© The Mhakk Studio

You are being watched!

Wednesday, September 10, 2008

Sudah 10 Ramadhan... semakin bersemangatkah kita?


Mendengar tazkirah lepas Zohor yang disampaikan oleh Prof. Hanafi tadi, bulan Ramadhan sarat dengan anasir-anasir motivasi yang sepatutnya kita teruja untuk mengejar posisi hamba yang bertaqwa kepada ALLAH.

-

Kalau ibadah puasa itu sudah dinyatakan WAJIB dalam al-Quran, maka umat Islam mesti berpuasa samada suka atau tidak. Sesiapa yang tidak berpuasa dalam bulan Ramadhan tanpa keuzuran, berdosalah dia. Namun disebalik perintah WAJIB yang sesetengah orang melihatnya sebagai 'beban', ALLAH menawarkan pakej-pakej ganjaran yang tidak terhitung oleh jangkauan peralatan teknologi manusia.

-

Ganjaran-ganjaran besar dalam bulan Ramadhan adalah menjadi motivasi kepada orang-orang beriman untu menyempurnakan keWAJIPan berpuasa. Mereka akan berpuasa dengan penuh keimanan dan muhasabah diri, dan sesudah itu mereka akan diampun segala dosa mereka. Dengan tawaran yang besar sebagai motivasi ini, kita sepatutnya lebih teruja. Lebih bersungguh-sungguh dalam Ramadhan. Malah, bonusnya, syaitan-syaitan yang sering memperbodoh kita juga ditambat!

-

Maka apakah lagi alasan kita untuk lemah dalam ibadah? Apa lagi jenis motivasi yang kita mahu untuk lebih memotivasikan diri dalam menjana ketaqwaan kepada ALLAH? Hari ini hari ke 10 Ramadhan. Genaplah satu semester KERAHMATAN bagi pengajian dalam universiti Ramadhan.

-

Barangsiapa yang lulus cemerlang dalam semester pertama itu, akan senang hatilah dia meneruskan pengajian dalam semester kedua - yang menawarkan pakej KEAMPUNAN. Senang hati dalam erti kata bertambah rasa ingin lebih dekat kepada ALLAH. Lebih merindui ganjaran yang ALLAH tawarkan. Adapun bagi yang tidak manis 'CGPA' nya dalam semester pertama, beban mula terasa apabila pengajian memasuki fasa ke dua. Walhasilnya, kita dapat lihat betapa ramai yang solat tarawih pada semester pertama, kini jumlah itu berkurangan.

-

Maka bagi kita yang akan memasuki fasa KEAMPUNAN ini, mudah-mudahan kita akan istiqomah, supaya kita beroleh kekuatan untuk terus cemerlang melanjutkan motivasi diri hingga ke fasa akhir - perlepasan dari api neraka.

-

Sesudah tamat tiga semester dalam universiti Ramadhan, 1 Syawal adalah hari konvokesyen untuk dirai oleh mereka yang berjaya dalam Ramadhan. Namun suasana sekarang adalah aneh dan pelik. Orang yang gagal dan tidak cemerlang dalam Ramadhan seolah-olah beraya sakan dan seronok lebih. Tanpa rasa malu kepada ALLAH, mereka menyertai sambutan konvokesyen  yang jemputannya hanyalah kepada graduan-graduan Ramadhan.

-

Kita perlu mencorakkan hari graduasi kita. Ramadhan kita kali ini harapnya lebih baik daripada Ramadhan sebelumnya. Jika upaya kita masih lemah untuk menggandakan amalan, maka gunakanlah upaya yang ada meninggalkan amalan-amalan yang melalaikan. Sesungguhnya jika kita tidak sibukkan diri dengan amalan soleh, kita pasti akan disibukkan pula oleh amalan lagha dan mendatangkan dosa.

-

No comments:

Ũ