Ramadhan bulan barakah, bulan digandakan ganjaran setiap amalan, dibelengu segala iblis dan syaitan, bulan yang awalnya rahmah (kasih sayang), pertengahannya maghfirah (kemampunan) dan akhirnya pembebasan dari api neraka.
Ramadhan sudah beberapa hari berlalu. Barangsiapa yang sudah bersungguh-sungguh merebut tawaran ALLAH pada hari-hari yang sudah berlalu, maka beruntunglah dia. Dan barangsiapa yang lalai dan leka, sesungguhnya hari-hari yang berlalu itu sudah tidak akan kembali kepadanya. Jika saat ini tersedar kita daripada kelalaian itu, maka Ramadhan masih di fasa awalnya - rahmah. Masih kita punyai peluang untuk merebut segala tawaran-Nya. Muhasabahlah diri di awal Ramadhan sebelum terlambat, sebelum Ramadhan terus berlalu meninggalkan kita.
Dalam sibuk mengerjakan ibadah, wajar kita meletakkan sasaran yang jelas untuk diri kita. Apa sasaran ibadah kita dalam bulan Ramadhan ini? Tidak lain tidak bukan adalah untuk menggapai status hamba yang bertaqwa, selari dengan firman ALLAH;
"Hai orang-orang beriman, difardhukan ke atas kamu akan berpuasa sebagaimana telah difardhukan ke atas umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh taqwa"
[al-Baqarah:183]
Sasaran ibadah kita adalah taqwa. Baik apa jua ibadah yang kita lakukan dalam bulan Ramadhan ini, biarlah sasarannya taqwa. Solat kita, fokuskan untuk menjadi hamba yang bertaqwa. Puasa kita, biarah menepati piawaian puasa orang-orang yang bertaqwa. Sedekah kita, zakat kita, bacaan al-quran kita, dan seumpamanya, biarlah menjurus ke arah taqwa. Bukan sekadar ikut-ikut orang, bukan mahu menunjuk-nunjuk, bukan saja-saja isi masa lapang.
Aktiviti amal Islami, amal jamaei dan amal ijtimaei juga adalah ibadah. Aktiviti dakwah, tarbiyyah, pengkaderan dan sebagainya yang disusun oleh jemaah, adalah ibadah. Maka sekalian usaha menjayakannya menjadi ibadah jua. Hatta bermesyuarat, berdiskusi, menyusun atur program, merancang startegi, untuk melaksanakannya bukanlah kerja sia-sia di sisi ALLAH.
Malang sekali bagi golongan yang berfikiran sempit, khususnya dalam kalangan ahli jemaah yang menganggap bermesyuarat itu membuang masa, merancang sesuatu usaha tarbiyyah adalah sia-sia. Dalam bulan barakah inilah sepatutnya kita mohon ALLAH mudahkan usaha dakwah kita, rahmati gerakerja kita, gandai ganjaran ke atas kita, dan rahmati setiap keputusan mesyuarat kita agar tindakan perlaksanaannya dipandu cahaya-Nya.
Perjuangan menggapai status taqwa dalam bulan Ramadhan bukan sahaja ditumpukan kepada solat tarawih, tadarus al-quran, sedekah dan seumpamanya, bahkah status taqwa itu perlu meliputi juga usaha mengikis sifat mazmumah dalam diri. Tentu kita tahu sifat keji dan buruk dalam diri kita. Jika tidak nampak, jadikan sahabat karib kita sebagai cermin untuk kita menilik kekejian diri kita yang kita tidak nampak. Malang sekali jika kita menganggap kita sudah bebas dari sifat-sifat buruk, sedangkan orang lain dapat melihatnya.
Sikap berlapang dada adalah sifat terpuji yang harus kita bina terutama dalam akhlak berjamaah dan bersaudara sesama kita. Ukurlah darjah kelapangan dada kita. Jika rendah bacaan meternya, baiki lagi. Dalam berjamaah, pasti ada ketika kelakuan sahabat seperjuangan kita menyebabkan kita tidak berpuas hati atau marah kepadanya. Tegurlah dia dengan penuh hikmah dan berlapang dada. Jika hati kita terluka, jangan kita melukai saudara kita pula. Bersabarlah. Kesilapan-kesilapan kecil, maafkanlah. Usah ada sikap mudah merajuk atau memprotes tidak tentu hala. Dia tidak sempurna, kita juga tidak sempurna. Berlapang dadalah kepada kelemahan sahabat kita sebagaimana kita mahu dia juga berlapang dada dengan kelemahan kita. Jika kita merasakan hati kita sangat sensitif, mudah terluka dengan tindak tanduk manusia, maka beringatlah, kita juga memiliki lidah yang sangat tajam yang boleh melukai hati orang lain.
Begitu juga kadang-kadang keputusan mesyuarat tidak selari dengan pandangan dan kehendak kita. Berlapang dadalah dan terimalah keputusan mesyuarat itu serta laksanakan dengan penuh komitmen. Boleh jadi ada hikmah disebalik keputusan jemaah yang kita tidak nampak, atau barangkali pendangan kita masih tidak sesuai dilaksanakan pada saat ini yang kita tidak tahu. Sebaik-baiknya kita beristighfar jika cadangan kita diterima, mudah-mudahan ia terhindar daripada kemudharatan jika dilaksanakan. Bersyukur jika idea kita ditolak kerana mungkin idea yang kita anggap bagus itu tersembunyi di dalamnya mudharat yang besar.
Moga-moga Ramadhan ini dapat mempertingkatkan taqwa kita, orang-rang yang mengintima' diri dalam perjuangan Islam. Mudah-mudahan darjat ketaqwaan kita memberi impak yang baik dalam berjamaah.
WaLLAHu a'lam...
1 comment:
apa maksud ayat Jika kita merasakan hati kita sangat sensitif, mudah terluka dengan tindak tanduk manusia, maka beringatlah, kita juga memiliki lidah yang sangat tajam yang boleh melukai hati orang lain. ?? mcm pening saja.. tergantung ke silap taip.. ke grammar penin? mcm x related je broo
Post a Comment