© The Mhakk Studio

You are being watched!

Thursday, August 6, 2009

H1N1 : Penyelesaian secara sekular belum menampakkan kejayaan



KUALA LUMPUR 5 Ogos - Wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini hari ini mencatatkan empat lagi kes kematian, kes kematian tertinggi dalam sehari. Sebanyak 16 lagi kes baru turut dikesan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, angka terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan kes H1N1 meningkat kepada 1,476 kes dengan 12 kematian sejak ia mula dikesan di negara ini. Baca lagi...

Lagi berita kematian akibat infleunza H1N1 (nenekku membacanya sebagai sakit babi). Setiap hari ada saja kes kematian dicatat dalam negara, walaupun pelbagai usaha dilakukan. Banyak sudah kampus-kampus IPT dan sekolah-sekolah ditutup sementara untuk mengekang wabak ini dari terus merebak. Hasilnya, kematian tetap berlaku. Memang ajal maut itu sudah ditentukan ALLAH, namun setakat mana usaha manusia menyelesaikan masalah wabak ini menjadi perbahasan.

Langkah pencegahan sudah diwar-warkan kepada umum, daripda 'batuk beradab', hingga kepada menjaga kebersihan, hingga kepada simptom-simptom penyakit. Terpulang kepada cakna rakyat dan orang ramai tentangnya. Kesedaran orang ramai terhadap bahayanya virus ini masih ditahap yang rendah. Itu dari pihak orang ramai.

Pihak berkuasa pula, apa tindakannya? Apa yang kementerian kesihatan buat? Adakah kenyataan bahawa wabak ini terkawal hanya untuk menyedapkan hati orang ramai, sedangkan kematian terus meningkat? Apakah Kementerian / kerajaan tiada usaha lain selain menunggu vaksin yang entah wujud atau tidak?


Kalaupun kerajaan sudah dan sedang berusaha keras untuk mencegahnya, kelemahan kerajaan/orang ramai membendungnya sudah tentu menggambarkan musbah ini diluar upaya fikir manusia membendungnya. Tidak akan berhenti wabak ini dari terus menular, tanpa izin dari ALLAH, Tuhan yang Maha Agung dan Maha Berkuasa.

Orang-orang beriman tidak akan melihat musibah ini dari sudut fizikal semata-mata. Orang-orang beriman akan turut melihat musibah H1N1 ini dari kacamata iman. Orang-orang yang berpendirian sekular tidak akan melihat bahawa wabak ini adalah bala yang diturunkan ALLAH sebagai peringatan kepada manusia. Sekularis tidak nampak sekalipun lidah mereka mengatakan musibah ini adalah peringatan ALLAH. Namun hati mereka tetap tidak nampak, apatah lagi mencari penyelesaian dari sudut keimanan di samping usaha pencegahan secara fizikal.

Sabda RasuluLLAH SholaLLAHu 'alaihi wasallam:

“Bagaimana keadaan kamu ketika lima perkara berlaku di kalangan kamu, dan aku berlindung dengan Allah dari terjadinya perkara itu kepada kamu atau kamu sempat menempuhnya. Tidak timbul kemungkaran di kalangan satu-satu bangsa melainkan mereka melakukannya secara terang-terang, akan timbul penyakit taun dan penyakit-penyakit yang tidak pernah ada terhadap orang-orang sebelum mereka (penyakit ganjil).”

(HR: Ibnu Majah)

ALLAH memberi peringatan kepada manusia yang lalai dengan mengirimkan tenteranya yang halus dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Virus H1N1 adalah salah satu daripada tentera-tentera ALLAH. Sama juga seperti gelombang tsunami yang memusnahkan Acheh dua-tiga tahun lalu. Tsunami juga adalah tentera ALLAH, yang diutus untuk memberi peringatan kepada manusia yang saban hari semakin bongkak dan takabur, enggan menurut titah perintah ALLAH.

Degilnya manusia untuk mengakui hakikat peringatan ini dapat dilihat dalam negara kita sendiri. Apakah seruan kerajaan kepada rakyat supaya kita semua kembali bermuhasabah diri? Apakah konsep 1Malaysia ini tidak terlintas untuk tunduk memohon pertolongan ALLAH? Harapkan kementerian kesihatan, menterinya bukan Islam. Sepatutnya Yang Dipertuan Agong atau Perdana Menteri selaku ketua negara, tunduk kepada ALLAH, mohon pertolongan ALLAH dengan rasa rendah diri supaya ALLAH menyelamatkan kita rakyat Malaysia dari terus dibaham wabak bahaya itu.

Kengganan membuktikan keangkuhan. Tugas memohon pertolongan ALLAH ini bukan hanya tugas ulamak, usataz-ustaz, syeikh-syeikh, wali-wali. Tugas semua manusia. ALLAH mahu manusia sujud kepada-Nya. Orang-orang kafir sudah tentu tidak akan sujud. Akan tetapi, keengganan umat Islam untuk sujud kepada ALLAH, mengakui kesilapan dan memohon ampun adalah sesuatu yang sangat mengecewakan. Pemimpin umat Islam sendiri tidak mahu sujud. Sujud dalam erti kata akur bahawa ALLAH sedang memberi tazkirah. ALLAH mahu pemimpin terlebih dahulu sujud kepada-Nya. Rakyat insyaALLAH akan turut sujud bersama pemimpin mereka.

Berbeza dengan pemimpin yang beriman dan dekat kepada ALLAH, mereka akan menyeru rakyat supaya berhati-hati dengan bala ALLAH.

KOTA BHARU, 5 Ogos (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengkiaskan, virus H1N1 yang semakin serius melanda negara hari ini adalah satu bala atas kemungkaran yang berlaku.
Bala ini katanya akan datang tidak mengira samada di kawasan itu ada golongan agama atau sebaliknya, semuanya akan ditimpa. Baca lagi...

Firman ALLAH dalam surah ar-Ra'du, ayat 11:
Apabila ALLAH mengehendaki keburukan kepada sesuatu kaum, maka tiada siapa pun dapat menolaknya. Orang-orang beriman sangat peka terhadap perkara ini. Mereka amat takut kalau-kalau disebabkan mereka tidak memberi teguran atau mencegah kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat sekeliling, bala ALLAH akan menimpa, dan tiada siapa yang dapat menyelamatkannya, melainkan ALLAH sahaja yang Maha Berkuasa.

Orang yang berfikrah sekular?

"Oh... kita perlu menutup kampus-kampus dan sekolah-sekolah untuk elak h1N1 merebak"

"Keadaan masih terkawal. Harap rakyat dapat bersabar. Beli topeng penutup hidung banyak-banyak..."

"''Selepas menerima rawatan, pesakit hendaklah berada di rumah dan mengurangkan pergaulan serta menjaga kebersihan diri,''

Mungkin inilah contoh-contoh cara orang sekular berfikir dan mengeluarkan kenyataan.

Itu peringkat pimpinan negara. Bagaimana pula di peringkat yang lebih rendah. Peringkat kampus, sekolah dan jabatan-jabatan yang lain? Siapakah yang menjadi pengikut sekularis dalam membaca amaran ALLAH ini?

Di peringkat kampus, selain Pusat Islam, Persatuan-persatuan Islam dan kelab-kelab beroreintasikan Islam menganjurkan solat hajat, bacaan yasin dan doa memohon pertolongan ALLAH, ada atau tidak jabatan-jabatan lain, individu-individu berpengaruh yang lain cakna perkara ini? Atau pemikiran sekular telah membahagi-bahagi tugas ini - yang Pusat Islam dan seumpamanya sahaja perlu memohon pertolongan ALLAH sedangkan yang lain tidak perlu?

Semoga kita dijauhkan daripada orang-orang sekular, dihindari daripada pemikiran sekular sepertimana kita mohon dihindari dari wabak H1N1. Hindarilah daripada melakukan perkara yang ditegah oleh ALLAH. Hentikan daripada melakukan maksiat dan dosa-dosa. Mohonlah pertolongan ALLAH. Mohonlah keampunan ALLAH. Jangan kita angkuh dan takabur dengan usaha kita. ALLAH sahaja yang Maha Berkuasa.

WaLLAHU a'lam.

1 comment:

anak bapak said...

aku setuju. patut pm buat announcement, smua umat islam diminta soalat hajat ke, baca yasin ke minta tolong Allah. kat kampus plak, elok NC sendiri arahkan. x pun dekan-dekan. tunjuk sikit keseriusan. asyik duk suruh org pakai mask je apa hal.

Ũ