© The Mhakk Studio

You are being watched!

Saturday, September 13, 2008

Tolonglah...jangan halau Ramadhan

-

Usia Ramadhan tahun ini sudah hampir kepada fasa purnama. Sekali pandang, masa seperti sangat pantas berlalu. Pandang dari sisi lain pula, masih lambat nak raya. Sekarang zone pertengahan Ramadhan. Zon Maghfirah - keampunan. Mohonlah keampunan yang banyak. Lipat gandakan usaha dalam bulan Ramadhan, untuk mentarbiyah diri bagi menghadapi kekalutan dalam 11 bulan seterusnya sebelum Ramadhan berikutnya.

-

Setiap tahun kita mendengar tazkirah dan ceramah yang hampir sama isi kandungannya, iaitu supaya kita bersungguh-sungguh beribadat dalam bulan Ramadhan. Pelbagai tawaran istimewa dari ALLAH untuk hamba-Nya dihamburkan dalam bulan ini.

-

Namun malangnya, belum pun 15 hari Ramadhan, sudah kedengaran sambutan Hari Raya di mana-mana. Di pasaraya, di pasar borong, di kedai runcit, di rumah-rumah, di kafetaria-kafetaria dan sebagainya. Malah dalam bilik pun ada.

-

Kenapa ghairah nak raya? Macam tak suka saja dengan Ramadhan ni. Lagu-lagu raya dipasang rancak dan bunyi-bunyi mercun seolah-olah mahu menghalau Ramadhan - yang sangat dirindui oleh orang-orang beriman. Halau Ramadhan? Jangan... tolonglah. Bukankah sekiranya kita tahu kelebihan bulan Ramadhan, nescaya kita akan mahu ALLAH jadikan Ramadhan itu sepanjang tahun! 

-

-

Masalahnya kita tak tahu (?).Atau tahu tapi kurang yakin (?). Kalau yakin pasti tidak jadi begitu. Terpersona dengan tawaran jualan hari raya lebih daripada tawaran keampunan dan perlepasan dari azab api neraka. Masya-ALLAH. Sedangkan orang-orang bertaqwa, akan menangis dipenghujung Ramadhan kerana Ramadhan mahu pergi. Belum tentu dapat bertemu Ramadhan berikutnya.

-

Mahasiswa sekampus denganku juga, termasuk aku sekali...

Tiada kelihatan kita berlumba-lumba menggandakan amalan. Malah solat tarawih pun mahu short and cut. Siap pilih masjid dan surau lagi. Mana-mana imam yang baca paling cepat, paling pendek, itulah pilihan. Lebih malang lagi, sudahlah cepat, dan pendek... solat witir pun entah ke mana.

-

Tadarus, qiamullail, lagi lah sukar nak dilaksanakan...

Mahu saja lepak dalam bilik, tengok movie, main game, chatting, buka friendster, check e-mail. Tak ubah macam bulan September! Roh Ramadhan tiada. Kalau tiada tarawih kan seronok. Walaupun sunat, tapi kalau tak buat, malu laa. Orang kata apa pula... adoii.

-

Movie? simpan la dulu kalau nak tengok sangat. lepas Ramadhan tengok la. Sekarang ni tiap-tiap orang Hard Disk berkapasiti besar. Simpan dulu. Bulan Ramadhan ni tumpu ibadah. Dekatkan diri kepada Tuhan yang selalu bermurah hati dengan kita. Nak main friendster? Apalah untungnya bendalah tu dibandingkan dengan tadarus al-Quran... Nak juga, utamakan yang utama dulu. 

-

Ustaz-ustaz di Pusat Islam hampir kehabisan idea bagaimana mahu meramaikan jemaah di Pusat Islam. Mahu Pusat Islam aktif dengan penglibatan kita. Menu-menu hidangan berbuka puasa dipersedapkan seboleh-bolehnya - kecewa juga apabila lepas solat maghrib, kita pulang ke bilik dan tak datang semula untuk solat Isyak dan tarawih. Pelbagai aktiviti yang Pusat Islam anjur, hasilnya - muka yang sama saja hadir. Mahasiswa Islam lain?

-

-

Jangan letakkan diri kita sebagai orang yang menghalau Ramadhan. Mari kita berusaha belajar menyintai Ramadhan. Merindui Ramadhan seberapa boleh. Berjihadlah dalam bulan mulia ini. Aku memesan kepada diriku dan rakan-rakan yang terbaca artikel ini. Ramadhan tahun ini tidak akan muncul lagi selepas ini sampai bila-bila. Ramadhan tahun depan adalah Ramadhan tahun depan. Jangan biarkan kita menyesal suatu hari nanti di mana pada hari itu tiada lagi ibadah yang akan diterima, hanya menunggu pembalasan sahaja.

-

No comments:

Ũ