Hari ini, Jumaat ~ 14 Ogos 2009 ~ hari konvokesyen USM ke-40. Para graduan Sarjana Muda Kejuruteraan berjubah ungu berkalung hijau menghadiri majlis konvikesyen ini, termasuk aku.
AlhamduliLLAH, syukur kepada ALLAH, selawat dan salam ke atas nabi Muhammad RasulaLLAH. Terima kasih emak dan ayah, terima kasih adik-adik, terima kasih sahabat-sahabat seperjuangan, terima kasih para guru dan pensyarah, terima kasih rakan-rakan batch 04/08, 05/09, 06/10... terima kasih semua.
Majlis konvokesyen adalah majlis rasmi universiti bagi meraikan kejayaan para graduan. Dengan berjubah dan bertopi begitu, para graduan melangkah memasuki dewan untuk menerima ijazah mereka.
"Kejayaan..."
Apakah aku sudah berjaya hanya kerana menerima ijazah ini? Tidak. Konvokesyen ini hanyalah simbol tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda sahaja. Tidak lebih dari itu. Sama juga ijazah kedoktoran ( PhD) sekalipun, ia hanya simbol. Tiada kejayaan mutlak di dunia ini, melainkan kejayaan yang diiktiraf oleh Raja segala raja. Raja kepada segala canselor.
Aku berlindung dengan ALLAH dari sifat-sifat mazmumah yang mungkin terbit dengan penerimaan ijazah ini. Sekiranya "kejayaan" aku ini akan menyebabkan aku dinilai buruk oleh ALLAH, rela aku tidak menerima ijazah ini. Semoga ALLAH memelihara aku, ibubapaku, adik beradikku, sahabat-sahabiyah seperjuangan serta rakan-rakanku daripada kerkaan-Nya.
Berbalik kepada "kejayaan" yang kita fahami, menerima ijazah itu itu adalah kejayaan. Sedikit pengiktirafan yang diberikan universiti kepada kita, dengan majlis sambutan yang rasmi dan gemilang, sudah tentu sebagai manusia, timbul paling tidak, sedikit rasa bangga dan bersyukur atas anugerah ALLAH dan usaha kita selama ini serta dorongan emak ayah, adik beradik dan sahabat handai kita selama ini.
Seronok, bangga, syukur, senyum 5 inci ...
Wahai aku, wahai sahabat-sahabat yang turut berkonvokesyen, ini baru kejayaan yang sedikit di dunia yang fana dan penuh dengan persepsi yang dibentuk sendiri oleh doktrin duniawi.
Tidakkah kita sekalian mahu juga berkonvokesyen dihari akhirat kelak dengan kejayaan yang kekal abadi, syurga yang ALLAH sediakan? Audiens pada hari itu bukan sahaja manusia sejak nabi Adam a.s hingga kiamat, bahkan jin-jin dan para malaikat yang sangat tidak terhitung bilangannya akan menyaksikan majlis "konvokesyen" pada hari tersebut. Bukankah ALLAH akan muliakan seseorang yang menghadiri majlis ilmu, dengan menyebut namanya di depan khalayak? Bukankah ALLAH akan menyebut nama si fulan bin si fulan dengan bangga kerana amalannya yang soleh di dunia?
Alangkah bangganya kita ketika itu, sekiranya kita benar-benar si fulan itu. Seronok yang amat besar kerana diiktiraf oleh Maliki YaumidDeen. Jika di dunia, kita akan bangga apabila Sultan atau raja menyebut nama kita dan mengiktiraf kita depan khalayak ramai, maka sudah tentu kita akan lebih gembira dan nikmat apabila raja yang paling berkuasa pada hari serba kalut itu mengiktiraf kita.
Raja yang menunjukkan sifat kemurkaan yang jelas nyata kepada pengkhianat agama-Nya semasa di dunia, raja yang sangat memurkai orang-orang yang menentang Rasul-rasul-Nya, raja yang menyediakan ledakan Neraka untuk membaham musuh-musuhnya semasa di dunia... Raja ini tiba-tiba dengan penuh kasih sayangnya menjulang nama kita, mengiktiraf nama an diri kita dan menyediakan ijazah syurga yang kekal selama-lamanya kepada kita. Tidakkah kita akan rasa sangat ingin mendapat kejayaan yang tulen seperti itu?
Ya, sudah tentu kita sangat idamkan. Akan tetapi, syurga bukan semudah yang disangka untuk mendaftarkan diri. Tiket keimanan perlu sentiasa berasa dalam diri. Taqwa adalah kayu ukur darjat kemuliaan kita di sisi ALLAH. Keredhaan ALLAH adalah kejayaan yang sebenar bagi orang-orang beriman.
Kepada yang berkonvo hari ini, jangan anggap inilah kejayaan diri selama berada di kampus. Tidak...anda belum tentu berjaya. Aku pun belum tentu berjaya. Ijazah bukan ukuran, tetapi ukurlah kejayaan kita dengan kacamata iman. Apakah kita dikira berjaya dengan ijazah kita, sedangkan solat 5 waktu kita di kampus dahulu tidak terjaga? Apakah nilai kejayaan kita jika di kampus dahulu kita lalai untuk solat berjemaah? Kita sambil lewa dalam perjuangan amru bil ma'ruf, wanahyu 'anil munkar, apakah kita berjaya? Aku bertanya diriku, anda tanyalah diri anda sendiri.
Mudah-mudahan, muhasabah diri kita ini merendahkah bibit-bibit riak, takabur dan ujub dalam diri. Perjalanan masih jauh, dan masa perlu kita maksimumkan untuk kembali ke landasan perjuangan yang diredhai ALLAH. Hidup hanya sekali. Mati bila-bila masa sahaja tanpa amaran. Ingatlah, keredhaan ALLAH adalah kejayaan yang sebenar bagi kita, orang-orang beriman.
WaLLAHu a'lam,
~ Selamat Berkonvokesyen ~
No comments:
Post a Comment