HAL ini sebenarnya tidak jelas dan ia menjadi salah satu bahan bualan baik dikalangan ahli UMNO sendiri.Bagi mereka yang tidak faham sangat tentang politik atau politiking ada bertanya mengapa Wanita UMNO bising-bising tidak ada wanita dalam kabinet.
Bukankah Datuk Azalina Othman Said yang dulunya Menteri Belia dan Sukan dilantik sebagai Menteri Pelancongan dalam kabinet 2008 itu seorang wanita?
Ini menjadi salah satu soalan yang ditujukan kepada Rafidah dalam sidang akhbarnya yang panas di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri petang Rabu.
Kenapa Azalina tidak dianggap sebagai sebahagian dari Wanita UMNO?
Ini jawapan Rafidah, “ saya tak tahu sama dia ahli Wanita atau tidak…kena check Faridah ( katanya kepada Setiausaha Wanita UMNO Malaysia Datuk Faridah Abu Hassan yang berdiri di sebelahnya ).
Serentak dengan itu kedengaran suara dikalangan para ahli Exco Wanita UMNO Malaysia yang berdiri disampingnya diatas pentas sidang akhbar itu berkata, “ tak…tak…tak…tak”
Kata Ketua Wanita UMNO itu lagi, “ dia tak Puteri ( UMNO) lagi… I don’t know …saya tak tahu…tolong check dengan ibupejabat (UMNO)…saya tak mahu cakap siapa member ke tidak…janganlah tanya saya.”
Ditanya lagi bukankah dia seorang wanita jadi menteri? Jawab Rafidah yang enggan mengulas lanjut,sambil berkata “ tak payahhhh ( tanya).. ”
Sebenarnya dari mood di sidang akhbar itu dapat dirasakan semacam mereka merasakan status Wanita UMNO itu ialah kalangan Exco Pergerakan Wanita itu sendiri.
Sewaktu majlis jamuan selepas sidang akhbar itu Agendadaily bertanya kepada salah seorang EXCO Wanita UMNO,Datuk Dr Noressah Mohamad kenapa Azalina tidak dianggap sebagai Wanita UMNO.
Katanya ini kerana Azalina tidak pernah declare secara terbuka kata beliau seorang Wanita UMNO.
Baginya Azalina adalah seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO dan ahli UMNO.
Malah katanya mereka juga tidak anggap Datuk Dr Masitah Ahmad yang dilantik semula sebagai Timbalan Menteri Dijabatan Perdana Menteri sebagai Wanita UMNO.
Azalina yang merupakan bekas Ketua Puteri UMNO meninggalkan pergerakan itu setelah usianya melampaui had umur 40 tahun.
Soalnya Azalina duduk di mana sekarang?
Ketua Puteri sekrang Datuk Noraini Ahmad sendiri baru melepasi usia 40 tahun dan kini memegang jawatan itu atas ‘ waktu tambahan’ sementara menunggu pemilihan UMNO akan datang ini.
Sebenarnya status itu memang mengelirukan.
Ketua Puteri 40 tahun manakala bagi ahli-ahli biasa Puteri UMNO had umurnya mereka lupus dari pergerakan itu ialah 35 tahun.
Begitu juga halnya dengan ahli pergerakan Pemuda UMNO yang habis umur 40 tahun.
Berbeza dengan Puteri UMNO,Pemuda UMNO tidak menetapkan had usia bagi pemegang jawatan Ketua Pemuda UMNO.
Begitu juga halnya dengan Ketua Wanita UMNO.
Untuk mendapat kepastian tentang status ini Agendadaily menghubungi Senator Datuk Syed Ali Alhabshee selaku Ketua UMNO Bahagian Cheras.
Beliau yang juga bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan mengesahkan tidak ada sebarang peraturan dalam perlembagaan UMNO yang menetapkan seorang ahli Puteri yang habis umur perlu isi borang atau istihar diri baru oleh masuk Wanita UMNO.
“Inilah masalahnya bila kita bermusuhan sesama sendiri tak tentu pasal,”katanya.
Katanya di pejabat UMNO Bahagian Cheras yang beliau tabir itu pun tidak ada borang khusus memerlukan ahli Puteri yang habis umur kena isi untuk jadi ahli Wanita atau kena istihar.
“Ini semua mengarut…apa salahnya para pemimpin Wanita jumpa elok-elok Azalina dan Dr Masitah ajak mereka rapat dengan Wanita UMNO…atau ambil mereka jadi Exco Wanita …mereka juga wanita... jadi kena anggap mereka sebahagian dari Wanita UMNO,”katanya.
Ditanya tentang cakap-cakap kalangan pemimpin Wanita UMNO bimbang Azalina mungkin cabar Rafidah untuk jawatan Ketua Wanita UMNO,beliau berkata, “ Itu semua cakap orang… lagipun ini soal demokrasi…kenapa perlu sekat-sekat begini.Siapa yang layak biarlah mereka nak bertanding apa jawatan pun.Biarlah ahli yang menentukan siapa yang mereka mahu.”
Syed Ali kesal kerana dalam keadaan agak lemah begini pun ada pihak yang masih nak berpuak-puak dan nak ‘ kepung jawatan’.
“Rakyat sudah bagi mesej jelas dalam pilihanraya baru ini.Tak kan tak faham lagi. Kalau sikap begini berterusan alamat UMNO boleh jadi tak relevan lagi nanti,”katanya.
Katanya semua pihak dalam UMNO tak kira Wanita,Pemuda,Puteri perlu muhasabah diri dan merapatkan barisan dan mengenepikan hal-hal yang boleh memecahbelahkan parti.
Sementara itu tidak lama lepas berita ini disiarkan ada beberapa orang ahli UMNO yang telefon Agendadaily mendakwa Azalina sendiri selama ini tidak ambil sebarang langkah untuk merapatkan diri dengan Wanita UMNO.
Kata mereka sebagai adik beliau juga patut tahu bawa diri dan ambil langkah-langkah yang ' mesra Wanita' dan tidak melihat dirinya sebagai entiti tersendiri semata-mata kerana rapat dengan 'orang atas'.
"Ada orang mungkin rasa bila dia dah kamcen dengan orang atas tak lagi perlu pandangan orang dibawah ni...siapalah kami ni.
"Jadi tak adil nak kata Rafidah dan para Exco Wanita yang salah atau menolak Azalina...Ada banyak lagi hal kalau nak cakaplah ...tolong tulis fakta ini,"kata salah seorang dari mereka.
Ketua Puteri UMNO Datuk Noraini Ahmad yang dihubungi Agendadaily kemudian untuk mengulas soal status ahli Puteri yang habis umur itu juga mengesahkan mereka dikira otomatik jadi Wanita UMNO.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO ( atas kapisiti sebagai Ketua Puteri) berkata memang tidak ada borang perlu diisi atau perlu istihar diri nak masuk Wanita UMNO dan sebagainya.
"Mereka yang habis umur Puteri secara terus diserap dalam Wanita UMNO.Kalau tidak mereka nak ke mana lepas itu,"katanya.
Noraini berkata adalah menjadi lumrah dalam mana-mana parti politik sebagai persiapan untuk melangkah dari Puteri masuk ke Wanita usaha awal perlu dijalankan untuk merapatkan diri dengan mereka.
"Saya selalu berpesan kepada anak-anak buah saya kena sentiasa berbaik-baik dengan kalangan Wanita UMNO di tempat masing-masing,"katanya.
Menyentuh tentang dirinya yang sudah berusia 41 tahun dan akan hilang status Naib Presiden UMNO apabila tidak boleh lagi pegang Puteri UMNO pada pemilihan UMNO akan datang ini,Noraini berkata, " tak ada masalah apa.Kita dah biasa jadi orang bawah...tak perlu adjust apa-apa.
Menurut Noraini beliau juga pernah jadi Ketua Wanita UMNO cawangan sebelum sayap Puteri UMNO ditubuhkan dulu
© The Mhakk Studio
Friday, March 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment