipun dari masalah di depan kita, kita tetap akan bertemu masalah lain pula. Hidup memang penuh dugaan. Tak mahu masalah, tak mahu dugaan, tak payah lah hidup. 

Tapi hakikatnya kita sudah hidup. Apabila sudah hidup, maka mati pun akan bermasalah jika kita tidak urus permasalahan kita dengan baik semasa hidup. Masalah, beban kerja dan sebagainya hanyalah sebagai tarbiyyah langsung dari ALLAH untuk mematangkan diri kita. Alam mahasiswa, dugaannya begini. Alam pekerjaan, dugaannya mungkin lebih hebat. Jadi hadapilah dugaan hari ini sebagai tarbiyyah untuk hadapi ujian seterusnya.

Ahli politik tidak terlepas dari ujian dan dugaan yang akan mematangkan mereka. Lihat sahaja isu-isu politik hari ini. Dari isu muzakarah, muqabalah, lompat parti, isu Perak, isu undang-undang, isu moral dan sebagainya semua ini akan mematangkan orang-orang politik, parti-parti politik dan rakyat keseluruhannya. 

Pejuang-pejuang bahasa hari ini sudah mula bangun menyatakan suara mereka membela bahasa ibunda secara berdepan. Sebelum ini isu bahasa sudah berlegar dalam percaturan politik negara, tetapi pejuang-pejuang bahasa tidak melibatkan diri secara tegas berdepan. Apabila dugaan demi dugaan diterima, akhirnya mereka 'matang' sedikit dan bangun berjuang. harap tidak terlewat.

Jadi contoh-contoh yang sedikit itu dapat memahamkan kita bahawa hidup ini tidak manis tanpa masalah dan ujian sebenarnya. manusia tidak akan matang tanpa ujian. Maka bagi penggerak-penggerak dakwah Islamiyyah, para pejuang Islam, para ahli gerakan Islam, sudah tentu ALLAH tidak membiarkan pejuang agama-Nya lambat matang atau tidak matang. Untuk meneruskan risalah para nabi yang mulia, maka pendokongnya perlu matang dan lulus setiap ujian. Barulah layak untuk meneruskan risalah suci dakwah para rasul.

Oleh itu, jika kita diamanahkan sesuatu yang kita rasa terbeban, maka ingatlah bahawa ALLAH tidak akan membebani kita dengan sesuatu melainkan apa yang kita mampu. Ya, kita mampu. Walau apa masalah yang timbul, ALLAH sudah setkan bahawa ujian itu kita mampu hadapi. Jadi usah mencipta alasan untuk mengelak.

p/s: Kerja jemaah tu kerja apa? Sudah tentu bukan kerja sorang-sorang.

No comments:

Ũ