© The Mhakk Studio

You are being watched!

Sunday, November 1, 2009

Sembang: Cerita rekaan lagi...

Mereka-reka cerita lagi...

Cerita 5

"Abang, tolong jelaskan sikit maksud syirik. Kenapa syirik itu dikatakan sebesar-besar kezaliman?" Rafidah bertanya kepada abangnya, Najmi mengenai sepotong ayat dari surah Luqman yang sedang diulangkajinya. Esok Rafidah akan mula menduduki peperiksaan akhir tahun.

Najmi mengambil buku nota Rafidah dan meneliti persoalan yang ditanya adik bongsunya itu. Najmi cuba mencari penerangan yang sesuai untuk memahamkan adiknya itu. Walaupun Najmi lulusan bidang kejuruteraan di sebuah IPT, dia sedikit sebanyak boleh membantu pelajaran adiknya yang sedang menuntut di sebuah sekolah agama.

"Apa maksud syirik yang adik faham?" Najmi menjawab persoalan adiknya dengan persoalan juga.

"Menduakan ALLAH, kan?" Rafidah menjawab spontan.

"Bagaimana keadaannya menduakan ALLAH? Boleh Adik bagi contoh?" Najmi menguji kefahaman adiknya.

"Menyembah selain dari ALLAH" jawapan mudah dari Rafidah membuatkan Najmi tersenyum.

"lagi?" Najmi terus bertanya. Rafidah menggeleng kepalanya tanda tidak tahu.

"Baiklah. Jika seseorang itu berjaya dalam peperiksaan, dia tahu ALLAH yang beri kejayaan kepadanya. Akan tetapi dia juga beranggapan bahawa penggunaan pensil Steadler 2B membantunya berjaya, syirik atau tidak?" Najmi memberi contoh supaya adiknya berfikir.

"Contoh lain?" Rafidah mahu contoh lebih mudah.

"Kalau seseorang itu sakit, dia yakin ubat panadollah yang dapat menyembuhkannya, syirik atau tidak?"

"Itu asbab kan? kalau iktiqadnya panadol yang menyembuhkan, syirik lah"

"Haa.. pandai pun adik abang. Menduakan ALLAH dalam contoh itu adalah menganggap panadol juga berkuasa menyembuhkan, padahal panadol tidak ada apa-apa manfaat tanpa izin ALLAH" terang Najmi panjang lebar.

"Kenapa tersangat zalim kesalahan syirik itu?" tanya Rafidah.

"zalim kepada diri sendiri, kerana dosa syirik adalah dosa yang paling besar dan tidak sekali-kali diampun oleh ALLAH" jawab Najmi. Rafidah meneliti semula ayat yang tercatat dalam buku notanya itu.

"Kalau seseorang itu percaya bahawa hanya kerajaan BN sahaja yang mampu memberikan keamanan, kemajuan, syirikkah seseorang itu?" Najmi menimbulkan satu persoalan kepada adiknya yang sedang mencatat sesuatu pada notanya.

Rafidah memandang Najmi yang sedang tersenyum.

"Abang ni, kalau bagi contoh apa-apa, mesti ada masuk bab politik..." ujar Rafidah seolah-olah tidak berapa suka dengan politik. Biasalah, budak tingkatan satu-dua macam tu. Fikir Najmi. Tapi kenapa adiknya tidak suka dengan politik? Apa doktrin sekolah agama yang baru bertukar kepada sekolah bantuan kerajaan itu kepada para pelajar?

Najmi bangun beredar membiarkan adiknya terus mengulang kaji...


Cerita 6

"adik, jom tolong abah menebas rumput kat luar" Halim mengajak adiknya Ramzi yang sedang leka dengan laptop barunya.

"abang pergi lah dulu..." ujar Ramzi acuh tak acuh. Macam biasa, Ramzi bukan tidak mahu tolong abah. Kalau abahnya suruh, dia takkan berlengah-lengah. Jika tidak, dia tidak ringan tulang untuk membantu.

"jom... takkan nak biar ayah menebas sorang-sorang" ujar Halim terus keluar rumah membantu abahnya.

Halim membantu kerja-kerja membersih kawasan rumah mereka. Halim juga sebenarnya bukanlah rajin sangat dengan kerja-kerja menebas rumput. Cuma dia tidak senang duduk jika membiarkan abahnya melakukan kerja-kerja begitu seorang diri.

Sebentar kemudian Ramzi keluar membantu.

"Haaa... macam tu la. Mari sapu dan longgokkan rumput yang sudah dipotong ke sana" Halim mengarah adiknya. Ramzi melakukan kerja seperti yang diarah.

"Emm... bukan ke abang ni malas dengan kerja-kerja begini? Kenapa tunjuk rajin?" Ramzi seperti biasa suka menyakat abang dan adik-adiknya yang lain.

"Adik... sebagai anak yang baik, kita kena tolong emak dan abah, samada disuruh atau pun tidak. Bukan nak tunjuk rajin. Lagipun, tunjuk rajin lagi bagus dari tunjuk malas, kan?" ujar Halim.

"hehe..."

"bagi abang, abang akan tolong emak dan abah semampu abang. Abang nak jadi anak yang soleh kepada emak dan abah. Jika abang mati dulu, tentu emak dan abah akan sentiasa ingatkan abang. Hehe. Kalau emak dan abah pula meninggal dunia dulu, abang dah berbakti kepada emak dan abah walaupun tak dapat menandingi jasa emak dan abah. Paling penting, setiap amalan kita membantu emak dan abah akan diberi ganjaran besar di sisi ALLAH..." panjang lebar Halim berkhutbah kepada adiknya.

Ramzi mengangguk faham maksud khutbah abangnya itu...


Cerita 7

Hujan turun begitu lebat sekali. Sudah hampir dua bulan hujan tidak turun. Tengah hari ini hujan tiba-tiba turun dengan lebat membasahi bumi yang kering-kontang.

"Aduh... kenapa hari ni tiba-tiba je hujan..." rungut Akilah cemas. Bajunya yang hampir kering di ampaian basah semuanya.

Fatimah melihat keadaan housematenya yang cemas semacam saja.

"kenapa Akilah?" tanya Fatimah.

"tengok tu... habis baju basah. Macamana nak pergi camping kejap lagi... hari-hari lain tak hujan, hari ni juga hujan turun.." Akilah cemas dan agak marah kerana dialah yang mengurus camping anjuran persatuannya. Apa akan terjadi dengan camping yang dirancang berminggu-minggu tidak dapat disertainya kerana ketiadaan pakaian. Semua bajunya dibasuh untuk camping seminggu di Genting Highland.

"Sabar, Akilah... mungkin ada hikmahnya ALLAH turunkan hujan tiba-tiba hari ini..."

"Sabar apa? adilkah ALLAH buat aku begini?" tiba-tiba terpacul kata-kata yang mengejutkan Fatimah.

"Akilah?! Sedar tak apa yang Akilah sebut tadi?" Fatimah merenung Akilah.

"Kalau ALLAH itu adil, kenapa dia menyusahkan kita dengan hujan? ALLAH tak sayang kepada kita kah?" Akilah semakin tidak memikirkan kata-katanya. Dia sangat marah sekali.

"Akilah... ALLAH itu Maha Adil dan Maha Penyayang. Kita pun tidak tahu, mungkin ular, lipan, biawak, segala ulat, cacing, kutu, katak, dan macam-macam hidupan lagi dalam tanah berdoan mohon hujan kerana sudah lama tidak hujan. Semuanya makhluk ALLAH juga. Tidakkah ALLAH itu adil dan sayang kepada semua makhluknya?" Fatimah menenangkan Akilah. Akilah terdiam walaupun dia masih tidak berpuas hati. Hujan tetap tidak berhenti.

Malam itu, Akilah tidak dapat tidur lena. Rombongan camping sudahpun bertolak ke Genting Highland. Roziah menggantikan Akilah sebagai ketua rombongan. Akilah terpaksa melupakan camping ke Genting Highland.

Baru sahaja Akilah hendak melelapkan matanya, Fatimah tergesa-gesa mendapatkan Akilah.

"Akilah... aku dapat berita, bas yang bawa rombongan kawan-kawan kita ke Genting terbabas dan terjatuh gaung..." Fatimah menunjukkan SMS yang diterimanya.

Akilah tergamam. Air matanya mengalir. Tanpa disedarinya, lidahnya mengungkap kata-kata "Engkau Maha Adil dan Maha Penyayang ya ALLAH...."

=============================================================

p/s: Cerita-cerita di atas tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang dah mati. Mungkin akan menjadi kena mengena kepada yang mahu menganggap ia ada kena mengena...

No comments:

Ũ