© The Mhakk Studio

You are being watched!

Sunday, October 5, 2008

Cerita sikit kisah hari raya...

Hari ini ketika post ini ditaip, sudah pun hari raya ke-5. Hari ke 5 Syawal, juga 5 Oktober. Cerita Ramadhan 1429 sudah berlalu. Hari ni kita cerita pulak bab Raya. Hari raya pertama sampai ke empat, aku tidak dapat menulis blog disebabkan beberapa faktor. Faktor malas dan susah nak istiqomah adalah faktor yang selalu dialami. Faktor lain yang menghalang, adalah kabel telefon di kampungku dikebas orang. Malam terakhir Ramadhan merupakan malam pengkebasan kabel-kabel telefon besar-besaran. Habis satu kampung terputus perkhidmatan telefon sehingga hari ini.

Jadi tidaklah dapat aku mengakses internet, apatah lagi berblog. Kena cadang kepada kerajaan Kedah supaya kasi perkhidmatan wireless di setiap kampung di Kedah. Biar rakyat Kedah menjadi rakyat bijak dan celik IT menjelang 2010. Hehehe...

Berbalik kepada cerita Raya, aku beraya dikampung saja. Bermula dengan bertakbir selepas solat maghrib berjamah bersama-sama keluarga setelah selesai berbuka puasa, dikala anak-anak jiran sekampungku sedang meletupkan bahan-bahan letupan yang menggetarkan salur-salur pembuluh jantung. Aduhai... aneh sungguh orang-orang kita sambut raya. Mengalahkan orang Cina sambut Tahun Baru Cina dengan bermain mercunnya.

Esok paginya, kami satu keluarga ke masjid awal-awal pagi untuk bertakbir dan menunaikan solat sunat Eidul Fitri. Tajuk khutbah Raya tahun ini adalah "Mengenali Jahiliyyah". Jahiliyyah adalah sangat sukar ditangani dan memerlukan kesungguhan para daei. Di zaman RasuluLLAH, Jahiliyyah adalah sangat sukar ditangani berbanding kuasa besar Rom dan Parsi. Sebab itu apabila RasuluLLAH berjaya mengalahka Jahiliyyah, maka mudahlah menguasai Rom dan Parsi.

Jahiliyyah ini ada di mana-mana, setiap zaman bentuk jalan ceritanya akan berkitar semula. Arab Jahiliyyah, adalah contoh Jahiliyyah zaman sebelum RasuluLLAH diutus. Mereka mengekalkan amalan-amalan yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim seperti haji, tawaf, dan sebagainya. Dari satu segi, ubudiyyah mereka kepada ALLAH masih wujud. Tetapi pada masa yang sama mereka meletakkan berhala-berhala sebagai perantara antara mereka dengan ALLAH. Mempercayai kepada berhala sebagai pemberi rezeki dan pemberi kemajuan. Pada masa yang sama juga, akhlak mereka tumbang dan tidak selenggara. Zina merata-rata. Bunuh, samun, rompak dan seumpamanya bermaharajalela. Sistem ekonomi pula berasaskan riba dan menindas. Perebutan kuasa sehingga peringkat bunuh membunuh.

Setiap zaman, Jahiliyyah berkitar semula. Hari ini kita umat Islam - Melayu, turut mengalami penjahiliyyahan. Lihatlah, Melayu yang beragama Islam - dari satu segi masih wujud ubudiyyah kepada ALLAH - apabila perintah solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya dilakukan. Tetapi kejahiliyyahan Melayu terserlah apabila meletakkan kuasa politik sebagai pemberi rezeki dan pemberi kemajuan pembangunan. Akhlak pemuda-pemuda Melayu semakin hancur tanpa pembelaan. Zina menular sehingga peringkat berlaku sumbang mahram. Bunuh, samun, ropak semuanya sudah didominasi oleh orang-orang Melayu beragama Islam. Sistem ekomoni menggunapakai sistem kapitalis dan riba. Perebutan kuasa politik sehingga tahap fitnah-memfitnah (Fitnah lebih dahsyat daripada membunuh). Jahiliyyah moden yang dianuti masyarakat Melayu adalah sangat dahsyat, dan kebanyakan kita tidak menyedarinya.

Ketidak-sedaran kita sama seperti ketidak-sedaran orang-orang Arab Jahiliyyah suatu ketika dulu. Mereka tidak sedar bahawa mereka berada dalam satu suasana Jahiliyyah dan menganuti Jahiliyyah. Kita hari ini mengenali bahawa Arab sebelum Nabi Muhammad adalah Arab Jahiliyyah, padahal mereka dulu tidak menyedari kejahilan mereka. Maka nasib kita juga akan sedemikian sekiranya kita terus tidak menyedari hakikat kejahiliyyahan yang melanda umat Melayu-Islam hari ini dalam negara kita, sehingga tercatat sejarah pada masa akan datang bahawa kita sebenarnya Melau Jahiliyyah. Generasi akan datang akan melabel kita sebgai Melayu Jahiliyyah, sedangkan kita hari ini belum mahu sedar.

Nabi diutus memerangi Jahiliyyah. Zaman ini, para ulama bermujahadah memerangi jahiliyyah. Nabi ditentang oleh pembesar-pembesar Arab Jahiliyyah. Ulama hari ini juga menerima tentangan hebat daripada pembesar-pembesar Melayu Jahiliyyah. Zaman silih berganti. Ada yang menurut arus dakwah Nabi, maka ada pula yang menjadi penentangnya samada secara sedar atau pun tidak, secara serius ataupun main-main. Maka pilihlah yang mana haluan kita. Mengikut atau menentang.

Panjang pulak ulasah khutbah. Cerita bab raya semula. Lepas solat sunat Raya, kami menziarahi kubur, suatu destinasi yang kita juga bakal singgah sebelum ke alam akhirat. Kami juga menziarah kubur ulama di situ (Tok Guru Pak Man). Kemudian pulang menziarahi jiran-jiran yang uzur dan sakit. Kemudian pulanglah kami ke rumah.

Petang pula, kami menerima kunjungan tetamu yang sangat ramai- saudara mara sebelah ayahanda kami. Dipendekkan cerita (letih dah menaip), keesokan pula kunjungan dari keluarga sebelah adik beradik nenek sebelah bonda. Hari raya ketiga pula kunjungan dari saudara-mara sebelah bonda kami. Semalam- Raya ke-empat, kunjungan dari keluarga nenek sebelah ayahanda pula. 4 hari pack dengan aktiviti melayan tetamu. Hari ini hari raya ke-5, aku kembali ke kampus.

Hari ini hari raya ke 5. Ketika menaiki bas, aku teringat akan sahabatku yang akan bernikah hari ini. Sahibussamahah Tengku. Selamat Bernikah. Minta maaf sebab tidak menghadiri majlis demo Tengku. Jauh sangat. Hanya al-Fatihah sahaja dapat ku kirimkan...

Dalam menyambut hari raya, suatu benda yang kita perlu tanam dalam benak sanubari kita, bahawa Eidul Fitri adalah hari ibadah. Bukan hari berfoya-foya melepaskan geram selepas Ramadhan. Awaslah, bahawa rancangan Raya di kaca TV adalah Jahiliyyah yang mesti kita perangi. Peraaaang!!! Menjelekkan dan memalukan. Syawal dan Eidul Fitri adalah anugerah ALLAH kepada hamba-Nya yang bersungguh-sungguh dalam Ramadhan. Bersungguh-sungguh mendambakan Rahmat, keampunan dan perlepasan dari azab Neraka.

Tiba-tiba mereka yang entah bagaimana Ramadhan mereka, terpekik-terlolong 'bergembira' menumpang beraya. Malu-lah kepada ALLAH. Benar, kita tak tahu bagaimana amalan mereka dalam bukan Ramadhan, mungkin lebih baik dan tawadhuk. Tapi biasanya orang-orang yang terpekik-terlolong menyanyi dan menari itu, gagal puasanya. Hanya lapar dan dahaga. Jika sekiranya benar sekalipun mereka peroleh ganjaran besar dalam Ramadhan, tetapi mereka membatalkan ganjarah pahala tersebut dengan amalan maksiat pada hari raya. Sedihnya, na'uzubiLLAH.

Satu lagi , aku teringat satu pesan seorang ustaz tentang Laylatul-Qadr. Sesiapa yang bersungguh-sungguh dalam Ramadhan dan mendapat Laylatul-Qadr yang ganjarannya lebih baik dari seribu bulan, maka berawaslah. Walau besar mana pun ganjaran Laylatul-Qadr, ia akan lenyap dengan mudah sekali apabila kita melakukan amalan syirik, khurafat dan menentang hukum ALLAH. Dengan kata mudah, menentang Islam, lenyap pahala Laylatul-Qadr.


Semoga ALLAH terus memelihara kita.

5 comments:

Anonymous said...

kEbanyakan kawasan2 kt kedah skrg dilanda mslh yg sama,kecurian kabel.mmg patut suggest adakan wireless kat kedah.teruk2 macam ni, balik rumah xdpt update blog

tok guru pak man tu yg buka pondok pak man ka?

Aneroid said...

yang buka pondok pak man tu la. ayah n emak pernah mengaji dgn tok guru tu.

Anonymous said...

hang orang bukit besaq ka?

Anonymous said...

haah ni duk kat bukit besaq ka?penah ngaji pondok tu?

Aneroid said...

tak penah ngaji. tapi skang ni 4 orang adik duk ngaji kat skolah pak man tu. emak pula salah sorang guru di situ.

Ũ