Teori ini tiba-tiba muncul dalam benak fikiranku ketika aku sedang sibuk menyiapkan tesis projek tahun akhirku. Tanpa berlengah, aku ingin mengisi ruang-ruang kosong blog ku ini. Bagaimana sikap ibubapa boleh diwarisi kepada anak secara saintifik? Menurut sains moden, hanya sifat-sifat fizikal sahaja layak memenuhi fakta sains dalam mewarisi segala sifat seperti bentuk wajah, bentuk hidung, warna mata, dan sebagainya. Adapun sikap dan perbuatan ibubapa tidak sekali-kali dapat dijelaskan dalam bentuk saintifik (setahu aku). Namun, masyarakat percaya dengan istilah 'bapa borek anak rintik' yang memberi mafhum kelakuan bapa akan terikut oleh anak. Mungkin ada yang berkata, anak mencontohi bapa berdasarkan pemerhatian si anak ke atas kelakuan dan sikap bapa lalu secara automatik si anak akan terikut-ikut. Benarkah?
Bagaimana pula jika kelakuan si anak itu dikatakan seperti sikap bapanya ketika masih muda dan belum berkahwin suatu ketika dulu? Sudah pasti teori si anak memerhati si bapa tidak boleh diterima kerana si anak belum wujud ketika itu.
Mungkin teori aku (atau aku perasan saja, kerana sudah ada orang lain menemuinya) begini. Setiap manusia, lelaki dan perempuan mempunyai benih-benih pembiakan. Bagi lelaki, sperma. Wanita pula ovum. itu yang kita pelajari sewaktu tingkatan tiga dahulu. Sel-sel pembiakan (gamet) ini adalah terhasil selepas proses pembahagian sel secara meiosis iaitu pembahagian separa. Adapun sel-sel soma yang lain mengalami pembahagian lengkap - mitosis.Baik, itu asas bagi teori yang aku ingin sampaikan. Sikap manusia adalah abstrak. Sikap,kelakuan dan perasaan seperti pemarah, penyayang, mencuri, petah berkata-kata, berani, penakut, positif, negatif dan sebagainya adalah tidak mempunyai hubungkait dengan genetik yang akan diwarisi kepada anak melalui persenyawaan gamet-gamet. Akan tetapi, sikap-sikap, dan perasaan-perasaan yang tercetus dari seseorang manusia menyebabkan atau disebabkan oleh tindakan bendalir kimia dalam tubuh manusia itu sendiri! Sebagai contoh, apabila seseorang itu berhadapan dengan harimau seorang diri dalam hutan, apakah tindakan orang itu?
Pertama, mungkin dia lari ketakutan. kedua, mungkin dia akan mencapai sesuatu untuk melawan harimau itu. Sudah pasti anda juga pernah mengalami situasi yang hampir sama bagi kedua-dua keadaan ini. Jika anda sangat takut, kesejukan seolah-olah mneyelubungi anda. Peluh dingin mengalir. Ada kalanya lutut terketar-ketar tidak dapat berbuat apa-apa. Ada pula yang terkencing. Berlainan pula jika anda berani. Anda rasa seperti bertenaga untuk melawan ataupun melarikan diri. Kenapa demikian? Kajian saintifik menunjukkan terdapat dua jenis hormon manusia mengawal tindakbalas ini, iaitu hormon adrenalina dan noradrenaline.
Itu satu kes, berani dan takut. Bagaimana perasaan berdebar-debar? Pasti ada hormon yang mengaktifkan degupan jantung ketika anda berhadapan dengan sesuatu yang mendebarkan. bagaimana pula dengan tindakan bendalir dalam tubuh anda ketika anda suka memakan buah mempelam masam? bagaimana dan bagaimana seterusnya membawa kepada persoalan adalah tindakan-tidakan hormon-hormon atau bendalir-bendalir dalam badan ini akan mempengaruhi struktur genetik anda? Mungkin tiada bukti saintifik setakat ini, tetapi setiap tindakan perembesan hormon ini dikawal oleh genetik kita. Ilmu genetik sangat luas untuk dikaji. SubhanaLLAH.
Berbalik kepada teori yang aku khayal tadi. Apabila kita melakukan sesuatu perkara, besar atau kecil, pasti ada hormon yang terlibat. Manipulasi hormon ini adalah dibawah kawalan genetik secara amnya. jika kita melakukan sesuatu perbuatan dengan kerap misalnya, sudah pasti genetik kita itu akan cenderung untuk mengarahkan pengasilan hormon itu. Contohnya, kita kerap membaca al-quran dan menghayatinya. satu segmen daripada genetik kita akan mengarah perembesan hormon tertentu. seterusnya kita istiqomah, maka segemen genetik yang mengarah perembesan hormon 'membaca al-quran' itu sudah terbentuk dalam sel.
kemudian sel-sel itu membahagi secara mitosis, dengan sendirinya sel-sel yang mengandungi perkara 'baik' itu menjadi banyak. Dengan takdir ALLAH, sel-sel tersebut ada yang bermeiosis menjadi sel gamet, sel pembiakan dan menjadi sperma seterusnya. tidakkah sudah ada benih itu untuk diwariskan? Oleh kerana sel pembiakan mengalami meiosis, hanya separuh sahaja fungsi 'membaca al-quran' itu terwaris dalam satu sperma. Jika melalui pasangan hidup yang juga mempunyai sikap suka membaca al-quran, kebarangkalian untuk memperoleh anak yang hebat
pembacaan dan penghayatan qurannya adalah tinggi.
itu baru satu sikap dalam seluruh kehidupan yang diwarisi dalam satu daripada berbilion-bilon segemen dalam genetik. bagaimana pula dengan sikap-sikap buruk kita? juga pasti akan diwarisi. bayangkan kita selalu cenderung untuk membuat perkara-perkara buruk dan dosa, pastilah organ pembiakan kita sudah dipenuhi dengan gamet-gamet 'jahat' yang bakal lahirnya menconteng arang dimuka kita nanti. Jika kita berbuat jahat, berhentilah, dan janalah gamet-gamet yang 'baik' untuk merendahkan kebarangkalian lahirnya gamet-gamet 'jahat'. Cuba kita
perhatikan, terdapat dalam masyarakat ,dalam sepuluh orang anak, jika sembilannya baik, berjaya, pasti ada seorang lagi yang kurang baik dan kurang berjaya. Kenapa? Anda ada jawapannya. Jika terdapat lima orang anak yang kurang ajar, pada masa yang sama ada seorang anak lagi baik, jujur dan menghormati orang tua, pastilah ketika muda dahulu si bapa pernah bergelumang dengan dosa dan sikap buruk, dan kemudian dia bertaubat. Maka tidak semua kebarangkalian anaknya itu 'jahat'.
Kesimpulannya, coraklah masa depan generasi akan datang dengan kelakuan dan sikap kita yang baik. Sememangnya iman tidak dapat diwarisi, tetapi usaha dan keinginan untuk memasukkan iman ke dalam dada mestilah dibentuk hatta ke dalam genetik. Suburkanlah minat kita kepada jalan-jalan ALLAH, moga-moga generasi seterusnya terdorong juga.
Sekian saja teori aku yang tidak dapat dibuktikan dalam makmal. hanya ALLAH saja yang tahu. Maafkan aku jika aku tersilap berteori. Jika teori aku benar, maka terbuktilah, bahawa, jika
seseorang itu menderhakai ibubapanya, pasti kebarangkalian anaknya pula akan menderhakainya. Sekian untuk kali ini.
No comments:
Post a Comment