© The Mhakk Studio

You are being watched!

Tuesday, December 30, 2008

Penggunaan Feqh Muwazanah dalam membuat keputusan

Membuat keputusan tidaklah semudah ungkapan atau arahan untuk mencapainya . Terkadang proses kajian dan perbincangan untuk membuat keputusan hanya berakhir dengan kebuntuan apabila ianya tidak berada di atas landasan atau manhaj membuat keputusan yang baik dan betul .

Terutama keputusan yang melibatkan soal strategi dan gerakkerja amal Islami dalam Gerakan Islam . Tidak mudah kerana ia berhadapan dengan 1001 kemungkinan sementara harapan yang disandarkan dari keputusan tersebut sangat tinggi .


Justeru itu , kita mesti benar - benar menguasai manhaj dan mekanisme membuat keputusan agar kita mampu meminimakan unsur kelemahan dan kekurangan dalam keputusan yang diambil , jauh sekali unsur kesilapan dan kesalahan dalam memuktamadkan sesuatu keputusan .

Saya melihat antara mekanisme yang perlu dikuasai oleh para amilin Gerakan Islam khasnya para pemimpin ialah Feqh Muwazanah atau Kefahaman yang jelas , benar dan tepat dalam pertimbangan sebelum membuat keputusan .

Peranan Feqh Muwazanah .

Feqh Muwazanah [ Feqh Pertimbangan ] adalah satu makenisme yang sangat berkait rapat dengan Feqh al Awlawiyyat [ Feqh Keutamaan ] dalam kita mengambil sesuatu keputusan dan tindakan agar apa yang kita lakukan adalah suatu yang terbaik .

Secara garis kasarnya , Feqh Muwazanah ialah :

* Membuat pertimbangan antara pelbagai bentuk kemaslahatan dan manafaat dari berbagai kebaikan yang telah disyariatkan .

* Membuat pertimbangan antara pelbagai bentuk kemudharatan , kerosakan dan kejahatan yang dilarang atau ditegah oleh Syariat .

* Membuat pertimbangan antara maslahat ( kepentingan ) dan mudharat ( kerosakan ) , antara kebaikan dan keburukan apabila 2 perkara yang bertentangan ini bertemu antara satu sama lain .

PERTIMBANGAN [ AT - TAWAZUN ] ANTARA MASLAHAH .

Kita akan dapati Maslahah ( kepentingan / kebaikan ) yng telah ditetapkan oleh syara' tidak berada dalam satu kategori sahaja bahkan ia terbahagi kepada beberapa kategori :

a ] Dhoruriyat - ضروريات

Jika tidak memilikinya ( dhoruriyat ) nescaya kita tidak boleh menjalani kehidupan ini seperti agama , nyawa dan aqal .

b ] Haajiyat - حاجيات

Kita masih mampu hidup sekalipun tanpa memilikinya ( haajiyat ) tetapi kita akan mengalami kesukaran dan kesulitan hidup yang getir seperti rumah , kenderaan dan perkara seumpamanya.

c ] Tahsiiniyat - تحسينيات

Suatu yang menambah keselesaan , kesenangan dan kemewahan dalam hidup kita dan ia juga sering disebut sebagai pelengkap ( كماليات ) seperti kenderaan kedua , rumah kedua , perabot tambahan dan lain - lain .

Keputusan yang kita hendak ambil ialah pastinya keputusan yang terbaik atau yang afdhal dan yang Aula . Maka pertimbangannya secara prinsip umum ialah mendahulukan Dhoruriyat ke atas Haajiyat demikian juga Tahsiiniyat .

Begitu pula sewajarnya kita mendahulukan Haajiyat ke atas Tahsiiniyat dalam pertimbangan yang melibat perkara dalam 2 kategori tersebut .

Dhoruriyat terbahagi kepada 5 :

* Agama
* Jiwa
* Keturunan
* Aqal
* Harta

Sebahagian Ulama' menambah perkara yang ke enam dalam senarai Dhoruriyat ini iaitu Maruah ( penghormatan ) .

Proses membuat keputusan ialah mengambil pertimbangan dengan teliti dan meletakkan Agama sebagai perkara yang terpenting daripada senarai dhoruriyat dan ia mesti didahulukan berbanding Jiwa , keturunan , aqal dan harta .

Pertimbangan teliti dan cermat ke arah menghasilkan keputusan yang baik dan wajar terhadap pelbagai maslahah ( kepentingan ) tersebut ialah dengan menggunakan kaedah berikut :

1. Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) yang sudah pasti ke atas maslahah ( kepentingan ) dalam jangkaan atau masih diragui kedudukannya .


2. Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) yang besar ke atas maslahah ( kepentingan ) yang kecil .


3. Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) awam berbanding maslahah ( kepentingan ) individu .

4 . Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) yang banyak berbanding maslahah ( kepentingan ) yang sedikit .

5 . Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) yang berterusan dan berkesinambungan berbanding maslahah ( kepentingan ) yang sementara .

6. Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) inti dan prinsip yang fundamental berbanding maslahah ( kepentingan ) yang bersifat luaran ( cabang ) dan tidak penting .

7. Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) masa depan yang kuat , kukuh dan pasti berbanding maslahah ( kepentingan ) semasa yang lemah dan tidak pasti .

Iktibar dari Hudaibiyah

Sebagai contoh kita boleh melihat peristiwa Perjanjian Hudaibiyah bagaimana Nabi saw telah mengutamakan maslahah ( kepentingan ) prinsip dan masa depan berbanding maslahah ( kepentingan ) yang bersifat cabang dan semasa .

Nabi saw. setuju memadam kalimah Bismillahirrahmanirrahim sebagaimana yang dituntut oleh Kafir Quraisy pada surat perjanjian lalu diganti dengan Bismikallahumma . Demikian juga Nabi saw. setuju memadam nama Baginda Muhammad Rasulullah lalu diganti kepada Muhammad bin Abdullah .

Tindakan yang diambil oleh Nabi saw. adalah menafikan ( maslahah ) kepentingan semasa yang bukan sahaja membuatkan Nabi saw terpaksa menangguhkan umrah pada tahun itu ( walau telah berihram ) tetapi juga terpaksa berhadapan dengan bantahan dari para sahabat yang merasakan bahawa mereka ditewaskan oleh kuffar Quraisy secara diplomatik .

Namun begitu , Nabi melihat maslahah ( kepentingan ) masa depan dengan mewujudkan perjanjian damai atau gencatan senjata dengan musuh yang membolehkan Islam bergerak dan berkembang pesat di era damai itu , lalu akhirnya membawa kepada kemenangan besar bagi ummat Islam iaitu Fathul Makkah ( pembukaan Kota Makkah )

PERTIMBANGAN [ AT - TAWAZUN ] ANTARA MUDHARAT

Mudharat ( kerosakan ) juga mempunyai beberapa tahap . Mudharat ( kerosakan ) yang memusnahkan dhoruriyat seperti agama adalah tidak sama dengan mudharat ( kerosakan ) yang membinasakan Haajiyat dan Tahsiiniyat seperti rumah dan perabot .

Demikianlah juga mudharat yang merosakkan harta dan jiwa tidak sama tahapnya dengan mudharat yang meruntuhkan agama dan aqidah ( walau dalam satu kategori iaitu dhoruriyat ) .

Justeru itu , para Fuqaha' menetapkan beberapa kaedah untuk menangani persoalan ini :

1. Tiada bahaya ( tidak boleh mencetuskan bahaya ) dan tidak boleh membahayakan ( diri sendiri atau pihak lain )


2. Suatu bahaya seboleh mungkin mestilah disingkirkan .


3. Suatu bahaya tidak boleh dihapuskan dengan bahaya yang serupa atau lebih .

4. Bahaya yang ringan jika dibanding dengan bahaya yang lain ( lebih berat ) mesti dipilih ( bahaya yang ringan ) dan boleh dilakukan .


5. Bahaya yang lebih ringan boleh dilakukan untuk menolak bahaya yang lebih besar .


6. Bahaya yang bersifat khusus boleh dilakukan untuk menolak bahaya yang sifatnya lebih umum dan luas .

PERTIMBANGAN APABILA MASLAHAH DAN MUDHARAT BERTEMU

Apabila dalam satu perkara mempunyai maslahah ( kepentingan ) dan mudharat ( kerosakan ) secara serentak . Ada bahaya dan dalam masa yang sama ada manafaat . Keadaan ini sangat - sangat memerlukan kita menimbangnya dengan teliti , tekun dan cermat sebelum membuat keputusan .

Situasi seperti ini menuntut kita mengambil keputusan berasaskan pertimbangan yang lebih berat dan lebih banyak dengan mengabaikan yang lebih ringan dan sedikit .

Contohnya arak . Kita terpaksa mengabaikan sedikit manafaat yang terkandung didalamnya berbanding mudharat yang lebih besar dan banyak padanya . Firman Allah swt :

يسئلونك عن الخمر و الميسر قل فيهما إثم كبير و منافع للناس و إثمهما أكبر من نفعهما

Mereka bertanya kepadamu Wahai Muhammad mengenai Khamar ( arak ) dan judi , katakanlah : pada keduanya ada dosa ( kemudharatan ) yang besar dan manafaat bagi manusia dan dosa ( kemudharatan ) pada keduanya lebih banyak dari manafaat keduanya .

Surah al Baqarah : 219

Sebaliknya jikalau dalam satu perkara itu terdapat manafaat yang banyak dan lebih besar maka perkara itu boleh dilakukan sementara kerosakan kecil yang ada padanya boleh diabaikan .

Antara kaedah penting dalam menangani perkara ini ialah :

1. Menolak mudharat ( kerosakan ) mestilah didahulukan ke atas pengambilan manafaat .

درء المفاسد على جلب المصالح

Kaedah ini disempurnakan oleh kaedah yang lain :

1. Kerosakan yang kecil dimaafkan untuk mendapatkan kemaslahatan yang lebih besar .

2. Kerosakan yang bersifat sementara dimaafkan demi kemaslahatan yang sifatnya berterusan / berkesinambungan .

3. Kemaslahatan yang sudah pasti tidak boleh ditinggalkan hanya kerana ada kerosakan yang baru dijangka wujudnya .

Penutup

Sesungguhnya Feqh Muwazanah ini mempunyai erti yang sangat besar dan penting , khususnya dalam masaalah siasah syari'yah kerana ia merupakan landaan pembinaan ummah yang pemeringkatannya juga boleh dilihat sebagai Feqh al Aulawiyat .

Sewaktu kita membuat keputusan dalam menetapkan gerakkerja jamaah sebagai contoh , seringkali kita berdepan dengan dilemma antara dua perkara dimana kedua - duanya dilihat baik atau paling baik seperti menentukan calon dalam pilihanraya .

Feqh Muwazanah memainkan peranan besar dalam perkara ini . Tatkala sukar membuat keputusan , terkadang kita terpaksa mendahulukan perkara baik tanpa risiko berbanding perkara yang paling baik tetapi mempunyai risiko .

Begitu juga disaat berat kita buat keputusan , feqh Muwazanah menetapkan cara kita membuat keputusan seperti kita terperangkap antara dua situasi " kalau berjuang mungkin kita mati tetapi kalau tidak berjuang agama pula mungkin mati " maka pertimbangannya ialah dibaca sekali dengan Feqh Aulawiyat bahawa kita kita mesti mendahulukan Agama berbanding Jiwa kita . lalu wajib kita kita turun berjuang walau risikonya mengorbankan nyawa .

LAMPIRAN :

BAGAIMANA MENGENAL PASTI MASLAHAT DAN MUDHARAT


Nota : 1

Asasnya , kemaslahatan yang perlu dipelihara ialah kemaslahatan akhirat demikian juga kemaslahatan dunia menurut urutannya .

Bertolak dari nokhtah itu , kita boleh mengenal pasti kemaslahatan dan kemudharatan ini melalui :

a. Ketetapan Agama ( Nas Naqli )
b. Fungsi Aqal Fikiran ( Nas Aqli )
c. atau kedua - duanya sekali .

Pendapat Imam Izzudin Abdus Salam dalam kitabnya : Qawai'd al Ahkam Masholih al Imam seperti berikut :

" Kebanyakan kemaslahatan dunia dan kerosakannya dapat diketahui dengan aqal sekaligus menjadi bahagian terbesar dari syariah kerana telah diketahui bahawa sebelum ajaran agama diturunkan , orang yang beraqal telah mengetahui bahawa usaha mereka untuk mencapai suatu kebaikan dan menghindar terjadinya suatu kerosakan pada diri manusia menurut pandangannya suatu yang terpuji dan baik ."

Nota 2 :

" Mendahulukan sesuatu kemaslahatan yang diterima kuat ( rajih ) atas kemaslahatan yang tidak diterima ( marjuh ) juga merupakan suatu yang terpuji dan baik . Sementara penolakan terhadap kerosakan yang dianggap pasti berbanding penolakan ke atas perkara yang dianggap belum pasti juga merupakan suatu yang baik . "

Nota 3 :

Konsep asal yang diambil dalam membuat pertimbangan ( tawazun ) :

Tindakan yang menghasilkan kemaslahatan yang baik merupakan perbuatan yang paling mulia sedang perbuatan yang menghasilkan kerosakan merupakan amalan atau tindakan yang paling hina .

Nota 4 :

a.] Kemaslahatan mempunyai 3 bahagian :

- Wajib
- Sunat
- Mubah ( harus )

b.] Kemudharatan mempunyai 2 bahagian :

- Haram
- Makruh

Sekian , semoga keputusan dibuat adalah yang terbaik :

Artikel ini ditulis oleh:

Tinggalkan sikap tidak hormati ulama - Timbalan Yang di-Pertuan Agong

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru umat Islam di negara ini supaya melakukan perubahan demi memartabatkan dan memperkasakan kedudukan Islam ke tahap lebih gemilang.

Baginda bertitah sehubungan itu umat Islam perlu memahami dan menzahirkan wawasan yang diamanahkan oleh Allah s.w.t melalui kitab suci Al-Quran dan Al-Hadis di mana Islam dan umatnya perlu memberi sinar "rahmatan lil a'lamin" (pembawa rahmat bagi seluruh alam).

Wawasan itu juga perlu dijadikan tunggak ke arah memupuk semangat perpaduan sesama Islam dan bukan Islam agar rangkaian kehidupan sosial yang mantap dapat diwujudkan, titah baginda pada majlis sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1430H/2OO8M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini, lapor Bernama.

"Sikap tidak menghormati para ulama, suka mengambil jalan mudah dengan mengenepikan ajaran agama, malas berfikir dan berusaha, bermusuhan sesama umat Islam dan mengutamakan kepentingan peribadi tanpa mempedulikan hukum halal dan haram perlu ditinggalkan oleh semua umat Islam kerana unsur-unsur inilah yang telah menjadi kekangan bagi membangunkan ummah yang gemilang," titah baginda.

Turut hadir pada majlis sambutan Ma'al Hijrah yang bertema "Menjana Ummah Gemilang" ialah Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Baginda bertitah sempena kedatangan tahun 1430H amat wajar bagi umat Islam di negara ini bermuhasabah, melihat perkembangan dan perubahan hidup yang telah dilalui sepanjang tempoh tersebut.

"Beta percaya, melalui muhasabah diri, kekuatan dan kelemahan yang ada boleh dinilai dengan sebaiknya dan akhirnya umat Islam mampu bergerak ke tahap yang lebih gemilang seperti yang diharapkan," titah baginda.

Baginda menyeru seluruh umat Islam supaya menyorot kembali kelemahan dan kesilapan diri yang telah dilakukan selama ini sebagai ikhtibar dalam mencorak masa depan yang bakal dihadapi dan juga menilai kembali segala kekuatan yang telah dikurniakan tuhan.

"Beta yakin tema yang sama dipilih bagi sambutan Ma'al Hijrah pada tahun ini mampu mendorong umat Islam untuk berfikir dan menyusun perjalanan masa depan yang lebih teratur sehinga berupaya meletakkan diri dalam persaingan global yang begitu mencabar pada hari ini," titah baginda.

Baginda menggesa seluruh umat Islam agar sama-sama berusaha dan mempertingkatkan lagi keupayaan serta melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dan penuh keikhlasan kerana untuk mencapai sebuah kegemilangan, ia memerlukan pengorbanan dan kegigihan.

Monday, December 29, 2008

Tahun Baru 1430 dan Kisah Ka'ab bin Malik

Hari ini 1 Muharram 1430 H. Mungkin ramai yang memperkatakan tentang apa itu hijrah, bagaimana berhijrah, asal-usul tahun hijrah dan sebagainya. Dengan itu, cukuplah aku ucapkan Selamat Menyambut Ma'al Hijrah 1430.

Dengan bermulanya tahun baru ini, kita umat Islam amnya, dan para penggerak dakwah Islamiyyah perlu merencanakan sesuatu yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini. Kalendar 1430 perlu diisi dengan perancangan yang terbaik.

Kita umat Islam, selaku penggerak dakwah Islamiyyah perlu berusaha bersungguh-sungguh, bermujahadah bagi menunaikan amanah dakwah yang tertanggung di atas bahu setiap kita. Amal Islami, amal jamaei serta amal Ijtimaei perlu kita gembeling tenaga, harta dan jiwa untuk melaksanakannya.

Buadaya-budaya seperti bermalas-malas, bertangguh, sambil lewa, acuh tak acuh dan segala sepertinya itu perlu dibuang dan dikikis dalam diri kita. Budaya-budaya tersebut mampu membuatkan kita tercicir (futur) dari jalan dakwah. Kita saling mengetahu bahawa iman kita manusia biasa adalah bersifat bertambah dan berkurang. Maka tatkala iman itu lemah, bisikan-bisikan yang melemahkan keseriusan dan komitmen kita terhadap perjuangan akan bertubi-tubi datang. Perjuangan Islam perlu kepada keseriusan dan komitmen yang berterusan.

Hal ini pernah berlaku kepada beberapa orang sahabat Nabi, yang juga peristiwa ini tercatat di dalam al-Quran, surh at-Taubah ayat 118:

Maksudnya:
"Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa merekapun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta mereka telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah, melainkan kepada-Nya saja. Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. "

Kisah Ka'ab bin Malik dalam perang Tabuk ini sudah tidak asing lagi bagi para daei dan pejuang-pejuang dakwah Islamiyyah. Kisah bagaimana Ka'ab bin Malik serta dua lagi sahabat yang ditangguh penerimaan taaubat mereka akibat tidak turut berperang bersama kaum Muslimin dalam peperangan Tabuk memberi banyak pengajaran kepada kita.

Ka'ab bin Malik menceritakan halnya:
“Aku sama sekali tidak pernah terlepas mengikuti semua peperangan bersama RasuluLLAH, kecuali dalam perang Tabuk. Perihal ketidakikutsertaanku dalam perang Tabuk itu adalah kerana kelalaian diriku terhadap perhiasan dunia, ketika itu keadaan ekonomiku jauh lebih baik daripada hari-hari sebelumnya. Demi ALLAH, aku tidak pernah memiliki barang dagangan lebih dari dua muatan unta, akan tetapi pada waktu peperangan itu aku memikinya.


Sungguh, tidak pernah RasuLLAH SAW merencanakan suatu peperangan melainkan beliau merahasiakan hal itu, kecuali pada perang Tabuk ini. Peperangan ini, berlaku dalam keadaan panas terik matahari gurun yang sangat menyengat, menempuh perjalanan teramat jauh, serta menghadapi lawan yang benar-benar besar dan kuat.


RasuluLLAH SAW mempersiapkan pasukan yang akan berangkat. Aku pun mempersiapkan diri untuk ikut serta, tiba-tiba timbul fikiran ingin membatalkannya, lalu aku berkata dalam hati, “Aku boleh sahaja (tidak ikut) kalau aku mahu!”

Akhirnya, aku terbawa oleh fikiranku yang ragu-ragu, hingga pasukan kaum Muslimin mulai meninggalkan Madinah.Apabila aku melihat pasukan Muslimin mulai meninggalkan Madinah, maka timbul fikiranku untuk mengejar mereka, sementara mereka belum jauh. Namun, aku tidak melakukannya, kemalasan menghampiri dan bahkan menguasai diriku.

Nampaknya aku ditakdirkan untuk tidak ikut. Akan tetapi, aku merasakan pjiwaku menderita sejak RasuluLLAH SAW meninggalkan Madinah. Apabila aku keluar rumah, maka di jalan-jalan aku merasakan terpencilnya diriku kerana aku tidak melihat orang kecuali orang-orang yang diragui keislamannya. Mereka adalah orang-orang yang sudah mendapatkan rukhshah atau izin ALLAH Ta’ala kerana uzur atau kalau tidak demikian maka mereka adalah orang-orang munafik. Padahal, aku merasakan bahwa diriku tidak termasuk keduanya.

Kononnya, RasuluLLAH tidak menyebut-nyebut namaku sampai ke Tabuk. Setibanya di sana, ketika baginda sedang duduk-duduk bersama sahabatnya, beliau bertanya, “Apa yang dilakukan Ka’ab bin Malik?”


Seorang dari Bani Salamah menjawab, “Ya RasuluLLAH, ia ujub pada keadaan dan dirinya!” Mu’az bin Jabal menyangkal, “Buruk benar ucapanmu itu! Demi ALLAH, Ya RasuluLLAH, aku tidak pernah mengerti melainkan kebaikannya saja!” RasuluLLAH SAW hanya diam sahaja.

Beberapa waktu setelah berlalu, aku mendengar RasuLLAH SAW kembali dari medan jihad Tabuk. Pelbagai bisikan, desakan dan dorongan yang menyeru aku untuk membawa alasan palsu ke hadapan RasuluLLAH SAW, bagaimana caranya supaya tidak terkena marahnya? Aku minta pandapat dari beberapa orang keluargaku yang terkenal berfikiran baik. Akan tetapi, ketika aku mendengar Nabi SAW tiba di Madinah, lenyaplah semua fikiran jahat itu. Aku merasa yakin bahwa aku tidak akan dapat menyelamatkan diri dengan kebatilan itu sama sekali. Maka, aku bertekad untuk menemui RasuluLLAH SAW dan mengatakan hal sebenarnya.

Pagi-pagi lagi, RasuluLLAH SAW memasuki kota Madinah. Sudah menjadi kebiasaan, sesudah baginda kembali dari suatu perjalanan, pertama sekali baginda masuk ke masjid dan bersolat dua rakaat. Demikian pula kepulangan dari Tabuk,setelah selesai solat baginda kemudian duduk melayani tetamunya. Lantas, datanglah orang-orang yang tidak ikut perang Tabuk dengan membawa alasan masing-masing diiringi sumpah palsu untuk menguatkan alasan mereka. Jumlah mereka kira-kira lapan puluhan orang. RasuluLLAH SAW menerima alasan lahir mereka; dan mereka memperbaharui baiat setia mereka. Baginda memohon keampunan bagi mereka dan menyerahkan soal batinnya kepada ALLAH. Kemudian tibalah pula giliranku, aku datang mengucapkan salam kepada baginda. Baginda membalas dengan senyuman pula. Namun jelas terlihat bahawa senyuman baginda itu adalah senyuman yang memendam rasa marah. Beliau kemudian berkata, “Kemarilah!”

Aku pun menghampirinya, lalu duduk di hadapannya. Beliau tiba-tiba bertanya, “Wahai Ka’ab, mengapa dirimu tidak ikut? Bukankah kau telah menyatakan baiat kesetianmu?”

Aku menjawab, “Ya RasuluLLAH! Demi Allah. Kalau duduk di hadapan penduduk bumi yang lain, tentulah aku akan berhasil keluar dari amarah mereka dengan berbagai alasan dan dalil lainnya. Namun, demi ALLAH. Aku sedar kalau aku berbohong kepadamu dan engkau pun menerima alasan palsuku, aku khuatir ALLAH akan membenciku. Akan tetapi jika aku bbericara jujur, kemudian kerana itu engkau marah kepadaku, sesungguhnya aku berharap ALLAH akan mengampuni kealpaanku. Ya RasuluLLAH, demi ALLAH, aku tidak punya uzur. Demi ALLAH, keadaan ekonomiku aku tidak pernah stabil dibanding tatkala aku mengikutimu itu!”

RasuluLLAH berkata, “Kalau begitu, tidak salah lagi. Kini, pergilah kamu sehingga ALLAH menurunkan keputusan-Nya kepadamu!”

Aku pun pergi diikuti oleh orang-orang Bani Salamah. Mereka berkata kepada, “Demi ALLAH. Kami belum pernah melihatmu melakukan dosa sebelum ini. Kamu nampaknya tidak mampu membuat-buat alasan seperti yang lain, padahal dosamu itu akanh terhapus oleh permohonan ampun RasuluLLAH!”

Mereka terus saja menyalahkan tindakanku itu hingga ingin rasanya aku kembali menghadap RasuluLLAH untuk membawa alasan palsu, sebagaimana orang lain melakukannya.

Aku bertanya kapada mereka, “Apakah ada orang yang senasib denganku?”
Mereka menjawab, “Ya! Ada dua orang yang jawapannya sama denganmu. Sekarang mereka berdua juga mendapat keputusan yang sama dari RasuluLLAH sebagaimana keadaanmu sekarang!”

Aku bertanya lagi, “Siapakah mereka itu?”

Mereka menjawab, “Murarah bin Rabi’ah Al-Amiri dan Hilal bin Umayah Al-Waqifi.”
Mereka menyebutn dua nama sahabat yang pernah ikut serta dalam perang Badar. Sebaik sahaja mereka menyebut nama dua sahabat tadi, aku bergegas pergi menemui mereka.

Tak lama setelah itu, aku mendengar RasuluLLAH melarang kaum muslimin berbicara dengan kami bertiga, di antara lapan puluhan orang yang tidak ikut dalam perang tersebut.

Kami memencilkan diri daripada masyarakat umum. Sikap mereka sudah lain kepada kami sehingga rasanya aku hidup di suatu negeri yang lain dari negeri yang aku kenal sebelumnya. Kedua rakanku itu berkurung di rumah masing-masing menangisi nasib diri, tetapi aku yang paling kuat dan tabah di antara mereka. Aku keluar untuk solat berjamaah dan keluar masuk pasar sekalipun tiada seorang pun yang mahu berbicara denganku atau mendengar bicaraku. Aku juga datang ke majilis RasuluLLAH sesudah baginda bersolat. Aku mengucapkan salam kepada beliau, dan hati kecilku tertanya-tanya sambil memperhatikan bibir baginda, “Apakah baginda menggerakkan bibirnya menjawab salamku atau tidak?”

Aku juga bersolat dekat sekali dengan baginda. Aku mencuri pandang melihat pandangan beliau. Kalau aku mahu bangun bersolat, RasuluLLAH melihat kepadaku. Namun, apabila aku melihat kepadanya, RasuluLLAH cepat-cepat memaling wajahnya dariku. Sikap dingin masyarakat kepadaku terasa lama sekali. Pada suatu hari, aku mengetuk pintu paga Abu Qatadah, saudara bisanku dan ia adalah saudara yang paling aku cintai. Aku mengucapkan salam kepadanya, tetapi demi ALLAH, ia tidak menjawab salamku.

Aku menegurya, “Abu Qatadah! Aku mohon dengan nama ALLAH, apakah kau tahu bahawa aku mencintai ALLAH dan Rasul-Nya?”

Dia diam. Aku mengulangi permohonanku itu, namun ia tetap terdiam. Aku mengulangi permohonanku itu, namun ia tetap terdiam. Aku mengulanginya sekali lagi, tapi ia hanya menjawab, “ALLAH dan Rasul-Nya lebih tahu!”

Air mataku tidak tertahankan lagi. Kemudian aku kembali dengan penuh rasa kecewa.
Pada suatu hari, aku berjalan-jalan ke pasar kota Madinah. Tiba-tiba datanglah orang awam dari negeri Syam. Orang itu biasanya mengantarkan barang dagangan ke kota Madinah. Dia bertanya, “Siapakah yang mahu menolongku menemui Ka’ab bin Malik?”

Orang-orang di pasar itu menunjuk kepdaku, lalu orang itu datang kepadaku dan menyerahkan sepucuk surat kepadaku dan menyerahkan sepucuk surat dari Raja Ghassan. Setelah kubuka, isinya sebagai berikut, “… Selain dari itu, bahawa sahabatmu sudah bersikap dingin terhadapmu. ALLAH tidak menjadikan kau hidup terhina. Maka, ikutlah dengan kami di Ghassan, kami akan menghiburkan mu dan memberi kekayaan kepada mu!” [Nota: Raja Ghassan adalah antara raja-raja yang dikirimi surat oleh RasuluLLAH. Raja Ghassan menolak surat nabi dengan kasar. Utusan yang dikirim Nabi dibunuh dengan kejam oleh raja Ghassan.]

Hatiku berkata ketika membaca surat itu, “Ini juga salah satu ujian!” Lalu aku memasukkan surat itu ke dalam tungku dan membakarnya.


Pada hari yang ke-40 pemulauan di kampung halaman sendiri, ketika aku menanti-nantikan turunnya wahyu tiba-tiba datanglah kepadaku seorang utusan RasuluLLAH menyampaikan pesannya, “RasuluLLAH memerintahkan kepadamu supaya kamu menjauhi isterimu!”

Aku semakin sedih, namun aku juga semakin pasrah kepada ALLAH, hingga terlontar pertanyaanku kepadanya, “Apakah aku harus menceraikannya atau apa yang akan ku lakukan?”

Dia menjelaskan, “Tidak. Akan tetapi, kamu harus menjauhkan dirimu darinya dan menjauhkannya dari dirimu!”

Fikirku Rasulullah juga sudah mengirimkan pesanannya kepada dua sahabat yang senasib denganku. Aku segera memerintahkan kepada isteriku, “Pergilah kamu kepada keluargamu sehingga ALLAH memutuskan hukumannya kepada kita!”


Isteri Hilal bin Umaiyah pergi menghadap RasuluLLAH lalu dia bertanya, “Ya RasuluLLAH, sebenarnya Hilal bin Umaiyah seorang yang sudah sangat tua, lagi pula ia tidak memiliki seorang pembantu. Apakah ada keberatan kalau aku melayaninya di rumah?”

RasuluLLAH menjawab, “Tidak! Akan tetapi ia tidak boleh mendekatimu!”
Isteri Hilal menjelaskan, “Ya RasuluLLAH! Dia sudah tidak bersemangat pada yang itu lagi. Demi ALLAH, yang dilakukannya hanya menangisi dosanya sejak saat itu hingga kini!”

Ada seorang ahli keluargaku yang juga mencadangkan, “Cubalah minta izin kepada RasuluLLAH supaya isterimu melayani dirimu seperti isteri Hilal bin Umayah!”


Aku menjawab tegas, “Tidak Aku tidak akan minta izin kepada RasuluLLAH tentang isteriku. Apa katanya kelak, sedangkan aku masih muda?”


Akhirnya, hari-hari selanjutnya aku hidup seorang diri di rumah. Lengkaplah bilangan malam sejak orang-orang dicegah berbicara denganku menjadi 50 hari 50 malam. Pada waktu sedang solat subuh di suatu pagi, ketika aku sedang dudung berzikir minta ampun dan mohon dilepaskan dari kesempitan hidup dalam alam yang luas ini, tiba-tiba aku mendengar teriakan orang-orang memanggil namaku. "Wahai Ka’ab bin Malik, bergembiralah! Wahai Ka’ab bin Malik, bergembiralah!”

Sebaik sahaja mendengar berita itu aku, aku terus sujud memanjatkan syukur kepada ALLAH. Aku yakin pembebasan hukuman telah dikeluarkan. Aku yakin, ALLAH telah menurunkan keampunan-Nya dan menerima taubatku.

RasuluLLAH menyampaikan berita itu kepada sahabat-sahabatnya setelah selesais soat subuh bahwa ALLAH telah mengampuni aku dan dua orang sahabatku. Berlumba-lumbalah orang mendatangi kami, hendak menceritakan berita gembira itu. Ada yang datang dengan berkuda, ada pula yang datang dengan berlari dari jauh mendahului yang berkuda. Sesudah keduanya sampai di hadapanku, aku berikan kepada dua orang itu kedua -dua pakaian yang aku miliki. Demi ALLAH, saat itu aku tidak memiliki pakaian kecuali yang dua itu.


Aku mencari pinjaman pakaian untuk menghadap RasuluLLAH. Ternyata aku telah disambut orang ramai dan dengan serta-merta mereka mengucapkan selamat kepadaku. Demi ALLAH, tidak seorang pun dari muhajirin yang berdiri dan memberi ucapan selamat selain Thal’ah. Sikap Thalhah itu tak mungkin aku lupakan. Sesudah aku mengucapkan salam kepada RasuluLLAH, mukanya tampak cerah dan gembira, kemudian baginda berkata, “Bergembiralah kau atas hari ini! Inilah hari yang paling baik bagimu sejak kau dilahirkan oleh ibumu!”

“Apakah dari ALLAH ataukah dari engkau ya RasuluLLAH?” tanyaku dengan penuh sabar.
“Bukan dariku! Pengampunan itu datangnya dari ALLAH!” jawab RasuluLLAH.
Demi ALLAH, aku belum pernah merasakan besarnya nikmat ALLAH kepadaku sesudah Dia memberi hidayah Islam kepadaku, lebih besar bagi jiwaku daripada sikap jujurku kepada RasuluLLAH.”


Ka’ab lalu membaca ayat pengampunannya (a-taubah :118) itu dengan penuh teraru dan syahdu, sementara air matanya berderai membasahi kedua pipinya.


“Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas, dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah melainkan kepada-Nya saja. Kemudian, Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang.” (At-Taubah:118)

Kisah Ka’ab ini merupakan sebahagian daripada episod dalam kisah Perang Tabuk. Ka’ab merupakan salah seorang daripada 3 mukmin yang tidak turut serta dalam kempen itu walaupun berkemampuan.


Mereka mengakui kesilapan itu dengan tidak mengemukakan apa-apa alasan apabila disoal oleh Rasul sekembalinya tentera dari kempen itu dan hanya mengaku bersalah dengan jujur. Ini bertentangan dengan golongan Munafiqin yang tidak turut serta tetapi mengemukakan pelbagai alasan untuk melepaskan diri. RasuluLLAH tetap menerima alasan mereka walaupun tahu tentang kemunafiqan mereka. Taubat Kaab diceritakan dalam Surah Taubah, ayat 118. Terdapat juga sekumpulan yang betul-betul uzur dan terlepas daripada menyertai kempen ini. Golongan ini dihuraikan dalam Surah Taubah, ayat 91.

Ka’ab dan dua lagi mukmin ini (Mararah al Rabi’, Hilal b Umaiyah) dihukum boikot oleh ALLAH SWT sehingga ALLAH SWT menerima taubat mereka. Dan ALLAH menerima taubat mereka pada waktu Subuh selepas berlalu malam yang ke-50.

Dalam tempoh boikot yang tidak diketahui hujungnya itu, Ka’ab menanggung beban dugaan yang sungguh besar. Antaranya:

1) Orang-orang mukmin dilarang mutlak daripada berurusan dengan mereka, hatta menjawab salamnya sekalipun.

2) Isteri-isteri mereka diasingkan daripada mereka bermula dari malam yg ke-40.

3) Raja Ghassan cuba untuk menghasut Ka’ab menyertai mereka serta dijanjikan dengan habuan jika meninggalkan barisan saf muslimin.

4) Cubaan untuk kekal dalam iman walaupun dihukum untuk tempoh yang tidak pasti (boleh jadi diboikot sehingga akhir hayat mereka)

Pemulauan ini diangkat oleh ALLAH dengan turunnya ayat 118 surah at-Taubah dan keindahan ukhuwwah dalam kalangan orang-orang beriman jelas terpancar apabila seluruh Madinah bergembira ketika ayat itu diturunkan. Mereka berkejaran mendapatkan Ka’ab untuk memaklumkan penerimaan taubatnya dan ukhuwwah mereka bersambung kembali.

Daripada sirah di atas, cubalah kita bandingkan dengan keadaan diri kita. Bagaimana Ka'ab bin Malik dihukum, berpunca daripada sikapnya yang berlengah-lengah, leka dan bermalas-malasan ketika seruan jihad dilaungkan. Bukan aku bermaksud mahu merendah-rendahkan Ka'ab bin Malik, kerana jika dibandingkan dengan beliau, iman kita tidak sampai ke mana. Andaikata iman Ka'ab itu sehebat kuda perang, maka iman aku tidak sekali-kali akan menyamai iman beliau sekalipun hanya sebesar debu yang melekat pada kaki kuda perang tersebut.

Cuba kita hubungkan dengan kehidupan. Jika Ka’ab bin Malik tidak ikut serta berperang, cuba kita hubungkan dengan amanah-amanah kita. Bagaimana sikap kita ketika mendapat seruan untuk berdakwah? Bagaimana sikap kita ketika menerima amanah? Apakah kita bersegera untuk melaksanakannya? Apakah sebaliknya kita merasa enggan, malas dan akhirnya tidak melaksanakan amanah itu seperti kisah Ka’ab bin Malik?

Keadaan yang dialami Ka’ab bin Malik saat itu adalah contoh keadaan ketika mengalami futur, ketika kondisi keimanannya lemah. Ka’ab bukan termasuk golongan orang munafik yang menguzurkan dirinya untuk tidak ikut perang dengan berbagai alasan. Tetapi beliau jujur kepada RasuluLLAH menyedari kesalahannya dan bertaubat. Beliau segera BANGKIT dari kondisi futurnya dan ikhlas menerima hukuman apapun.

Bagaimana dengan diri kita? Apakah kita akan menguzurkan diri kita dengan berbagai alasan ketika kita diberi amanah, padahal alasan sebenarnya kerana kemalasan kita. Apakah kita akan menyalahgunakan kepandaian kita untuk membuat-buat alasan. Apakah kita sering mengelak untuk datang mesyuarat, bengkel, liqa', tamrin, usrah dan sebagainya tanpa alasan yang syar’ei kerana kita malas atau mendahulukan perkara lain yang tidak penting. Atau mungkin datang tapi sengaja lewat kerana berlengah-lengah, tanpa sebarang keuzuran?

Padahal dalam sebuah ayat Al Qur’an, kita disuruh untuk berangkat jihad dalam keadaan merasa berat mahupun ringan (lihat surah At-Taubah :41-49).

Aku menyeru kepada diriku dan sahabat-sahabat semua agar kita sama-sama mengambil iktibar daripada kisah di atas bagi memperbaiki prestasi gerak-kerja kita dalam dakwah dan jamaah. Sekian sahaja postingku kali ini.

Rujukan:
1) Kab ibn Malik ( Sunnah Online)
2) Taubat Ka'ab bin Malik (Analisa iqh Dakwah)
3) Ka'ab bin Malik dan taubatnya

Friday, December 26, 2008

Pilihanraya Kampus : Semua perlu profesional.

Dua tiga hari ini aku dengar-dengar tidak lama lagi akan ada pilihanraya kampus di kapus kejuruteraan ini. Dikatakan notis untuk perkara tersebut sudah ditampal di papan-papan kenyataan. Tapi aku amati papan putih di blok aku setiap kali aku hendak ke Pusat Islam, tidak nampak pun sebarang kenyataan mengenai pilihanraya kampus. Takkan sudah dicabut? Fikirku, takkanlah perkara penting begitu, notisnya ditampal bagai melepas batuk ditangga. Macam notis jual "top up" saja. Aku fikir mungkin itu hanya khabar angin.

Suatu malam tiba-tiba pula ada orang hantar link web yang menunjukkan gambar notis tersebut telah ditampal. Oh, mungkin notis itu ditampal di tempat lain. Aku saja yang tak tahu. Menurut notis itu, pilihanraya kampus itu akan berlangsung awal Januari ini. Jadi sekali lagi kita akan merasai suasana pilihanraya kampus.

Apabila sebut sahaja pilihanraya kampus, akan timbullah cerita mengenai kumplan aspirasi, kumplan PMI, kumpulan Cina, kumpulan itu dan ini. Bagi yang mengikuti perkembangan politik kampus, perkara ini sudah biasa, cuba buat-buat tak biasa. Bagi yang tak biasa mengikuti politik kampus, mereka hanya bersikap acuh tidak acuh sahaja mengenai pilihanraya kampus. Malah tidak mengambil tahu pun apa dan siapa aspirasi, siapa PMI siapa itu dan ini. Mereka ini hanya akan mengundi sesiapa sahaja calon yang dirasakan layak menurut kefahaman mereka.

Bercerita mengenai politik kampus, tidak boleh lari pada bercerita mengenai Aspirasi, PMI dan sebagainya seolah-olah ada pakatan tertentu bertanding. Tetapi pilihanraya sebelum-sebelum ini, aku tidak nampak pula kempen-kempen supaya mengundi Aspirasi atau undi PMI. Cuma ada individu yang memakai baju aspirasi universiti, itu aku nampak. Yang musykilnya, kenapa PMI dikatakan bertanding pilihanaya kampus, sedangkan aku juga pernah terlibat dengan PMI. Tiada pula agenda dalam perancangan satu sidang PMI akan menyertai pilihanraya kampus.

Kaji-kaji balik, rupa-rupanya semua ini 'influence' dari kampus universiti lain, yang PMI di sana bertanding. Wah, kalau PMI masuk bertanding, kenapa persatuan Silat, kelab rekreasi dan sebagainya tidak mahu masuk bertanding? Di kampus kita mungkin lain. Apa yang aku tahu, PMI tidak bertanding. Tetapi kalau ada individu dari PMI yang bertanding, itu hak dia sebagai mahasiswa. Cuma orang sahaja yang melabelnya sebagai PMI, walaupun dia datang dari kelab lain. Apabila lawan saja aspirasi, maka labelnya adalah PMI. Mungkin begitu.

Kita abaikan seketika semua itu. Kita tumpu kepada isu pilihanraya kampus. Pilihanraya kampus yang bakal tiba ini adalah yang pertama setelah USM diiktiraf sebagai universiti Apex. Transformasi yang berlaku ke arah Apex meliputi segenap sudut termasuk pentadbiran, kakitangan, pensyarah, mahasiswa, pembelajaran, kajian, aktiviti kemasyarakatan, dan sebagainya. Maka seeloknya, pilihanraya kampus juga ada transformasinya tersendiri.

Pilihanraya kampus dalam universiti Apex sewajarnya dilakukan dengan penuh profesional dan telus dengan harapan perwakilan yang terpilih nanti mampu menggalas amanah yang lebih mencabar, bukan lagi seperti perwakilan-perwakilan sebelum ini. Sebelum ini wakil MPP hanya berlegar di peringkat univesiti, atau lebih jauh pun hanya di peringkat nasional. tetapi wakil MPP kali ini perlu menggalas harapan sebuah universiti Apex yang bertaraf antarabangsa. Wakil-wakil MPP nanti adalah duta universiti Apex dari Malaysia untuk berhadapan dengan cabaran di peringkat antarabangsa.

Jadi, pilihanraya kampus kali ini tidak boleh seperti pilihanraya-pilihanraya lepas, yang dilabel dengan pelbagai tohmahan yang tidak manis. Kita mahu keprofesionalan dalam pengendaliannya. Usah diulangi perkara yang sama. Ketepikan sentimen-sentimen lama. Biar pilihanraya kampus kita kali ini menjadi contoh kepada universiti lain. Pilihanraya kampus kita bebas daripada campurtangan pihak tertentu, cemuh-mencemuh, memprovokasi sesama sendiri, hasut-menghasut dan sebagainya. Berpolitiklah secara profesional tanpa ada pihak yang campur tangan. Mahasiswa adalah untuk mahasiswa. MPP adalah penghubung mahasiswa kepada pihak pentadbiran, masyarakat sekitar dan antarabangsa. Maka MPP yang akan terpilih harus menjalin hubungan baik dengan mahasiswa, hubungan baik dengan pentadbiran dan meningkatkan potensi diri untuk menghadapi medan antarabangsa. Jika MPP hanya mempunyai hubungan yang baik dengan salah sati pihak sahaja tanpa mengambil kira hubungan dengan pihak yang satu lagi, dikhuatiri MPP tersebut akan bermasalah. Jika MPP rapat dengan pentadbiran sahaja, akan bermasalah. Begitu juga jika MPP hanya rapat dengan mahasiswa sahaja, akan juga bermasalah. Oleh itu calon-calon yang bertanding untuk kerusi MPP ini harus mempersiapkan diri degan baik supaya MPP dapat dilihat sebagai badan pelajar yang berwibawa.

Posting aku kali ini berharap, jika benar pilihanraya kampus akan berlaku pada masa yang diberitakan, maka kita semua berilah kerjasama. Yang ingin bertanding, semoga berjaya. Yang tidak bertanding, berilah kerjasama sepanjang prosesnya. Bagi yang mengendalikan proses pilihanraya kampus ini, lakukan yang terbaik kerana ia adalah amanah yang akan disoal oleh-Nya. Semoga pilihanraya kampus kita kali ini lancar dan lebih profesional dan bertaraf Apex.

Pengetahuan kita tentang sirah, jom kita renung sat...

”Cuba sebutkan 10 sahabat yang dijamin masuk syurga!” Boleh jawab? Atau mungkin kita lebih cekap menjawab pertanyaan ”Sebutkan nama finalis Malaysian Idol”?

”Siapa nama sahabat yang diutus sebagai duta Islam pertama?” Tahu? Atau kita lebih tahu jika ditanya ”Siapa nama vokalis kumpulan Spider?”

”Cuba ceritakan kisah perang Uhud!” Bolehkah? Atau kita lebih lancar bercerita apabila disuruh menceritakan ”Bagaimana boleh si artis Norman itu bercerai dengan isterinya Abby?”

Begitulah remaja muslim atau bahkan mungkin kita sendiri termasuk di dalamnya. Tidak mengenal sejarah dan tokoh-tokoh Islam. Lebih mengenal para artis dan menjadikan mereka sebagai idola daripada mengenal para Nabi, dan para sahabatnya. Bahkan mungkin kita yang sering bergerak dalam dakwah seringkali enggan untuk mengkaji sirah nabawiyah atau sirah sahabat. Bagaimana kita mahu mendakwahkan Islam jika kita tidak menyampaikan sebagiamana RasuluLLAH dan para sahabatnya berdakwah.

Padahal dengan mengkaji sirah tersebut boleh dijadikan panduan dan teladan dalam kehidupan kita sehari-hari. Misalnya bagaimana tahapan dakwah RasuluLLAH, bagaimana memilih pasangan hidup, bagaimana dakwah fardiyah, bagaimana supaya istiqomah dalam dakwah, bagaimana RasuluLLAH berpolitik, mentadbir negara dan sebagainya Bagi yang memiliki anak kecil, sirah tersebut boleh diceritakan kepada mereka dengan bahasa yang disesuaikan dengan usia mereka. Itu jauh lebih bermanfaat daripada kisah Sang Kancil, Cinderella, Snow White, pelbagai cerita khayalan yang lain.

Jadikan Sirah nabi dan para sahabat baginda sebagai teladan dalam kehidupan. Biar setiap tindak tanduk kita berpandukan sirah kekasih dan para sahabatnya. Mari kita uji diri kita, bagaimana pengetahuan kita tehadap sirah Nabi dan para sahabatnya dengan menjawab soala-soalan di bawah. Jawab dalam hati pun tak mengapa:

1. Sebutkan sepuluh sahabat yang dijamin syurga!
2. Siapakah sahabat yang diutus RasuluLLAH sebagai duta Islam pertama?
3. Sebutkan sahabat-sahabat yang dikatakan mirip Rasulullah!
4. Sebutkan 10 orang sahabat yang paling awal menerima Islam
5. Siapakah nama sahabat yang dikenali sebagai Saifullah (Pedang ALLAH)!
6. Siapakah sahabat yang mencetuskan gagasan perang Khandaq (Idea menggali parit)
7. Sebutkan nama isteri-isteri Rasullah!
8. Siapakah sahabat yang sejak usia 13 tahun sudah ingin menyertai ayahandanya dalam Perang Badar!
9. Sebutkan nama sahabat yang dijamin masuk syurga kerana tidak pernah menyimpan rasa dengki kepada orang lain!
10. Siapakah sahabat yang termasuk dalam 10 sahabat yang dijamin masuk syurga, seorang pedagang yang berjaya tetapi tidak pernah ketinggalan sedikitpun dalam berjihad dengan jiwa dan hartanya di jalan ALLAH.
11. Siapakah sahabat yang mendapat gelar ”Bapa si miskin” dan ”Burung Syurga”?
12. Siapakah sahabat kepercayaan RasuluLLAH yang menyimpan rahsia RasuluLLAH?
13. Siapakah sahabat yang keluarganya dijanjikan tempat di surga dan siapakah nama ibunya yang menjadi syahidah pertama Islam?
14. Siapakah sahabat sekaligus sepupu RasuluLLAH yang berhasil menjadi jurubicara ketika kaum muslimin hijrah ke Habsyi?
15. Siapakah sahabat sekaligus bapa saudara RasuluLLAH yang mendapat gelaran ”Singa Allah”?
16. Bagaimanakah Saiydina Abu Bakr menghadapi ancaman Rom, golongan murtad dan golongan enggan membayar zakat sekaligus dalam keadaan beliau baru sahaja menjadi khaliah pertama selepas RasuluLLAH baru sahaja wafat?
17. Siapakah nama tiga sahabat yang ditangguh taubat mereka akibat tidak ikut serta peperangan Tabuk?
18. Zaman khalifah manakah kuasa Kisra Parsi tumbang?
19. Siapakah nama sahabat yang menggantikan general Khalid Al-Walid sebagai panglima perang dalam suasana perang masih berjalan?
20. Siapakah Muawiyah bin Abi Sufyan?

Thursday, December 25, 2008

Azam tahun baru, ujian sesudu garam

Tidak lama lagi kita akan menyambut Tahun Baru Hijriah, 1 Muharram 1430. Tahun Masehi pula, 1 Januari akan menjelang.

Sebut sahaja tahun baru, ramai akan menyatakan azam mereka untuk tahun tersebut. Ada azam yang baik, ada azam yang kurang baik. Ada yang tidak mahu 'membuat' azam baru kerana azam lama masih belum terlaksana. Ada pula azam barunya itu adalah 'menyempurnakan azam lama'. Macam-macam jenis azam berkumandang. Dan ada pula yang tidak tahu menahu pasal azam. Biarlah mereka dengan azam mereka katanya.

Dalam menyambut tahun baru Hijriah, kita diajar dengan berdoa - doa akhir tahun, dan doa akhir tahun - memohon 'campurtangan' ALLAH dalam setiap gerak kerja kita seharian. Kebersamaan ALLAH dalam setiap inci kehidupan kita sangat kita perlukan. Jika ALLAH membiar kita, bersendirian maka rugilah hidup kita.

Azam dan cita-cita kita hendaklah selari dengan kehendak ALLAH, barulah ALLAH akan membantu merealisasikan impian kita. Azam baru kita biarlah bertujuan taqwa kepada ALLAH. Bercita-cita untuk mendapat keredhaan ALLAH adalah impian yang besar, dan perlu kepada mujahadah, dan perjuangan yang istiqomah.

Seringkali kita ditimpa pelbagai masalah sepanjang hidup kita dalam merealisasikan setiap impian dan cita kita kita. Ujian, masalah dan cobaan yang datang, adakalanya kita rasa sangat sukar dan susah untuk dihadapi. Kadang-kadang masalah yang kecil dan mudah pun boleh dianggap besar, sehinggakan kita marah kepada orang yang anggap kecil masalah kita yang remeh, yang kita sendiri anggap besar.

ALLAH menguji kita dengan perlbagai ujian mengikut tahap kekuatan iman kita. ALLAH tidak sekali-kali akan memberati kita dengan sesuatu yang tidak kita mampu, dan kita juga harus berdoa memohon supaya ALLAH tidak menguji dengan sesuatu yang boleh memalingkan kita dari-Nya. Berusaha, bertawakkal dan bersabarlah dalam menempuhi ujian yang diterima. Fahamilah bahawa ada sesuatu yang ALLAH mahu ajarkan kepada kita melalui ujian tersebut. ALLAH mahu ajarkan kita erti kesabaran, mungkin. Kadang-kadang ALLAH juga boleh mengajar kita erti ukhuwwah, erti perjuangan, dan sebagainya. Ujian yang menimpa adalah tarbiyah terus dari ALLAH.

Maka hadapilah ujian dan kesulitan dengan memiliki cita-cita yang besar. Bercita-cita besar akan mengecilkan masalah yang dihadapi. Sebagaimana RasuluLLAH memotivasi para sahabatnya ketika semuanya sedang keletihan dan diselubungi ketakutan ketika menggali parit dalam perang Khandak. Mana tidaknya, pakatan bersekutu Musyrikin dan Yahudi sedang bergerak untuk menggempur Madinah. Ketika menggali parit, Nabi memberi peransang bahawa para sahabatnya akan berjaya menakluki Rom dan Parsi.

Lihat betapa besar cita-cita yang nabi tanamkan dalam diri para sabahatnya. Kejayaan menakluki Rom dan Parsi adalah sesuatu yang besar, berkali-kali ganda besarnya daripada memenangi peperangan dengan barisan bersekutu ini. Secara tidak langsung, para sahabat kembali bersemangat menggali parit seperti yang dirancang. Lihat pula kisah bagaimana para sahabat yang disiksa sewaktu awal dakwah Islamiyyah. Selain iman yang teguh, mereka juga ditanam dengan cita-cita yang besar - syurga, maka siksaan-siksaan yang bagi kita dangat perit dan dahsyat, dapat mereka hadapi dengan penuh konsisten.

Laksana segelas air diletak sesudu garam. Setelah dikacau, maka air tersebut masin. Jika sesudu garam itu dikacau pula dalam seteko air, maka kemasinan itu berkurangan. Bagaimana jika sesudu garam dikacau dalam sebaldi? Sekolam? Setasik...? Maka rasa masin itu bagaikan hilang, tidak terasa, walaupun kuantiti sesudu garam itu tetap ada tersebati dalam air.

Begitulah perumpamaan antara masalah dan cita-cita. Garam itu umpana masalah yang menimpa. Air pula berupa cita-cita. Semakin besar cita-cita, masalah yang datang tidak akan membebankan kita. Dan mati syahid adalah cita-cita tertinggi yang perlu kita azamkan dalam kehidupan kita di dunia. Pasti segala masalah menjadi kecil tidak berbekas. Bercita-citalah mahu kembali tertegaknya khilafah Islamiyyah. Bercita-citalah dengan Islam.

Andaikata azam kita hanya setakat mahu berjaya dalam peperiksaan, maka ujian 'banyaknya program persatuan' akan menjadi masalah besar kepada kita. Andainya azam kita setakat mahu menjadi Jurutera, pasti keputusan peperiksaan yang tidak konsistsen mungkin akan menjadi masalah besar bagi kita. Padahal bagi orang yang bercita-cita besar, semua itu bukan masalah, tetapi hanya rempah ratus untuknya berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat. Seandainya kita ditimpa musibah, atau ujian, atau masalah, usahlah meminta dikecilkan ujian tersebut . Tetapi mintalah diperbesarkan iman bagi menghadapi ujian.

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijriah 1430.

Wednesday, December 24, 2008

Umno yang tidak guna agama

Pas politikkan hukum hudud - Utusan

... Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Razali Ibrahim berkata, kenyataan terbaru Husam itu sebenarnya membenarkan dakwaan selama ini bahawa Pas menggunakan agama untuk tujuan politik.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor berkata, ini dapat dilihat bagaimana masa pilihan raya umum lalu, isu hudud tidak kedengaran, tetapi untuk Kuala Terengganu ia dibuka semula kerana mereka tahu orang Islam amat sensitif dengan soal agama.

''Jadi, ini bukan cara berpolitik yang bertanggungjawab. Sebab itu, saya amat dukacita dengan cara ini yang menggunakan agama sebagai alat bagi mencapai kemenangan.

''Dari dulu lagi orang bercakap pasal ini, tetapi sekarang nampak lebih jelas kerana tiba-tiba sahaja ia dibangkitkan, tetapi lepas berakhir pilihan raya kecil ini, saya yakin hudud akan kembali senyap,'' jelasnya. Baca lagi...

Orang Kuala Terengganu amat sensitif dengan soal agama?

Apakah hal yang telah berlaku kepada orang-orang selain orang Kuala Terengganu, tidak/ kurang sensitif agama? Jika begitu, selama 50 tahun memerintah, Umno/BN berjaya mentidak-sensitifkan umat Islam terhadap agama.

Dukacita kerana PAS guna agama sebagai alat mencapai kemenangan?

Lalu bagaimanakah pula cara Nabi Muhammad menang jika tidak menggunakan agama? Dengan Islam, RasuluLLAH berjaya membuka Kota Mekah, menguasai Rom dan Parsi. Seterusnya dengan Islam, para sahabat berjaya membentuk daulah khilafah Islamiyyah hampir seluruh dunia. Mereka menggunakan apa jika bukan agama?

Dalam hidup kita, bukan dalam bab nikah kahwin saja kita mesti guna agama. Bukan hanya bab kematian, perceraian, ibadat khusus, faraid harta pusaka dan seumpamanya sahaja kita kena guna agama. Malah dalam urusan akhlak, sosial, ekonomi, kita mesti guna agama. Apatah lagi dalam bab politik. Tanpa agama, politik menjadi caca merba. Ekonomi akan tunggang langgang. Berlaku penindasan, penyalahgunaan kuasa, penipuan, rasuah dan pelbagai bala lagi yang mendatangi.

Jadi, jika PAS guna agama untuk menang, kenapa UMNO/BN pula tidak? Apakah Umno/BN mempunyai peralatan lain untuk digunakan bagi melawan agama yang PAS guna?

Monday, December 22, 2008

Sembang-sembang: Coretan masa cuti...

Semester baru 2008-2009 bermula. Cuti sebulan penuh dengan aktiviti makan kenduri. Banyak benar orang ambil kesempatan waktu cuti sekolah untuk mengadakan kenduri. Macam-macam kenduri ada. Kenduri kahwin, kenduri 'naik rumah', kenduri sempena hari raya korban dan kenduri arwah.

Sedikit coretan aktiviti masa cuti sebulan...

1) Kematian

Awal-awal cuti, aku menziarahi jiran yang sakit tenat. Sakit tua. Sudah agaknya 8 tahun terlantar di atas katil. Dua hari selepas aku menziarahinya, dia meninggal dunia. Aku dan keluarga menziarahi keluarganya. Setelah selesai solat jenazah, aku dan adik lelaki ku mengiringinya ke perkuburan.

Selang beberapa hari, berita kematian datang lagi. Aku membawa ibu dan nenekku menziarahinya di tempat yang agak jauh dari kampungku.

Dua kematian dikala awal cuti semester, memang menginsafkan. Hati keras macam mana pun, akan lembut juga apabila berada dalam suasana kematian. Paling teruk, hati keras akan kalah apabila berdepan dengan kematiannya individu itu sendiri.

2) Kenduri Kahwin

Cuti diteruskan dengan agenda kenduri kendara di sana sini. Ada juga dalam sehari sampai 5 buah rumah kenduri. Jauh-jauh pula. Tapi apakan daya, tuan-tuan rumah itu khabarnya datang sendiri menjemput. Maka kenalah pergi, tambahan pula kenduri kahwin, walimah.

Termasuk juga kenduri rumah bapa saudaraku sendiri. Semua ahli keluargaku berkampung di rumah bapa saudaraku itu dua tiga malam sebelum kenduri. Aku ditugaskan menjadi pengunggu rumah bersama adik lelakiku. Maka jadilah aku penunggu rumah yang menunggu rumah.
Pengantin baru

3) Kenduri sempena Hari Raya Korban

Hari raya koran kali ini meriah dengan kenduri makan daging korban. Di masjid sahaja 7 ekor lembu dikorbankan pada hari raya kedua. Maka banyaklah peserta-peserta mengadakan kenduri di masjid, dan juga di rumah masing-masing. Aku hadir hampir setiap rumah kenduri. Bukan kerana lapar daging, tetapi untuk memenuhi jemputan. Kehadiran kita memenuhi jemputan sememangnya membuatkan tuan rumah berbesar hati. Bayangkan jika kita mengadakan kenduri, jemputan tidak hadir, alangkah kecilnya hati kita. Begitulah hidup bermasyarakat. Hubungan baik dengan ahli-ahli masyarakat penting bagi kita, tambahan pula kepada pendokong gerakan Islam.


4) Menziarahi sanak saudara

Masa cuti beginilah peluang untuk menziarahi kaum kerabat dan sanak saudara. Kebetulan cuti kali ini sama dengan cuti sekolah, semua adik beradikku ada bersama. Maka kami sekeluarga menjelajah dari satu rumah ke satu rumah saudara mara sebelah ibu dan ayah. Hari kenduri, kami berkenduri. Hari tiada kenduri, kami berziarah. Hubungan kekeluargaan juga penting dan perlu dijaga.

Sebahagian dari ibu dan bapa saudara

Melawat Pak Ngah Musa (sepupu ayah) yang sedang sakit

Menziarah RFC pun ada..heheh

6) Bercuti di Langkawi

Dua hari terakhir cuti, kami sekeluarga bercuti di Pulau Langkawi, sempena hari keluarga Felda anjuran Felda Wilayah Alor Setar.

Aktiviti hari keluarga


Menunggu tiket dibeli untuk menaiki kereta kabel Langkawi.

Di puncak bukit

Inilah bentuk otak Dr Mahathir yang menjana duit untuk kerajaan negeri... eh, bukan, ini sistem enjin yang menggerakkan kereta kabel.


Ketika pulang, aku bersama ayah dan adikku bersolat maghrib di atas bumbung feri. Hanya kami bertiga sahaja. Itu antara pengalaman yang jarang boleh dapat. Solat dalam keadaan ombak sedikit melambung, angin kuat. Di tengah-tengah laut begitu luas, kami bersolat. Subhanallah... memang ketika itu jika terjadi apa-apa, tiada siapa pun yang dapat menyelamatkan kami, melainkan ALLAH yang Maha Berkuasa!

Itu saja coretan masa cutiku. Sekarang aku kembali bergelut dengan suasana kampus dalam semester akhir. Bezanya dengan pelajar tahun akhir yang lain, aku tidak perlu bersusah payah dengan projek tahun akhir. Dan walaupun aku berada di "tahun ketiga", aku juga tidak perlu memikirkan tempat untuk latihan industri. kenapa? Ada sebab-sebabnya...

Wallahu a'lam...

Sunday, December 14, 2008

Andaikata Bukit Antarabangsa itu dipenuhi setinggan...

Lama bercuti dari berblog. Maklumlah talian di kampungku sudah beberapa bulan terputus dek kabelnya dicuri.

Kali ni tak mahu ku panjangi tulisan ini. Sekadar mencoret membuang sawang-sawang yang semakin banyak di laman blog ini.

Seminggu dua ini kita mendengar pelbagai isu di media massa. Isu yang paling kerap sekali adalah isu tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Sesungguhnya kita bersedih dan bersimpati dengan mangsa yang terlibat. Kita juga berterima kasih kepada sukarelawan yang membantu secara langsung ataupun tidak.

Tidak sempurna penulisan aku ini kalau tidak mengkritik. Ok, nak kritik sikit pasal isu tanah runtuh ni. Kita lihat media bersungguh-sungguh menyiarkan tragedi tanah runtuh yang meragut banyak nyawa itu. Pada masa yang sama, banyak pula tragedi lain yang juga meragur nyawa, seperti banjir di pantai tmur dan kemalangan ngeri. Tapi siaran Bukit Antarabangsa lebih dihebohkan bagi meraih simpati rakyat Malaysia terutamanya.

Kenapa? Tidak elokkah? Bukan tidak elok, tetapi kenapa hanya Bukit Antarabangsa sahaja seperti sangat-sangat disimpati? Adakah kerana di sana, mangsa-mangsa tragedi itu adalah orang-orang kaya, dato'-dato' dan seumpamanya? Bagaimana jika mangsa-mangsa itu semuanya pemilik rumah-rumah setinggan yang miskin dan papa kedana? Adakah liputannya akan sama juga berminggu-minggu dilontarkan dikaca TV dan dada akhbar? Rasanya tidak sampai begitu. Apakah ini suatu contoh sikap double standard yang menjadi amalan kita secara tidak disedari?

Orang kaya diutamakan. Orang miskin seperti bukan warga negara sendiri. Tulisan blog kali ini bukan menuduh sesiapa, cuma untuk kita sama-sama fikirkan. Sekian untuk sekian kalinya.

Friday, November 14, 2008

Sembang kosong: hari ni last paper...

Post kali ni saja-saja nak buat omongan sedikit.

Hari ini 14 November 2008. Kertas peperiksaan terakhir untuk semester ini akan aku hadapi sebentar lagi. Sempat lagi berblog. Sudah beberapa hari aku membiarkan blog aku tidak tercatat omongan aku.

Semalam seorang ahli usrah aku datang. Dan pagi ini dia masih bersama aku. Adikku ini baru selesai peperiksaan STAM. Agaknya dia tiada kerja yang mahu dibuatnya, lalu datanglah dia melawat aku. Mungkin juga niatnya nak tolong mengemas barang-barang untuk di bawa balik, kerana petang ini lepas exam atau lepas solat Jumaat, aku sudah nak balik. Bagus betul ada adik yang baik hati.

Keapada sahabat-sahabat yang masih berjuang untuk peperiksaan tu, teruskanlah mengulang kaji. ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubahnya sendiri. Dan ALLAH tidak memberati seseorang melainkan apa yang mampu dilakukannya. ALLAH Maha Mengetahui kemampuan kita.

Mohon ampun dan maaf sekiranya perbuatan, penulisan dan perkataanku menyakiti atau mencalari perasaan , hati, jantung dan limpa kalian. Kepada Zulfirdaus, minta maaf juga sebab tak bagi demo menang main ping pong malam tadi. Kehkeh... Kira semester berakhir dengan kemenangan kawe lah nampaknya.

Oklah. Nak tidur sebentar, kumpul tenaga untuk exam.Heheh. Wassalam...

Monday, November 10, 2008

Politik baling kerusi, Melayu semakin menuju kelas ketiga!

Baca saja berita-berita di akhbar atau tonton berita di televisyen, asyik-asyik cerita UMNO. Kemudian bermacam-macam persoalan timbul dalam fikiran dan ulasan tentang UMNO ini. UMNO sekarang kelihatan cuba mengembalikan kekuatannya, dan dengan Dato Najib sebagai bakal Presidennya dengan menang tanpa bertanding, UMNO rasa bagaikan kembali menjadi kuat (?).

Posting kali ini berkisar tentang politik UMNO. Apakah aku tidak boleh berpolitik? Jawabnya boleh. Mahasiswa sangat dialu-alukan berpolitik. Kawan-kawanku di kampong boleh berpolitik dengan bebas, kenapa aku di university Apex tidak bebas menyatakan pendapat politikku? Bagaimana mungkin mahasiswa tidak boleh berpolitik sedangkan hakikatnya kita dilingkungi oleh anasir-anasir politik yang mempolitikkan kita dan memperalat kita bagi memenuhi kehendak politik mereka samada kita sedar atau tanpa kita sedari. Jadi kita juga perlu memahami politik untuk mengelak diri kita daripada tertipu dengan politik politikus di sekeliling kita.

Baik, kembali semula kepada isu UMNO. UMNO adalah parti nasionalis Melayu. Parti kaum Melayu. Maka tidak salah kita sebut UMNO adalah parti perkauman. Sebagai orang Melayu, tidak salah kita mengkritik UMNO, kerana terdapat golongan yang berfikiran bahawa UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO.

Oleh kerana terdapat persepsi demikian, maka apa yang berlaku dalam UMNO sedikit sebanyak menggugat imej kita sebagai orang Melayu di mata dunia, sekalipun kita tidak menyokong atau bersetuju dengan UMNO. Lihatlah sekarang di mana berlakunya adengan merebut jawatan yang dikira sudah semakin parah. Politik duit menjadi darah daging UMNO sedikit sebanyak menggambarkan Melayu memang mata duitan dan perasuah (?). Adengan membaling kerusi dalam pemilihan di peringkat bahagian juga tidak sedikit membuatkan kita malu. Melayu gila jawatan! Mungkin itu yang dunia Nampak, kerana setiap hari berita berebut jawatan, malah jawatan itu hanyalah peringkat bahagian saja pun, sudah sampai baling-baling kerusi.

"Siapa lawan aku, aku baling kotak kayu ni atas kepala dia" - gambar hiasan

Dunia melihat bahawa Melayu berpolitik seperti budak-budak agaknya. Gelagat tidak waras yang ditunjukkan oleh pemimpin UMNO atas dan bawah mencemarkan imej Melayu. Kalau Amerika, lihatlah bagaimana profesionalnya Hillary dan Obama melobi. Bagaimana jauh lebih baik kempen Obama dan McCain dalam merebut kerusi Presiden Amerika berbanding UMNO. Melayu sudah sampai ke tahap baling kerusi sekalipun hanya kerusi UMNO bahagian yang direbutnya.

Malu kita sebagai orang Melayu apabila UMNO yang berwarna Melayu menjadi begitu teruk. Ah… Tiada apa yang perlu dimalukan akibat perbuatan UMNO. Kalau kita bersikap perkauman Melayu, memang patut malu. Jika tak mahu malu, usah terlalu keMelayuan. Berjuanglah atas nama Islam. Kita sebagai seorang Muslim. Melayu hanya label murahan saja. Sama saja murahnya dengan label-label Cina, India, Arab, Jawa dan sebagainya. Tak berkesudahan jika hanya berjuang atas nama label. Tiada kemuliaan di sisi Raja Segala Raja melainkan bezanya adalah level ketaqwaan.

Kita pula sebagai mahasiswa, sepatutnya mampu menilai siapa UMNO dan kepimpinannya. Apa matlamat UMNO, dan bagaimana cara UMNO merealisasikan matlamatnya. Jangan kerana sokongan kita generasi muda kepada UMNO, membuatkan kita menjadi susah suatu hari nanti. Mahasiswa wajar berfikiran jauh, sesuai dengan levelnya sebagai pemimpin masa depan. Jangan terpengaruh dengan politikus-politikus UMNO yang sudah tua. Kita perlu mencorak masa depan generasi kita dan generasi seterusnya.

Kalaupun ada antara kita mahasiswa, yang sudah bertekad untuk hidup dan mati dalam UMNO, maka tidak bermakna anda tidak boleh mengkritik UMNO. Tidak bermakna anda harus ikut telunjuk orang-orang tua UMNO yang sudah rosak akhlaknya. Apakah anda juga mahu sama dengan level mereka yang baling-membaling kerusi? Berjuang dalam UMNO adalah perjuangan duit. Berjuang membolot harta dunia yang tidak ke mana-mana. Slogan berjuang untuk Melayu hanya gula-gula meraih sokongan. Hakikatnya tiada apa pun pembelaan kepada Melayu dengan ikhlas. Jika bantu, hanyalah bantuan itu tersembunyi agenda dibelakangnya.

Lihatlah level Melayu hari ini. Sepatutnya setelah 50 tahun merdeka, Melayu sudah maju. Melayu sudah tidak perlu bertongkat lagi. Tetapi sana sini Melayu terpinggir di bumi sendiri. Melayu semakin menghampiri bangsa kelas ketiga dalam Negara sendiri. Pandanglah dan lihatlah penduduk Bandar. Berapa kerat sahaja Melayu yang hidup di Bandar-bandar besar? Sesungguhnya hanya golongan elit Melayu UMNO sahaja yang dibuai kesenangan. Melayu lain hanyalah menjadi batu loncatan golongan elit ini untuk terus berkuasa. Elit Melayu sanggup menjadibodohkan Melayu lain kerana apabila Melayu sudah berjaya menjadi bodoh, mudahlah elit-elit ini memperbodohkan Melayu untuk terus berkuasa.

Banyakkanlah berjalan dan merantau melihat kedudukan orang Melayu di bawah. Jangan fikir dengan kesenangan kita dan keluarga di sekeliling kita, ia sudah menggambarkan keadaan Melayu itu sudah senang lenang. Silap. Melayu sebenarnya sudah menghampiri bangsa kelas ketiga. Cina dan India pula semakin membina kelasnya tersendiri dalam Negara kita. Bukan salah Cina dan India, tetapi salah pemimpin-pemimpin Melayu sendiri yang hanya berpolitik untuk kepentingan diri dan kroni, bukan untuk bangsa sendiri.

Marilah kita mengubah persepsi dunia bahawa Melayu bukanlah UMNO. Kesilapan UMNO bukan kesilapan Melayu. Buruknya UMNO adalah akibat perjuangan mereka sendiri yang salah dan bersifat asobiyah perkauman. Jangan kita terjebak dalam politik kebudak-budakan UMNO. Sebagai golongan muda dan terpelajar, kita tidak akan melayan karenah perkauman yang diperalatkan UMNO untuk terus berkuasa.

Berjuanglah bersama-sama gerakan Islam. Islam akan relevan sampai bila-bila. Melayu tidak akan relevan selama-lamanya. ‘Dulu, kini selamanya’ hanyalah slogan khurafat UMNO. Tiada sesuatu yang kekal melainkan ALLAH.Hidup kita tidak lama. Melayu takkan dapat tolong kita di akhirat. UMNO lebih-lebih lagi tiada nilai di akhirat. Kembalilah kepada Islam dengan sebenar-benarnya.

Ũ