© The Mhakk Studio

You are being watched!

Thursday, March 27, 2008

Kebodohan Yang Menjadi Istidraj

Istidraj itu luar biasa.

Luar biasa bukan untuk mengangkat penerimanya.


Ia adalah suatu keluarbiasaan yang membinasakan golongan yang menjamahnya.
Keluarbiasaan yang menambah keburukan, kehinaan dan kebinasaan atas mereka yang menjamah keluarbiasaan itu, hingga sampai masa Allah binasakan mereka, ia berlaku dalam keadaan mereka lupa.


Bukan sahaja mereka lupa dan tidak sedar, malah tatkala Allah menghukum mereka, tiada manusia yang membantahnya lantaran lengkapnya segala syarat untuk Allah membinasakan mereka. Tiada lagi ragu-ragu atas kejahatan mereka.


Itulah penangan istidraj.
Firman ALLAH:

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya. [Al-A’raaf : 182]


Istidraj datang beransur-ansur. Rupanya luar biasa. Tujuannya adalah binasa. Kebinasaan buat manusia yang menerimanya. Lantaran kejahatan dan kezaliman mendustakan ayat-ayat-Nya.
Sekumpulan manusia tidak pernah serik dengan kezaliman, penipuan dan kejelikan yang bertimpa-timpa. Kejahatan demi kejahatan, penyelewengan demi penyelewengan, salah laku yang sudah dianggap biasa… namun semakin buruk prestasi kumpulan itu, sokongan yang diterima semakin padu.


Sokongan yang luar biasa.


Kepatuhan yang tiada duanya.


Biar ditipu entah kali yang ke berapa.


Sokong terus sokong… tidak berganjak biar sehasta.


Sungguh luar biasa.


Namun bagi kumpulan zalim yang mendapat nikmat dari kedunguan sokongan yang dinikmatinya itu, segala ‘kemanisan’ itu mungkin sekadar ISTIDRAJ dari Allah untuk menyempurnakan kezaliman mereka.


Agar bila sampai masa Allah menghukum dan mengazab mereka… tiada manusia yang akan membantah, kerana telah sempurna syarat-syaratnya.


Daripada Nabi sallaLlahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “Jika kamu melihat Allah memberi kepada seorang hamba habuan dunia atas maksiat yang dilakukannya dari apa yang disukainya, maka sesungguhnya itulah ISTIDRAJ”.


Lalu Rasulullah sallaLlahu ‘alayhi wa sallam membaca (surah al-An’aam ayat 44):
Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan). [Hadith riwayat Ahmad]


Mereka sangat zalim, tetapi mereka terus mewah dengan kemewahan yang luar biasa.


Mereka sangat menindas, tetapi mereka terus gembira dengan kegembiraan yang luar biasa.


Mereka sangat berdusta, tetapi mereka terus diangkat dan disokong dengan sokongan yang luar biasa.


Mereka sangat sombong, tetapi mereka terus dikasihi dengan sepenuh hati dengan kasih yang luar biasa.


Kezaliman, penindasan, pendustaan dan kesombongan mereka mendungukan manusia.
Marhaen jadi dungu, ilmuan jadi dungu, sarjana jadi dungu, manhaji jadi dungu. Sesiapa sahaja yang menyentuhnya beransur dungu. Kezaliman yang luar biasa, mencetuskan kedunguan yang luar biasa. Kezaliman yang dibalas istidraj oleh Dia.

Sesungguhnya apakah kita mahu membuktikan, bahawa kita sebahagian dari kedunguan itu?
Apakah kita mahu kebodohan kita yang luar biasa ini untuk terus ditipu buat entah kali yang ke berapa, menjadi istidraj dari Allah untuk menyempurnakan kezaliman MEREKA? Lantas yang zalim dibinasakan Dia, kemudian yang cenderung kepada yang zalim disambar api Murka?
Semoga Allah menyelamatkan kita dari kebodohan yang luar biasa itu, sebelum kebodohan menyempurnakan asbab untuk BINASA.


“Seeru ‘ala barakatillah”
Petikan dari: Saifulislam.Com

No comments:

Ũ