© The Mhakk Studio

You are being watched!

Tuesday, September 16, 2008

Jangan optimis hendak ke syurga...

Ramadhan terus meniti hari. Hari berganti hari. Hari ini 17 Ramadhan. Kita bercuti sempena sambutanNuzul-Qur-an. Fasa kedua Ramadhan semakin ke penghujungnya. Tawaran "pengampunan beramai-ramai" oleh ALLAH kepada hambanya terbuka luas. ALLAH Maha Pengampun, sentiasa memberi keampunan tak kira dalam bulan Ramadhan ataupun tidak. Cuma tentulah ada pakej istimewa dalam bulan Ramadhan.

Aku, dan sahabat-sahabat sekalian,
Hidup kita di dunia, tidak terlepas daripada dosa dan pahala. Orang baikkah kita, orang sederhana baikkah kita, atau orang tidak berapa baikkah kita - pasti kita tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kadang-kadang pula kita lakukan amalan yang berpahala. Iman manusia, naik dan turun. Ketika iman sedikit segar, kita pasti akan termotivasi untuk berbuat kebajikan. Gandakan ibadah. Sebaliknya ketika iman mengalami perosotan, tiba-tiba saja malas menguasai. Tiba-tiba saja ajakan nafsu disambut dengan penuh diplomasi.

Kita manusia biasa. Kita bukan nabi yang maksum - terpelihara dari perbuatan dosa. Adalah menjadi tugas kita untuk mentarbiyah diri kita supaya kekal istiqamah dalam perkara kebaikan samada ketika iman kita segar mahupun rosot. Dosa dan pahala adalah adalah perkara ghaib yang wajib kita imani. Setiap amal perbuatan kita ada penilaian dosa dan pahala. Hatta sekecil-kecil amalan - membuang duri kecil yang mengganggu laluan orang ramai, hingga menganjurkan program-program besar, hingga kepada membentuk sebuah negara Islam, semua itu ada penilaian dosa, dan juga pahala.

Bermula dari kita bangun tidur, meter dosa dan pahala mula berfungsi. Setiap langkah kita ke masjid untuk solat subuh berjamaah di masjid, diambil kira. Setiap komunikasi kita dengan manusia lain, dicatat - samada berkomunikasi dalam blog, hatta hanya dengan status pada Yahoo! Messenger sahaja sekalipun. Tidak akan terlepas kita daripada catatan amalan kita melainkan semuanya direkod kemas oleh Raqib dan Atid.

Sebagai seorang Muslim, kita mestilah berfikir akan dosa dan pahala dahulu sebelum melakukan sesuatu. Adakah perkara yang kita mahu laksanakan itu dikira dosa, atau pahala. Kira mendatangkan dosa, maka tinggalkanlah. Ataupun carilah kaedah lain untuk menghindari dosa. Orang-orang yang beriman akan melihat dosa itu bagaikan gunung yang mahu menghempapnya, manakala orang-orang fasik hanya menganggap dosa itu bagaikan lalat yang hinggap di atas hidungnya sahaja.

Matlamat kita hidup di dunia adalah untuk mencari keredhaan ALLAH. ALLAH redha, balasannya syurga. Memanglah jumlah pahala yang besar belum tentu menempatkan kita di syurga. Keredhaan ALLAH hanya kepada hamba-Nya yang taat kepada segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Bagaimanakah kita boleh harapkan keredhaan ALLAH sekiranya kita sering melakukan perkara dosa?

Sebelum kita menduduki peperiksaan, kita pernah mendengar segolongan daripada kita yang optimis sahaja lagaknya untuk berdepan dengan kertas peperiksaan. "Rileks laa, soalan tu nanti jawab pakai hint-hint yang pensyarah bagi, confirm B+ ke atas". "Eleh, tak payah susah-susah sangat study. Buat saja soalan past year, gerenti! ". "tak payah study bab tu, tak masuk rugi je". "Selalu aku jawab cincai je, dapat A..." dan macam-macam lagi keoptimisan. Ya, optimis dalam menghadapi peperiksaan tidak mengapalah. Sebab pensyarah yang memeriksa kertas juga manusia.

Akan tetapi malang sekali apabila kita optimis mahu ke syurga ALLAH, tanpa betul-betul beriman dan bertaqwa. Tanpa benar-benar beramal soleh. Tanpa ikhlas dalam setiap pekerjaan. Malang sekali jika kita anggap amalan kita sudah cukup untuk ke syurga. Kita sudah rasa seperti beriman besar apabila kita tak pernah miss solat tarawih. Kita rasa bagaikan tidak tertanggung lagi pahala apabila kita menginfaqkan seluruh tenaga dan wang ringgit kita untuk menjayakan aktiviti Ramadhan. Kita anggap dengan menulis blog - menegur orang lain sudah menjadi satu tiket untuk dianggap baik. Semua itu hanya anggapan yang optimistik sahaja. Sedangkan semua amalan baik kita jika dikumpul segala pahalanya, tidak dapat membayar sekelumit pun untuk membeli syurga ALLAH.
Gambar hiasan

Bercita-cita ke syurga ALLAH, perlu kepada takut dan harap. Takutlah kita daripada terhumban ke neraka. Haraplah agar kita ke syurga dengan pengharapan yang benar-benar mengharap. Harap mestilah berlapik dengan segala ketaatan kepada ALLAH. Ahli-ahli sufi sering mengharapkan syurga ALLAH dengan amalan dan doa.

Tuhanku aku TIDAK layak, untuk ke Syurga-Mu, namun TIDAK pula aku sanggup ke Neraka-Mu.

Itulah bait-bait pengharapan. Memang kita tidak layak pun ke syurga. Usahlah optimis. Kita rayu kepada ALLAH, harap kepadanya bermodalkan pahala ketaatan kita. Rayu, bukan membeli syurga itu dengan pahala kita. Jika semua orang ke syurga, seorang sahaja ke neraka - maka TAKUT-lah yang seorang itu adalah kita. Jika semua orang ke neraka, hanya seorang sahaja ke syurga - maka HARAP-lah bahawa yang seorang itu adalah kita.

Dalam kehidupan harian kita, termasuk aku sekali, kita lebih banyak optimis dalam menuju ke syurga. Kata-kata seperti :

"ah... dalam bulan Ramadhan ni, tidur pun jadilah, dapat juga pahala..." "malam ni cutilah kejap dari tarawih. masih banyak malam lagi..." "tegur orang pakai status YM sudah lah..." "solat sorang-sorang pun ok la, drpd tak solat langsung..." "bergaul-bebas lelaki perempuan tu sikit je, pahala lain banyak lagi..."
"quran dah nak habis dah baca, apa salahnya buat dosa sikit-sikit je (tengok muvi, bercouple dll)..."
"Tadarus tiap-tiap malam. hebat betul Ramadhan aku tahun ni..." "insya-ALLAH, kita akan dapat syurga..."

Banyak lagi contoh optimistik dalam amal ibadah. Cukupkah optimis begitu dapat syurga, sedangkan nabi, para sahabat, ahli-ahli sufi sering menangis pada malam hari mengharap keredhaan ALLAH. Kita, jarang sekali merayu, apatah lagi nak menangis kerana mengharap belas kasihan ALLAH.

Aku dalam kehidupan harian aku, juga tidak terlepas daripada gejala keoptimisan ini. Rasa cepat berpuas hati dengan amalan baik. Itulah nafsu, jika ia jemu. Nafsu Ammarah, - tahap nafsu yang selalu mengajak kepada kemaksiatan. Nafsu Lawwamah sering berbolak balik.. kejap nak, kejap taknak buat amalan baik. Nafsu Muthma-innah pula adalah tingkatan tertinggi kemuliaan manusia. Nafsu kita boleh dianggap Lawwamah. Harap tidak merosot kepada Ammarah.

Optimistik, bukan jalan ke syurga. Syurga adalah kepada orang yang berusaha dengan tekun, istiqamah dan ikhlas serta mengharap kepada ALLAH. Kita berusahalah ke arah Nafsul-Muthma-innah. Melawan kedegilan nafsu, mendidik nafsu, supaya menjadi baik. Hingga ke suatu tahap di mana nafsu sudah tiada lagi keinginan untuk melakukan maksiat kepada ALLAH, nafsu menajdi begitu ghairah untuk beramal soleh, nafsu ketika itu tidak memandang lagi kepada tipu daya dunia, ketika itu ALLAH berfirman;

"Hai jiwa yang tenang (Nafsul-Muthma-innah). Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga-Ku. "

Surah al-Fajr (27-30)

WaLLAHu a'lam.

No comments:

Ũ