© The Mhakk Studio

You are being watched!

Monday, September 1, 2008

The Return of Ramadhan 1429

Ramadhan kembali. Bulan yang penuh dengan keberkatan dan tawaran istimewa dari ALLAH kembali mengunjungi kita. Sedar atau tidak, masa begitu pantas berlalu sehingga ada yang merasakan kita baru sahaja berpisah dengan Ramadhan lalu, kini Ramadhan datang lagi.
-
Kedatangan Ramadhan dinanti-nanti oleh umat Islam dalam pelbagai persepsi. Orang-orang yang beriman dan bertaqwa pasti menyambut Ramadhan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Bulan barakah akan digunakan sepenuhnya untuk mendamba keredhaan ALLAH, dengan strategi dan penjadualan ibadah yang sistematik dan kompetetif agar sebulan bulan Ramadhan tidak dipersia-siakan.
-
Adapun terdapat pula golongan yang bergembira dengan kedatangan Ramadhan atas dasar keuntungan dunia. Mungkin pada bulan Ramadhan, potensi untuk para peniaga melariskan jualan. Ada pula potensi golongan yang mengukir nama dalam medan politik dengan menghadiri majlis-majlis yang berkaitan dengan Ramadhan. 
-
Manakala golongan  yang berasa berat dengan kehadiran Ramadhan tidaklah pula sedikit. Bagi mereka Ramadhan adalah beban kepada mereka untuk bersuka ria. Para artis amnya, berasa seolah-olah Ramadhan menyekat aktiviti mereka, sehingga terpaksa membuat rakaman program hari raya sebelum Ramadhan. Ramadhan adalah berat dan menyusahkan bagi golongan yang beridentiti munafik.
-
Bagi kita umat Islam, kita harus faham dan rasa seronok dalam bulan Ramadhan kerana nikmat dan ganjaran besar yang ditawar oleh ALLAH, yang tiada dalam bulan-bulan lain. Seringkali ungkapan dan tawaran besar ini diulang-ulang saban tahun, namun hasilnya lihatlah, seperti tidak berkesan. Kita seperti tidak 'makan saman' dengan tawaran pahala sunat pada bulan biasa menjadi pahala wajib dalam bulan Ramadhan. Seolah-olah tawaran tersebut kosong, walaupun dibibir kita percaya kepada tawaran itu. 
-
Begitu juga ganjaran hebat Lailatul Qadr yang dipersembahkan kepada kita pada sepuluh malam terakhir. Berapa keratkah kita yang berlumba-lumba mengejarnya? Sungguh lemah kita. Sungguh lemah diriku ini. Berbanding dengan tawaran duniawi yang kita sering teruja.
-
Kembalilah kita kepada firman ALLAH:
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, " [Al-baqarah: 183]
-
Tujuan puasa adalah untuk mencapai status taqwa. Status yang sangat penting  bagi seorang hamba untuk mendapat kemuliaan di sisi ALLAH.
"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. " [Al-hujuraat: 13]
-
Untuk mencapai taqwa, kita mungkin rasa sangat sukar, lebih-lebih lagi keadaan persekitaran yang tidak kondusif untuk ke arah taqwa. Ditambah pula dengan tuntutan nafsu yang meronta-ronta ke arah perkara yang dilarang. Sesungguhnya nafsu kita sudah sekian lama dilatih oleh iblis dan syaitan, maka nafsu kita sememangnya degil untuk berbuat kebaikan walaupun iblis dan syaitan dibelengu dalam bulan Ramadhan.
-
Maka, tugas kita untuk mancapai taqwa menjadi sukar. Sebulan dalam bulan Ramadhan dirasakan tidak cukup untuk berperang melawan kedegilan nafsu. Mujahadah yang tinggi sangat diperlukan. Ketegasan dalam 'mencantas' gerak-geri nafsu perlu diasah untuk mengawal tindak-tanduk yang dilarang ALLAH dalam bulan Ramadhan.
-
Jika sekalipun sukar untuk mencapai taqwa, maka kita perlulah menyenarai target-target tertentu ke arah taqwa. Sekalipun taqwa belum dicapai, sekurang-kurangnya, target yang ditetapkan dicapai dan memberi kesan yang baik walaupun Ramadhan berlalu.
-
Antaranya, cubalah kita target untuk meningkatkan khusyuk dalam solat, menjadikan solat berkualiti, menghilangkan sifat kedekut, ataupun membina sifat pemaaf, menghindarkan diri daripada melakukan perkara makruh, menjinakkan diri dengan masjid dan solat berjamaah, menggemarkan diri dengan siri-siri kuliyah agama, bersifat tegas kepada diri daripada melakukan aktiviti yang mebuang masa  dan sebagainya. Satu target untuk Ramadhan setiap tahun yang mana target-target itu perlu mendapat kualifikasi ke arah taqwa.
-
Alangkah baiknya, setelah selesainya Ramadhan nanti, gugur sifat hasad dengki sesama saudara kita. Kemudian disemai pula dengan sifat berkasih sayang. Ramadhan seterusnya pula dibuang pula sifat tamak kepada harta benda dunia. Seterusnya setiap kali Ramadhan, diri kita dicuci dari sifat-sifat buruk satu per satu.
-
Jika demikian, barulah Ramadhan bermakna dan berkesan. Ramadhan bukan bulan untuk bermalas-malasan, bukan bulan untuk menjadi lemah. Ramadhan mengajar erti kesabaran dan keazaman, semangat dan bersungguh-sungguh. 
-
Ya ALLAH, jadikanlah aku sebagai hamba-Mu yang ikhlas. Jadikan kami hamba-hamba-Mu yang ikhlas. Kami memohon kepada-Mu agara Ramadhan kali ini memberikan kami tingkatan taqwa yang Engkau kehendaki. Kurniakanlah kepada kami cinta kepada-Mu, cinta kepada orang-orang yang mencintai-Mu dan cinta kepada amalan yang membawa kepada dekat kepada cinta-Mu.
-

No comments:

Ũ