© The Mhakk Studio

You are being watched!

Friday, April 2, 2010

USM Temui Kaedah Beza Daging Ayam dan Babi

Pulau Pinang, 1 April - Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Azhar Mat Easa bersama-sama rakan penyelidiknya, Tan Thuan Chew dan Dr. Abbas F.M Alkarkhi berjaya menemui kaedah untuk mengenal pasti perbezaan antara daging segar dan daging cincang ayam dengan babi.

Kaedah ini yang menggunakan pendekatan tindak balas Maillard atau reaksi warna perang bukan enzim yang terhasil semasa memasak makanan khususnya melalui pemanasan.

Tindakbalas Maillard telah ditemui pada tahun 1912 oleh seorang ahli sains Perancis yang tidak pernah dimanfaatkan untuk tujuan membezakan daging.

“Kami menggunakan tindak balas ini dengan menggunakan gula ribose (ribose) semasa pemanasan dan menggunakan alat spectrophotometer untuk menentukan warna pigmen terhasil. Masa pemanasan dan analis mengambil kira-kira dua jam untuk melihat perbezaan antara daging ayam dengan daging babi,” kata Prof. Azhar dalam sidang media yang diadakan di sini.

Prof. Azhar juga adalah Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Penyelidikan di Pusat Pengajian Teknologi Industri USM.

Menurut Prof. Azhar, perbezaan yang ketara dapat dilihat dalam perbandingan kadar penyerapan (absorbance) pada 420nm untuk ekstrak Maillard menggunakan air terhadap sampel ayam dan daging babi yang dipanaskan dengan menggunakan 10% gula ribosa dari berat keseluruhannya pada 95 darjah celcius

Lagi lama pemanasan dilakukan, lebih tinggi kadar penyerapan direkodkan pada skala antara 0.21 hingga 0.25 berbanding dengan daging babi yang mempunyai skala jauh lebih rendah antara 0.12 hingga 0.144.

Menurut Prof. Azhar, kaedah baru ini telah difailkan untuk paten yang merupakan satu-satunya yang ada pada masa ini di dunia yang boleh dimanfaatkan bagi mengatasi keraguan terhadap tahap halal daging terutamanya kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Kos untuk membeli mesin spectrophotometer ialah sekitar RM25,000 manakala “PC Indicator” (ribose) yang digunakan untuk membuat uji kaji ke atas daging ini hanyalah sekitar RM15.00 untuk setiap botol yang mengandungi sebanyak 4 g.

“Dengan kos operasi yang rendah, kawalan mutu halal untuk mengesahkan jenis daging yang digunakan dapat dilakukan setiap hari,” kata Prof. Azhar.

Sebelum ini terdapat banyak kaedah lain yang digunakan bagi menguji perbezaan daging halal antaranya ialah electrophoresis, liquid chromatography, DNA polymerase chain reaction (PCR) dan lain-lain lagi yang biasanya agak kompleks, tinggi harganya, memerlukan kemahiran tertentu untuk mengendalikannya dan tidak mudah untuk digunakan terutamanya bagi mereka yang mengendalikan IKS.

“Kami menghasilkan kaedah baru ini berdasarkan pemerhatian masalah-masalah yang timbul dalam industri yang berkaitan dengan perbezaan antara daging ayam dengan babi yang pernah berlaku, sama ada apabila daging babi diletakkan tanda halal di negara jiran yang menimbulkan keraguan mahu pun timbulnya masalah mengenalpasti atau membezakan antara daging ayam dengan babi di dalam negara ini terutamanya untuk daging yang diimport dari luar negara,” jelas Prof. Azhar.

Tambahnya lagi, kaedah ini juga berguna untuk membezakan antara serbuk gelatin babi dengan lembu serta boleh digunakan dalam indusrri makanan yang menggunakan daging serta industri daging beku.

Penyelidikan yang bertajuk “Characterization of chicken and pork meat protein using the Maillard reaction: towards the development of a rapid method of species differentiation and confirmation” melalui dana eScience Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebanyak RM180,000 sejak Oktober 2008.


Dipetik dari Web Rasmi USM

p/s: Dah jumpa cara, lepas ni buat research pulak untuk dapatkan cara beza ayam dan babi paling mudah dan murah. Takkan pengguna khasnya umat Islam nak kena beli mesin RM25000.00... baik bela ayam kampung saja. Apapun, tahniah kepada para penyelidik USM... :)

No comments:

Ũ