Perokok lebih hina daripada lembu: Nik Aziz [ BeritaHarianOnline]
KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata umat Islam yang cuba menonjolkan keislaman mereka melalui pakaian jubah dan ketayap tetapi menghisap rokok adalah lebih hina daripada lembu.
Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am Pas, berkata amalan menghisap rokok dikeji kerana diharamkan oleh agama dan doktor kerana ia memudaratkan kesihatan. [baca lagi...]
Kuang~kuang...
tiba-tiba tersentaklah para perokok yang istiqamah dalam merokok apabila Tok Guru berkata demikian.
Maka wujudlah 3 kategori perokok yang kita boleh kelaskan:
1) Perokok yang insaf - yakni perokok yang terus berhenti merokok setelah mendengar teguran pedas Tok Guru.
2) Perokok yang sanggup digelar lembu - yakni perokok yang hidup matinya sudah tidak boleh dipisahkan dari rokok. Biarlah... lembu pun lembu laaa...
3) Perokok yang melawan - yakni perokok yang membantah kata-kata Tok Guru. Golongan ini mempersenda dan memaki-hamun Tok Guru kerana menggelar mereka sebagai lembu, bahkan lebih teruk dari lembu.
Pada zaman RasuluLLAH, ketika mana RasuluLLAH menegur masyarakat Arab ketika itu supaya mereka meninggalkan arak, zina, bunuh, dan sebagainya, masyarakat Arab ketika itu juga terbahagi kepada golongan sahabat yang terus patuh kepada RasuluLLAH. Pengharaman arak membuatkan sahabat peminum tegar arak terus sahaja memecahkan tempayan simpanan arak lagenda, sehingga aliran arak membentuk seolah-olah sebatang sungai. Manakala wujud pula golongan yang berdegil dan menentang dakwah RasuluLLAH. Mereka memaki hamun RasuluLLAH kerana cuba menyekat dan menghalang mereka daripada kebiasaan amalan maksiat mereka.
Biasalah, setiap perkara yang baik, pasti ada pengikut, dan pasti juga akan ada penentang. Perkara buruk pun sama, pasti ada penyokong, dan pasti ada lawannya. Setiap zaman, perwatakan manusia adalah serupa dalam menilai kebenaran dan kebathilan. Ada yang memilih kebenaran, ada yang suka berterusan dalam kebathilan.
Jadi apabila demikian, maka kita mempunyai pilihan untuk bersama-sama kebenaran ataupun kebathilan. Manusia dari dulu, kini dan selamanya ada berdepan dengan dua pilihan ini. Kebenaran atau kebathilan. Kebaikan atau kejahatan. Pilihlah mahu ikut yang mana. ALLAH memberi akal fikiran kepada kita supaya berfikir dengan waras. Nikmat akal sangat tinggi nilainya, yang tidak diberi kepada makhluk selain manusia. Apabila manusia tidak menggunakan akal dengan baik dalam memilih kebenaran atau kebathilan, maka ALLAH sudah pun menyediakan Syurga untuk mereka yang menerima serta akur dengan kebenaran, dan Neraka kepada mereka yang berdegil untuk terus bergelumang dengan kebathilan.
Jadi, kepada perokok kategori pertama, tahniah jika anda serta merta akur dengan kebenaran. Besar pengorbanan anda yang sudah sekian lama merokok, berhenti tiba-tiba semata-mata kerana ALLAH. ALLAH jua yang memberi ganjaran kepada anda.
Bagi perokok kategori kedua dan ketiga, anda perlu fahami bahawa merokok adalah haram dan berdosa. Haram hukumnya telah banyak diperkatakan. Haram kerana memusnahkan diri, haram kerana menyumbang kepada dana Israel yang membunuh umat Islam Palestin dan haram kerana menyerupai kaum kafir. Berdosa merokok adalah dosa berantai. Merokok adalah haram, dan melakukan perkara haram adalah berdosa. Merokok akan merosakkan diri. Meroko juga merosakkan orang lain - bermaksud kita berdosa dengan orang lain kerana membahayakan kesihatan mereka. Ketahuilah dosa kepada manusia tidak akan diampun oleh ALLAH sehingga individu yang terlibat memaafkannya.
Merokok depan khalayak, terutama di hadapan anak remaja, membuatkan mereka terpengaruh dan meniru cara hidup merokok, bermakna anda telah melabur dalam multi level dosa. Dosa berangkai ini lebih sukar untuk dihapuskan, kerana sekiranya anda berhenti merokok sekalipun, rangkaian perokok yang lahir daripada meniru sikap merokok anda akan terus berkembang, dan saham dosanya terus memberi point kepada anda. Berhentilah, dan bertaubatlah daripada merokok. Hapuskan dosa anda dengan menjadi pembasmi amalan merokok dalam masyarakat, mudah-mudahan ALLAH menerima taubat anda.
Kepada pejuang Islam, golongan ustaz, muallim, golongan pembawa obor Islam, golongan yang membawa imej Islam, yang masih merokok, awaslah! Anda menjadi contoh kepada mad'u dan orang ramai. Peluang anda untuk mendapat downline sangat besar. Ingatlah, pada hari Hisab nanti bagaimanakah keadaan anda? Jangan menjadi orang yang menyesal di kemudian hari.
Mari kita baca sedikit mengenai fakta bahaya rokok serta dosa merokok.
Pengenalan
Tembakau yang menjadi bahan utama dalam rokok, telah diperkenalkan secara menyeluruh, termasuk ke dunia Islam, oleh penjajah Barat yang beragama Kristian, dan ianya belum pernah dikenali di zaman Nabi Muhammad s.a.w. Di kalangan masyarakat beratus tahun terdahulu, tembakau dihisap bukan sahaja untuk bersukaria tetapi sebagai satu acara dalam upacara kebudayaan dan keagamaan. Pada umumnya umat Islam tidak merokok melainkan kerana terpenggaruh kepada orang Barat yang menjajah mereka.
Hari ini, merokok adalah suatu kebiasaan yang diterima secara meluas dalam masyarakat kita, sehingga kadangkala ia dipandang sebagai satu norma yang membanggakan. Anggapan palsu ini terhasil apabila golongan yang mudah terpedaya dengan budaya asing, terutamanya yg dipaparkan melalui media massa, ingin pula bergaya demi mencapai status kecanggihan serta keunggulan yang kononnya dikaitkan dengan merokok. Malah tabiat suka meniru dan menyeleweng dari jalan yang benar adalah sesuatu yang kian menguasai anak-anak kaum Muslimin di zaman ini.
Hadith Rasullullah s.a.w. :
1. "Bezakan diri mu dari kaum Musyrikin" ( Al-Bukhari & Muslim)
2. "Bukan dari golongan kita, siapa yang menyerupai orang yang bukan dari kita. Jangan mengikut-ikut kaum Yahudi dan Nashrani" (At-Termidzi)
3. "Barangsiapa yang meyerupai sesuatu kaum, maka dia terkira dari golongan itu" (Abu Daud)
Kandungan Berbahaya Dalam Rokok (Fakta)
Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.
Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Bahan seperti benzopyrene iaitu sejenis policyclic aromatic hydrocarbon (PAH) telah lama disahkan sebagai agen yang memulakan proses kejadian kanser.
Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain, bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding najis dadah. Malah daripada kajian saintifiknya nikotin itu juga sejenis najis dadah, sepertimana yang telah diiktiraf oleh dunia perubatan. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok, meninggalkan tabiat itu untuk selamanya, kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Allah jua.
Nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung adalah hasil punca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan menyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat.
Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ianya menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%.
Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun haiwan, ianya akan membawa kerosakkan pada setiap organ disepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghazaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu dikeluarkan dari badan.
Kesan Asap Rokok Kepada Si Perokok Dan Orang Disekeliling
Si perokok bukan sahaja perlu bertanggungjawab pada diri sendiri tetapi turut bertanggung jawab pada orang disekeliling akibat daripada bahaya asap rokok. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya, akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli) dan menyebabkan penyakit emfisima.
Asap rokok yang dihidu juga akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas.
Racun dalam asap rokok yang larut air akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin, bukan saja memberi sifat ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Ia juga merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ berkaitan.
Kesan ini, dalam jangka panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki, serangan penyakit jantung dan sebagainya.
Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan melalui air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing.
Racun akibat merokok juga mempunyai kesan tindak balas terhadap ubat-ubatan. Secara umum diketahui merokok boleh menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim di hati dan ada kalanya ia boleh memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu.
Kesan Asap Rokok Terhadap Isteri Perokok Adalah :
- Melahirkan bayi yang kurang berat badan
- Melahirkan bayi yang tidak cukup bulan
- Lebih terdedah kepada kanser
- Mengurangkan kesuburan dan putus haid awal
Kesan Asap Rokok Terhadap Anak Perokok :
- Lebih mudah mendapat lelah
- Mendapat jangkitan paru-paru
- Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu
- Mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak
Statistik Kematian Akibat Tabiat Merokok
Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut, 50 peratus kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok dengan pecahan 25 peratus masing-masing.
Menurut Dr Sallehudin, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan lebih penting, negara mengalami kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.
Faedah Berhenti Merokok
- Hidup lebih lama
- Dapat menghindari racun
- Dapat melindungi diri, keluarga dan orang lain daripada bahaya merokok
- Menjadi teladan yang baik kepada anak-anak
- Dapat meningkatkan kecergasan serta memiliki tubuh yang sihat
- Meningkatkan deria rasa dan bau
- Gigi lebih putih dan nafas lebih segar
- Dapat mengelakkan budaya membazir dengan menggunakan wang untuk membeli rokok kepada tujuan yang lebih baik dan bermanfaat.
Gunakan Kaedah Yang Betul Untuk Berhenti Merokok
- Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok
- Yakinkan diri
- Buat nota peringatan
- Katakan pada diri anda, "Aku bukan perokok"
- Tumpukan pada hari ini
- Sentiasa berfikiran positif
- Dapatkan sokongan
- Lawan keinginan untuk merokok
- Gunakan Terapi atau rawatan yang sesuai
- Amalkan Petua 10 M untuk berhenti merokok
Rawatan Untuk Berhenti Merokok
Vibration Liquid Chlorophyll (Minuman Klorofil Alfalfa)
Membantu menyingkirkan segala racun dan toksik di dalam tubuh akibat kandungan rokok yang merbahaya. Sangat baik diamalkan seisi keluarga.
Sumber
- Pusat Racun Negara, USM Official Website
- Kementerian Kesihatan Malaysia Official Website
- Institut Kefahaman Islam Malaysia Official Website – IKIM Dalam Media – Berita Harian
WaLLAHu a'lam