© The Mhakk Studio

You are being watched!

Wednesday, April 28, 2010

Nak menang? Tengoklah sekeliling kita...

Note: Tak tau nak bagi tajuk apa...


Pilihanraya kecil Hulu Selangor dah berlalu. 'Kekalahan' sekutu kita dalam 'perang' kecil itu memberi isyarat bahawa gerak kerja kita sememangnya perlu dipertingkatkan lagi. Dalam keadaan 'perang' reda begini, para ahli gerakan, para pejuang kebenaran dan para daei mestilah kembali membina kekuatan sebelum tiba 'peperangan' seterusnya.

Parti Islam sememangnya memerlukan kader-kader yang cekal, gigih dan ikhlas berjuang bagi mengislamisasikan masyarakat, suasana serta sistem-sistem yang ada dalam negara. Sasaran yang begitu besar dan sukar itu tidak akan dapat direalisasi jika kita sendiri tidak memulakannya. Kitalah yang perlu menjadi kader-kader itu. Kitalah yang mesti menjadi daei itu.

Selaku daei dan ahli gerakan Islam, kita perlu memahami bahawa selangkah kita mengintima' diri dalam perjuangan, maka seribu mehnah dan tribulasi akan mengarah kepada kita. Kesusahah, kesukaran, penentangan, ugutan, ketakutan, kemalasan, dan sebagainya akan terus datang sebagai ujian demi ujian bagi menapis tahap kelasakan zahir, mental, akal dan keimanan kita. Semakin tinggi darjah keimanan dan ketaqwaan seseorang, semakin tinggi pula tahap ujian yang bakal ditempuhinya. Ujian tidak akan terhenti walaupun seseorang itu sudah mencapai tahap keimanan yang tinggi. Bahkah ia akan menghadapi pula ujian yang lebih besar. Markah dan kualifikasi terhadap amalan, keimanan, kesabaran dan keikhlasannya akan diperoleh pada hari yang telah dijanjikan kepada kita semua.

Siri ujian yang kita akan hadapi adalah dari pelbagai rupa dan keadaan. Antaranya adalah tentangan dari luar, konflik dalaman, persepsi negatif masyarakat, karenah ahli gerakan yang pelbagai, konflik dengan rakan sekutu dan sebagainya. Parti Islam pasti sedang dan akan berdepan semua perkara ini. Kebijaksanaan pimpinan mengatur strategi, kepatuhan dan wala' ahli terhadap pimpinan, keikhlasan setiap kader-kader dakwah akan menentukan mobilisasi gerakan Islam yang dipelopori oleh Parti Islam mengharungi segala ujian, mehnah dan tribulasi dalam perjuangan.

Dalam menjalani kehidupan sebagai daei, kita tidak akan terlepas daripada berdepan dengan pelbagai rupabentuk manusia di sekeliling kita. Ada yang berbentuk 'pengipas', ada yang menjadi 'penampar', ada yang cuba menjadi 'ubat', ada pula yang tidak mahu menjadi apa-apa. Maka para daei dan ahli gerakan Islam mestilah berdepan jenis-jenis manusia ini dengan penuh kesabaran.

Jika berdepan dengan golongan pengampu, maka bersabarlah dengan sikap mereka. Jika berdepan pula dengan golongan yang suka mengkritik, bersabarlah dengan kritikan mereka dan jadilah orang yang bijaksana dalam menerima kritikan. Jika bertemu dengan golongan yang jenis 'ubat', yakni orang yang sentiasa menasihati, yang menyokong kebenaran dan seumpamanya, hendaklah kita bersabar bagi menjaga hatinya agar dia tidak terbeban dengan sikap kita. Jika bertemu dengan si dungu yang keras kepala, biarkan dia dengan kepalanya yang keras, tetapi jika bertemu si dungu yang lembut hatinya, jangan pula ditinggalkan dia. Bimbangilah golongan cerdik yang berkepentingan, kerana yang kita dambakan adalah golongan cerdik yang ikhlas berjuang kerana ALLAH dan Rasul-Nya.

Sikap diri sendiri seseorang ahli gerakan Islam mestilah berbeza dengan golongan yang menentang Islam itu sendiri, samada golongan yang menentang Islam itu adalah ulama-us-su~' (ulama jahat), pemimpin sekular, orang-orang Islam yang hasad, orang-orang munafiq, golongan kuffar, puak-puak rasis dan seangkatan dengannya. Akhlak Islamiyyah perlu kita hadam dan amalkan dalam kehidupan kita sebagai pejuang agama ALLAH.

Pasca PRU12 memperlihatkan kepada kita betapa ramainya berpusing meninggalkan parti pemerintah, menyertai parti yang belum memerintah. Tidak kurang juga yang mendaftar sebagai ahli parti Islam. Kemasukan mereka yang berfikrah lawan, pasti mewujudkan pertembungan budaya berfikir dan akhlak dalam jemaah. Mereka ini perlu dididik dan ditarbiyah dengan akhlak Islamiyyah yang syumul. Mereka perlu difahamkan dengan kefahaman jemaah dan gerakan Islam. Kita perlu bersabar dalam mentarbiyah mereka kerana sebahagian daripada mereka datang dari 'tarbiyah' songsang parti lama mereka.

Tarbiyah memerlukan masa yang panjang, kesungguhan dan keikhlasan. Mentarbiyah mereka adalah satu bentuk ujian dan tamrin kepada kita disamping kita juga terus-menerus mentarbiyah ahli sedia ada serta diri kita sendiri. Daei perlulah mengutamakan dakwah dan tarbiyah. Maka seseorang daei tidak wajar mengutamakan perut sendiri.

Kita mahu menang sebagaimana kemenangan Rasul semasa Fathu Makkah. Kita mahu berjaya sebagaimana Al-Fateh di Constantinople. Kemenangan yang sememangnya menang, yang tidak dipertikai dan tidak mudah digoyah. Kemenangan yang tidak masak, akan mendatangkan masalah dan fitnah kepada kita kembali. Ramuan untuk kemenangan yang gemilang adalah tarbiyah yang sempurna, yang melahirkan pemimpin yang baik, kader-kader yang baik serta ahli-ahli yang baik.

Sebaik-baik pemimpin dan sebaik-baik ahli akan menjadikan Parti Islam digeruni lawan, dihormati dan disegani rakan-rakan sekutu. Namun ada yang mengatakan semua ini adalah idealistik. Ya, memang idealistik semata-mata. Inilah satu-satunya perkara idealistik yang telah pun direalisasikan oleh RasuluLLAH S.A.W, Sultan Muhammad al-Fateh dan nama-nama besar di zaman mereka.

Kita juga mahukan keadaan sedemikian. Namun kita perlu sedar, pada awal gerakan Islam RasuluLLAH tidaklah idealistik sebagaimana waktu Fathul Makkah. RasuluLLAH menghadapi ujian, mehnah dan tribulasi yang sangat dahsyat. Baginda dimaki, dicerca, diugut bunuh, dikhianati, difitnah dan sebagainya. Walau dahsyat ujian ketika awal perjuangannya, baginda tidak terus menggembeling kader-kadernya ketika itu untuk melakukan 'Fathu Makkah', walhal baginda boleh sahaja mendoakan agar ALLAH berikan kejayaan ketika itu -boleh tercatat dalam sejarah Fathu Makkah tanpa perlu berhijrah ke Madinah. Tetapi tidak begitu. RasuluLLAH memulakan dakwah baginda dengan ketidak-idealan, merencana dakwah sehinggalah membentuk kader-kader yang terbaik, lalu ALLAH mengizinkan Fathu Makkah.

Bagaimana jika Fathu Makkah berlaku tanpa perlu melalui kesukaran dakwah, tanpa melalui peristiwa hijrah, tanpa melalui perang badar-uhud-khandak, tanpa melalui perjanjian hudaibiyah, tanpa melalui persitiwa bi'ru ma'unah, tanpa menghadapi orang-orang munafiq dan Yahudi, dan sebagainya? Ya, kesemua susah-payah onak duri perjuangan RasuluLLAH adalah tarbiyah kepada baginda dan para sahabat sebelum diberikan kemenangan yang sebenar-benarnya masak.

Dengan itu, marilah kita renung tulisan yang terpusing-pusing isi pentingnya ini. Apa yang baik ambillah pengajaran darinya. Abaikan jika tulisan ini buruk isi kandungannya, kerana kelemahan penulis mengolahnya. Mudah-mudahan sedikit catatan ini diberi ganjaran oleh ALLAH.

WaLLAHU a'lam.

1 comment:

manggis said...

sukar untuk mencapai kemenangan jika fikiran ahli gerakan dismpitkan dan tak sanggup untuk menerima perubahan, terutama perubahan yang cuba ditonjolkan oleh generasi muda. pejuang2 lama sering menganggap generasi pejuang muda tidak berpengalaman tanpa memberi peluang kepada mereka untuk menimba pengalaman. bagaimana hendak maju jika pendapat orang lain dicantas awal-awal jika tidak selari dengan arus minda pejuang lama? fikir-fikir kan.

Ũ